Followers

Khamis, 31 Mac 2011

Pasang P.

Tahniah Along.....  hari ini telah lulus ujian memandu.  Nampaknya dua-dua kete kenalah enterprem P selama dua tahun

'Kalau taknak tampal P kat kete abah dan ibu, belikan Along sebuah kete lain"

mak aiiiii sedapnya dia bercakap!.  Dia ingat makabahnya ni tuan punya kilang kete apa.... takpun harga  sebuah kete macam  harga sebuku roti paun tu.

 'Petang ni jugak Along nak abah tampal P tu, Along nak jadi dreba ibu, hanta dan ambik ibu tiap hari'

kemain eksited sekarang ni.  Kalau sebelum ini tugasnya jadi tukang panaskan enjin, keluar dan masukkan kete ke garaj saja, sekarang dah mohon jadi dreba pulak. 

Sabar je laaaaaa...


Jom kita layan yang ni pulak






//hahaha sabar pak polisi.





Rabu, 30 Mac 2011

Mencari cahaya.


Bila malam, gelap dan bulan bersatu, masih ada keindahan untuk dinikmati.


//Mengharapkan mendung berarak pergi, agar datang sinar membawa ceria.








Selasa, 29 Mac 2011

Mengintai.









Pagi-pagi dah mengintai!


Alaaaa... intai kembang orkid je!
Kembang orkid yang diintai pukul 7 pagi tadi.  Kembang segar dibalut embun pagi.


Bye......... pergi keje dulu... Jumpa lagi.







Ahad, 27 Mac 2011

Cuba nasib

CONTEST Hadiah Misteri Paklong

 Hari ni rasanya jauh berjalan.  Serata negeri merayap dari pagi membawa ke malam.  Pertama kali rasanya berjenjalan blog ke blog dengan bebasnya.  Hari ini sendirian di rumah, apalagi lepas satu rumah ke satu rumah dijengah, walau tuan rumahnya tidak ku kenal, tidak menjemput juga namun dengan muka tak malunya ku datang dan singgah juga.  



Minta maaf kepada rumah dan lamannya kujengah dan glidah hari ni.  Ada yang ditinggalkan jejak, ada yang disapa dan ada juga yang sekadar menumpang lalu.. bukan apa malu dengan diri sendiri, segan dengan tuan punya rumah dan laman.

Ini ialah rumah yang terakhir dijengah.  Pertama kali sampai ke rumah ini dan rupanya tuan rumah ini sedang menganjurkan kontest yang juga julung kali dianjurkannya.  Sebab sama-sama pertama kali, maka tergerak hati untuk join sama kontes anjuran tuannya yang bernama Pak Long dari bicara kehidupan.

Mana tahu ada rezeki dapat hadiah misteri daripada Pak Long.

Jom kita lihat syarat dan termanya;


1.terbuka kepada sesiapa yang mempunyai blog.
   lulus

2.letakkan banner contest ni kat sidebar sepanjang contest berjalan & link kan ke blog ni
   dalam pembinaan dan bakal siap


3.buat entry pasal contest ni dengan menjawab soalan mudah :
i- Apakah Slogan Bandar Taiping ?


ii- Dan lengkapkan pantun berikut :
 
Anak itik didalam timba,
Anak ayam diatas meja,
  Saja suka-suka join mencuba,
  Ada rezeki moga berjaya.



4. tarikh tutup penyertaan : 7 April 2011




Jom join ramai-ramai... ada empat hadiah misteri tu!





Lahir dalam bulan Sya'aban.



Buka FB, ditag oleh seorang rakan.  Bulan kelahiran mengikut bulan Islam.  Lahir bulan Sya'aban rupanya, baca boleh, saja suka-suka.... kalau betul .. mana yang baik tu.... alhamdulillah.


                                        tq.. my dear

//selamat bercuti hujung minggu, semoga ceria...

.......... menu hari ini .. sambal udang n petai serta sup tulang lembu.... jom masak





Sabtu, 26 Mac 2011

‘Pelakon politik’ jadikan ‘penonton bodoh’

SHAH ALAM - Generasi baru di negara di ini dijadikan ‘penonton bodoh’ oleh ‘pelakon politik’ yang mempunyai kepentingan peribadi, susulan pendedahan video seks pemimpin pembangkang.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, generasi masa kini didedahkan dengan cerita politik yang tidak baik dan kotor untuk tatapan mereka seharian.

Menurutnya, golongan ini perlu menolak corak politik yang sedemikian dan mendesak supaya satu bentuk politik baru yang mengutamakan pemikiran idea dan cara membangunkan umat.

”Marilah kita meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka.

