Followers

Rabu, 29 Jun 2011

Rasa nak petik, tapi bukan hak kita.



Selepas hujan pagi, membawa pula mendung hingga ke petang, seharian  ibuintan hanya berlegar dalam rumah.   sesekali menjengah keluar,  masih hujan takpun gerimis pula.  Kata orang Nismilan..'ghobeh'.... buleh sakit kepala kalau terkena 'ghobeh' ni... wallahhuaklam.

Maka lebih banyak terperap je la dalam rumah,  selepas masak untuk anak-anak, masuk bilik semula, selain ngadap blog dan fb, ibuintan juga ngadap komputer untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah.  Maklumat untuk fail KSSR murid terlalu banyak untuk disediakan, syukur hampir beres, hanya tinggal dicetak saja lagi.  Esok cetak di printer di bilik guru, dakwat printer di rumah sudah kekeringan, kekeringan kerana kerja-kerja ini juga, terlalu banyak kertas yang telah digunakan.   Kertas A4 dan dakwat printer kehabisan.  Beli sendiri tu, takde subsidi .... nak belinya tak tahu bila lagi, tapi wajib beli, perlu sangat ...

Penat ngadap komputer, menjengah ke tingkap belakang, baru perasan pokok petola air yang jiran sebelah tanam, yang memanjat pagar , mengeluarkan buah yang banyak, telah membesar.  Capai kamera terus menembak dari celahan jeriji tingkap saja.


Tak puas hati, keluar  ikut pintu belakang...wahhhhh... banyak rupanya buahnya!










Dah masuk ke dalam kawasan pagar rumah rupanya. Dah memenuhi rimbunan pokok daun kari, pandang dari bawah seolah-olah pokok daun kari telah berbuahkan petola air ini.  Nampaknya pokok ini telah menjelajah melangkaui kawasan asalnya, malah berbuah banyak di kawasan ibuintan berbanding di kawasan asal tuan yang menanamnya..  jadi camna ni, kalau nak petik pun wajib minta izin tuannya dulu ..kan.

Yang menanamnya mungkin malu kot nak masuk petik... huiss nak malu apa kan,  sendiri tanam, akar dan batangnya bermula dari tanahnya, cuma sulurnya saja yang menjalar merata-rata hingga masuk melepasi sempadan pagar.. geram nengok buahnya  bergayutan. 

Esok-esok nak rajinkan mulut minta sebiji dua , tapi masak apa ye... tak pernah masak dan tak pernah juga makan petola air ni.  Macam mana rasanya lagi lah tak tau....


Alasan.


Dah bersiap nak pergi joging, tiba-tiba hujan turun.

Tak sangka hujan pagi pula.

Hari ini  Nismilan cuti sempena Isra Mikraj,

Menyapu sudah, buat sarapan juga sudah.

Membasuh  sudah, berkemas juga sudah.


Yang satu ni saja yang belum....







Ahhhhhhhh... biar la dulu,

Nak joging blog ke blog lah dulu.

PEMALAS.




Selasa, 28 Jun 2011

Rindu abah....

Dari Abi Usaid Malik bin Rabi’ah berkata bahwa ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata : “ Ya Rasulullah, adakah kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia ? Rasul menjawab : Ada, engkau berdoalah untuk keduanya, dan meminta diampunkan dosa-dosanya, dan tunaikan wasiat dan janji-janjinya, dan hubungkan silatiurahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya.“ (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)




Al-fatihah buat Hj. Mohd Yunus b. Omar yang telah kembali ke rahmatullah pada tarikh yang sama pada hari ini, empat belas tahun yang lalu.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa abah dan menempatkan abah dalam kalangan ahli-ahli syurga.

Amin...








Ahad, 26 Jun 2011

Sarang tebuan... tak jolok pun mengamuk juga.

Tebuan kunyit.


