Followers

Sabtu, 30 April 2011

Anak demam, ibunya juga pra demam.

Kita hanya merancang.


Perancangan hari ini sepatutnya ke Pesta Buku.   ........ Batal.


Perancangan malam ni .. malam ahad.. tidur di rumah mak mertua......... Batal.


Perancangan esok tak tahu lagi.


Batal gara-gara sejak petang semalam Azim demam.


Malam tadi... bukan..... pukul tiga dinihari  hantar Azim ke hospital, sebab batuknya makin menjadi-jadi gatalnya maka sebelum sesak nafas yang teruk, hantar sedut oksigen.  Selepas dibuat pemeriksaan, doktor hanya bekalkan ubat dan Azim dibenarkan balik.


Hati ibu yang sentiasa risau, sampai ke pagi hanya dapat tidur-tidur ayam....  Hari ini, demam Azim sudah berkurangan namun batuk masih ada.  Sepetangan tumbang, mata mengantuk yang teramat diikuti dengan  kepala yang nyup-nyap nyup-nyap....  berdenyut kuat sekali.  Terpaksa telan panadol baru boleh tidur.


Harap malam ni Azim dapat tidur dan batuknya berkurangan.  Walau anak dah remaja bila tidak sihat, bila demam,   "adik nak tidur dengan ibu'  dan ibunya jamin tidak dapat melelapkan mata. 


Dan abahnya terpaksa tidur bertilamkan selimut toto di bawah, namun tetap lena.  Abahnya ...... sabar je bagai tiada apa-apa.


//Hujan mulai turun, dan pastinya malam ni sejuk.. harap  batuk Azim akan terkawal.  Harap dia dapat tidur dengan lena, begitu juga dengan ibunya, kepala masih berat lagi ni..



Khamis, 28 April 2011

Doa menolak angin ahmar.

 
 Doa menolak angin ahmar ini di ambil dari blog Bila Embun Menitis dengan izin Kak Nelli.. Terima kasih Kak Nelli.  Tujuannya supaya dapat dikongsi bersama dan juga sebagai simpanan peribadi.


Terkenang arwah abah yang  meninggal dunia selepas tiga hari diserang angin ahmar ini. 
 
 
 
Angin ahmar boleh menyerang sesiapa saja, tanpa mengira usia dan keadaan badan mangsa.  Dikatakan serangan stroke ke atas wanita adalah lebih berat impaknya berbanding dengan lelaki. Bermakna satunya2 pertahanan kita yang tinggal adalah doa yang diajarkan Rasullah saw yg dihadiahkan oleh Yang Maha Esa ini

Di sini saya sertalkan ayat, makna dan sejarahnya untuk manfaat semua.





Maksudnya:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; dan dengan-Nya kami memohon pertolongan; dan dengan Allah; dan dari Allah; dan kepada Allah; dan segala pujian tertentu bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar, yang Maha Mulia dan Maha Agung; yang aku takut dan bimbang terhadap-Nya. Allah Maha Besar dengan segala kebesaran-Nya; segala pujian tertentu bagi Allah, sebanyak-banyak pujian. 

Dan Maha Suci Allah pagi-pagi dan petang-petang. Dengan nama Allah yang menyembuhkan, dengan nama Allah yang mencukupkan; dan dengan nama Allah yang menyihatkan; dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tiada memberi mudharat sesuatu apa jua di bumi dan di atas langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan Kami turunkan sesetengah dari Al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat untuk orang-orang yang beriman.

Ya Allah, aku yang menjampi dan Engkau yang menyembuhkan. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah Engkau takdirkan. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Aku berlindung dengan Allah, Tuhanku dan Penciptaku, Pembentukku dan Pencipta Rupabentukku dan Pemberi Rezeki sekalian manusia. Aku berlindung dengan Allah daripada sekalian kebinasaan, dan segala maksiat, bala bencana, penyakit dan segala kesakitan, kemalasan, kemunduran dan kebinasaan.

Ya Allah, lindungilah penanggung (pengguna) suratku ini dengan nama-Mu yang Maha Mulia dan Maha Agung; dan sifat-sifat-Mu yang sempurna, wahai Yang Mempunyai Kebesaran dan Kekayaan. Wahai Tuhan yang memiliki kerajaan dan alam malakut; wahai Tuhan yang memiliki keagungan dan kegagahan.

 Maha Suci Engkau, alangkah besarnya Engkau wahai pencipta segala langit dan bumi. Wahai Tuhan tempat berlindung mereka yang menyesal (akan dosa-dosa mereka); wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang-orang miskin; wahai Tuhan pemilik kebesaran dan kekuasaan, wahai Tuhan yang mempunyai belas kasihan dan memberi kebajikan dan Ihsan; wahai Tuhan yang banyak kasih sayang, wahai Tuhan yang banyak memberi; wahai Tuhan yang Maha Gagah dan tiada sesiapapun yang mampu mengalahkan-Nya; wahai Yang Melindungi dan Dia tidak memerlukan perlindungan, aku berlindung dengan-Mu dari azab ke atas badan dan kesempitan; dan aku berlindung dengan-Mu dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit yang besar yang menimpa ke atas diri dan roh, darah dan daging, tulang dan kulit, urat dan urat saraf.

