Followers

Khamis, 26 Ogos 2010

Terpaksa rehat

Selamat berpuasa hari ke 16.
Sejak malam semalam tiada aktiviti buka blog dan baca blog, blog sendiri maupun blog sahabat-sahabat lain. Sudah tertulis barangkali (adakah gitu) laptop yang dah digunakan selama 3 tahun, malam kelmarin terus terpadam, skrin gelap hitam, tiada sebarang cahaya,   Bila 'on' hanya ada bunyi desir angin saja, skrin gelap hitam. Pagi semalam cuba bertanya pada teknisyen makmal komputer, katanya skrin terbakar.

Tanya teknisyen kedai tempat laptop dibeli dulu, katanya hanya boleh di repair di pusat servis.  Kosnya pula dalam anggaran RM800, wah ...banyak tu, knapalah tak terbakar selepas hari raya saja.(seeloknya jgn terbakar), mana nak belanja raya lagi.

Balik rumah pikir dan bincang, rasanya lebih baik beli baru dari repair, kalau repair pun tak jamin juga.  Tapi bila nak beli?,... lain sangat rasanya, walaupun masih sibuk dengan jahitan baju kurung tapi nak juga berinternet, buka fb, buka blog, berinteraksi dengan dunia luar.

Azim dan Intan suruh beli komputer semula sebab komputer pun dah lama dihantar ke pusat recycle. Pening... semua dokumen berkaitan tugas ada dalam laptop tu. 

p/s; selain repair ada tak cara macam mana nak keluarkan semula semua dokumen yang ada dalam laptop itu.
p/ss; semasa di sekolah boleh menumpang gunakan komputer di makmal komputer sekolah, kalau cuti macam mana lak........huhuhu

Selasa, 24 Ogos 2010

Cicak oh cicak.

Ahhhhhh..tensen je. Asyik-asyik nampak cicak. Kenapalah  cicak bertandang ke rumah ni.  Pandang dinding nampak cicak, pandang ceiling pun nampak cicak. Dah banyak juga yang dah terjun dilastik dengan getah tapi masih juga wujud cicak-cicak di rumah ni. Nak kata makanannya banyak, tak juga, mana ada serangga dalam rumah ni,.

Tidak tahulah dari mana datangnya. Di ruang tamu ada, di dinding dapur ada, masuk ke dalam bilik pun ada. Dah disembur dah dilastik pun masih ada.  Kata orang tua-tua, sembur dengan air lada, dah buat juga, hilang sekejap, kemudian timbul semula.  Nampak macam berkesan bila disembur dengan air lada tapi masalahnya dinding jadi comot pula.

Yang tidak tahannya bila melihat tahinya yang hitam putih tu, berderet di tepi bendul lantai.  Juga beratur di bingkai tingkap. Sakit mata, sakit hati.  Bila hari siang tidak jumpa pulak di mana 'pot' cicak ni lepak, malam hari je mulalah sekor-sekor keluar tunjuk muka.  Kekadang 'berketak-ketik' pula menyanyi nyanyi riang

 Abahintan suka melastik cicak-cicak ni. Katanya cicak elok dibunuh.

Dipetik dari KITAB NAILUL AUTHAR Himpunan Hadith-Hadith Hukum Jilid 6:

i. dari Sa’id bin Abi Waqqash: Sesungguhnya Nabi saw menyuruh membunuh cicak dan ia menyebutnya binatang kecil penyeleweng (HR Ahmad dan Muslim).

ii. Dari Ummu Syarik ra: sesungguhnya Nabi saw menyuruh membunuh cicak-cicak (HR Ahmad, Bukhari dan Muslim)

iii. Bukhari menambah: Nabi saw bersabda: dan cicak itu pernah meniup (api yang membakar) Nabi Ibrahim as

iv. Dari Abi Hurairah ra, ia berkata: Rasulullah saw bersabda: “ Siapa yang membunuh cicak pada pukulannya yang pertama ditulis seratus kebaikan sedang pada pukulan yang kedua dan yang ketiga kurang dari itu. “ (HR Ahmad dan Muslim) - kredit kepada http://www.mesra.net/forum/lofiversion/index.php/t69275.html


//apakah cara yang paling baik untuk menghapuskan cicak dari kediaman kita?

Ahad, 22 Ogos 2010

Janda Pulang

Salam Ramadhan ke 12.  Petang semalam balik ke rumah mak mertua. Berbuka bersama mak dan abah mertua, turut bersama balik berbuka ialah dua keluarga adik ipar.  Sampai lewat sebab tunggu Along balik dari asrama, Along sampai dalam pukul 5 petang.  Adik ipar menyembelih tiga ekor ayam kampug.

Pagi tadi balik ke rumah semula. Semasa di rumah mak mertua, terlupa minta abaintan kaitkan buah kelapa.   Terasa ingin pula minum air kelapa muda.  Ibuintan tidak suka air kelapa yang dibeli di gerai sebab terlalu manis (ditambah gula), terlalu banyak ais batu dan juga isinya yang sudah mengeras.  Suka isi kelapa yang masih lembut.

Sampai dirumah pagi tadi, menyuarakan keinginan kepada abahintan.  'La tadi kat rumah mak, knapa tak cakap' katanya, sebab di rumah mak banyak pokok kelapa. 'Lupa' itu saja jawapannya.