”Tanpa mengira parti mereka mesti diusir dari permainan bodoh ini. Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. tak kira kerajaan atau pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


kredit; Sinar Harian


//memang memualkan , kotornya berita yang dibaca dan didengar...







Khamis, 24 Mac 2011

Sayang si Pulut kuning.... rupanya jadi rebutan.


Petang tadi mesyuarat agung PIBG

seperti biasa

tugas wajib

bahagian makan dan minum

telah diputuskan oleh big bos

menunya

pulut kuning, sambal ikan bilis serta rendang ayam

minumannya tea-o dan tea susu

tempah kepada pengusaha kantin

makanan untuk 200 orang

yang hadir tidak mencecah 150 orang

tapi sayang ada yang komplen tak dapat makan

selama berurusan tiada masalah tidak cukup begini

memang rasa amat terkilan

kepada yang datang namun tak dapat makan, diharap jangan jeran 

tak sangka 'si pulut kuning' masih jadi rebutan

ingatkan menu dah ketinggalan zaman

rupanya masih jadi idaman.


Rabu, 23 Mac 2011

Dua Tanjung yang berbeza.


ada hubungan ke

dengan

                                                       
                                        Siti Tanjung Perak.


Tak lah, takde bau-bau bacang pun...




Terletak di Tanjung Gemok dalam daerah Rompin, Pahang dan bersempadan dengan daerah Mersing, Johor, setiap kali lalu di sini pasti memasang angan-angan agar suatu hari nanti dapat ke Pulau Tioman menaiki feri yang berpangkalan di sini.


//Bilakah agaknya?


Selasa, 22 Mac 2011

Cuaca dan mood.

Alahaii... bilalah dapat bersiaran semula dengan jayanya.  Sejak petang semalam hujan membawa ke malam, maka line tenet pun mulalah meragam, sekejap ada sekejap hilang.... namun bila hujan pula diselang seli dengan guruh dan kilat, maka terus dioff' suis internet.  Semalaman tidak dapat beron-line.

Cuaca memang tidak menentu.  Sejak pagi tadi juga, cuaca masih mendung di sini.  Kain-kain diampaian sudah dua hari tidak kering.  Matahari langsung tidak keluar menunjukkan sinarnya.  Suasana menjadi suram. muram dan dingin.  Cuaca sebegini juga mempengaruhi mood.  Mood juga turut menjadi suram dan semangat juga terasa seperti hilang melayang.




Ini ialah Pantai Hiburan di Kuala Rompin.  Setiap kali kami ke Mersing, kami pasti singgah di pantai ini untuk makan tengahari, kami makan bekalan makanan yang dibawa sendiri... ala-ala berkelah kiranya.  Tidak ada mandi manda.   Hari Ahad lepas cuaca sangat baik, langitnya cerah sementara angin laut bertiup amat lembut, lembut sambil membawa ombak ke pantai, bunyi ombak yang menghempas pantai juga amat mendamaikan.

Setiap kali singgah di sini begitulah suasananya.  Kebanyakkan keluarga yang singgah di pantai ini, hanya sekadar berhenti sambil makan-makan sahaja.  Tiada aktiviti mandi manda seperti di pantai yang lain.  Mungkin keadaan pantainya yang tidak landai dan tidak selamat untuk membiarkan anak-anak mandi.


Keadaan dipantai ini amat berbeza pada hari Ahad, iaitu lima hari sebelum berlakunya kejadian gempa dan tsunami yang baru melanda negara Jepun.  Pada hari Ahad tersebut, kami yang dalam perjalanan ke Mersing, seperti biasa berhenti di sini, namun pada tengahari itu, suasananya amat berbeza sekali.  Keadaan ombak agak tinggi bergulung-gulung ke pantai dengan tiupan angin yang amat kencang.  Ombak juga membawa air kelodak yang amat kotor dan hitam.


Kami tidak dapat duduk dengan selesa di tempat biasa di bawah pokok  kerana kami sendiri pun terasa seakan terbang di bawa angin laut yang amat kencang.  Keadaan  pada masa itu cerah dan panas.  Langit kelihatan amat cerah dan tiada tanda-tanda hujan akan turun.  Kelihatan beberapa keluarga lain juga tidak selesa berada di sana.  Angin yang kuat juga menyebabkan tudung terpaksa di pegang supaya tidak tertanggal.  Akhirnya kami terpaksa beredar dari sana dan singgah di taman berhampiran.


Bila berada di sana semula pada hari Ahad lepas, dengan keadaan yang seperti sediakala semula , Intan membuat andaian bahawa mungkin ribut hari tu sebagai petanda akan berlaku suatu musibah. Walau bukan di tempat kita, namun semuanya atas kekuasaanNya juga.  Mengingatkan keadaan angin yang kuat dengan ombak yang bergulung begitu, hati sudah cemas, maka bagaimanakah agaknya di tempat kejadian yang sebenarnya di mana tsunami berlaku. Tak tergambar rasanya.


