Followers

Selasa, 30 November 2010

Caca marba je lah...

Hari yang sibuk rasanya hari ni.... sibuk sebab tak berapa dapat menekun menghadap pc hari ni.... dapat jenguk kejap-kejap saja pagi tadi.... tiada aktiviti riadah pagi sebab cuaca masih lembab, malam tadi semalaman hujan.

Sebab tak beriadah, maka cepatlah mulanya kerja-kerja menguruskan rumahtangga .... kerja yang teramat rutin, yang sentiasa berulang -ulang,.. nak kata jemu... ada juga... nak kata terpaksa buat.... ada masa terpaksa juga  (terutama bila datang  hantu malasnya).... namun dah kewajiban dan ini juga satu cara untuk mendapat pahala, mendapat pahala secara senang dan percuma... yang penting ikhlas.

Dan pastikan semua kerja dan aktiviti yang dilakukan sentiasa dimulakan dengan ucapan Bismillah dan  sentiasa berselawat ke atas Nabi s.a.w.... kata arwah 'emak supaya berkat dan makanan yang dimasak pun jadi sedap'..

Melihat rumah cantik tersusun kemas, melihat ahli keluarga makan dengan berselera, melihat semuanya sedap dipandang maka semua penat lelah terbayar rasanya.... komfom hilang penat.

Pagi tadi juga awal ke dapur untuk masak.  Hari ini masak lemak umbut kelapa dan masak asam ikan kembung.  Semalam abahintan beli umbut kelapa.  Umbut kelapa direbus dahulu supaya empuk.  Umbut direbus dengan air kelapa muda.  Selepas empuk, air rebusan dibuang dan diganti dengan santan kelapa, umbut dimasak bersama serai, boleh juga dicampur dengan daun kunyit.
Gulai umbut dimakan bersama ikan masin dan sambal gesek.... bak kata orang tua "mentua lalu belakang pun tak nampak"... dah lalu kat belakang mana nak nampak kan, bukan ada mata kat tengkuk tu pun... pukul 12 setengah dah makan sebab ada agenda lain pula  menyusul.

Petang tadi kami sepetangan di Kolej MARA Seremban.  Intan ada ujian kelayakan kemasukan ke Tingkatan 4 MRSM tahun 2011.  Ujian bermula dari pukul 2  sehingga  pukul 5.20 petang.

Walaupun lebihkurang 25km dari rumah, sebelum pukul satu kami telah keluar.  Kami takut terlewat sampai di pusat ujian, semua pelajar diminta berada pusat ujian 15 minit sebelum bermula .  Jalan Kuala Pilah Seremban tidak boleh dijangka sekarang ni... bila-bila boleh sesak dan jam...syukur perjalanan lancar.
Sementara menunggu Intan menduduki ujian, cadangnya hendak berjalan-jalan dulu ke bandar Seremban, namun terbatal kerana hujan turun dengan lebatnya.  Hanya duduk dan berborak dengan beberapa orang penjaga yang menunggu anak mereka, kesemua penjaga ini datang dari sekitar Kuala Lumpur sperti Bangi, Serdang dan Kajang.  Mereka memilih pusat ujian di KMS ini  kerana ini tempat yang terdekat bagi mereka.

Berdasarkan sembang-sembang, mereka adalah penjaga yang berkerjaya sukses... melihat  kereta yang mereka pandu, penampilan diri serta sentiasa mengakses internet menggunakan  telefon bb yang mereka guna..... melihat keadaan ini.. terfikir juga 'bagaimanakah peluang untuk anak yang kurang berkemampuan untuk belajar di kolej ternama ini?

Seorang penjaga yang juga seorang pensyarah universiti berkata 'tiga orang anaknya telah berjaya belajar kolej ini dan  kalau berjaya yang ini adalah anaknya yang keempat....   bertuah sungguh kan.... sedangkan ada anak orang lain yang juga cemerlang namun tidak seorang pun dapat peluang belajar di kolej kebanggaan orang Melayu ini ......di manakah silapnya?

//gambar yang sempat disnap sbelum hujan turun, menggunakan hp cap telur ayam tentunya.......hahaha

Isnin, 29 November 2010

Uban... keluarlah lagi .. ada ku kesah.


Kita senyum dulu:

Suatu hari seorang kanak-kanak berusia lingkungan enam tahun- terkejut melihat ada beberapa helai uban di celah-celah rambut ibunya.

Dalam keadaan hairan "Mak... kenapa ada uban atas kepala mak"

Jawab emaknya : "Memanglah begitu... setiap kali anak-anak melukakan hati emaknya, sehelai rambut emak akan berubah warna menjadi putih. Kalau rambut emak banyak yang putih, itu tandanya kamu banyak melawan cakap emak selama ini."
Kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa itu berkerut-kerut mukanya memikirkan sesuatu.