Minta abahintan ambil kelapa di tepi sawah di hadapan rumah. Ada tiga batang pokok kelapa di tepi sawah tu, di tanam oleh arwah abah dulu.
Sawah padi yang terdapat dihadapan rumah.  Ibuintan hanya tuan tanah kepada dua ekar sawah saja, yang lain jiran-jiran yang punya. Yang mengusahakan sawah pula bukan orang kampung sini tapi En. Munir orang Tanjung Karang.  Orang sini termasuk tuan tanah ni jadi 'tokey', makan duit sewa yang tak seberapa tu.  Takpelah asalkan tanah sawah tu tak  menjadi hutan dara pula.  Setahun dua musim, jadi dapatlah dua kali duit sewa tanah sawah tu. Dapatlah duit sewa tu untuk beli beras pula.
Inilah pokok kelapa tu. La dah tinggi rupanya. Rumah ibuintan atas bukit, pokok kelapa ni tepi sawah di kaki bukit, bila pandang dari halaman rumah nampak rendah saja.  Dah tu ada tinggal setandan saja, dibawah pokok ada sebatang galah, tak pernah pula abahintan ambil buah kelapa ni, sapelah yang ngambil tu, musykil juga.
 Nampak rendah saja dari halaman rumah ibuintan.  Cuba kait dengan galah/buluh yang sedia ada di bawah pokok kelapa.  Dapat dua biji, tapi sebiji jatuh ke tanah terus pecah. kering airnya.


Dapat sejug kecil. Air kelapa muda @ air janda pulang.  Tak tahulah kenapa orang lama-lama ni panggil air janda pulang.  Pulang ke mana pun ...entahlah!  Lupa nak tanya mak-mak janda, diorang pergi mana dan nak pulang ke mana.   Ada juga yang mencampurkan sedikit gula anau. 

Sabtu, 21 Ogos 2010

Serabai - ingatan kepada abah.

                    (gambar kuih serabai ini diambil di Pesta Adat Persukuan)

Serabai.  Nama kuih.  Semasa kecil selalu makan kuih ini, boleh dikatakan setiap waktu berbuka pasti ada sekeping.  Kuih ni adalah kegemaran abah (arwah)  Setiap petang seorang rakan abah yang tinggal di Tanjung Ipoh pasti membuat kuih ini..  Kalau tak silap namanya Pakcik Bakar. Juga telah meninggal dunia.  Rasanya mereka berdua berkawan baik

Pakcik Bakar memang pandai membuat kuih serabai ni.  Sekarang rasanya tidak ada  yang pandai membuat kuih serabai ni, sebab tiada yang berjual di gerai Ramadhan.  Setiap petang, kalau tidak abah yang pergi mengambil kerumahnya, dia yang akan datang menghantar ke rumah. Datang dengan mengayuh basikalnya.

Ingat lagi bentuknya yang bulat dan sebesar sekeping pinggan makan.  Berwarna putih dan bila dipotong akan kelihatan jelas isinya yang bersawang dan berlubang-lubang macam sarang lebah.  Makan dengan kuah santan bergula.  Kadang-kadang kalau musim durian kuah gula ini dibubuh dengan isi durian. Serabai yang tawar di makan dengan kuah gula memang sedap.

Abah akan makan kuih serabai ni selepas balik dari solat tarawih di masjid.  Abah boleh menghabiskan sekeping kuih tu sekali makan.  Memang kegemarannya.  Ibuintan dan  mak hanya makan seketul dua saja semasa berbuka. Yang selebihnya akan dihabiskan oleh abah.  Setiap hari sepanjang bulan Ramadhan dan disetiap tahun, inilah kuih wajib abah.  Abah tidak pernah jemu memakannya.

Ibuintan ada juga meminta abahintan menjenguk gerai Ramadhan disekitar sini.  Tiada yang berjualan kuih serabai.  Ibuintan memang tidak tahu membuatnya.  Makan saja.  Teringat semula kuih ini dan teringin pula hendak memberi anak merasanya.  Rasanya selepas ketiadaan abah (meninggal 1997) tiada lagi kuih serabai diwaktu berbuka.  Kerinduan kepada abah dan kenangan kuih serabai mengimbau kembali di bulan ramadhan ini.

Selamat berpuasa hari ke 11.

Jumaat, 20 Ogos 2010

Al-fatihah buat seorang sahabat.

Salam gang MPIP.... Di maklumkan bahawa Termizi bin Mohd. Tahir (Unit D8) telah kembali ke rahmatullah pada pukul 10:30 malam tadi (18/08/2010)... Jenazah akan dikebumikan di kampong halamannya di Parit, Perak pada hari esok.... semoga RohNya dicucuri rahmat dan semoga ditempatkan bersama2 orang yang beriman... Al-Fatihah - mesej yang tertulis di wall fb ibuintan

Tengah hari semalam buka fb, tersentak dan terkedu seketika. Rakan sekuliah 25 tahun yang lalu, yang baru dapat dijejak semula melalui fb telah dikhabarkan meninggal dunia malam tadi. Berita dikhabarkan oleh rakan seunit yang sama. Kami mula dapat menjejak semula rakan-rakan sekuliah sejak awal tahun ini.

