Followers

Selasa, 30 April 2013

Tak sayang anak ke?



Seminggu yang tidak bersua di alam blogger. Minggu yang memang menguji tahap kesabaran.  Memang meletihkan sangat.  Banyak sangat program dan aktiviti yang perlu dilakukan.  Talian internet juga sangat menguji, terlalu perlahan. Demam akibat nak pilihanraya juga agaknya.  Dah la masa ni urusan online sudah bermula, dengan capaian internet yang sangat semput ni, urusan memasukkan markah terpaksa ditangguh-tangguhkan lagi.


Ini cerita semalam.  Kisah seorang murid perempuan tahun enam, menangis mengadu sakit perut disebelah kanannya.  Tengok cara menangisnya memang sakit sangatlah.  Cemas kami dibuatnya, takkan nak sapu minyak angin saja..  Maka setelah disoalsiasat 'kebenaran' sakitnya, keputusan dibuat untuk  menghantarnya  ke unit kecemasan Hospital Tunku Najihah K. Pilah.  Pergi bersama seorang guru lelaki yang bertugas mingguan dan ditemani seorang rakannya yang juga ahli Kelab Doktor Muda sekolah.  Sepanjang perjalanan juga masih menangis.  Mengerang kesakitan sepanjang perjalanan.  Tiba di unit kecemasan dalam pukul dua belas setengah.  Terus dibawa ke dalam bilik dan dibuat pemeriksaan.Memang betul-betul sakit kali ini!


Setengah jam, satu jam dan menjangkau dua jam  kami menunggu di sana. Bila doktor memaklumkan terpaksa mengambil sampel air kencing dan darah untuk diuji serta akan buat imbasan x-ray, ibuintan terpaksa meminta nombor telefon bapanya sebab  sudah pukul dua setengah petang dan doktor memaklumkan untuk mendapatkan keputusan ujian akan mengambil masa sedikit.  Namun  beberapa kali menelefon bapanya tetapi tidak berjawab.  Minta nombor telefon emaknya, jawabnya pula tak tahu. Tanya berulang kali tetap tak tahu. ;Tak tahu ke tak ingat? 'Tak tahu' masih itulah juga jawapannya.  Pelik.

Setelah melihat  cikgunya bengang bila telefon tidak berjawab serta tidak dapat menghubungi warisnya yang lain, barulah murid ini membuka mulut bercerita memberitahu bahawa ibubapanya  telah bercerai. Bapanya telah berkahwin lain dan murid ini tinggal dengan bapa dan emak tirinya.  Dia tidak tahu emak kandungnya tinggal di mana sebab  mereka sudah lama tidak berhubungan.  Pelik sangat rasanya bagaimana emaknya boleh meninggalkannya begitu saja. Tanpa khabar berita dan bertanya khabar.  Bila ditanya tidak rindu ke dengan emak, dia hanya diam membisu.

 Dengar ceritanya semenjak penceraian kedua ibubapanya inilah dia sering mengadu sakit perut, hingga ada juga yang dirujuk sampai  ke hospital.  Dalam ketika ada yang betul-betul sakit terselit juga yang 'buat-buat' sakit.  Mungkin ada alasan mengapa perkara 'buat-buat' sakit ini berlaku.

Jadi setelah warisnya masih tidak dapat dihubungi, maka terpaksalah kami menunggu juga sampai semua urusan selesai.  Setelah tiga jam baru semuanya selesai.  Pukul empat petang kami tiba di sekolah semula. Tiada juga penjaganya yang menunggu. Memang tak ambil kesah langsung tentang kelewatan anaknya balik dari sekolah.  Tak ada langsung usaha bapanya untuk berjumpa dan bertanya pihak sekolah tentang anaknya.  Tidak risau langsung.  Sebab dah petang terpaksalah ibuintan meminta seorang penjaga yang kebetulan berada di sekolah menghantarnya balik ke rumah.


 
DM Husna yang sentiasa mencatat pergerakan dan tindakannya untuk dilaporkan dalam buku catatan aktiviti Doktor Muda ... memang ada tokoh menjadi seorang doktor seperti yang dicita-citakannya.  Husna paling bengang bila bapa rakannya tidak dapat dihubungi.  Dia terkilan sangat sebab tercicir kelas tambahan petang yang bermula pukul dua setengah petang.


DM Husna juga diberi peluang berada di dalam bilik semasa doktor menjalankan pemeriksaan dan rawatan awal kepada rakannya.  Ibuintan saja memberinya peluang melihat kerja doktor yang sebenarnya ketika berhadapan dengan pesakitnya.