Maha Suci Engkau; yang apabila Engkau menghendaki sesuatu maka Engkau hanya mengatakan “Jadilah! Maka jadilah ia”. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar. Wahai Tuhan yang menjadikan; wahai Tuhan yang membuat kebajikan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai Tuhan yang Maha Adil, wahai Tuhan yang Berdiri dengan Keadilan, wahai Tuhan yang mendengar tangisan orang-orang yang meminta pertolongan. Wahai Tuhan yang memulakan (dari tiada kepada ada), wahai Tuhan yang mengembalikan, wahai Tuhan yang menolak, wahai Tuhan yang Mencukupkan. Wahai Tuhan yang menyembuhkan, wahai Tuhan yang meng’afiatkan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan terhadap orang yang memohon pertolongan.

Wahai Tuhan yang menerima kesyukuran, wahai Tuhan yang banyak memberi balasan atas kesyukuran. Wahai Tuhan yang Maha Kasih Sayang, wahai Tuhan yang Maha Belas Kasihan, wahai Tuhan yang memberi pertolongan, wahai Tuhan yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Gagah, wahai yang Maha Berkuasa, wahai Tuhan yang Maha Agung, wahai Tuhan yang mendahulukan, wahai Tuhan yang mengkemudiankan. Wahai Tuhan yang hidup, wahai Tuhan yang berdiri dengan sendiri-Nya, yang membalas mereka yang jujur dengan balasan ke atas tiap-tiap diri dengan apa yang mereka usahakan. Wahai Tuhan yang memerintahku, wahai Tuhanku yang memiliki aku, wahai Tuhan yang memberi perlindungan.

Wahai yang Maha Mengetahui sesuatu yang kami sembunyikan dan kami dedahkan; wahai Hakim yang menjatuhkan hukuman, wahai Tuhan yang memerintah sekalian orang-orang yang beriman; wahai Tuhan pembantu orang-orang yang dhaif dan miskin; wahai Tuhan yang Mencukupi keperluan orang-orang yang bertawakkal.

Wahai Tuhan yang mendatangkan malam ke atas siang dan siang ke atas malam; wahai Tuhan yang Gagah (mengalahkan) setiap syaitan yang sangat durhaka, wahai Tuhan yang mengalahkan setiap orang yang sombong lagi degil; wahai Tuhan sebaik-baik Pemerintah; wahai Tuhan yang sebaik-baik memberi pertolongan, wahai Tuhan yang memberi rezeki kanak-kanak yang kecil, wahai Tuhan yang Maha Pengasih terhadap orang tuan (yang sangat tua), wahai Tuhan yang memerintah orang-orang yang beriman; wahai Tuhan bagi orang-orang yang dahulu dan orang-orang yang kemudian; wahai Tuhan yang pengasih kepada orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari kalangan yang mengasihi. Wahai Tuhan sebaik-baik pengampun dari yang mengampuni; wahai Tuhan sebaik-baik pewaris; wahai Tuhan sebaik-baik Pemberi Keputusan; wahai Tuhan yang memerintah pada Hari Pembalasan.

Ya Allah, hanya Engkaulah yang aku sembah dan hanya kepada Engkaulah aku memohon pertolongan. Dan kepada-Mu aku bertawakkal. Dan kepada-Mu aku gemar dengan apa yang ada di sisi-Mu. Kepada-Mu aku berharap dan hanya Engkau yang aku takuti. Ya Allah, peliharalah aku dari segala kepayahan hidup dan penyakit-penyakit dan segala kesakitaan dan kesusahan dan darah hitam.

Ya Allah, peliharalah aku dari penyakit yang merbahaya dan dari penyakit Angin Ahmar dan penyakit darah kuning, dan segala kebinasaan dan segala maksiat dan pengsan, dan kerungsingan dan kesedihan dan dukacita dan dari di penjara. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan binatang buas, dan binatang yang melata, serta permusuhan (benci membenci) orang awam, dan dari kekalahan dan kejahatan syaitan; dan raja, kemarau, kemahalan barang keperluan, dan gempabumi, dan bala bencana, dan keruntuhan bangunan, dan serangan musuh. Ya Allah, peliharalah aku dari kejahatan orang-orang yang jahat dan tipudaya orang-orang yang melampau, dan dari sesuatu yang silih berganti atasnya oleh malam dan siang melainkan yang datang itu adalah dengan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Aku berlindung dengan Engkau dari kejahatan setiap kejadian yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya; sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang tegak dan lurus. Engkau ialah Tuhanku dan di atas Engkau jua aku bertawakkal, dan Engkaulah yang Mencukupkan aku, dan sebaik-baik yang Mewakili, sebaik-baik Pemerintah dan sebaik-baik yang Memberi Pertolongan. Dan tiada daya upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