                    Mercu tanda Kuala Rompin.

//harap tiada gangguan internet lagi supaya mood ceria kembali semula , rindu bw jugak


Isnin, 21 Mac 2011

Salam buat sahabat.

Selamat pagi.  

Salam ceria kepada semua sahabat yang dirindui.

Kita jumpa lagi.




Sabtu, 19 Mac 2011

Mohon maaf.

Salam pagi Sabtu.  Semoga ceria hari ni.  Mohon maaf kerana tidak dapat melawat ke blog sahabat, malah tidak juga dapat membalas beberapa komen yang ditinggalkan dalam entri semalam.


Hari ini ada beberapa agenda keluarga yang harus dibereskan, dan kerana itu kami sekeluarga  akan ke Seremban.

Insyaallah, kita jumpa lagi



Jumaat, 18 Mac 2011

Apa bezanya?

Seorang rakan bertanya:


Apakah perbezaannya?


Belajar sampai ambil ujian dengan belajar sampai lulus ujian.


Yurannya juga berbeza.




Rabu, 16 Mac 2011

Surat cinta kepada anak-anak.

Kepada anak-anak ibu tersayang,


Aduhaii... cuti sekolah je mesti jenjalan ke?  Wahai anak-anak ibu sayang, mestikah setiap kali adanya cuti sekolah kita mesti jalan-jalan makan angin, jalan-jalan cari makan dan jalan-jalan cari masalah.


Wah... jalan-jalan cari angin takyah lah kot, kat rumah kita pun dah banyak angin, kat luar rumah angin sentiasa banyak, kan rumah kita atas bukit, mengadap ke sawah,. banyak sangat angin setiap hari dari pagi membawa ke petang.. angin bertiup memanjang, kekadang angin ribut pun ada, lagi kuat deru anginnya.

Kat dalam rumah pun ada angin, setiap ruang dan bilik ada kipas angin.  Kan kipas angin kat rumah kita ni 24jam non-stop, selagi ibu tak bising selagi tu kipas tu berpusingkan... walaupun sorang umat takde kat situ. berpusing jugak... sentiasa berangin, takkan tak cukup angin lagi.  Makanlah puas-puas angin tu wahai anak ibu, takyah keluar ye!


Jalan-jalan cari makan... itu pun tak payah jugaklah, ibukan rajin masak, hari-hari ibu masak, ibu tahulah pepagi ibu masak air je sebab setiap pagi ibu pergi joging,  ibu tak sempat buat sarapan, tapi ibu beli, lagi best kan, anak-anak ibu order saja ibu pasti beli... kalian minta roti canai, nasi lemak, mee kari, mee rebus, minta itu ini kan ibu belikan, kan untung tu, kalau ibu buat sendiri, ibu buat cekodok je..... tak pun lempeng bodoh tu.


Makan tengahari kan ibu masak sendiri.  Hari-hari ibu masak. Makan malam pun sama.  Alaa.. ibu tau tu, kalau kat rumah ibu hanya benarkan minum air kosong waktu makan, bila kat luar kalian lepas dendam kan, macam-macam kaler dan pesen air yang anak-anak ibu pesan... air laicila, air orenla, air batu campurla, air karotla, air kaler hijau, kaler biru , pendeknya macam-macamlah permintaan kalian kan... yang semuanya manis dan berais, ibu tahu sebab masa tu ibu kena jaga 'ayu' ibu, takkan nak marah-marah pulak kat kedai tu kan... ibu tahu trik anak-anak ibu tu, kan ibu yang mengandungkan kalian selama 9 bulan 10 hari tu..  hahaha tapi sesekali kena jeling jugak kan!


Haa.. jalan-jalan cari masalah ni pulak, ni khas untuk abah dan ibu lah tu.  kalau kita jalan-jalan, abah dan ibu mestilah cari masalah, masalah duit la tu..., cuti ni kan tengah bulan, duit tol lagi, duit minyak lagi, duit makan lagi dan duit-duit untuk yang pekenan d hati lagi. 


Wah... banyak tu.  Kang kalau ada yang ibu pekenan di mata dan hati, takkan ibu nak pandang je, kempunan lak nanti. Tu belum yang anak-anak ibu pekenan tu, hishh.. memang tak boleh pergi bercuti time ni, sabar  ye sayang-sayang semua.  Cuti bulan Jun ada lagi, bulan September ada lagi... eh raya kan time tu, dan cuti hujung tahun pun ada lagi.. insyaallah doakan abah dan ibu sihat saja.