Menurut rakan, arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10.30 malam semalam setelah muntah-muntah selepas berbuka puasa. Menurut rakan juga, arwah mendapat serangan jantung. Arwah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Semoga keluarga arwah menghadapi ujian ini dengan tabah

.Ibuintan pernah berborak di fb dan arwah amat gembira dengan pertemua semula ini. Arwah juga telah merancangkan satu pertemuan semula (reunion) yang dijangka akan diadakan selepas hari raya nanti. Pertemuan semula yang dijangka berlangsung di Ipoh. Nampaknya hajat arwah tidak kesampaian, begitu juga dengan kami yang lain.  Rasanya pertemuan itu akan ditangguhkan dahulu.

Khabarnya jenazah arwah telah selamat dikebumikan pagi semalam. Semoga rohnya dicucuri rahmat, pemergian di bulan yang mulia dan di kubur juga pada malam yang mulia...semoga ditempatkan dikalangan para syuhada...Al-fatihah..Amin

.//ingat lagi pesanannya semasa kami berborak difb :  meminta ibuintan sentiasa berlapang dada menghadapi apa juga masalah kerana disebalik setiap sesuatu tu ada hikmah yang tersembunyi..

Rabu, 18 Ogos 2010

Singgang ikan.


Petang semalam abahintan masuk dapur.  Abahintan masak sup cendawan dan mee rebus. Boleh tahan juga abahintan masak, sekali makan berbuka habis mee rebus semangkuk besar.  Sup cendawan pun begitu juga, tidak berbaki.  Abahintan memang peminat sup dan masakan jenis rebus, tidak berapa suka lauk yang bersantan dan berlemak.

Kalau abahintan masuk dapur biasanya memang masakan berasaskan air lah yang bakal dihidangkan, mesti buat sup tak pun rebus bodoh saja.  Memang berselera dia makan, tambahan sekarang baru sembuh dari demam.

Ibuintan pula tetap juga masuk dapur, petang semalam  masak sambal sotong.  Sambal sotong  disimpan untuk makan waktu bersahur.  Sudah kenyang makan mee rebus  dan menghirup sup cendawan.

Untuk makan sahur tadi, sebagai penambah lauk, ibuintan masak singgang ikan parang.  Singgang ikan ini ibuintan tambah sedikit tempoyak supaya hilang bau ikannya.  Serai tiada dalam simpanan, di belakang rumah adalah.  Takkan nak keluar pukul 4.30 pagi ambil serai. Tak sanggup dengan keadaan yang masih gelap lagi.

Jadi singgang ikan parang campur tempoyak dan asam gelugur (asam keping) sahaja. Masak sepotong saja, dibelah dua.  Dengan rasa pedas dan sedkit masam, berselera jugalah kami tiga beranak makan.

Azim hanya makan sedikit nasi dengan sambal sotong.  Selepas makan nasi, dia sambung makan koko krunch pula, dia kurang berselera makan nasi diwaktu sahur.

Isnin, 16 Ogos 2010

Kempen Kibar Jalur Gemilang 2010

14 hari lagi menjelang ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 53.  Selalunya setiap tahun ibuintan kibar bendera Jalur Gemilang di hadapan rumah takpun letak di kereta. Tetapi tahun ini, di kereta juga tidak diletakkan sebab pengalaman dulu bendera terbang melayang di bawa angin.  Rasanya untuk tahun ini kempen kibar bendera tidak lagi semeriah beberapa tahun dulu. Kempen yang hangat-hangat tahi ayam ataupun kita sebagai rakyat Malaysia tidak ambil peduli dengan ketibaan 31 Ogos ini lagi.

Begitu juga di sekolah-sekolah kalau dulu sibuk dengan bendera, setiap murid diminta membeli bendera untuk dikibarkan.  Seluruh kawasan sekolah penuh dengan bendera, tapi kali ini ala kadar saja, jangan tak kibar saja.  Tiada sambutan Bulan Kemerdekaan di sekolah seperti setiap tahun.

Untuk tahun ini , ibuintan menyahut cadangan cuzshar daripada   http://cuzshar.com  untuk menjalankan Kempen Kibar Jalur Gemilang di blog.  Seperti cuzshar, ini juga tahun pertama ibuintan menyambut hari ulangtahun kemerdekaan negara sebagai seorang blogger.  Teruja juga untuk menyertainya, sebagai semangat kecintaan terhadap Malaysia.

Kepada rakan-rakan blogger sekiranya berminat bolehlah mendapatkan dan membuat pilihan design di blog cruzshar.

Kita hanya merancang

Petang semalam hantar Along balik asrama SMKA Pedas.. Bertolak dalam pukul 3.15 petang, perjalanan pergi lancar. Cuaca panas. Singgah di Bazar Ramadhan Taman Tunku Jaafar (TTJ)sebab Along hendak membeli roti John dan ayam percik. Hanya Along yang membeli untuk di bawa balik ke asrama, ibuintan belum membeli sebab kata abahintan  awal lagi, balik nanti singgah semula.  Kemudian meneruskan perjalanan semula. Dalam perjalanan, cuaca yang panas  tiba-tiba bertukar, hujan turun dengan tiba-tiba, dengan lebatnya.  Meredah hujan lebat sehingga sampai di sekolah Along.