Dia kemudian bersuara perlahan : "Kalau macam tu, emak lagi banyak melawan cakap nenek"

//emak nak kenakan anak sebaliknya emak yang terkena - salah siapa



Pagi semalam ke SMKA Pedas, menjenguk Along yang masih belum bercuti kerana masih menduduki peperiksaan SPM.  Semasa sedang makan bersama sambil berbual-bual., abahnya menegur kerana ternampak beberapa helai uban di atas kepala Along.  Perasan rambut Along telah mulai beruban sejak dia di tingkatan 3 lagi, ada tumbuh sehelai dua, dicabut kemudian tumbuh lagi.

Semalam abahnya tegur  "kenapa Along tak cabut?" sebab dah nampak banyak sikit.

Jawab Along selamba sambil menyuap nasi ke dalam mulut, "Sayang nak cabut, ustaz kata cahaya di akhirat esok".

Semua diam sambil terus makan.  Along kemudian menambah," ibu dan abah pun jangan cabut uban tu, biar putih semua, nanti uban itu boleh tolong kita di akhirat, sehelai uban boleh menolong menghapuskan satu dosa kecil" katanya lagi.

Memang ibuintan sendiri pun dah banyak ditumbuhi uban begitu juga abahnya.  Namun ibuintan memang tidak pernah mencabutnya sejak tumbuh, reda saja menerimanya, orang lain bukan tahupun , hari-hari pakai tudung, biarlah uban-uban tu tumbuh.  Menginaikan uban pun tidak pernah sekali dibuat.  

Pernah juga seorang kakak ipar mengajak menginaikan rambut bersamanya.  Kakak ipar yang seorang ini memang suka menginaikan rambut, merah menyala jadinya.... bila dah putih semula ... inai lagi begitulah berulang-ulang.  Rasanya tak perlulah mengubah fitrahnya, putih uban biarlah ianya kekal begitu..


///Yang penting abahintan tak komplen sebab hanya dia yang berhak melihatnya.   

Antara info yang dapat digugel tentang uban :


1) .  Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan Nabi bersabda:

Janganlah kamu mencabut rambut putih, kerana akan menjadi nur pada hari kiamat, Barangsiapa yang bertambah tua dalam islam dan memiliki rambut yang putih, maka Allah akan mencatit untuknya satu kebaikkan untuk setiap rambut. Menghapuskan satu dosa untuknya dan menaikan baginya satu darjat. (Riwayat Ibnu Hiban)



2).  Telah diriwayatkan bahwa orang pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim a.s. Ketika beliau melihat rambut putih itu beliau bertanya: "Wahai Tuhanku, apa ini?".

Allah menjawab: " Ini (tanda) kewibawaan." 

Berkata Ibrahim: "Tuhanku, tambahkanlah itu bagiku!" 

Berkata Al-Khatib Ibnu Nutabah: "Sesungguhnya uban itu laksana perbatasan hidup yang tak dapat disekat, kerosakannya tidak dapat diperbaiki oleh zaman. Ia adalah cahaya yang muncul bersama dengan surutnya nafas seseorang, yang akan memimpin seseorang ke tempat longgokan tulang-belulang. Oleh kerana itu semoga Allah merahmatimu, jangan membakar cahaya ubanmu dengan api-api dosamu!

3).  Fakta sains pula ..dr wikipedia

Rambut boleh kehilangan warna kerana kekurangan melanin iaitu bahan pewarna semulajadi yang terdapat di dalam badan yang juga dikenali sebagai pigmen.
Apabila usia semakin meningkat, penghasilan pigmen dalam folikel rambut semakin menurun dan mungkin akan berhenti membekalkan bahan perwarna dan menyebabkan rambut menjadi putih atau beruban.
Bagaimanapun seluruh rambut tidak akan beruban dalam masa yang singkat kerana ia mengambil masa 10 hingga 20 tahun. Waktu seluruh rambut akan beruban bergantung kepada tempoh jam biologi masing-masing.

//takde salahnya beruban...rambut mahkota untuk wanita, namun wanita muslimah wajib menutup rambutnya dengan bertudung..... ramai lelaki lagi macho bila beruban dan  bila rambut putih keseluruhannya......



Sabtu, 27 November 2010

Pisang rebus -- yang awal dan akhir.

Selamat Petang.  Rasanya ramai yang sudah makan tengahari kan, samada makan di rumah, di kedai tak pun di rumah orang kenduri. 