Ada duit tu, tapi kita kena juga fikir hal lain kan.   Hujung minggu ni kita semua nak ke Mersing lagi kan.  Kita cuti-cuti ke sana saje lah setahun dua ni,, ... dua minggu sekali tu. 



Petang ni kita balik rumah atuk dan uwan sajalah ye, kita bercuti kat sana, kita ambil pakej dua hari satu malam, kalau nak sambung pun boleh juga.... penginapan atuk dan uwan tanggung, makanan ibu dan abah suport sama, ni lagi bagus, lengkap dengan pakej mengeratkan silaturrahim dan kasih sayang, nanti semua adik-beradik abah pun balik, semua sepupu kalian pun ada sama... lagi meriah kan.  Family gathering kat rumah pusaka uwan., mesti seronok tu..


Bolehkan anak-anak ibu sayang.... Along, Intan ,Adik.

Adik dan Intan, kerja sekolah dah siap lom.  Buat Along selamat menjalani ujian memandu, semoga lulus dengan cemerlangnya, Jangan kantoi bukit tau, macam ibu dulu kena repeat semula.


//kalau dah bercuti di kampung mertua, maka bercuti jugalah dari berblog. .. ada talian talipon je tiada talian internet.



Isnin, 14 Mac 2011

Ada wang banyak pun tak guna..


Pagi tadi selepas joging, sempat join sekumpulan nyonya dan apek membuat senaman tai-chi.  Rasa seronok dan lega  pula selepas mengikuti langkahnya yang teratur dan gemalai itu.  Walaupun sekadar mengikut secara suka-suka dibarisan belakang, namun kerana gerak langkahnya diulang-ulang dan secara slow motion pula, kami dapat mengikutinya dengan baik.  Siap dengan iringan muzik lagi.


Sememangnya setiap pagi sekumpulan wanita dan lelaki bangsa cina, selalu bersenam tai-chi di taman itu. Rata-rata adalah warga emas atau bakal meniti usia emas.  Berdasarkan pemerhatian sejak berjoging di kawasan ini, warga emas kaum cina memang mengambil berat soal penjagaan kesihatan mereka. Mereka datang seawal pukul 6 setengah pagi untuk memulakan aktiviti riadah di situ.  Ada yang selepas ber'tai-chi menyambung aktiviti berjalan kaki pula.


Selepas mereka ber'tai-chi tadi, sempat duduk berborak dengan seorang apek tua. Pada mulanya Apek itu berlagak sombong sedikit, atau mungkin ia terganggu sebab kami asyik memerhatikannya.  Namun bila dah bertegur sapa, Apek itu menjadi mesra pula.  Umurnya pada tahun ini ialah 76 tahun.  Katanya dia mengamalkan senaman tai-chi ini 'sulah leebih lua puluh tahun'.  Sebab awalnya kerana dia mengalami sakit lutut...'haiya dulu ini lutut manyak sakit oooo' katanya sambil mencucuk2 lututnya dengan jari..'sekarang sudah baik' katanya.

'Ada wang banyak pun talak guna ..... badan  sihat lagi penting looo' kata Apek sebelum balik.


Sepasang warga emas cina yang sedang berjalan kaki menaiki bukit untuk ke puncak.  Sentiasa berpegangan tangan sambil berbual-bual.  Sungguh romantik, sambil bersenam sambil mengeratkan lagi kasih sayang. 


Alangkah bertuahnya kalau dapat begitu!




Ahad, 13 Mac 2011

Lempeng kosong vs ikan pekasam goreng berlada.

Pagi tadi cuti masak, sekeluarga ke majlis perkahwinan anak sulung jiran.  Makan nasi minyak. Pukul 12 setengah sudah makan.

Selamat pengantin baru kepada Fara dan suaminya Khairy. Tema majlisnya hijau dan putih.  Sungguh manis dan ayu sekali Fara sebagai raja sehari hari ini.

Fara juga merupakan bekas anak murid, semasa bersalaman mengucapkan tahniah kepadanya,

'cikgu, doakan Fara bahagia ye' katanya lembut.

'juga doakan Fara menjadi isteri yang solehah' sambungnya lagi.

Baru sangat lagi rasanya mengajar dia, sekarang sudah pun menjadi isteri orang.  Semoga Fara bahagia dan sejahtera dalam melayari alam perkahwinannya.  Tahniah Fara dan Khairy.


Menjelang petang seisi rumah sudah kelaparan semula. Selain mee goreng, buat juga lempeng kosong.  Lempeng bodoh  saja.  Ada yang cecah dengan sos cili, gula dan ada juga dengan ikan pekasam goreng berlada.  Sekejapan licin sekali hadap.