Tidak menunggu lama,sebab masih hujan, terus berpatah balik semula.  Hujan masih turun.   Sehingga sampai di Bazar Ramadhan TTJ hujan masih belum reda, ditambah lagi kesesakan parking di kiri jalan, maka tidak jadi singgah.  Abahintan kata, nanti  singgah di  Bazar Senawang Jaya, pun sama juga, hujan renyai-renyai, ibuintan turun dan sempat membeli ayam percik kiriman Azim, Nak beli juga lauk dan sedikit kuih-muih, tapi tidak semena-mena, langit gelap semula dengan angin yang agak kuat,  hujan turun dengan lebat semula.

Memang tidak sempat membeli lauk dan kuih, terus berlari masuk semula ke kereta.  Meredah hujan lagi, dah melalui dua lagi tempat jualan Ramadhan namun masih tak dapat berhenti.  Dalam hujan dan keadaan jalan sesak memang menyukarkan pergerakan kereta.
         Di persimpangan Taman Ixora dan Taman Seri Pagi, pukul 6.15 petang, masih hujan.
Seterusnya smpai di persimpangan Jalan Senawang dan LEKAS , sudah pukul 6.25 ketika ini.  Selalunya lampu trafik tidak mengambil masa untuk bertukar warna di sini, tetapi sejak LEKAS di buka, disini mengambil masa hampir 20 minit baru dapat melepasinya.  Kereta  mula  bergerak perlahan semasa di hadapan Lavender Heights lagi.  Hujan masih lebat di sini. Kalau tahu lama menunggu di sini, kami akan mengikuti jalan pintas di Lavender untuk ke Kuala Pilah.

Kami menempuh hujan sehingga ke jalan baru di Gunung Berembun, jalan baru menggantikan Jalan Bukit Putus.  Lega hati hujan dah berhenti. Harap dapat sampai di Tanjung Ipoh sebelum pukul 7 malam.  Kereta  yang naik ke Kuala Pilah juga banyak.  Sampai di Terachi hujan semula, sebelum sampai ke Tanjung Ipoh, jalan dah jem semula, jam dah pukul 7 kami masih belum sampai di Tanjung Ipoh. Kami sampai tepat pada pukul 7.10 minit di Tanjung Ipoh, kami berhenti dalam hujan tetapi gerai menjual makanan sudah banyak yang tutup. Hanya sempat beli air soya panas, dan tiada lagi lauk yang dapat kami beli.

Terus balik ke rumah, Intan sudah masak nasi, tetapi tidak masak lauk.  'Ingatkan ibu beli lauk' katanya.  Hanya sempat jerang air, waktu berbuka pun tiba.  Abahintan tak sedap hati sebab tak dapat beli apa-apa, jadi dia masak mee segera.  Nasib baik ada dua bungkus dalam simpanan. Jadinya kami sekeluarga semalam  berbuka dengan mee segera, 4 ketul ayam percik dan air soya.  Hanya itu saja rezeki kami semalam.  Apa yang kami plan tidak jadi, mula keluar rancang nak beli itu ini, semua nak makan  mengikut selera sendiri, namun semua tak dapat, hanya dapat memenuhi permintaan Azim saja - ayam percik dan air soya.  Tu pun nasib baik beli empat ketul.

Apa pun itulah, kita hanya merancang.  Untuk sahur ibuintan goreng ikan masak kicap dan ssedikit sayur.

Ahad, 15 Ogos 2010

Kegemaran mak

Selamat sudah menjalani ibadah puasa di hari ke empat. Alhamdulillah sudah empat hari juga menunaikan solat terawih di surau berhampiran. Jemaah tidaklah ramai, namun saf perempuan lebih panjang dari saf lelaki. Kaum lelakinya mungkin  ke Masjid Tuan Tulis.

Menu berbuka petang tadi ialah menu kegemaran mak (arwah) ibuintan. Mak suka sangat makan gulai ikan parang  dengan buah tomato dan peria. Kalau  gulai ini selalunya berselera sungguh mak makan.  Pagi tadi ke kedai yang biasa dikunjungi, ikan-ikan yang dijual baru sampai dan masih segar.  Lalu beli seekor ikan parang yang sedang besarnya,  hari ini sekg ikan parang berharga RM14, selalunya mencecah RM18 sekg.  Rakan-rakan yang berasal dari Pantai Timur dan Utara selalu berkata harga  ikan dan sayur di Kuala Pilah harga orang kaya.
Untuk manisan pula, ibuintan buat pengat mee siput dicampur dengan pisang nangka masak.  Mee siput ialah mee kering yang biasanya mudah di dapati di bulan Ramadhan.  Pengat yang di masak dengan gula anau dan dibubuh pati santan.  Ini juga makanan kesukaan mak, setiap bulan puasa mesti buat. Tapi petang tadi menunaikan permintaan abahintan pula, pengat ini menjadi kesukaannya.
Mee siput
Untuk anak-anak pula, petang tadi suruh Azim ke Bazaar Ramadhan di Tanjung Ipoh. Azim beli burger dan murtabak.  Anak-anak suka makan nasi dahulu semasa berbuka.  Azim juga sudah empat hari membeli air soya.  Air soya ialah air wajib di bulan puasa.  Selain itu, untuk mereka ibuintan juga buatkan ayam goreng berempah.  Hampir setiap hari ada menu berasaskan ayam.  Ayam menu wajib, entah bilalah mereka nak muak dengan ayam agaknya



Pengat mee siput dan pisang yang telah disejukkan enak dimakan selepas balik dari surau.