Hari ini, abahintan dan Azim saja yang pergi makan kenduri,  setiap minggu pergi kenduri sesekali malas juga, lagipun ini kenduri kecil (kenduri berkhatan).... yang penting dua orang wakil dah hadir.. Tapi esok pagi ada lagi undangan majlis kahwin.... insyaallah rasanya yang ini ibuintan sekeluarga patut pergi.

Hari ini nak tunjuk satu lagi menu orang lama.  Ini menu minum petang Khamis sebenarnya.  Petang Khamiskan hujan lebat.. (lihat)  bila hujan-hujan begini, orang-orang tua selalu kata 'perut lapar memanjang'.

Kebetulan di rumah ada sesikat lagi pisang nangka tua  pemberian jiran sebelah rumah.  Separuh telah digoreng.  Jadi untuk minum petang tu,  teringat untuk membuat pisang rebus.  Asyik pisang goreng je ...

Amat senang untuk dibuat.  Hanya potong bahagian pangkal dan hujung  pisang sahaja. Kemudian susun dalam periuk dan bubuh sedikit air, sehingga pisang agak tenggelam. Rebus dalam 10 ke 15 minit. Angkat.

Potong dan gaulkan bersama gula ataupun kelapa parut yang telah digaul bersama gula. Makan bersama madu, gula anau atau gula melaka pun 'sodapppp"  

Semasa makan pisang rebus ni, sempat bercerita dengan Azim dan Intan  bahawa pisang rebus adalah antara  makanan awal bayi untuk datuk dan uwan mereka.  Pisang rebus kemudian dilenyek sehingga lumat dan lembut.

  'Zaman datuk dan uwan belum ada 'nestum' lagi,' kata mereka.

Ketika ini juga, teringat permintaan terakhir arwah mak ibuintan ialah pisang nangka rebus.  Semasa itu emak sedang dirawat di wad CCU Hospital Tunku Najihah, K. Pilah, emak sesak nafas setelah mengalami komplikasi pada paru-parunya, setelah dibuat pembedahan kecil untuk membuang air di paru-paru mak, keadaannya makin lemah.

Semasa berkeadaan lemah ini,  mak  menyebut hendak makan  pisang nangka rebus. Adik dan adik ipar berusaha sungguh mencari dan memasakkan  pisang rebus tersebut.  Alhamdulillah... permintaan mak termakbul, walaupun hanya dapat disuapkan sedikit saja.....inilah makanan terakhir yang dimakan oleh mak sebelum menghembuskan nafas terakhirnya selepas subuh keesokkan harinya.

Inilah makanan pejal pertama mak setelah lahir ke dunia dan inilah juga makanan terakhir mak sebelum meninggalkan dunia ini.

Alfatihah untuk mak..

Jumaat, 26 November 2010

Cendawan kukur.......... Yang lama dilupa jangan.

Wah... tajuk entri... cam hebat yo.. ...Apo yang tak boleh dilupa tu.. Tak hebat pun, entah-entah ramai yang tak kenal dan tak hingin pandang pun....
                                                                    
                                                           
                                          Cendawan kukur

Inilah cendawan kukur ataupun ada juga yang memanggilnya cendawan sisik.  Cendawan kukur ini banyak tumbuh di batang pokok yang sudah mati terutamanya batang pokok getah yang telah tumbang atau ditebang.

Cendawan ini banyak dan mudah ditemui semasa musim hujan.  Selepas hujan, biasanya cendawan ini kembang dan mudah dipetik.  Kalau semasa kecil dahulu, selepas musim hujan,  emak dan beberapa orang jiran akan masuk ke kebun getah di belakang rumah untuk mencari cendawan kukur ini.

Cendawan kukur ini sangat sedap dimasak 'lemak cili api'.  Namun sekarang tidak perlu lagi bersusah payah mendaki bukit dan meredah kebun untuk mencarinya.  Biasanya, cendawan kukur ini ada dijual di pasar  tani samada di Pekan Kuala Pilah atau di Pasar Minggu Tanjung Ipoh.

Cendawan  kukur yang dijual biasanya dimasukkan ke dalam  tin sardin yang kecil atau 'pot'  Satu pot ini berharga RM2.  Untuk masak tengah hari tadi, ibuintan membeli dua pot. Beli daripada seorang kakak yang berjualan di Pasar Minggu Tg. Ipoh.  Kakak ini pula mendapatkan bekalan cendawan ini dengan mencarinya di sekitar kebun getah di kawasan Felda yang berhampiran.

Kalau dulu, semasa kecil dan ibubapa kebanyakannya susah, rata-rata semua keluarga menyajikan lauk cendawan kukur bila ianya bermusim.  Untuk menyimpan supaya cendawan kukur tahan lama, ia perlu dijemur sehngga kering.  Bila hendak memasaknya pula, disebabkan cendawan ini telah kering dan keras, ianya perlu direndam sehingga ianya lembut dan kembang.