Dan cukuplah kami oleh Allah, dan sebaik-baik yang mewakili sebagai Pemerintah dan Engkau sebaik-baik pemberi pertolongan. Allah yang mencukupkan, Allah yang menyembuhkan, Allah yang memberi a’fiat. Dan ucap selawat oleh Allah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat-sahabatnya; selamat sejahtera; dan segala pujian bagi Allah Tuhan Pemerintah Seluruh Alam. Amiin…


SEJARAH DOA ANGIN AHMAR (dipetik dari blog .srikasih.)l

Pada satu ketika semasa Nabi Sulaiman A.S. di atas singgahsana kerajaannya di hadapan manusia, jin dan juga binatang, ia merasai bahawa ia berkuasa memerintah semua makhluk Allah di dunia ini. Dalam keadaan demikian itu, tiba-tiba datang satu Lembaga yang besar lagi dasyat rupanya. Nabi Sulaiman merasa takut dan gementar melihatnya. Lalu ia bertanya siapakah sebenarnya Lembaga itu dan apakah tujuan kedatangannya.


Lembaga itu menjawab, ia bernama ” Rihul Ahmar”. Satu penyakit yang merbahaya diantara lain-lain penyakit. Allah mencipta dirinya sedemikian rupa dan diberi kuasa mendatangkan kesakitan kepada anak-anak Adam. Ia boleh meresap di tubuh manusia seperti darah mengalir di dalam urat saraf. Tatkala Allah hendak memberi azab kepada sesiapa yang dikehendakiNya ia memberi kuasa kepadanya supaya masuk ke dalam badan. Jika ia masuk ke dalam otak hilanglah akal seseorang itu. Kalau ia masuk menerusi hidung maka akan lahir penyakit bengkak-bengkak, sembam dan sehingga binasalah keseluruhan anggotanya.



Mendengar itu Nabi Sulaiman memerintahkan mereka yang berada di sekelilingnya membunuh dan membakar Lembaga itu. Rihul Ahmar menjawab bahawa tidak ada seorangpun yang dapat menghalangnya berbuat demikian kerana Allah telah menjadikannya sedemikian rupa dan melanjutkan umurnya.



Kemudian Lembaga itu pun ghaib hingga ke zaman Rasulullah S. A.W. Telah diriwayatkan bahawa cucu Rasulallah Al-Hassan Bin Ali telah mengidap sakit rongga dan keluar darah daripadanya. Apabila Rasulullah dan sahabat-sahabatnya menerima khabar tersebut Malaikat Jibrail pun datang dan memberitahu bahawa cucu baginda itu terkena sakit Rihul Ahmar.



Bila ditanya tentang ubatnya malaikat Jibrail mengatakan ada, lalu ia ghaib sebentar kemudian datang kepada Rasulullah. Jibrail mengatakan bahawa Allah S.W mengurniakan satu hadiah doa yang mustajab kepada sesiapa yang membacanya satu kali seumur hidupnya. Insyallah ia akan selamat daripada penyakit Rihul Ahmar.


Rasulullah pun membacanya untuk cucunya. Tiba-tiba ia sembuh ketika itu juga dan bangun berdiri dalam keadaan yang cukup sihat.


Rasulullah telah bersabda kepada sahabat-sahabatnya supaya mempelajari doa tersebut dan mengajarnya kepada umatnya yang lain supaya mereka mendapat manfaat serta terpelihara diri dari serangan penyakit Rihul Ahmar (Angin Ahmar). Insyaallah.



//sama-sama kita dan keluarga membacanya moga kita semua terhindar dari serangan penyakit angin ahmar ini.








Saya bersumpah lelaki itu Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini bersumpah atas nama Allah bahawa lelaki dalam rakaman video seks yang didedahkan olehnya adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau mempelawa Anwar untuk bersama-sama dengannya di Masjid Amru Al-As di Bandar Baru Sentul, selepas solat Jumaat bagi melafazkan sumpah laknat, esok.

Sumber:  Sinar Harian



Apa main-main sumpah ni!  Teringat masa kecil-kecil dulu sikit-sikit sumpah, kejap kejap sumpah..

'Sumpah.. aku tak ambik barang kau, kalau aku ambik, tangan aku kudung'

"Sumpah... aku tak kawan dia kalau aku kawan dia, mak aku mati'


'Sumpah... aku tak cakap bohong, kalau aku bohong, aku kena panah petir'

'Sumpah... aku tak ada ngadu kat cikgu, kalau aku ada ngadu, balik kang aku kena langgar lori"


Sumpah zaman anak-anak..  main sedap cakap saja..... ringan saja mulut bersumpah.




Dah tua-tua ni ada juga ke...  

main sumpah- sumpah ni....

yang suka bersumpah lagi.... 

gian sangat ke nak bersumpah-sumpah ni


//bawak-bawaklah sedar diri..... apa lagi yang nak dikejar, semuanya daki dunia.



Rabu, 27 April 2011

Selamatkanlah dia.