Makan malam ni, menu sendiri-sendiri saja.  Nasi sudah masak.  Memasing kata masih kenyang.  Jadi sapa yang nak makan nanti, pandai-pandailah ... yang penting stok telur dan kicap ada dalam simpanan..  Untuk abahintan pula, kalau ada ikan pekasam goreng berlada lauk lain tolak tepi.


Sabtu, 12 Mac 2011

Kambing memanglah takde akal,........... tuannya?

Pagi tadi sampai saja di halaman rumah dari berjoging, turun saja dari kete, hati pun panas, membuak suhu  ke takat suhu didih.  Satu rumah kena jerit.......


'Sapa tak tutup pintu pagar'

'Sapa yang biarkan kambing masuk'

Maka satu isi rumah kena dengar ibu rumah naik sawan .... abahintan, along dan azim, nasib kalian lah... Intan selamat sebab ikut ibunya pergi joging.

Memang naik sawan plus meroyan takat suhu didih betul pagi tadi.


Bukan sepasu, tapi lima pasu pokok orkid gondol dibaham si kambing durjana.  Kesemua  orkid itu  sudah galak mengeluarkan bunga , memang rasa sakit hati betul jadinya.  Kenyang juga kambing tu kena sumpah seranah.  Kalau pokok bunga yang lain masih boleh bersabar lagi, tapi kalau melibatkan orkid memang nahas kambing tu.


Kambing ni jiran sekampung yang punya.  Setiap hari dilepaskan bebas di sekitar kampung untuk mencari makanan sendiri.  Banyak lagi rumput dan semak kat luar kenapalah dalam kampung orang juga yang disukainya.  Tu lahkan.. namanya pun kambing.  Ado otak takdo akal.  Tapi tuannya yang ada otak dan akal tu pikirlah sedikit kan..  Jangan main lepas saja kambing tu. 


Memang kawasan keliling rumah ini berpagar, namun rumah orang kampung, manalah ada pagar otomatik ni, bukak sendiri kemudian pandai-pandailah tutup semula.  Ini ada yang rajin buka tapi malas tutup.  Kambing ni pulak pantang lepa sikit, pantang nampak pintu pagar menganga, memang menerjahlah masuk.  Ha... konyang kau kono sumpah hari ni Bing..  Kalau masih ada lagi tadi, rasanya  ada yang patah kaki kambing tu.

Tiga orang isi rumah yang ada di rumah pagi tadi, mengunci mulut, tak sorang pun ngaku dan tak sorang pun ambil pot,.... ibu rumah pot pet je sensorang.  Nasiblah... mereka dah lali kalau bab orkid di usik kambing ni.


//sampai ke petang didihnya masih ada setiap kali terlihat pasu orkid yang dah gondol, nasib baik ada penyejuknya bila beberapa orkid yang lain mengeluarkan kembang yang baru. 



Khamis, 10 Mac 2011

Kerna terpaksa, aku rela berkorban..

Kerna terpaksa, aku rela berkorban... wah.. tajuk, macam tak cayo.. itulah antara senikata lagu yang pernah hafal di kala muda remaja dulu.  Tak tahulah ada sabit menyabit tak dengan cerita kehidupan kali ini .. Nasibla yoo..

Sibuknya dua tiga hari ni.  Macam-macam hal pun ada.  Di sekolah minggu ni minggu ujian, jadi selepas ujian sibuk menanda kertas dan melengkapkan markah murid-murid,  Mengikut kehendak hati ini maunya cuti minggu depan semua kerja dah beres dan semua murid sudah dapat kad kemajuan masing-masing sebelum bercuti. 

Sejak semalam juga sibuk menjahit dan menyiapkan dua pasang baju kurung rakan, Kak Norma meminta sesangat ibuintan jahitkan dua pasang baju kurung untuknya.  Baju kurung yang mahu dipakainya ke majlis perkahwinan anak sedaranya dan anak seorang rakan baiknya pada hari Sabtu dan Ahad hujung minggu ini.  MInta tolong sangat-sangat katanya.  Kak Norma ni pun satu, kalau dah nak melaram dengan baju baru kenapalah minta jahitkan last minit camni.

"Akak nak kau jahitkan  jugak, mesti siap Jumaat ni' ... amboi kak paksa tu'...'Siapkan dua pasang je dulu, yang lagi kemudian takpe'  .. Katanya semasa menghantar kain-kainnya ke rumah petang Isnin lepas.  Aduh... tensen jadinya.  Dahlah sekarang ni hantu malas menjahit makin menjadi-jadi.  Baju sendiri pun dah berbulan tak berjahit.  Kainnya dah beli bulan Disember lagi tapi sampai sekarang pun masih dalam beg plastik lagi, tak keluar pun lagi.  Alahaii Kak Norma... kejamnya kau.