Selain dimasak lemak cili api, cendawan ini juga boleh dibuat sup atau digoreng bersama campuran sayur lain.  Namun, masak lemak cili api juga yang selalunya menjadi pilihan.. Rasanya akan menjadi manis setelah dimasak.

Untuk masakan hari ini, cendawan kukur masak lemak cili api campur ikan bilis serta ditambah beberapa tangkai pucuk ubi.

Selain lauk diatas, ibuintan juga masak  daging goreng sos barbeku. Daging lembu korban yang digoreng bersoskan sos barbeku dan diperahkan sedikit jus limau kasturi. 


//Info rujukan:
Cendawan kukur atau nama saintifiknya Schizophyllun commune.Ia mengandungi Schizophyllan iaitu bahan dalam ubat antitumor dan kanser selain dikatakan dapat membantu meningkatkan system imuniti tubuh, anti-radangan, anti-bakteria, anti parasit dan melindungi hati.

/// maknanya adalah khasiatnya yang tersembunyikan......

Khamis, 25 November 2010

Mendung membawa hujan membawa rahmat.

Pagi... cuaca panas dan cerah.

Menjelang pukul 3. petang......



                                       Mendung dengan angin yang kuat.


               Lihat pokok kelapa yang tinggi menjulang itu sedang dibuai angin


 Diikuti


                                                


                                    Hujan lebat yang mencurah-curah.
        Membawa rahmat dan kegembiraan kepada Si Debab di dalam kolam tu...        

Rabu, 24 November 2010

Dunia ini sentiasa indah.


Seorang wanita tua, usianya menjangkau 92 tahun, selalu datang ke klinik seawal pukul 8.00 pagi untuk mendapatkan rawatan. 

Walaupun cacat penglihatan, dia tetap bersolek cantik dan  berpakaian kemas dengan rambutnya didandan rapi.

Setelah menunggu beberapa jam di lobi, wanita tua itu tersenyum manis apabila diberitahu bilik rawatannya telah siap.

"Puan, mari saya tunjukkan bilik rawatan puan," kata jururawat sambil memimpin tangan wanita itu menuju ke tangga bergerak.

Sambil berjalan, jururawat memberi sedikit gambaran mengenai bilik yang disediakan.

"Kami menyediakan bilik puan dengan peralatan yang lengkap bersama tirai yang digantung cantik," kata jururawat itu.

"Terima kasih.... saya sukakan bilik itu.  Segalanya kita yang tentukan, nak gembira atau sebaliknya.  Saya percaya, semuanya bergantung pada pemikiran kita," kata wanita itu tersenyum.

"Tapi..... macam mana puan boleh katakan puan sukakan bilik itu, kita belum sampai lagi ke bilik," tanya jururawat hairan.

"Fikiran saya kata begitu.  Setiap pagi saya akan buat keputusan sama ada memikirkan kepayahan atau bangun dengan penuh kegembiraan, lalu saya bersyukur kepada Tuhan yang memberi peluang saya bernafas lagi," jawab wanita tua itu.

"Usia tua sama seperti akaun bank.  Kita akan keluarkan apa yang telah lama kita simpan," kata wanita itu lagi, yang mengaku dia hidup sendirian selepas suaminya meninggal dunia.

Sambil tersenyum, wanita tua itu mengingatkan jururawat itu tentang lima prinsip amalannya selama ini.

        * Sentiasa bebaskan hati daripada rasa benci.
        * Bebaskan pemikiran daripada kebimbangan.
        * Sederhana dalam hidup.
        * Bersedekah tanpa mengharapkan balasan.
        * Menerima dengan seadanya susunan takdir.

//petikan daripada  majalah Mastika keluaran November 2004.

///pilihan di tangan kita - positif atau negetif

Selasa, 23 November 2010

Untuk sihat ....Sambil Beriadhah Kita Berukhwah

Rancangan jalan-jalan awal pagi dah bermula, setelah tertangguh tiga hari dari jadual asal.. better late than never... wah..boto ko tu!  Tak jauh ke mana pun, round sekitar jalan kampung saja. Jalan-jalan sambil bertegur sapa dengan jiran, jiran pergi kerja tegur, jiran menyapu halaman pun tegur.. takpe lah kan sambil beriadah sambil mengerat silatulrahim.

Ni gambar sewaktu dah balik, depan rumah, di bawah pokok cempedak di luar pagar.  Intan tak mau lama-lama, malu katanya 'semua orang pandang', esok dia ajak keluar awal-awal pagi.... masalahnya 'berani ke' , pukul 6.30 gelap lagi tu.....ni kampung bukan Kolumpo.