                                                  sekadar hiasan.

Ketika entri ini ditulis, kakak sedara (Kak Awa)  sedang berjuang di dalam bilik pembedahan.  Pembedahan untuk membuang fibroid di dalam perutnya.  Doktor telah mengesahkan fibroidnya telah membesar sebesar sebiji bola sepak  Kak Awa telah menderita penyakit ini sejak tahun lepas.  Perutnya telah membesar seperti seorang wanita yang sedang mengandung sembilan bulan.

Ya Allah.. semoga pembedahan ini berjalan lancar.  Selamatkanlah dia, sembuhkanlah dia.


Terkini// syukur Kak Awa telah selamat dibedah, petang tadi ibuintan berkesempatan melawatnya di hospital. Menurut anaknya, selepas pembedahan selesai dijalankan doktor memaklumkan bahawa ketumbuhan (sebenarnya bukan fibroid) itu terletak di dalam salur fallopian sebelah kanan, ketumbuhan itu mengandungi cecair seakan nanah (warna kehijauan) dan cecair itu dianggarkan seberat 6 liter.  Salur fallopian itu juga turut dibuang.  Menurut doktor juga Kak awa sangat bernasib baik sebab ianya tidak pecah dan sempat dibuang.









Isnin, 25 April 2011

Tidur petang.

Ibuintan jarang  tidur petang.  Memang sejak zaman sekolah., zaman remaja, zaman awal kerja hinggalah kini, memang jarang sangat tidur petang. Sesekali saja.  Tidur kalau benar-benar penat dan ngantuk saja.  Saja-saja nak tidur petang memang tak kan ada.  Sebabnya.... bangun tidur perut mesti lapar dan kadang-kadang kepala  sakit.  Ngantuk hilang tapi kepala sakit.

Tapi sejak dua tiga hari ni setiap petang pulak tidur depan tv.  Alasannya mengantuk yang teramat-amat.  Rasa seperti kelopak mata digantung dengan batu yang berat, tak boleh nak buka langsung.  Menguap pun jangan ceritalah... macam badak.  Lastnya heret bantal depan tv.... lelap...zzzzzzzzzzz

Mengapakah kita selalu mengantuk di siang hari?  Terutamanya selepas zuhur. Apakah ubat mengantuk di siang hari yang paling berkesan?  Kalau mengantuk mestilah tidur kan.. tidur siang lah.

Tidur yang dimaksudkan ialah tidur sebentar di waktu tengahari sebelum masuk waktu Zohor. Tidur ini tidak memerlukan masa yang panjang. Memadai sekadar 10 hingga 15 minit, ia sudah cukup memberi kekuatan dan kesegaran pada tubuh badan, malah ia juga menjadi rahsia badan cergas di malam hari untuk seseorang muslim bangun bertahajjud.

Tidur ini menjadi kebiasaan kepada sesetengah individu yang mementingkan kesihatan, produktiviti dan kesegaran. Amalan ini merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang telah diiktiraf oleh ahli sains di zaman ini. Amalan tidur begini dinamakan ‘Qailulah’.

Kitab ‘Misykatul Masabih’ menyebut salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi,
“Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SallAllahu Alaihi wasallam ada melakukannya.”

Imam Al Ghazali di dalam kitab ‘Ihya Ulumuddin’ pula berkata,
“Hendaklah seseorang tidak meninggalkan ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor.”


Amalan Qailulah ini bukan sahaja memberi kecergasan kepada jasmani dan minda, bahkan ia sangat efektif dalam menguruskan masa kerana ia tidak memerlukan tidur berjam-jam sebagaimana tidur siang kebanyakan orang hari ini.


Tidur petang terutama dekat waktu Asar dan selepas Asar bukan sahaja akan memaksa kita tidur lebih lama, bahkan akan membuatkan badan terasa letih tidak bermaya untuk meneruskan rutin harian. Fikiran juga seperti kosong dan hambar sahaja.

Berbeza dengan Qailulah, ia benar-benar tidur yang sekejap tetapi sangat efektif untuk otak dan badan. Kadang-kadang tidak sampai pun 10 minit terlelap. Apa yang penting, selepas sedar terus bingkas bangun dan sambunglah tugasan harian anda.


Waktu untuk Qailulah ini adalah selepas masuk waktu Dhuha hingga sebelum Zohor.

Sumber;  Islam Itu Indah


//masalahnya waktu untuk Qailulah ini biasanya kita masih berada di tempat kerja, buatnya time tu kita lelap..nampak dek bos ,lain pulak jadinya..  ..




Ahad, 24 April 2011

Air.... Air.... Air


Bangun pagi pulas kepala paip di sinki, setitik air pun tak keluar.  Memang sah air kering lagi.  Pagi semalam juga begitu.  Terganggu hasrat membasuh kain baju yang menggunung di dalam bakul.  Nasib baik menjelang petang bekalan air pulih semula. 