//Walaupun anak-anak selalu komplen ikan parang banyak tulang tetapi mereka suka makan juga.

Jumaat, 13 Ogos 2010

Serba salah, serba tak kena.

                                             (dari Tok Google)
Bazar Ramadhan.  Bazar istimewa yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan disetiap bulan puasa. Pergi saja ke Bazar Ramadhan, beraneka lauk pauk dapat dijumpai, begitu juga kuih-muih,yangi moden dan tradisional terdapat di sana, berbagai aneka warna, nama dan rasa air juga boleh di dapati, macam-macam ada dari makanan berat ke makanan ringan. Tepuk dada tanya selera.

Setelah dua hari berpuasa, ibuintan masih belum menjenguk mana-mana Bazar Ramadhan. Yang terhampir dengan rumah ialah Bazar Ramadhan di Pekan Tanjung Ipoh. Banyak juga peniaga yang berniaga di situ. Kebanyakkan yang berniaga ialah penduduk dari sekitar kampung berhampiran. Tak kurang juga beberapa orang jiran dan penjaga anak murid yang berniaga di sini. Ada peniaga sepenuh masa, ramai juga peniaga segera iaitu yang berniaga di bulan Ramadhan saja.

Ibuintan kurang selesa sedikit bila mengunjungi bazar ramadhan di sini.  Serba salah, bila setiap peniaga menegur.  Kalau sekampung, memanggil dengan nama panggilan biasa, kalau penjaga murid pula memanggil cikgu. Seganlah pulak. Bila menyinggah serba salah juga kalau tak membeli. Bila membeli kekadang serba salah juga, biasanya beli satu  dapat  satu lagi free. Takpun, beli kuih tiga biji dapat empat biji, beli sepotong dapat dua potong.

Mungkin mereka ada niat bersedekah, tapi kita yang menerima amat serba salah. Tak diterima, takut dikata sombong tak pun dikata tak sudi. Singgah satu gerai, gerai yang lain pulak menyapa, habis takkan nak singgah semua gerai yang kita kenal atau mereka kenal kita.  Setakat dua tiga gerai takpe lagi, ni kalau dah tujuh daripada sepuluh kenal kita, nak buat camna.  Kalau beli semua mau seminggu takyah beli lagi.

Datang singgah, jenguk-jenguk dan borak-borak tak sedap pulak rasanya. Mereka berniaga, mereka pun mungkin rasa serba salah juga dengan kita.  Jadi jalan paling selesa, suruh Azim saja yang pergi, suruh saja Azim beli apa yang teringin dan terhajat untuk di makan.

Bukan tak sudi cuma memang rasa tak selesa dan serba salah.  Rata-rata teman sekerja yang menetap di sekitar sini juga mengalami perasaan yang sama.  Peniaga di kampung, walaupun berniaga untuk mencari rezeki tetapi sikap 'menghargai' jiran, saudara terdekat ataupun guru masih ada.

Apapun terima kasih kepada mereka-mereka.

Khamis, 12 Ogos 2010

Kesian aku

                                         (dari Tok Google)
'
Alamak baru pukul dua suku, lama lagi tu.......
                                 Lama lagi tuan aku nak buka puasa tu........
Tak kan aku pun kena puasa jugak tu......
                                                                    Kesian la kat aku

Rabu, 11 Ogos 2010

Gelagat

Selamat berpuasa tua, orang-orang lama memanggil puasa pertama ni sebagai puasa tua.  Baru habis kelas tahun satu. Hampir habis satu masa mengajar,  melayan keterujaan budak-budak tahun satu bercerita tentang puasa hari pertama hari ini.  Keterujaan bercerita tentang bersahur dan membaca niat.  Berebut-rebut untuk bercerita dan semua mengatakan mereka berpuasa hari ini.

Tapi dalam reramai tu ada juga yang membawa bekal air walaupun dia berpuasa.  Ada yang berkata boleh minum lepas tu puasa semula.  Yang tidak boleh ialah makan.  Tapi ada juga yang jujur terus berkata tidak berpuasa sebab emak tidak beri, nanti lapar dan penat.  Rasa-rasanya anak-anak tahun satu dah sepatutnya diasuh dan diberi galakkan untuk menunaikan ibadah puasa ini.

Baru pukul sembilan pagi dah ada juga yang mengadu lapar. Dah ada buat alasan penat untuk menulis, ada juga kepala dah terletak di atas meja, nak tidur lah tu. Seronok dan gelihati juga melihatkan telatah mereka. Ada juga yang asyik bertanya waktu rehat nanti nak duduk di mana, nak pergi mana. Sabar jelah...kata mereka tak boleh bermain takut nanti haus dan lapar..

Beri mereka peluang belajar berpuasa, kalau tidak mampu sepenuh hari, beri galakkan berpuasa secara beransur-ansur hingga tengah hari, ansur pula ke petang dan akhirnya mencuba sehingga penuh satu hari.

Ibuintan  menggalakkan anak berpuasa dengan memberi imbuhan wang sebanyak bilangan hari mereka berpuasa. Sebagai insentif yang mereka nampak dan dapat hasil berpuasa, tetapi hanya pada umur enam dan tujuh tahun sahaja. Selepas umur tu tiada krompomi, tiada insentif lagi.