Isnin, 22 November 2010

Baunya busuk ... duitnya berkaler-kaler.


Kenalkah kalian gambar di atas?.  Inilah getah lantun atau getah sekerap atau getah beku.  Baunya memang memukau bukan sebab wangi tapi sebab bucukkk. Namun bagi yang menyara keluarga dengan menoreh getah, ramai yang dah mula tersenyum dan tidak mengeluh lagi tentang harganya,.. cuma disaat harga boleh diharap mereka mengeluh pula kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Bagi penoreh getah cuaca hujan umpama menutup periuk nasi mereka.

Kenapa ibuintan sebut pasal getah lantun pulak ni?  Hahaha.... ni sebab getah lantun ada hargalah ni....  ibuintan kan tinggal di kampung... jadi di belakang rumah adalah tanah kebun sekangkang kera.  Dulu masa abah (arwah) masih muda dan sihat, adalah menanam dalam 50 ke 60 batang pokok getah.  Sebab sekangkang kera jadi banyak tu je lah pokok yang dapat ditanamnya.  Adalah dalam 7 ke 8 teres. Sempat jugalah abah menoreh selama beberapa tahun semasa dia masih sihat dulu.


Kebun ni belakang rumah saja... buka tingkap dapur nampaklah pokok getah tu.. ...so sejak harga boleh tahan ni, abahintan pun ambil kesempatan jugalah, menoreh waktu petang selepas balik kerja ataupun waktu pagi di hari Sabtu dan Ahad, namun bergantung pada cuaca juga.  Dalam seminggu dapatlah tiga ke empat kali 'motong gotah' ni.  Sekali menoreh, makan masa sejam lebih kurang

Petang tadi, sebab hari ini panas hingga ke petang dan langit masih cerah.. harapnya malam ni hujan tak turun, selepas balik kerja dan minum petang, lebih kurang pukul 5 setengah abahintan bersiap untuk pergi menoreh... ajak ibuintan sekali kutip lantun, hai ni yang berat ni... tang ni memang liat nak menolong, tapi mengenangkan demi memberi semangat ... ku gagahi juga mendaki bukit bersama.....lereng bukit saje.... abahintan kata mesti kutip petang ni sebab dah dua hari dia motong.

Tapi kena juga pakai eksesori sikit... pakai sarung tangan dan kasut but PCK tu, wangi sangatlah kalau tak pakai sarung tangan tu.  Kutip punya kutip, wah berbaloi juga , kata abahintan ada juga dalam 50 kilo tu, mula lah tuan tanah mengira-gira dan mencongak tu.... 50 darab RM6...(minggu lepas harganya RM6 sekg, mana tahu naik harga lagi)... wah, boleh tahan juga, dua hari punya projek.. tapi belum jual , kumpul dulu untuk sekali kutip lagi.

Seingatnya minggu lepas, abahintan jual untuk 4 hari menoreh dengan harga RM6 sekilo, dapat RM452, berbaloi jugalah untuk kerja part-time yang suka- suka, menoreh pun main suka hati je,.. janji susu getah keluar sebab pokoknya pun dah patut diganti semula- tanam semula.  Jual pun pada peraih yang datang ke rumah, call saja datanglah mereka.

Pada yang menoreh bersungguh-sungguh memang berbaloi juga dengan harga sekarang. Semalam di rumah kenduri jiran (bertunang) seorang kakak tu (janda) menoreh getah seorang diri, di dua lot kebun sendiri  bercerita dengan cerianya... pagi Sabtu lalu dia menjual lantun yang dikumpul untuk dua minggu dan hasilnya lumayan, dia mendapat hampir RM3 ribu setengah. 

Sekarang agaknya topik utama di warung teh ialah tentang getah yang sedang mempunyai harga dan sekiranya ini berterusan, akan berkuranganlah sedikit beban kepada  mereka yang mempunyai anak yang masih bersekolah, maklumlah semua nak beli .... baju, kasut, alat tulis, buku tulis dan nasib baik buku teks free.

Ini pulak kerja sampingan juga, sambil kutip lantun nampak pucuk paku pinang ni, terus petik, dah pun digoreng campur ikan masin kurau.

//rasanya tak perlu joging kalau setiap hari mendaki teres di lereng bukit belakang rumah ni, memang bermandi peluh.... hai, ibuintan sanggup ke!

Makan, makan, makan, makan..... memang sah bertambah saiz ni

Cerita semalam.  Makan yang berganda.
Sarapan pagi makan roti canai, abahintan beli di pasar minggu Tanjung Ipoh, sekeping seorang.