Pagi ni putus lagi.  Memang teruk servis syarikat air ni.  Dulu dibawah gomen pun macam tu juga.  kejap-kejap putus, selalu tak berair kekadang memakan masa dua tiga hari.  Sekarang ingatkan swasta dah ambil alih tiada lagi masalah bekalan air putus ni.  Tak juga.  Sama saja.  Harapkan tarif air saja yang melambung naik, servis tetap tak ada kelas. 


Rumah tidak jauh dari sumber air, tidak jauh dari  loji air.  Satu di Empangan Talang dan satu lagi di loji Ulu
Bendul.  Tetap sama.  Bila diberitahu,'maaf, loji dalam pembersihan'...'maaf, ada paip bocor'.  Dari dulu sampai  sekarang, itu itu juga alasannya.  Kalau dari loji Ulu Bendul lagi teruk, tak boleh hujan langsung, setiap kali lepas hujan lebat air mesti kering... masa ni alasannya air keruh.  Pelikkan takkan tak ada loji simpanan air bersih, takkan air sungai keruh terus masuk ke dalam loji utama tu.



 Sejak swasta ambilalih, yang juga dikenali sebagai SAINS bekalan air di kampung ini datangnya dari loji di Empangan Talang, di hulu kampung ini juga.  Ibarat kata kalaulah ditakdirkan empangan tu pecah, habis sekampung rumah dengan kami-kami sekali hanyut.  Namun minta dijauhkanlah.  Empangan besar  namun masih ada juga masalah bekalan air terputus.


Pagi ni putus lagi, harap tidak membawa sampai ke petang.  Untuk memasak dan membasuh semasa ketiadaan air terpaksa bergantung pada simpanan air di dalam tangki.  Selalunya boleh bertahan sehingga tiga hari sebab ahli rumah tidak ramai.


//Mana nak cukup, air dihantar ke bandar besar ataupun dijual ke negeri lain, macamlah orang kampung ni tak bayar bil macam orang bandar tu!



Jumaat, 22 April 2011

Ke mana perginya air laut itu?

Salam pagi Jumaat, semoga sahabat ceria dan gembira. 




Pertama kali sampai ke Pantai Tenglu Laut, Mersing, hairan sungguh melihat air laut yang surut nun jauh ke tengah laut.



Air laut hanya terdapat di sekitar pulau itu saja.  Rasanya seperti boleh berjalan kaki saja ke pulau itu.

Lantas menggemukakan soalan kepada Zulkifli, pemuda kelahiran Air Papan, Mersing.






Sehari sebelum kami ke pantai itu, Zulkifli menulis satu entri yang menarik tentang kejadian pelik atau lucu yang terjadi di kawasan pantai itu.  Sila ke sini.

Ke mana perginya air laut itu?  Semuanya atas kuasaNya.


Khamis, 21 April 2011

Bos anda seorang wanita?

Hasil kajian dan pandangan Puan Nelli.

Bos perempuan adalah :

* Cerewet- sibuk dengan perkara2 kecil
* Kedekut memberi penilaian
* Moody
* Garang tidak betempat
* Kurang bertimbangrasa
* Tidak boleh buat keputusan
* Menjatuhkan martabat lelaki bila lelaki diperintah oleh bos perempuan
* ’Bossy’
* Kelam-kabut
* Terlalu sensitif bila ditegur
* Terlalu risau dengan prestasi sendiri
* Takut dimalukan apabila ada kesilapan oleh orang atasan
* Hilang sifat penyayang untuk membuktikan dia setaraf dengan lelaki
* Hilang sifat keibuan dan menukarnya dengan sifat ibu tiri
* Berlagak hebat sebab takut orang tahu kelemahannya

kredit to: http://blogs.iium.edu.my/


///ibuintan setuju je!


Selasa, 19 April 2011

Obesiti ... guru diminta menjadi penyibuk.


  Obesiti pelajar direkod dalam kad laporan


PETALING JAYA 17 April - Mulai sekarang, indeks jisim badan (BMI) setiap pelajar akan direkodkan di dalam kad laporan prestasi oleh guru untuk perhatian ibu bapa.
Arahan serta-merta itu dibuat oleh kerajaan dalam usaha menangani peningkatan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebelum ini, BMI tidak dicatatkan dalam kad laporan pelajar menyebabkan sesetengah ibu bapa tidak mengawal pemakanan anak-anak kerana tidak tahu sama ada berat badan mereka ideal, terlebih atau obes.

 Berita yang dipetik dalam akhbar arus perdana semalam.


Tambah lagi satu kerja.  Satu kerja lagi yang perlu dibuat oleh guru kelas.  Timbang setiap murid untuk mengenalpasti indeks jisim badan (BMI) mereka kemudian laporkan kepada semua ibu bapa.  Ada ke ibu bapa yang akan mengambil peduli atau ambil berat nanti?


Teringat kisah 8 tahun sudah, ketika seorang murid masuk ke tahun satu, semasa mengisi buku rekod kesihatannya, setelah diambil timbangan berat dan tingginya dan kemudian disahkan obes melalui kaedah BMI, ibuintan  meminta ibu murid tersebut mengawal sedikit tabiat pemakanan anaknya.