Beri alasan sudah tidak menjahit sekarang ni tetap tidak dilayannya. Mesti jahit jugak,  jadi nak tak nak malam tu juga ibuintan menggunting kainnya.  Kesianlah pulak... 'akak pun nak melaram juga' katanya. Tak kalah nak melaram ngan pengantin. Ibuintan   memang dah lama menjadi tukang jahit untuk baju-baju kurungnya, kalau tak silap sejak berkawan dan menjadi rakan sekerjanya kira-kira sembilan tahun yang lalu.  Sekali hantar biasanya untuk lima enam pasang baju.  Beliau sekarang telah berpindah ke sekolah lain di Seremban, namun masih kekal meminta ibuintan menjahitkan baju kurungnya. Mungkin dah serasi agaknya.

Tu yang menjadi faktor terpaksa menunaikan juga permintaannya, kalau sebelum ini dia memang tak kisah bila-bila pun siapnya sebab dia tahu tukang jahit 'pat time'nya ni dah malas tahap dewa-dewi bab jahit menjahit ni.... memang sekarang dah tutup bisnes jahit menjahit ni, selain perlu masa dan tumpuan, mata juga  menjadi faktor penyebabnya.  Mata ibuintan sekarang cepat sangat letihnya bila mengadap kerja-kerja rumit begini, walaupun dah bermata empat tetapi bila terlalu merenung lama-lama kepala juga menjadi sakit.


Menjahit juga sekadar hobi sebenarnya.  Ibuintan tidak mahu hobi tu menjadi beban pula.  Hobi biarlah untuk mereleskan tensen kan,   Awalnya dulu menerima tempahan pun atas pujukan rakan dan memang ibuintan pun hanya menjahit baju untuk rakan saja, tidak buka tempahan kepada orang lain.  Menjahit suatu kerja yang perlu tumpuan dan ketelitian, dan itu dah kurang sangat dalam diri ini sekarang.  Sekarang lebih untuk menjahit baju sendiri dan baju Intan shaja.  Untuk pakai sendiri saja.  Kalau sebelum ini sepasng baju boleh siap dalam masa sehari, sekarang seminggu pun belum pasti.


Sekarang hobi dan aktiviti lebih  banyak terarah kepada yang lebih merehatkan minda, jiwa dan kesihatan. Menjaga orkid yang lebih menenangkan serta berjoging samada waktu pagi atau petang untuk menjaga tahap kesihatan.  Mahu kekal sihat dan bertenaga supaya dapat menunaikan kewajipan dengan sempurna.


//menjahit juga menyekat hobi untuk belayar ke rumah kengkawan di lautan maya ini...  itu memang sah, buktinya dah dua hari tak berbw sebab ngadap jarum dan benang..


Rabu, 9 Mac 2011

Pemburu haram yang wangi, tewas akhirnya.

Keeooooooooook.

Keeooooooooook.

Keeooooooooook.

Pung pang pung pang... riuh rendah bunyi dari arah reban ayam kecil di tepi pagar belakang rumah.  Abahintan yang sedang menonton Tv bingkas bangun, capai lampu suluh serta parang panjang serta lastik.

Keeooooooooook.... yang keempat terus senyap.

Tiga malam sudah juga begitu, tapi disebabkan hujan masih belum teduh biarkan saja keooooookan ayam senyap dengan sendirinya.. Pagi esoknya bila dijengah, tinggal bulu-bulu yang bertebaran di dalam reban.

.

Si merah telah tiada.  Hanya bulu-bulu merah yang tinggal dengan ciapan lima ekor anak yang baru dua hari menetas.  ...DI SINI 


Malam ini pula,   kira-kira sejam selepas hujan berhenti.  Keooooooookan bergema lagi.  Abahintan dengan ditemani Along sebagai juru suluh bergegas ke reban kecil di belakang rumah.  Keooooookan telah berhenti sebaik kedua beranak sampai.  Sesampai saja di luar reban dan dalam cahaya  lampu suluh, kelibat sipemburu haram sedang berusaha menundukkan si putih, siputih telah terkulai layu. 

Seekor lagi ayam belaan abahintan tewas ditangan pemburu haram.  Pemburu haram yang masuk ke dalam reban dengan cara mengoyakkan jaring akhirnya tergamam dengan cahaya lampu suluh.  SiPutih dilepaskan dari cengkaman dan pemburu haram cuba melepaskan dirinya, namun dalam kekalutan pemburu haram tidak berjumpa jalan keluar.  Gagal meloboskan diri untuk keluar.

Abahintan dari luar berusaha keras pula untuk menewaskan sipemburu haram.  Dengan bersenjatakan lastik dan beberapa butir peluru batu, pemburu haram akhirnya kelemahan dan peluru  batu terakhir mengena tepat ke kepalanya. Pemburu haram terus rebah, dan akhirnya tewas.