Isnin, 9 Ogos 2010

Selamat Berpuasa


Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap amalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

Kepada semua sahabat-sahabat


Sabtu, 7 Ogos 2010

Tolonglah saya.

Semalam dia datang berjumpa.  Hari ini dia telefon pula.  Seorang kenalan lelaki sejak seminggu ini menghadapi kemelut rumahtangga. Isterinya adalah jiran dan juga rakan kepada ibuintan.

Sebelum ini si isteri datang bercerita dan mencurahkan apa yang terbuku di hati. Biasalah bila dalam keadaan begitu hanya keburukan yang dkeluarkan. Tiada sekelumit pun kebaikan pasangan yang telah didampingi selama sepuluh tahun yang disuarakan. Berapi-api siisteri bercerita.

Sebagai seorang rakan, yang tidak mengetahui banyak hal tentang rumahtangga mereka sebelum ini, apalah yang dapat ibuintan cakap.  Hanya sedikit nasihat yang mampu diberikan, sekadar mengesyorkan supaya berfikir secara waras dan bertindak secara betul. Pasangan ini mempunyai seorang anak yang berumur 10 tahun.

Semalam, si suami pula bercerita juga masalah yang sedang dihadapi. Tapi berlainan cerita dan nada. Cerita kelukaannya, cerita tentang kekurangan dirinya, cerita tentang sikap mertuanya juga cerita tentang sikap isteri yang sudah berubah.  Pokok kepada semua masaalahnya ialah 'duit'.

Dalam nada hiba si suami meminta bantuan.  Meminta ibuintan menjadi  orang tengah untuk menjernihkan kembali hubungan mereka.  Siapalah saya, bukan kaunselor bukan juga pakar rumahtangga....bukan juga saudara dekat..

Rasanya kemelut rumahtangga mereka tidak akan sejauh ini jika  ibubapa masing-masing tidak campurtangan. Ibubapa masing-masing saling salah menyalahkan dan menuding jari. Kebencian telah disiramkan kepada anak-anak mereka.  Semasa situasi panas kedua-dua pihak isteri dan juga suami telah mengadu ke pejabat agama. Pihak isteri  minta dilepaskan, sementara pihak suami minta diberi bimbingan.

Punca semuanya ialah kerana si suami yang tidak tetap dengan satu-satu kerja.  Susah mencari kerja tapi senang pula melepaskan kerja itu.....

Kesian kepada si isteri , kesian juga kepada si suami.  Masih memikirkan kata-kata si suami "tolonglah saya kak, saya masih sayang padanya"  Apakah yang dapat ibuintan tolong? 

Jumaat, 6 Ogos 2010

Arghhhhhh lega

Hari yang panas. Membahang. Sambil menunggu Intan habis kelas, menunggu di tepi jalan di luar kawasan sekolah. Diseberang kiri kanan jalan terdapat gerai menjual aneka air berbagai kaler dan rasa, juga gerai menjual air batu campur.  Terliur melihat bebudak meneguk abc yang sejuk dan dingin. Teringin juga tetapi malas nak bersaing dengan bebudak sekolah untuk mendapatkan segelas abc.

Gerai menjual air batu campur di bawah sepohon pokok ketapang yang rendang di kiri jalan.
Sebuah lagi gerai yang menjual aneka warna dan rasa air minuman.  Majoriti pelanggan ke dua-dua gerai ini ialah pelajar empat buah sekolah dikawasan ini. Gerai yang hanya wujud di hari persekolahan saja.

Keluar saja, terus minta Intan belikan segelas air batu campur. Kongsi berdua sebab tak minum air batu, tapi teringin sangat melihat anak-anak sekolah menghirup air yang sejuk dingin tu. Sekali teguk saja...arghhhhhhhh lega. Yang lain Intan habiskan.

               Dah habis setengah baru teringat minta Intan snapkan gambar abc yang menyegarkan.
 Setiap hari yang panas, sehabis waktu persekolahan  gerai-gerai yang menjual minuman dan makanan ringan ini pasti diserbu pelajar sekolah yang kehausan dan kelaparan.  Diharapkan sipenjual menjual dengan ikhlas tanpa mengharapkan untung besar, jaga kebersihan dan memastikan air dan makanan yang dijual dimasak sempurna.

Khamis, 5 Ogos 2010

Ubat tahan sakit


 
Petang tadi bersama Cikgu Mai ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban. Menziarah seorang rakan guru - teacher Hafidah yang dirawat di hospital berkenaan sejak hari Ahad yang lalu. Beliau dimasukkan ke wad setelah hampir sepuluh hari mengalami demam panas yang tinggi.

Doktor telah melakukan beberapa ujian darah, dan pagi tadi doktor telah mengesahkan bahawa beliau mendapat hyper tyroid, penyakit yang ada kena mengena dengan hormon dan juga ada masalah kerosakan hati.

Kata beliau juga, berdasarkan penjelasan doktor penyakit ini adalah kesan daripada pengambilan ubatan pain killer yang diamalkan semasa beliau masih belajar dulu. Semasa belajar dulu beliau menghidap migrain yang teruk dan pain killer adalah penyelesaian masalah migrain nya pada ketika itu.. Kata doktor inilah antara penyakit kesan pengambilan ubat tersebut.