Jawab ibu muda itu dengan selamba.' cikgu tak payahlah menyibuk.. anak saya seorang tu saja, apa saja yang dia nak makan saya beri, saya tak kontrol, lagi pun saya mampu nak beri dia apa saja".... dan belanja poket anak tersebut ialah RM5 sehari, maknanya dia bebas beli dan makan apa saja.

 Kini cikgu diarahkan pula untuk menjadi penyibuk lagi.  Alaaaahaaaaai masih terngiang-ngiang ayat 'penyibuk' 8 tahun sudah. 

Penyibuk kah cikgu ini?





Ahad, 17 April 2011

MARILAH MASUK CONTEST KE - 2 ANJURAN KOMENSEN.


Pakngah: "Hello Pak Din, sey dah siap ni, jemput sey  skarang juga, sey nak poe pasar tani "




Makngah: " Hello, Kak Ngah... ni omak la.. Omak polik lah Kak Ngah, Abah ekau ngajak omak poe pasar  tani, dia nak boli cenawan busut kato ea.... tapi abah ekau makai baju Melayu, besamping dan besongkok pulak, laen bona lah perangai ea dokek-dokek nak pencen ni... ghisau yo omak ni.  Jangan-jangan abah ekau nak menapos tak?''






Maaf, Pak Ngah yo..  sey cubo torai yo, mano tau ado joki, kotawo lak Mak Ngah... 




Jom join contest 'dialog lucu' anjuran Pak Ngah KomenSen...









Hujan pun menangis.


Tajuk... hahaha tak boleh tahan.  Rasanya tiada kena mengena langsung kot namun... entahlah.   Jiwa berat sehari dua ni.  Serabut kepala otak sikit.

Semalam seharian hujan turun dengan lebatnya.  Seperti biasa seperti saluran astro juga, walaupun berbayar setiap bulan tanpa culas, streamyx  juga mula buat hal, kejap timbul kejap tenggelam, memang menyakitkan hati.  Mood untuk berblog terus hanyut bersama aliran air hujan yang mencurah-curah.


Sudah empat hari rasanya bercuti daripada dunia blog kerana tuntutan tugas hakiki serta urusan sendiri yang perlu diberi keutamaan dan perhatian.  Syukur menjelang petang semalam semuanya selesai dengan jayanya.

Sesi lawatan  akan dimulakan semula.  Ada rasa kehilangan juga rupanya bila beberapa hari tidak menyebok di laman orang.  Wah, adakah ibuintan jatuh cinta lagi.  Memang ibuintan memang sedang dilamun cinta, cinta yang sedang mekar terhadap dunia blog.  Suspen je kan.... sebab dah terlalu rindu cukup sampai di sini, dah tak sabar nak melepas rindu dipagi yang hening dan dingin ini. 

Jumpa di sana...... rumah kalianlah.







Sabtu, 16 April 2011

Rindu.


Salam rindu.  

Rindu pada semuanya.....











Rabu, 13 April 2011

Hobi Pak Mertua.





Dua ekor burung balam (tekukur) yang menjadi pujaan hati bapa mertuaku.  Inilah hobinya.  Hobi yang telah lama tertanam dalam jiwanya.  Sebelum ini hampir keliling rumah mak mertua bergantungan sangkar burung balam. Namun kini hanya tinggal dua ekor saja lagi di dua sangkar. Abah mertua mendpatkan burung balam ini  dengan cara menjerat menggunakan alat yang dipanggil 'racik' atau 'jebak'. 

Menurut abahintan memasang racik dan jebak itu adalah hobi abah mertua sejak muda lagi tetapi sekarang dengan faktor umur dan kesihatan hobi itu telah lama ditinggalkan.  Namun  dua  ekor burung balam kesayangan ini masih di jaga dengan baik. 

Burung-burung yang lain telah berpindah ke rumah pewaris hobi bapa mertua.. Daripada tiga orang anak lelakinya seorang telah mengikuti jejaknya., iaitu adik lelaki abahintan.  Nasib baik abahintan tidak menjadi pewaris hobi ini. Kalau tidak sah rumah kami juga bergantungan sangkar burung... nasib baik sungguh.


 Dan kekadang dua ekor burung balam ini juga menjadi antara punca pertikaman lidah antara sepasang suami isteri warga emas ini.  Emak mertua memang tidak suka dengan sangkar yang bergantungan itu.  Menyemakkan mata .. katanya.

Tapi balas abah mertua pula,' bukannya sangkut kat leher kau' hahaha.. dah lali anak menantu serta cucu mendengar gaduh-gaduh kecil pasal burung balam ni.


Namun ada juga satu kes yang hampir menjadi pergaduhan besar apabila ada seorang lelaki cina yang lalu di hadapan rumah mak mertua tiba-tiba terpikat dengan kemerduan bunyi seekor burung  ini.  Lelaki Cina tersebut telah menawarkan RM300 untuk membeli burung tersebut.  Emak memaksa abah mertua menjualkannya tapi abah enggan, puas emak dan lelaki Cina itu memujuknya sehingga sanggup menawarkan harga sehingga RM500.