Malang memang tidak berbau.  Pagi semalam sedang leka mengaut sampah di sudut laman depan rumah, tiba-tiba saya di serang sekumpulan tebuan kunyit. Ada dalam 20 ekor yang tiba-tiba keluar dari celahan rumpun daun-daun bunga lily putih.  Menyerang secara tiba-tiba setelah saya dengan tidak sengaja terusik sarangnya.  Memang tak tahu ada sarang tebuan di situ.  Memang benar 'sarang tebuan jangan dijolok'.

Semasa dikejar tebuan ini, nasib baik saya sempat lari masuk ke dalam kereta, hanya seekor yang dapat hinggap dan menyengat di jari tengah (jari hantu) tangan  sebelah kiri.  Sakitnya memang tidak terkata.  Terus masuk ke dapur dan melumurkan dengan madu di tempat yang terkena sengatannya.. Abahintan pula terus mengikat pergelangan tangan sebelah kiri dengan tuala..supaya bisanya tidak naik ke atas dan meresap  ke seluruh badan.


Dalam rimbunan daun... inilah sarangnya.  Gambar ini sempat dicuri ambil petang semalam, ketika ini semua tebuan itu telah masuk semula ke dalam sarangnya

Keadaan jari dan tangan yang membengkak selepas satu jam.  Bisa dan denyutan sakitnya ketika ini memang amat menyakitkan, mungkin sebab  dipergelangan tangan telah diikat sakitnya hanya dikawasan ini sahaja.  Kerana tidak tahan menanggung kesakitan juga, saya hanya sanggup ke klinik,  supaya urusan berjumpa doktor menjadi cepat. Kalau ke hospital kerajaan akan mengambil masa sedikit...itu pasti.

Di klinik hanya mengambil masa tidak sampai lima minit selepas pendaftaran , nama pun dipanggil.  Setelah diberitahu, Doktor Kamal hanya tersenyum sambil berkata 'kesian' .  Doktor Kamal memberi satu suntikan  serta ubat sapu untuk mengurangkan bengkak serta pil tahan sakit dan antibiotik.


Dari klinik, dengan tangan yang membengkak, terus ke rumah adik ipar pula. Adik ipar membuat kenduri kesyukuran.  Dengan keadaan tangan yang  sakit berdenyut-denyut dan tekak rasa loya  mungkin kesan ubat membuatkan  bantuan yang dapat dihulurkan agar terbatas.  Hanya membantu menyusun kuih muih serta menyusun hidangan dalam dulang saja.


Kuih muih  minum pagi, dihidangkan untuk jiran dan ahli keluarga yang sedang bergotong royong memasak.

Kuih apam yang dibungkus dalam daun pisang... apam songe (sengih)

Gulai itik yang sedang mengelegak.  Aromanya sungguh membuka selera. Kali pertama makan gulai itik di rumah kenduri.

Menu.... gulai itik, sambal udang, ikan tenggiri salai campur bacang muda serta sayur kubis goreng.

Sehingga petang tadi, jari-jari dan kawasan belakang tapak tangan masih terasa sakit dan mengeras.  Selepas solat Isya semalam, abahintan telah membuat operasi penghapusan.  Menghapuskan sarang tebuan supaya tiada mangsa lain yang menjadi mangsa.

Sarang tebuan telah selamat dibakar.

Syukur menjelang malam ini... bengkak di tangan kiri telah pun susut dan jari-jari telah boleh digerakkan tanpa merasa sakit.  Yang tinggal sekarang ialah rasa gatal di bahagian jari-jari dan tapak tangan pula.


//patutlah sengatan tebuan ini ada yang membawa maut... memang berbisa..... yang terkena satu sengatan pun rasa nak terkeluar kencing, apalagi kalau kena beberapa sengatan.  Syukur...



Jumaat, 24 Jun 2011

Hilang lagi seorang rakan.








Sejak semalam tidak menjengah fb, tiba-tiba petang tadi bila membukanya, terkejut bila membaca berita salah seorang rakan fb.... yang juga bekas rakan sekelas semasa di sekolah rendah telah kembali ke rahmatullah .  Menurut rakan yang menziarah jenazahnya pagi tadi, arwah meninggal dunia petang semalam di pejabatnya di Nilai selepas mendapat serangan jantung.