Pukul sepuluh pagi ke rumah jiran, kenduri majlis pertunangan.

Menunya.. nasi putih, kari daging, gulai ikan sembilang salai campur buah gelugur, gulai perut lembu dengan belimbing buluh, ayam masak merah dan acar mentah.

Ibuintan makan.... nasi putih, ikan sembilang setengah ekor, seketul ayam masak merah, dan acar mentah.  Kari dan perut lembu tak makan.

Petang pula , bertolak dari rumah pukul 2.45 ke Taman Panchor Jaya, Seremban. Rakan guru membuat majlis tahlil dan Yasiin , juga majlis khatan anak lelakinya. Perjalanan kurang lancar sebab ada xcident kecil di Ulu Bendul, jalan jam juga.

Menu... nasi putih, serunding daging, pecal, kerabu mangga, sup tulang, kari nangka, ayam masak merah dan lima lagi menu Jawa, tak tahu nama. Pencuci mulut juga beraneka jenis. Rakan guru seorang Jawa berasal dari Batu Pahat.

Ibuintan makan... nasi putih sesenduk, ambil semua jenis lauk variasi Jawa sebab ingin mencuba  menu Jawa. Bila diisi semua lauk jadi penuh menjunjung  satu pinggan.  Lepas makan nasi, cuba pula pencuci mulut yang pelbagai. Itu pergi waktu petang, kalau masa puncak di tengahari, agaknya lagi banyak menunya sebab rakan tu kata 'banyak yang dah habis'.


Balik dia bekalkan penuh satu bekas (lebih sekilo) kerepek pisang, sempat lagi makan beberapa keping sehingga sampai ke pasaraya Giant Senawang.  Tujuan utama pergi Giant, cari kasut sukan yang murah saja untuk aktiviti joging la... kononnya.  Dapat dua pasang... satu untuk ibu dan satu untuk Intan.


Bila dah masuk tu, bukan saja dapat yang dicari yang tak di cari pun dapat juga, ambil itu ambil ini, akhirnya penuh juga satu troli. Akhirnya beratur panjang untuk membayarnya.  Keluar dari pasaraya tu  dah pukul 7 setengah, Azim ajak abahnya makan lagi.  Pergi ke Ampangan dan solat Maghrib di surau bawah flat di Ampangan.

Selepas solat, ke sebuah restoren makan di situ.  Rasanya kenyang lagi.  Tapi bila, Azim dan Intan order makanan, tak sedar terorder sekali... hahaha boleh 'terorder' pulak tu, order pulak tu nasi goreng cendawan.  Jadi kami order sepinggan nasi ayam untuk Azim, nasi paprik untuk Intan dan nasi goreng cendawan untuk ibu dan abah mereka. Airnya pulak 4 gelas fresh orange.

Sekali datang.... ambik kau... penuh 4 pinggan besar....  otomatik rasa kenyang.  Azim dan Intan makan  hampir habis sepinggan, sementara ibu dan abah mereka hanya sanggup makan suku pinggan saja.  Sepatutnya order satu saja dan boleh share berdua. 

Lepas makan terus balik ke rumah, sepanjang perjalanan balik kami kurang  berbual, masing-masing melayan perasaan sendiri... perasaan ngantuk sebab kekenyangan yang melampau.

Memang sah..... empat kali makan .... makan yang berat-berat.... akhirnya jadi macam badak.........huaaaaaaaah nganga katup, nganga katup, nganga katup.... mengantuk giler

Sabtu, 20 November 2010

Makan dan tidur... nak tambah saizlah tu!

 Rancangan yang dirancang untuk hari ni tidak berjalan lancar.  Sejak semalam dah merancang, pagi tadi nak memulakan aktiviti jalan-jalan pagi, ala-ala joging lah kononnya,  dah merancang dengan Intan kononnya sepanjang cuti sekolah ni hendak beriadah dengan berjoging di waktu pagi.

Selepas subuh, terus menyediakan sarapan pagi khas untuk abahintan saja dulu. Kejutkan Intan, 'ala ibu.. Intan malaslah, sokgi sajalah bu' katanya dari dalam bilik. Intan bercuti solat jadi ada alasan bangun lewat sikit namun lewat pun tidak boleh melepasi pukul 7 setengah. Pantang bagi ibuintan anak-anak bangun meninggi hari.  Bila Intan dah bagi alasan, spontan mood pun hilang.