Abah mertua tetap enggan. Begitu sayangnya pada burung balam tersebut. 'Biar dia mati dari menjualkannya' katanya bertegas.  Dan burung itu masih lagi hidup tapi telah berpindah tangan kepada pewaris barunya. Dengarnya sekarang pewaris hobi baru ini, sering hilang di waktu cuti dan hujung minggu bersama geng-geng yang sekaki dengannya... memikat burung.  Siisteri dan anak-anak pula mula menjeruk rasa, tidak dapat ke mana-mana.




Rumah mak mertua. Tengok tu...dua  sangkar burung yang digantung di hadapan rumah.  Mak  pindahkan ke belakang rumah, abah  pindahkan semula ke hadapan rumah.


//nasib baik hobi abahintan memancing.. itu pun taklah tegar sangat, kekadang je..



Selasa, 12 April 2011

Projek Mak Mertua.

Kami sekeluarga balik ke kampung abahintan pada malam Ahad.  Setibanya di sana terlihat mak mertua sedang membuat sesuatu, membasuh dan mengelap buluh.

Tanpa ditanya mak mertua membuka kata, 'mak nak buat  lemang  pagi esok.. Teringin sangat , mak buat sikit saja' tambahnya lagi.  Memang pun buluh lemang yang tersedia hanya ada sepuluh batang.

'Mak taknak lemang yang djual tu, buat sendiri lagi puas hati' tambahnya bila diberi cadangan beli sahaja lemang yang ada banyak dijual sekarang ni.


Tidak sampai setengah jam kemudian, sampai pula keluarga  kakak ipar dari Seremban.  Mak dah mula tak senang hati, beras pulut yang dibeli hanya ada dua kilo saja, akhirnya mak menelefon beberapa anaknya yang lain.. bertanya samada esok balik kampung atau tidak, tiga mengesahkan akan balik sementara yang lain belum pasti.


Lagi anak-anak menegah lagi banyak alasannya, mahu tak mahu akhirnya terpaksa akur juga.  Abah mertua pula kunci mulut.  Abah mertua memang tak setuju seratus peratus.  Buluh pun mak mertua upah orang lain carikan.  Bila keluar ayat, 'kalau semua tak suka, lepas sarapan esok balik rumah masing-masing,'  Hambik kau... terdiam semua.  Para menantu tak berani campur. 


Keesokkan paginya (Ahad), mak mertua mula mengerah  anak dan menantu  lelakinya, seorang dikehendaki membeli  empat kg beras pulut lagi, seorang lagi menambah  bilangan buluh lemang sementara seorang lagi ke pasar membeli lima ekor ayam untuk dibuat rendang.  Nasib baik daging kerbau segar tidak ada, kalau tidak buat juga rendang daging.  Mak mertua tidak makan daging lembu.


Seawal lapan setengah pagi, 'projek' mak bermula,.. dimulai mengait kelapa tua dan masak, mengupas, memarut serta memerah santannya, mengalas buluh dengan daun pisang, masukkan beras dan santan ke dlam buluh serta membakarnya.  Urusan membakar diserahkan kepada adik ipar lelaki. 


Kakak ipar serta biras mengambil tugasan memasak untuk makan tengahari sementara ibuintan mengambil bahagian memasak rendang ayam.  Menjelang pukul tiga petang, urusan membakar lemang serta memasak rendang   pun selesai.  Baru masak .. semasa masih panas memang lemang menjadi rebutan... harum sungguh baunya.

Haaa.. akhirnya projek mak yang kecil-kecilan yang dirancangnya secara diam, bertukar menjadi projek besar.  Rasa macam nak raya pulak!

Rasanya kalaulah mak mertua sudah tiada, mungkin 'projek' ni akan berakhir juga.




Dari asalnya sepuluh batang akhirnya menjadi dua puluh enam batang., lemang dibahagian sebelah lagi telah di'belah'kan sebaik saja rendang masak.  Nasib baik tak kena perli....




Akhirnya dengan berkumpulnya enam keluarga anak-anak mak mertua daripada sebelas orang anaknya, maka lemang  yang berbaki di rumah mak mertua hanya tinggal 4 batang. Yang tak balik tetap menerima kiriman lemang.  Berjaya juga projek mak mertua walau mendapat bantahan keras daripada suaminya (abah mertuaku).


//walaupun kudratnya telah berkurangan namun semangatnya tetap kuat... itulah ibu mertuaku


Isnin, 11 April 2011

Nikmatnya.

Semalam kepenatan.  Seharian di rumah mertua, balik Sabtu malam, rupanya mak mertua ada projek besar. Hari ni belum berkesempatan menulis panjang, nak tayang gambar saja.



Nabil.. salah seorang anak adik ipar, menghayati eskrim dengan penuh nikmatnya.