Petang semalam jiran sebelah rumah juga mengadu perkara yang sama, seekor ayam belaannya juga telah hilang.  Yang tinggal hanya bulu-bulu ayam berserakkan di dalam reban.  Mungkin juga hasil onar pemburu haram yang sama.

Habis sudah dua ekor ayam betina belaan yang masih tinggal dari saki baki penyakit sampar sebelum ini.  Yang tinggal kini lima ekor anak ayam si merah yang baru beberapa hari menetas dan kini menjadi yatim piatu.  Ayam putih pula meninggalkan enam biji telur yang sedang dieramkannya.  Hasilnya nanti tentu akan menjadi telur tembelang.


Disebabkan semangat berkobar ibuintan hendak melihat sipemburu haram, maka abahintan membawanya ke beranda di tepi rumah.  Azim yang sedang belajar dibilik sebelah beranda, keluar menegur, 'ibu rebus ketupat ke'

Ibuintan pun  menjadi heran juga, tiba-tiba kawasan rumah semerbak dengan bau pandan yang amat wangi,  sewangi ketika kita merebus ketupat segera.  Patut juga azim bertanya begitu. 

'Bang, kenapa wangi sangat ni, macam bau pandan'.

'Benda ni lah' tunjuk abahintan.

Seakan kucing, namun inilah rupanya si pemburu haram itu.  Seekor musang yang dikenali sebagai musang pandan atau musang pulut.  Bermuncung panjang, gigi yang tajam serta ekor yang panjang. Memang wangi, se wangi pandan.

Timbul juga kasihan melihatnya apatah lagi sangat mirip dengan seekor kucing, tapi mengenangkan ianya telah mejadi musuh kepada orang kampong di sini, maka elok rasanya ia tewas malam ini.  Rasanya telah beberapa ekor juga ayam belaan abahintan yang telah menjadi habuannya.  Banyak juga anak-anak ayam yang hilang begitu saja selama ini tanpa meninggalkan kesan atau bangkai.

Moga anak ayam lima ekor yang kini kehilangan ibu dapat membesar dengan baik dan tidak menjadikan reban kecil di belakang rumah sepi tanpa penghuni. Sayang juga melihat lebihan nasi terbuang begitu saja jika tiada ayam


//seekor ayam kampung di kampung harganya RM18 seekor

Isnin, 7 Mac 2011

Janganlah berlagak sombong.

 Kepada hamba Allah itu



Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang yang sombong, keras kepala dan takbur, akan dikumpulkan pada hari kiamat, dalam bentuk semut yang kecil, yang dipijak mereka oleh manusia, kerana hinanya mereka pada Allah.” (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari Abu Hurairah)


//berkata nanti dikata mengata, bercerita nanti dikata mengumpat



Ahad, 6 Mac 2011

Kak Pah Give Away

Sempena menyambut enibesari yang ke 32, enibesari perkahwinan Kak Pah dengan Ce Abang tersayangnya. Wow.. 32 tahun tu, 
    Bride And Groom       
kahwin pada  25.2.1979   dan kekal bahagia 
sehingga 25.2.2011 dan moga seterusnya hingga hujung nyawa.

Cinta dan kasih yang bersulam selama 32 tahun yang pastinya ada pasang surut dan banjir serta kemaraunya, diharap berkekalan dan sentiasa ceria bahagia bersama anak-anak tercinta, menantu tersayang serta cucu-cucu  penyambung warisan.

                                       Alaaa Kak Pah malu-malu lah pulak!!

Bersempena enibesari yang dah melepasi tahap Perak ini, maka Kak Pah dengan riang rianya telah menganjurkan satu Give Away.   Cenderahatinya lumayan you......  kok dapek musti sonyum nampak  gusi ni.....

Jeng,......... Jeng ................ Jeng..           Jom Kita lihat syarat dan termanya:

Syaratnya mudah:
1.  Buat satu entry mengenai GA ini.

  Buek dah Kak Pah... merapu sikit yo, hari ni ado maso lobih sikit nak duduk lelamo dopan pc ni..

2.  Copy gambar di atas dan letak di sidebar anda selama GA ini berlangsung. (Kalau tak letak,    penyertaan anda terbatal)
  Okey... bisa di atur... beressss

3.  Tag tiga orang kawan anda.
   Errrr... esey tag  ....... S.U.D. @ I. S
                                    White Rose
                                    Ayu  Citarasa Rinduan

4.  Tinggalkan link anda di dalam kotak komen untuk kakpah datang melawat.
    Okey.... no hal

5.  Terbuka kepada sesiapa sahaja yang datang menjenguk di sini... (ke blog Kak Pah la tu).


Ni nak  nayang hadiah nya pulak.