Terus bersarapanlah, tunggu apa lagi.  Pagi tadi buat cekodok pisang saja.  Plan joging tak jadi, yang menjadinya tugas rutin rumahtangga, Siap kerja terus ngadap pc, walau sudah mula bercuti tapi masih ada satu kerja yang masih belum beres. Menyiapkan senarai list buku dan pembayaran persekolahan untuk sesi 2011,. itu dah jadi tugas wajib guru/tokey kedai buku.

List pembayaran buku dan yuran hanya akan diedarkan mulai bulan Disember, tak perlu dikeluar/edarkan awal-awal...  biasanya cepat beri cepat hilang.  Tiga empat kali kena fotostat lagi nanti. Alasan wajib.. 'hilang' tak pun 'tersalah letak'.

Kejap je siap, sebab memang dah simpan dalam pendrive, hanya tukar, ubahsuai dan tambah atau tolak mana yang patut. Siap terus print... minggu depan hantar ke gb untuk di tandatangan dan boleh terus fotostat.  Pemberian kepada penjaga adalah urusan pihak pentadbir.

Terus sambung ngadap pc sehingga seorang jiran datang bertandang. Hanya ziarah dan sesi bual-borak saja.  Jiran tu datang sebenarnya mengundang ibuintan sekeluarga ke rumahnya pada minggu hadapan, ada kenduri doa selamat dan bacaan Yassin sempena khatan anak lelaki bongsunya. Kenduri lagi...

Tengahari pula rutin masak. Menu tengahari tadi ialah sambal udang dan goreng sayur pucuk paku. Makan.

Rancangan sebelah petang pula, semalam dah berjanji dengan kakak sebelah rumah untuk ke rumah seorang jiran yang akan membuat kenduri esok pagi.  Kenduri majlis pertunangan.  Pun tak jadi juga sebab kakak sebelah rumah tidak sihat, sakit perut.  Malas pulak nak pergi sorang diri.

Dah tak jadi pergi, duduk ngadap Tv menonton perlawanan akhir sepaktakraw  Sukan Asia, -  Malaysia dan Thailand... first game dah kalah so mood pun hilang nak menonton lagi.  Masuk dapur goreng karipap segera. Tea-time makan karipap dengan teh tarik kaw. Hujan pun turun, mata pun ngantuk... maka zzzzzzzzzzz sampai pukul 5 petang.

//kalau macam ni setiap petang,zzzzzzzzzzzz saja, komfom  tahun depan pakai baju baru saja... baju lama hanya muat kepala saja.

Jumaat, 19 November 2010

Mentang-mentang aku cikgu tahun satu, begitu mudah aku di maki hamun.. namun itulah hakikatnya.

Berakhir sudah sesi persekolahan untuk tahun 2010.  Di hari terakhir persekolahan pagi tadi, ramai murid yang tidak hadir, mereka terus menyambung cuti sempena hari raya aidiladha.  Begitu juga guru-guru khasnya dari negeri Kelantan yang terus juga menyambung cuti mereka.  Kepada semua guru-guru selamat bercuti di ucapkan.

Minggu terakhir persekolahan pada tahun ini telah menambah satu lagi koleksi pahit kehidupan sebagai seorang cikgu. Hari Isnin yang lalu sekolah telah mengadakan majlis anugerah cemerlang.  Seorang ibu yang juga kakitangan sokongan di sekolah, telah datang menemui ibuintan. Ibuintan yang bertugas sebagai AJK mengurus murid yang mengambil hadiah memang sibuk menyusun atur kedudukan murid untuk menaiki pentas untuk menerima hadiah.

Si ibu (Pn X) datang komplen memberitahu bahawa anaknya dari tahun 3B tidak dapat hadiah mata pelajaran tertinggi iaitu subjek BM. Kebetulan juga untuk kelas 3B, ibuintan yang mengajar subjek BMnya.  Seingat ibuintan anaknya hanya mendapat pangkat B saja.  Ibuintan pun terus menyemak semula analisa keputusan BM untuk kelas tersebut, dan sememangnya anaknya hanya mendapat 66 markah sahaja.

Ibuintan pun memanggil murid tersebut dan bertanyakan tentang markah sebenar BM yang di dapatinya. 
'markah BM kamu sebenarnya 82 atau 66?' tanya ibuintan.
'66 cikgu" jawabnya.
'habis kenapa ibu kamu kata kamu dapat 82' tanya ibuintan lagi.
'entah' jawabnya.
Dan disebabkan sibuk dengan urusan menguruskan murid yang akan menerima hadiah, maka ibuintan pun tidak memaklumkan kepada Pn X tersebut tentang markah anaknya tadi.