Makan eskrim beramai-ramai menjadi penutup projek besar mak mertua petang semalam.  Hampir habis  setong eskrim jualan Mat Bangla yang lalu depan rumah dibeli.  Lebar senyum Mat Bangla tu!



Selamat bekerja di pagi Isnin.





Sabtu, 9 April 2011

Menu hari cuti.

Hari ni kan cuti.. kalau selalunya hari bekerja setiap hari lauk untuk makan tengahari di tunjuk dan dibungkus saja dari kantin.   Waktu malam baru masak yang ringkas dan cepat saja.

Balik dari joging pagi tadi singgah kedai beli barang-barang keperluan dapur yang hampir habis.  Biasanya beli barangan kering seminggu sekali dan bahan basah bila hendak masak saja,   tidak suka simpan bahan basah lelama dalam peti sejuk, bila nak masak baru beli.


Pagi tadi masak tiga menu. Menu yang pertama  ialah sambal udang  petai.  Petai ialah pemberian emak mertua. Hanya letak dua papan saja sebab anak-anak tidak suka.



Menu yang kedua ialah  ikan tenggiri masak asam dengan bendi.  Ibuintan bubuh rempah  sebab hendakkan kuahnya pekat. Anak-anak tidak suka masak asam yang cair,  mereka suka masak asam ala-ala Melaka tapi versi Kuala Pilah. Bahan-bahan sama macam masak asam biasa cuma  ditambah serbuk kari.




Sementara menu yang ketiga pula ialah tempe goreng sambal dengan cili api. Tempe dikawankan dengan tauhu, tauhu kering, sohon, ikan bilis dan ubi kentang, dan yang pastinya cili api sebagai pelengkap rasa.  Terasa kepedasannya.








Menu hari ini dijauhi daripada santan.  Memang sekarang sebolehnya hanya masak menggunakan santan sesekali sahaja. 



Jumaat, 8 April 2011

Sabar .... sampai bila?


              Luahan hati seorang rakan sekerja diwall fbnya.......... banyakkan sabar wahai sahabat.

Orang yang bijak dipimpin oleh akalnya,
Orang biasa dipimpin oleh pengalamannya,
Orang yang bodoh dipimpin oleh keperluannya,
Orang yang zalim dipimpin oleh kata hatinya.











Rabu, 6 April 2011

Milikmu... namaku.



Berkongsi...

v
V


Yang ada padamu..

Itulah nama ku!

Serupa tapi tak sama

Cantik kan...  kitalah!




Selasa, 5 April 2011

Padah ikut selera.

Peribahasa yang sering diungkap oleh arwah mak dahulu.....


Lengkuas di tepi kandang, tekak puas badan menyandang


Memang tepat dan cepat.. Tengahari tadi makan Nangka Kering beli di Mersing Kanan Ahad lepas.  Pertama kali makan,,... rangup, manis dan sedap sebagai makanan ringan. 

Namun  selepas makan nangka kering  ini tak sampai setengah jam, perut rasa senak dan mencucuk-cucuk di dada serta rasa pedih di ulu hati.  Dah berangin pulak. Terus bancuh dan minum air teh halia, syukur setelah beberapa kali sendawa rasa senak dan mencucuk-cucuk pun hilang.

Memang selalu beli nangka yang segar, pantang jumpa mesti beli.  Nangka antara buah tempatan yang digemari.  Selalunya tiada masalah atau kesan sampingan setiap kali memakannya.  Walau ada yang berkata nangka jenis buah 'berangin', agaknya hanya rasi dengan buah yang segar saja bukan yang telah diproses begitu.

Cukuplah dah merasa sekali!


Isnin, 4 April 2011

Teman Baru.

Setelah beberapa kali berhenti makan dan rehat di Pantai Hiburan Kuala Rompin, kami telah mendapat teman baru. Sebaik  kami parking kete je, teman baru ni mesti datang.


Mula-mula kenal saling curiga mencurigai, namun sekarang makin mesra.

Ada cerita lucu tentangnya.  Pertama kali berkenalan, ketika itu kami membawa bekal gulai  ayam masak lemak cili api namun bila diberi seketul 'sidia' tak mahu makan, hanya merenungnya saja selepas menjilatnya.  Azim kata... dia tak tahan pedaslah... ibu..

Ibuintan yang memang suka teramat dengan spesis ni telah membasuhkan lauk ayam tersebut.  Haa.. memang sidia telah memakannya selepas ayam itu dibasuh.  Kami semua gelak...  rupanya kucing di Kuala Rompin tak pandai makan gulai masak lemak cili api dan tak tahan pedas. Setiap kali kami singgah di pantai itu, sidia pasti sedia menunggu.  Memang ada habuan untuknya. 

Pandangan sayunya semasa kami bergerak meninggalkannya sendirian semula.....  rasa sedih pula.

//rasanya kucing ini telah dibuang tuannya dan menjadi penghuni tetap di situ...

Agaknya apakah nama yang sesuai untuk teman baru kami ini?