Allahyarham Hafiz bin Malik (gambar di ambil dari fb arwah)
Takziah buat keluarga arwah. Moga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya.  Ampunilah segala dosa-dosanya di dunia dan semoga ditempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Amin....

//semoga isteri dan anak-anaknya  (tujuh orang) tabah dan sabar dengan ujian ini


 ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang paling utama?’ Rasulullah menjawab, ‘Yang paling baik akhlaqnya’. Kemudian ia bertanya lagi, ‘Siapakah orang mukmin yang paling cerdas?’. Beliau menjawab, ‘Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling cerdas.’ (HR. Ibnu Majah, Thabrani, dan Al Haitsamiy




Khamis, 23 Jun 2011

Jom Sarapan.


Petang Ahad lepas singgah makan di restoran Anak Bapak di Bagan Pinang, PD.  Saya dan adik ipar order nasi goreng di atas.  Nasi goreng kan banyak versi dan nama.  Agak-agak apakah nama nasi goreng di atas? Di hidang juga bersama semangkuk kecil sup.  Supnya memang sedap. Nasi boleh tahan la..



//pagi2 dah kumpul lemak ..kan















Rabu, 22 Jun 2011

Warna-warni.


Moga hari ini ceria dan indah.











Selasa, 21 Jun 2011

Untuk suami, bakal suami pun boleh.

Ahad kelmarin, hari bapa, kalau dah dipanggil bapa mestilah sudah menjadi suami kan atau pernah menjadi suami..  Di sini saya kongsikan beberapa tips @ petua untuk semua suami supaya menjadi suami yang baik.. kalau  terbaik lagi baik.

1. Pasang niat dan berdoa menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan bagi anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami misali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyuman dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.


kredit to e-petua n tazkirah



"Lelaki yang terbaik diantara kamu adalah lelaki yang terbaik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang terbaik di antara kamu terhadap isteriku.” (HR Ibnu Majah)


//alangkah beruntungnya semua wanita sekiranya semua lelaki terbaik terhadap isterinya





Ahad, 19 Jun 2011

SELAMAT HARI BAPA

Selamat Hari Bapa kepada semua insan yang bergelar bapa

Hargailah bapa selagi nyawa dikandung badan

Sesungguhnya tanggungjawab bapa amat besar

Menjadi ketua kepada sebuah keluarga

menjadi nakhoda yang mengawal kapal dan anak buahnya

BAPA..... semoga menjadi contoh teladan yang baik buat anak-anak.


SELAMAT HARI BAPA buat abah mertuaku ... Encik Jamaluddin bin Sabu.. semoga abah terus diberi kesihatan yang baik untuk terus dapat melakukan amal ibadah di penghujung usia ini.



SELAMAT HARI BAPA buat abah kepada Along, Intan dan Azim.... moga sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah selamanya.


//Al-Fatihah buat  Hj. Mohd Yunus bin Omar dan Hj. Itam bin Ismail...semoga roh abah tenang dan damai di sana....Aminn



Sabtu, 18 Jun 2011

Main teka-teka.

 Dua hari yang sunyi dan sepi, blog juga kesepian.  Sibuk sejak semalam. Semalam emak saudara  telah kembali ke rahmatullah.  Urusan pengebumian selesai menjelang pukul tiga petang,  petangnya pula bergotong royong memasak untuk kenduri tahlil sebelah malamnya. Malam ni begitu juga, kenduri lagi.

Semasa di tanah perkuburan semalam, ramai yang terpikat dan tertarik dengan kelibat buah ini. Terjuntai beberapa biji di rantingnya yang rendah dan boleh dicapai  tangan.  Ramai yang tidak kenal akan buah ini rupanya.  Anak-anak kelahiran kampung pun ada yang tidak kenal apatah lagi anak cucu dan sedara mara yang datang dari bandar.  Bermacam-macam soalan yang mereka ajukan....



'green apple' kata seorang anak sedara kepada 'mummy'nya... pun tak pernah nengok buah ni!


Rakan semua cam mana... kenal tak buah ni??