Menemankan rakannya mengambil ubat di farmasi

Selain itu dalam masa tiga jam menunggu ibuintan bersama Husna sempat juga mengambil beberapa pamplet yang disediakan. Baca dan bawa  balik untuk diletakkan di bilik KDM.  Sejak menjadi guru pembimbing ni, semua wad hospital di situ dah diterjah semata-mata untuk mendapatkan pamplet yang disediakan pihak hospital untuk diletakkan pula disudut informasi di bilik KDM.  Hey macam-macam kojo skarang ni!



... moga ibu kandung anak ini tergerak hati  untuk menemui dan memberinya kasih sayang yang diperlukan oleh seorang anak yang selayaknya. Jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk membiarkan seorang anak hilang serta dahagakan kasih sayang ibu dan bapanya.


.






Khamis, 25 April 2013

Pengaruh semasa.

Pagi semalam murid-murid tahun satu menduduki ujian saringan LINUS Literasi menulis. Alhamdulillah hanya empat orang yang masih belum menguasai kesemua konstruk. Tapi walaupun hanya empat orang itu satu tugas yang amat mencabar.  Tiga orang murid Orang Asli dan seorang murid Melayu.  Keempat-empat orang murid ini menjadikan kehadiran mengikut suka hati sendiri.  Lebih banyak cuti dari hadir ke sekolah.




Khamis, 18 April 2013

Alahai anak omak!

Bila kelopak mata bagai digam, buatlah apa pun tiada apa yang dapat menghalang.


Selasa, 16 April 2013

Pantang.

Alhamdulillah... terima kasih kepada semua sahabat pembaca yang meninggalkan komen di entri sebelum ini.  Terima kasih juga atas doa untuk kesembuhan mak mertua.  Syukur, mak mertua ibuintan telah dibenarkan keluar wad pada petang semalam.  Keadaan kesihatannya makin baik walau badannya masih lemah.   Menurut suami yang menjenguknya petang tadi, keadaan mak masih lemah tetapi boleh bangun dan berjalan dengan dibantu. Mak juga perlu ke hospital dua kali seminggu untuk menjalani latihan fisioterapi.   

Menurut doktor, serangan strok ringan mak mertua disebabkan tekanan darahnya agak tinggi pada masa kejadian.  Semasa mak di bawa ke hospital tekanan darah mak ialah 85/183 yang menurut kata doktor tinggi untuk mak yang telah berusia 84 tahun.  Mak juga telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban  pada malam Sabtu untuk menjalani CT scan kepala dan hasil ujian ini mendapati terdapat juga sedikit gangguan pada saraf di kepala mak mertua.  Semasa serangan mak mertua merasa kebas dan lemah bahagian badan sebelah kirinya.

Keluar saja dari hospital, mak mertua terus minta anak-anaknya belikan tongkat.  Alasannya senang nak bergerak sendiri tanpa bantuan anak-anak.  Mak mertua boleh berdiri tapi tidak  stabil dan masih tergigil-gigil, perlu berpaut atau memegang benda supaya dapat berdiri dengan baik.  Setelah mencari dibeberapa klinik dan farmasi akhirnya suami berjumpa dengan 'adult walker 4 kaki' ini, terus membelinya.  Walker ni senang dibawa dan boleh dilipat. Tak tahu lah samada mak mertua ibuintan dah gunakan walker ni ataupun belum.

 Mak mertua sekarang tinggal di rumah adik ipar.  Suami dan adik beradiknya yang lain tidak membenarkan mak dan abah mertua yang tinggal berdua saja duduk di rumah mereka.  Rumah mak mertua di kampung tandasnya di luar rumah.  Dari dulu lagi kami anak menantunya dah puas memujuk abah mertua untuk membina tandas di sebelah bilik air.  Bilik air di sebelah dapur saja, dalam kawasan rumah tapi abah mertua tidak membenarkan.  Alasannya dari dulu sampai kini tandas/jamban mesti luar rumah.  Buat yang baru juga tetap di luar kawasan rumah, di hujung halaman. Rasanya ada juga dalam 20 meter jaraknya dari dalam rumah. Kalau memalam nak berhajat besar mesti ada seorang yang terpaksa berkorban menjadi teman menunggu di luar tandas. 