Kan dah kata.... 

Tarikh tutup GA adalah pada 12 Mac 2011 - ado seminggu lae

Sabtu, 5 Mac 2011

Alahai .. dah basi, kenapa masih dijual?

Sabtu pagi...Pagi tadi bersama seorang rakan dan Azim, kami berjoging di tempat biasa di Jalan Bukit .  Misi hari ini mesti sampai ke puncak bukit. Kalau hari-hari biasa kami pergi di sebelah petang, kami tidak menghabiskan pendakian hingga ke puncak bukit.  Jalannya agak tegak dan amat memenatkan.

Syukur, melihat Azim yang sungguh bertenaga lari turun naik jalan ke puncak yang agak tegak tanpa melihat dia tercunggap-cunggap, hati ibunya berbunga riang.  Tampak seolah-olah Azim telah sembuh dari asma yang dihidapinya sebelum ini.  Dia juga yang memberi kami semangat untuk sama sampai ke puncak pagi tadi.  'Adik dah sampai sini tiga kali' katanya.   Jalan bukit ini menghala ke puncak yang menempatkan tiga menara telekomunikasi.


Setelah turun semula dan membuat beberapa aktiviti senaman ringan yang disediakan di taman, Azim mengadu lapar.  Memang sebelum joging kami tidak menjamah makanan hanya minum segelas air kosong saja.  Kami bertiga terus berjalan ke tapak pasar tani yang terletak di kaki bukit. Azim meminta air soya serta sebungkus nasi lemak, sementara ibuintan membeli kuih lepat ubi, kuih bingka  dan sebungkus rendang ayam sementara rakan ibuintan membeli kuih dan air soya.

Kemudian kami berjalan ke taman semula dan makan di wakaf yang di sediakan.  Mengenangkan Azim makan nasi lemak, maka ibuintan membeli sebungkus rendang yang berharga RM2.00., adalah dalam lima ketul daging ayam yang dipotong kecil-kecil.  Rendang itu memang telah siap sedia dibungkus dalam plastik. Bila dibuka saja terbau satu bau yang kurang enak, bau basi, dan bila dipegang daging ayam itu telah berlendir.

 Ya Allah... spontan ibuintan baling ke dalam tong sampah berhampiran.  Nasi lemak dan rendang itu dibeli daripada seorang kakak yang sedap dipandang mata, nasi lemaknya tiada masalah walaupun nasinya hanya dua kali suap Azim saja, takpelah harga barang dah naik.  Yang dikesalkan mengapakah kakak itu sanggup menjual rendang yang telah basi sebegitu, rasanya semasa dia membungkus pun rendang itu memang telah sedia basi.  Dah berlendir.  Tak tahulah berapa orang yang telah membelinya dan telah tertipu begitu.


Memanglah RM2 tu tak banyak mana, tapi itu tetap duit hasil jualan barang yang telah rosak dan tidak boleh dimakan.  Kalau ikutkan hati boleh saja tadi ibuintan pergi semula ke kakak itu dan memulangkan semula rendangnya yang telah basi, tapi tak sampai hati pula, takut kecoh jadinya.  Maklumlah dia sedang berjualan ketika itu, takut terganggu pula barang jualannya yang lain.  Kakak itu menjual nasi lemak, rendang, lemang serta beberapa jenis kuih-muih.  Selepas ini, sah kakak itu akan diblekliskan, tiada lagi urusan jual beli dengannya.  Ini juga merupakan urusniaga pertama dan terakhir dengannya

Perasan juga semasa membeli, barang jualannya telah banyak yang terjual, sebab ketika itu sudah pukul 10.  Cuba bayangkan kalau ada sepuluh orang yang telah membeli rendang jualannya, mesti mereka juga rasa kecewa sepertimana yang ibuintan rasa.  Dan yang ibuintan rasa tidak sedap hati juga,  seorang nyonya juga membeli rendang yang sama . Apalah tanggapan nyonya itu agaknya, bila rendang yang dibelinya telah basi dan tidak boleh dimakan lagi.  Kalau tak silap nyonya itu membeli tiga ketul lemang dan sebungkus rendang... makan lemang je lah nyonya tu tanpa rendangnya kecualilah nyonya itu lalu nak menelan rendang yang dah berlendir tu....aya nyonya., nasib kita sama loo ini hali.    Memalukan sungguh.

Aya boleh kaya kah ini macam... dahlah berjualan secara kecil-kecilan tapi kualiti barang tak dijaga.  Ini mau untung ka mau rugi maaa......... Kalau dah tahu barang tu rosak, buanglah, biarlah rugi sikit asal rezeki dan duit yang kita dapat tu berkat.

//macam manalah bisnes nak maju kalau tidak jujur