Rabu, 15 Jun 2011

Gundik sayang.

"Gundik abang mana?

Malam malam je cari gundik. Selagi tak jumpa gundik selagi tu melilau mencarinya.  Tertinjau-tinjau atas katil, tertijau-tinjau bawah katil.  Selalunya tu saja tempat gundik tu.  Kalau tak atas katil, mesti bawah katil.  Kalau tak jumpa juga, kirai semua bantal dan selimut, selalunya mesti ada nyorok kat situ


Cuma kekadang saja gundik tu berjalan ke depan.  Kalau ke depan mestilah atas sofa.  Lepak atas sofa sambil nonton tv...ditemani si gundik, hati berbunga riang.


Jumpa saja si gundik..........

Apalagi buka bajulah.  Mulalah aktiviti.  Tarik turun,  atas bawah.... kat belakang tentunya port yang paling feberetnya.  Tak lama pun , dapat sepuluh minit pun jadilah... Ohhh ! Lega.  Terkebil-kebil matanya..


Nasib baik 'gundik' yang ini menjadi 'pojaan' hatinya... selamat.  Saya pun kekadang bila dah terlampau kegatalan kat belakang, tangan pulak tak sampai... gunakan juga khidmat gundik ce abang ni...  huih memang khusyuk gak lah... 

Pernah cuba tak?




Selasa, 14 Jun 2011

Petua Rasulullah s.a.w menangani kepenatan.

Hari pertama bekerja semula, terasa kepenatan yang amat sangat.  Mungkin kepenatan lantaran aktiviti sejak hari Jumaat hingga Ahad yang tiada ruang rehat selain tidur malam.  Tidur malam juga pendek, kurang lima jam, bila badan terlalu letih ada masa sukar juga melelapkan mata. 

Ahad seharian pula dalam perjalanan .. menghantar anak balik asrama. pukul sembilan malam baru jejak rumah semula. Ohh..penatnya.


Kalaulah dapat tidur lena selena bayi ini, tanpa memikirkan sebarang masalah ...ohhhhhhhh alangkah nikmatnya


Mari kita hayati petua Rasulullah s.a.w mengatasi kepenatan.

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja,  petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya. Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."


Dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan), Insya-Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.


Semoga hari-hari yang ceria akan sentiasa mengiringi kita dalam melalui kehidupan seharian.






Ahad, 12 Jun 2011

Muafakat Jiran Part 2.






Semalam.... di rumah jiran, bergotong royong untuk persediaan majlis kendurinya hari ini.  Balik pukul sebelas malam tadi dengan keletihan.  Hari ini tidak dapat turut serta... urusan ke Mersing pula.



//esok selamat kembali ke sekolah kepada semua pelajar dan guru-guru.





Jumaat, 10 Jun 2011

Muafakat jiran.

Dua hari blog tidak berjenguk.  Nak kata sibuk pun tidak juga.  Mohon maaf kepada semua rakan yang meninggalkan komen dan semua komen masih belum dapat dibalas. Lawatan ke blog rakan-rakan juga tidak dapat dilakukan dengan lancar.  Sejak semalam ada beberapa urusan yang perlu dilakukan.


Dan sejak petang tadi pula sibuk di rumah jiran untuk majlis perkahwinan anak mereka.  Dua kenduri kahwin iaitu Sabtu dan Ahad, dan keduanya adalah jiran terdekat. Dua-duanya juga tidak menggunakan khidmat katering, tuan rumah mengharapkan jiran terdekat datang  bergotong royong untuk menyediakan dan memasak makanan.

Petang tadi telah bermulanya aktiviti 'berpangkal' @ rewang untuk majlis kahwin yang berlangsung esok dan petang esok pula untuk rumah yang majlis kahwinnya berlangsung pada hari Ahad.

Sehingga malam esok, berulang alik ke rumah jiran sajalah nampaknya. Banyak kerja yang perlu dibantu dan dibuat bersama.  Namun hari Ahad  tidak dapat turut serta kerana menghantar Intan balik ke asramanya.