Menurut Hafidah beliau banyak makan ubat tersebut semasa masih belajar dahulu, tetapi tidak berapa mengamalkannya lagi sekarang ini, namun kata doktor ubat tersebut memakan masa bertahun juga sebelum menunjukkan kesan sampingannya.  Kesan kerosakan hatinya juga doktor melarang keras beliau memakan sebarang ubat penahan sakit, malah panadol dan ponstan juga tidak dibenarkan sama sekali.

Ubat penahan sakit yang segera menyembuhkan atau menghilangkan sakit tetapi mempunyai kesan sampingan yang amat besar dalam jangkamasa yang panjang. Ada juga rakan yang mengalami masalah hempedu juga kerana pengambilan pain killer  yang diamalkannya...

Kita seharusnya mendapat khidmat nasihat pakar sebelum mengamalkan pengambilan sebarang ubatan.
Semoga Allah mempermudahkan urusan pengubatannya dan semoga beliau cepat sembuh juga.

Rabu, 4 Ogos 2010

Bila nak shoping ni!

Kurang seminggu lagi masuk bulan Ramadhan.  Berpuasa dan kemudian berhari raya.  Budak tiga beradik ni dah sibuk bertanya bila nak beli baju raya. Selalunya sebelum bulan puasa mesti dah mula membeli sehelai dua baju atau seluar, semua untuk mengelak dari kesibukkan di bulan puasa. Selain itu juga untuk mengelakkan 'bermasam muka' semasa bershoping di bulan puasa.

Bulan puasa memang bulan ujian , menguji keimanan dan kesabaran. Rasanya orang-orang perempuan sabar semasa bershoping  tetapi  kepada kaum lelakinya kurang sikit tahap kesabaran tu.  Selalu kalau pergi shoping, abahintan hanya beri duit lepas tu dia hilang membawa diri sendiri. Siibu lah yang kena melayan kerenah dan pilihan hati si tiga beradik tu.

 Bila anak-anak meningkat remaja, pilihan kita bukan lagi pilihan mereka.  Warna dan fesyen pilihan yang kena di mata kita tidak lagi kena di mata mereka.  Tu yang jadi masa sejam melajak ke beberapa jam tu..
Kita pilih biru, dia cari putih, lastnya round satu shoping komplek pun tak jumpa juga yang berkenannya.

Tak jumpa di satu tempat, boleh lagi minta pergi ke tempat lain lagi.  Jenuh pusing dan belek-belek, kekadang jumpa kekadang tidak.."takpe bu nanti kita datang lagi"  Sedap je ayat tu keluar dari mulut mereka.  Kalau si abah dengar, 'takde beli juga hari ni,cari sampai jumpa, dah takde masa nak datang-datang lagi'  tu yang masam mencuka tu sebab kena paksa juga beli.

Kalau hari biasa boleh lagi sejukkan perut, order dan makan apa-apa yang patut. Tapi kalau bulan puasa macam mana, tu yang nampak Cina menjual air pun rasa nak pergi marah cina tu.  Tensen je nengok cina tu jual air macam-macam kaler.  Tak patut betulkan...

Rasa-rasanya masih ada masa untuk bershoping hujung minggu ni. Kebetulan juga Along boleh balik ke rumah hujung minggu ni, jadi akan mengambil kesempatan tu untuk membeli dulu mana yang patut. Mereka bertiga telah diperuntukkan budget untuk setiap seorang, yang akan merangkumi baju, seluar, baju melayu dan kasut/sandal.

Mereka boleh memilih pakaian mengikut citarasa mereka asalkan tidak terlebih budget yang diperuntukkan.  Cuma Intan yang diwajibkan mengikuti beberapa syarat yang ditetapkan.  Setiap baju atau seluar yang dipilihnya perlu ditapis dan mendapat kelulusan dulu...tidak boleh menjolok mata dan mendedahkan aurat.  Itu peraturan wajib.

Selasa, 3 Ogos 2010

Pendek langkah

Sejak minggu lepas, jadual menjadi kelam kabut. Memang terasa kesusahan sejak hanya tinggal sebuah kereta. Sejak kereta abahintan kemalangan dua minggu lepas, kami terpaksa mengubah jadual perjalanan pergi dan balik kerja.

Waktu pagi, kebiasaannya ibuintan keluar rumah pada pukul tujuh suku untuk ke sekolah tapi kini sebelum pukul tujuh mesti telah keluar rumah.  Tidak boleh lewat sebab Intan mesti berada di sekolah sebelum pukul tujuh suku pagi. Waktu pagi sebelum ke sekolah biasanya sempat sidai baju atau menyapu rumah dulu.

Perjalanan pagi dari rumah ke sekolah Intan di TMS yang jauhnya 8 km melalui jalan Tanjung Ipoh Kuala Pilah yang sibuk seharusnya tidak sampai 20 minit tetapi selalunya berubah jika tersekat di 2 lampu isyarat.  lampu isyarat pertama ialah di Simpang Ampang Tinggi dan kedua di hadapan Hospital Tuanku Ampuan Najihah. Kemudian ikut jalan pintas di Taman Melang, kalau ikut pekan Kuala Pilah lagilah tersangkut lama di satu lagi lampu isyarat di tengah pekan.