Tapi bila dah timbul kejadian begini, suami ibuintan dah sepakat dengan adik beradik yang lain nak membuat tandas yang baru di dalam rumah bersebelahan bilik mandi.  Rasanya kali ini hendak tak hendak abah mertua terpaksa akur  dan mengalah juga.  Demi keselamatan dan kebaikan mereka berdua juga.  Baru beberapa hari di rumah anak sendiri pun abah mertua dah bising nak balik ke rumah sendiri.  Walhal bukan jauh pun tapi tetap nak tinggal rumah sendiri juga.   Walaupun adik dan kakak ipar ibuintan ada yang tinggal berhampiran rumah mak mertua tapi mereka juga ada hal dan urusan masing-masing jadi tetap tak dapat nak menemankan mereka setiap hari.  Tu yang bimbang sangat kalau-kalau mereka terjatuh bila ke tandas yang agak jauh tu.

........ Tapi abah mertua tetap jugak "pantang abah jamban dalam rumah ni, jamban di luar tompek ea'...  camno tu!




Sabtu, 13 April 2013

Serangan ringan.

Petang semalam mak mertua mendapat serangan strok ringan.  Kebas dan lemah bahagian kiri badan. Kini mak dirawat di Hospital Tunku Najihah, Kuala Pilah. Moga mak cepat sembuh.


Khamis, 11 April 2013

Tiada lagi cempedak di luar pagar.

Akhirnya sebatang pokok cempedak di luar pagar hadapan rumah telah selamat di tebang.  Pokok hasil tanaman arwah abah yang dah berusia puluhan tahun.  Dah banyak memberi hasil kepada kami sekeluarga dan haiwan lain yang sering datang jika musim buahnya tiba.  Pokok cempedak ni sudah terlalu tinggi dan makin condong batangnya.  Buahnya makin tidak menjadi dan tidak elok.  Musim yang baru-baru ini kami hanya dapat sebiji saja buahnya yang cantik elok masaknya.  Yang lain-lainnya busuk di makan ulat buah.  Harap baunya saja yang semerbak bila masak tapi isinya tak elok.  Buat 'menghampakan tekak saja.




Rancangan asalnya abahintan hanya hendak mencantas dahan-dahannya yang dah menyungkup atap garaj kete di halaman rumah.  Dua petang juga lah operasi ini berjalan.  Hari pertama abahintan hanya membuang semua dahan-dahan.  Membuang dan menggemaskan dahan dan rantingnya saja dah memakan masa.  Petang hari kedua baru abahintan menebang keseluruhan pokok.  Nasib baik ada mesin penebang pokok, senang dan cepat sikit kerjanya.  


Lepas ni kalau berhajat nak makan cempedak goreng, beli  di gerai yang banyak menjualnya di tepi jalan laluan Kuala pilah Seremban tu.  Nasib baik dapat yang manis , tentu puas hati.  Kalau dapat yang tawar, yang diperam dengan karbaid... nasib tak baik  la.

 ..... lepas ni tiada lagi la entri tentang  cempedak di luar pagar ni...





Selasa, 9 April 2013

Kempunan seorang anak.


Terima kasih kepada semua sahabat yang meninggalkan komen di entri sebelum ini.  Tak sempat dibalas dan belom sempat juga menjenguk balik ke blog sahabat semua.  Insya Allah ada masa dan kesempatan nanti ibuintan akan menjenguk sahabat semua.

Pagi Ahad, selain ke kenduri rumah jiran terdekat, ibuintan juga terkejar-kejar juga ke rumah jiran terdekat yang lain yang tiba-tiba menerima berita kematian anak lelakinya yang juga bekas anak murid ibuintan. Kak Siah yang sedang berniaga di pasar tani pagi Ahad tiba-tiba pengsan sebaik menerima berita anak lelaki keduanya meninggal dunia di Sabah akibat kemalangan. Anak lelakinya Mohd Isa , berkhidmat sebagai askar di Sabah. Pagi kejadian Mohd Isa sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

Menurut Kak Siah, dua hari sebelum kejadian dia ada menelefon memberitahu bahawa dia tidak dapat mengirimkan wang pada bulan ini kerana baharu membeli sebuah motosikal.  Isa juga memberitahu bahawa dia telah keluar dari kawasan operasi di Lahad Datu dan kini berada di kem semula.  Berita gembira yang dia selamat dalam operasi itu menyebabkan Kak Siah mengatakan akan membuat kenduri doa selamat bila dia balik bercuti nanti.  Balasnya sebelum memutuskan talian meminta Kak Siah mengemas rumah dengan alasan dia akan balik bila-bila masa saja dan Kak Siah boleh membuat kenduri.  Dia juga beberapa kali mengatakan keinginan untuk makan lauk sardin goreng berpetai masakan Kak Siah.