Rumah ke sekolah ibuintan hanya sejarak satu setengah km saja, kalau jalan kaki boleh tapi penat, naik basikal juga boleh tapi basikal dah takde, naik motosikal lagi boleh tapi tak berani  bawak sebab dah dua kali jatuh motosikal. Orang tua kata dah ''jeran'

Waktu balik juga berubah menjadi terlebih lambat. Kalau selalunya pukul dua telah berada di rumah kini pukul tiga suku masih berada di sekolah lagi.  Terpaksa tunggu abahintan  ambil Intan dulu  Ada kereta rakan yang boleh ditumpang tapi biasanya rakan juga ada hal yang perlu diuruskan dan tidak terus pulang ke rumah.

Nak tak nak kena juga keluar sebuah lagi kereta.  Kena juga tambah hutang lagi.  Dah biasa sorang satu kini kena share, semua plan pun tak menjadi. Yang paling tak best langkah dah pendek.

Isnin, 2 Ogos 2010

Bersih dan ceria

Sudah sebelas kali menjadi kelas terbersih tahap satu untuk sesi 2010. Pertandingan kebersihan dan keceriaan kelas dijalankan setiap minggu. Kelas yang menjadi Johan juga menerima baucer kupon  bernilai RM7.00. naib johan RM5.00 dan ketiga RM3.00.  Setakat ini kelas Tahun 1 Arif telah mengumpul baucer kupon bernilai RM126.00., rasanya menjelang hujung tahun tertampung duit untuk jamuan akhir tahun kelas. Tahun ini boleh sekali lagi order KFC untuk setiap murid.  Saje beri motivasi supaya sentiasa mengamalkan sikap menjaga kebersihan.

Semua pelajar tahun satu Arif sudah dididik menjaga kebersihan kelas sejak awal tahun, sampah mesti tiada di dalam kelas. Mereka juga sudah pandai menjaga dan mengemas kelas walaupun tanpa disuruh.  Mereka berasa bangga bila kelas mereka diumumkan sebagai salah satu pemenang pada setiap minggu. Tujuan pertandingan ini ialah memupuk dan menanam nilai menjaga dan mengutamakan kebersihan dan keceriaan kelas, supaya stiap pelajar dapat belajar dalam suasana ceria dan gembira.

Yang jadi tukang sapu, tukang lap cermin dan tukang hias tentulah cikgunye dengan dibantu pekerja am. Murid tidak dibenarkan,tugas  murid hanya  jangan buang sampah di dalam kelas.

Ahad, 1 Ogos 2010

Kerja sampingan menjelang raya.


Mesin jahit antik dah memulakan operasi semula. Sejak awal minggu yang lalu, sudah memaksa dan merajinkan diri memulakan operasi part-time. Kerja part-time yang disukai sebenarnya. Cuma sekarang ni entah kenapa pulak penyakit 'malas' datang bertandang. Menerima tempahan menjahit baju kurung raya untuk rakan-rakan sejak masuk bulan Rejab lagi, tetapi diperuk dahulu, biarkan dulu, nantilah dulu... ni dah nak masuk Ramadhan memang tak boleh dilengahkan lagi.,... setakat ini tempahan telah ditutup, memang tidak boleh terima lagi.

Ibuintan hanya menerima tempahan rakan biasa atau kata lain pelanggan tetap saja, tidak berani menerima banyak takut mengganggu urusan kerja wajib, dan ibadat sunat  bulan Ramadhan nanti. Belajar dari pengalaman, pernah  dulu disebabkan tamak (rasanya) terima saja bila kawan/jiran minta jahitkan  baju,  dan disebabkan untuk mengejar masa yang suntuk langsung tidak dapat bersama berjemaah di surau berhampiran.  Cukup sekali rasanya, abahintan kata poket gemuk tapi pahala kurus.

Syukur, sudah hampir separuh baju kurung yang telah dijahit, untuk menyiapkan jahitan leher dan tangan, baju boleh dibawa ke sekolah, boleh dijahit di waktu senggang atau waktu free.  Biasanya setiap hari bawa sehelai baju untuk dibuat kemasan lehernya yang menggunakan jahitan tangan.
Menjahit kerana minat, disamping itu dapatlah juga menambah duit raya. Dapat duit pulak belikan ke biskut raya sebab ibuintan tidak suka membuat kuih muih ni. Okeylah kan tolong rakan/jiran yang mengusahakan kuih muih raya pulak.

SELAMAT HARI LAHIR - MUHD AZIM


 Hari ini Azim si bongsu genap 13 tahun. Selamat hari lahir kepada Azim. Semoga terus ceria dan sihat-sihat selalu.   Azim  lahir  pada waktu azan Subuh sedang berkumandang di masjid bersebelahan Hospital Tuanku Najihah.  Terdengar saja azan, maka ibuintan dengan segera terlintas untuk meletakkan nama si kecil yang baru lahir ini Muhammad Azim.  Semoga Azim akan membesar menjadi seorang anak yang soleh, mendengar kata, berjaya di dalam kehidupan, berjaya di dunia dan akhirat. Semoga Allah juga mempermudahkan semua urusan kehidupan yang bakal dijalaninya.

 Tentang kesihatan pula, sebagai ibu saya hanya mendoakan dan mengharapkan agar Azim segera sembuh dari penyakit asma yang baru dihidapinya. Semoga Azim akan terhindar terus dari penyakit asma yang sedikit sebanyak mengganggu aktiviti hariannya.  Ya Allah, berilah kesihatan yang baik kepada anakku Muhd Azim.
Amin...selamat hari lahir Azim