Dan tak sangka selepas dua hari dia berkata begitu, dia memang balik  sebagai jenazah dan kenduri doa selamat bertukar menjadi kenduri tahlil.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Disebabkan kejadian di Lahad Datu juga masih baru maka sejak tersebar berita kematiannya,  banyak orang yang datang menziarah dan menunggu kepulangan jecnazahnya.  Jenazahnya sampai pada pukul sepuluh malam dan urusan pengebumiannya selesai menjelang pukul dua belas malam... moga keluarga Kak Siah tabah dan reda dengan ujian imi. 




Jumaat, 5 April 2013

Tak berbaloi.

Semasa waktu rehat di sekolah pagi tadi, empat orang ahli Kelab Doktor Muda yang telah dicalonkan untuk menyertai Pertandingan Kuiz sempena Konvensyen KDM Daerah datang berjumpa ibuintan. Mereka datang bertanya samada mereka perlu datang atau tidak esok (Sabtu) untuk membuat persediaan menghadapi kuiz. Tak sampai hati ibuintan hendak memberitahu mereka tentang sepucuk surat yang diterima pagi semalam.


Pagi semalam, lebih kurang pukul sepuluh setengah pagi, seorang pembantu pejabat datang menghulurkan sepucuk surat kepada ibuintan,  Surat yang baru diterima katanya.  Setelah surat dibaca ibuintan rasa terkejut yang teramat, terbayang hasil usaha dan penat lelah ke empat-empat peserta Kuiz tidak berbaloi sama sekali.  Usaha ibuintan juga.  Sepanjang cuti sekolah yang lalu, empat hari kami berkumpul di sekolah membuat ulangkaji dan persediaan untuk pertandingan kuiz ini.  Begitu juga beberapa hari disebelah petang dikorbankan untuk ini. 

Alih-alih pagi semalam dapat surat jemputan menyertai Pertandingan Kuiz yang berlangsung pada 3 April iaitu hari Rabu pukul dua setengah petang.  Pertandingannya hari Rabu, terima suratnya hari Khamis.  Memang tegang sangat ibuintan rasakan pagi semalam.  Telefon rakan-rakan dari sekolah lain bertanyakan hal yang sebenarnya dan mereka memaklumkan hanya dua sekolah yang tidak menghantar peserta. Salah satunya sekolah kami.  Punah harapan keempat-empat murid ini untuk menyertai pertandingan ini. 


Setelah diberitahu hal yang sebenarnya pagi tadi, terbayang kekecewaan di wajah mereka.  "rugilah', 'tak best lah', 'sia-sia lah' ...itu saja yang terkeluar dari mulut mereka pagi tadi. Sebagai memujuk hati mereka yang kalah tanpa bertanding, ibuintan hanya mengatakan 'tiada rezeki kita, kamu kecewa, cikgu lagi kecewa".  Masa berjam-jam mengadap komputer untuk mencari bahan  terasa amat tidak berbaloi.  Tidak berbaloi juga kepada tiga orang murid dari tahun enam ini yang terpaksa mengorbankan waktu belajar mereka selama lebih dua minggu semata-mata untuk membuat persiapan ke pertandingan ini.


Namun esok Sabtu, ibuintan tetap juga ke sekolah.  Membantu tiga orang murid lain pula yang menyertai pertandingan Buku Informasi .  Buku ini akan dihantar pada 8 April hari Isnin depan.  Walau apa jadi pun, esok buku ini wajib disiapkan. 



Kepalo dah start berdenyut ni!

.......................... takde pulak!










Minat lama.

Minat punya pasal, turutkan saja la.  Tak dapat hari ni, esok-esok cuba lagi.

Petang semalam ....:"Kak, nak tanya la.  Akak beli apa ni, bungkusan besar-besar gini.  Selalu pulak tu" kata sipenghantar 'abang' pos laju dengan ramahnya.  Akak ni jawab dengan senyuman je. ... adalah!







Ni saja isinya.


Sekarang tengah  mencari dan mendapatkan dua bunga ini untuk melengkapkan koleksi yang sedia ada.  Masih banyak yang kurang dan belum lengkap lagi.  Tapi walau macam mana berhajat sekali pun kalau harganya tak masuk dek akal dan masuk kategori tak mampu milik, biarkan saja dulu.  Belum pulak sanggup berhabis demi benda-benda ni.  Banyak lagi keutamaan lain.  Ini hanya sekadar memenuhi minat dan sebagai terapi saja.



.... belilah ibu, yang penting ibu gembira... terima kasih kepada anak-anak yang memberi sokongan dan kepada abahnya yang sesekali  menghulurkan sumbangan.


Rabu, 3 April 2013

Panas berdenting.



Sejak zaman bersekolah lagi dah tertulis dalam buku Geografi  bahawa Kuala Pilah adalah kawasan paling kering di Malaysia. Memang betul dan tak dapat dinafikan lagi.  Sepanjang minggu ini  Kuala Pilah memang kering.  Panas terik dan membahang hingga ke petang malah membawa ke malam juga.   Badan belum kering dilap selepas mandi, peluh dah menceceh keluar.  Rasa nak berendam sepanjang hari.  Sangat tak selesa tambahan ibuintan ni jenis mudah berpeluh dan kerja pula memaksa sentiasa berjalan dan turun naik tangga.  Menjelang pukul sepuluh badan dah rasa melekit. Sejak dua hari ni juga ibuintan membawa tuala mandi ke sekolah.  Terpaksa mandi di tandas untuk mengelakkan badan terlalu melekit dek peluh.  Nasib baik bangunan baru ni tandasnya cantik dan ada ruang untuk mandi.

Dan nasib baik juga bilik guru, makmal komputer dan bilik ibuintan di bilik kelab doktor muda ada penghawa dingin, dapat juga menyejukkan badan sesekejap di waktu rehat.  Dalam kelas memang membahang.  kipas angin macam tak berfungi, makin ligat makin panas pulak rasanya.


Tapi petang tadi ........Syukur.. setelah lebih seminggu kampung ibuintan tidak disirami hujan, petang tadi hujan turun juga sekejap.Walaupun sekejap tapi lebat, dapatlah  membasahkan  tanah yang makin kering, menyegarkan tumbuhan yang makin kekurangan air dan mengurangkan kepanasan udara yang membahang sepanjang minggu ini.   Alhamdulillah.

Walau cuaca panas tapi anak-anak murid tetap juga ligat berlari dan bermain sesuka hati.  Tak kesah langsung badan mandi dek peluh.  Bau diorang tak boleh nak cakap lah, macam-macam bau yang menyengat lubang hidung.  Waktu pagi tahan lagi tapi menjelang tengah hari memang tak sanggup nak duduk dekat, menyengit baunya.  Paling ketara bau pelajar anak orang Asli la.... tambahan ada yang tak mandi pagi.  Naik loya pun ada.  Bukan nak  mengata mereka tapi itulah hakikatnya.  




.....teringat di darjah satu dahulu.. bila cikgu tanya kenapa taknak jadi cikgu... "taknak mandi pagi' jawab ibuintan jujur... hehehe maklumla masa tu mandi guna air dalam kolah yang terdedah dan berembun, memang sangat sejuk di waktu pagi.  Bilik air masa tu di luar rumah, hanya berdinding zink dan tidak beratap.  Kalau hujan pagi, lagilah sejuk... menggigil.  Mandi dalam hujan, subuh gelap lagi  tu. Dan pemikiran pulak masa tu hanya membayangkan jadi cikgu mesti bangun awal dan mandi awal pagi.  Sebab masa bersekolah dulu pukul enam setengah dah keluar dari rumah dengan berjalan kaki dan bila sampai sekolah cikgu-cikgu dah sampai dulu.  Jadi ibuintan bayangkan mesti cikgu tu bangun lagi awal, lagi awal lagilah sejuk.... so takut jadi cikgu dengan alasan takut mandi pagi sebab sejuk.  Nasib baik ketakutan itu tak berkekalan kalau tak haru jadinya... bila cikgu tak mandi pagi... hehehe malu amek den tu! Mau bau kambing gurun lak tu!









Selasa, 2 April 2013

Along.

Selamat Ulangtahun kelahiran buat Along.
Semoga dikurniakan
 iman yang sempurna dan sentiasa dipelihara,
akhlak yang terpuji
pekerti yang mulia dan dihormati
umur yang panjang dan bermanfaat
rezeki yang halal dan berkat
ilmu yang berguna untuk diri sendiri dan orang lain
menjadi abang yang baik kepada adik-adik
menjadi anak yang sentiasa ingat dan mendoakan ibu dan abah
serta hidup yang dirahmati di dunia dan akhirat.


Disebabkan hari kerja, ibu abah malah Along sendiri sibuk maka tiada makan-makan di luar seperti kebiasaannya. Hanya abahnya saja yang membelikan kek sebagai hadiah  semasa balik dari kerja petang tadi.  Moga Along menjadi anak yang baik dan mendengar kata.  Dah besar anak ibu rupanya, dah 20 tahun kini.. Tahniah Along.... ibu sayang Along.