Rupanya ketidakpuasan hati Pn X berlarutan sehingga keesokkan harinya.  Pn X terus berjumpa dengan guru kelas anaknya pula, meminta guru kelas mengubah semula markah BM anaknya dari 66 ke 82. Si guru kelas pun naik pening memikirkan banyak yang perlu diubah sekiranya betul markah murid tersebut ialah 82. Si guru kelas terus meminta penjelasan daripada ibuintan tentang kesahihan markah murid tersebut. Dan penjelasan ibuintan markah murid tersebut sah 66 dan tidak perlu diubah apa-apa.

Ketidakpuasan Pn X rupanya bertukar menjadi marah, Pn X yang tidak puashati datang menemui ibuintan dengan membawa bersama kertas peperiksaan BUKTI BM anaknya.  Dan sememangnya ke kertas BUKTI BM tersebut tercatat nama anaknya dengan markah 82.  Ibuintan yang pada mulanya menyangka telah tersilap menulis jumlah markah tersebut terus menukar markah tersebut menjadi 66.

Semasa inilah terkeluar ayat yang amat celupar dan tidak sepatutnya. Pn X tersebut dengan angkuhnya mengatakan bahawa ibuintan seorang cikgu yang tidak berguna dan gila. Dia mempertikaikan bagaimana anaknya boleh mendapat dua kertas peperiksaan BM dengan dua markah yang berlainan iaitu satu kertas mendapat 82 markah dan satu lagi mendapat 66. 

Ibuintan yang tidak mengetahui sianak mendapat dua kertas peperiksaan dengan dua markah pun menjadi terkejut  juga. Macam mana boleh jadi begitu. Semasa inilah Pn X mengatakan ' dia belum pernah jumpa seorang cikgu yang GILA yang memberi dua kertas peperiksaan dengan dua markah yang berbeza'.  Kami bertegang leher dalam situasi ini, ibuintan tetap mengatakan tidak pernah memberi anaknya dua kertas soalan BM, dan tetap mengatakan bahawa anaknya hanya mendapat 66 markah sahaja dan bukannya 82.

Semasa ini juga timbul ayat 'memang tak berguna' banyak kali juga dia mengatakan ibuintan cikgu tak berguna, dalam keadaan ini makin ibuintan memberi penjelasan tentang ketidaktahuan tentang kes dua kertas peperiksaan BM makin hebat bahasa Pn X. Akhirnya ibuintan meminta Pn X menunjukkan kertas BM yang bermarkah 66. Jawabnya 'tinggal di rumah' dengan kasarnya. Ibuintan juga meminta Pn X membawa semula kertas tersebut pada hari Jumaat (hari ini). "Yelah' jawabnya dengan kasar dan terus pergi.

Dengan keadaan dimaki hamun dengan kasarnya di depan murid, di dalam kelas maka otomatik darah dan hati ibuintan panas meluap-meluap. Setelah beristigfar beberapa kali dan menjadi tenang semula, ibuintan pun menyemak semula kertas soalan  BUKTI BM yang bermarkah 82 yang ibuintan minta semula daripada Pn X tadi.

Dengan kuasa Allah, yang menyebelahi ibuintan, maka ibuintan terpandang di bahagian nama yang bertulis nama anaknya, terdapat satu lagi nama yang telah dipadamkan. Nama murid sekelasnya yang sememangnya mendapat 82 markah untuk kertas BUKTI BM tersebut.  Ibuintan pun terus menyelak sehelai demi sehelai, kertas soalan itu telah dipisah-pisahkan, tidak lagi berstapler. 

Tulisan dalam kertas soalan itu telah bercampur aduk, jawapan kefahaman  menggunakan tulisan murid yang sememangnya mendapat 82 markah sementara tulisan dikarangan sememangnya tulisan anaknya. Ibuintan yang menghadap buku tulis dan latihan mereka sepanjang tahun dapat kenal dan beza tulisan setiap mereka.

Untuk lebih menyakinkan, ibuintan segera merujukkan kertas soalan tersebut kepada separuh cikgu yang terdapat disekolah dan kesemua cikgu sependapat dengan mengatakan kertas soalan itu adalah milik murid yang mendapat markah 82 tadi. Hati ibuintan panas semula, namun tidak segera memberitahu Pn X sebab ibuintan nak juga pn X membawa ketas soalan yang bermarkah 66 itu dahulu.

Balik dari sekolah pada tengahari Selasa, disebabkan hati yang panas di sembur dan dimaki hamun oleh Pn X semua urusan ibuintan menjadi amat terganggu.  Rasa tensen yang teramat sekali. Semua kerja tidak dapat dilakukan, rancangan untuk memasak rendang dan merebus nasi impit juga tidak berjalan lancar. Sehingga akhirnya ibuintan mendapat idea untuk meluahkan api kemarahan yang terbuku dihati di wall fb.

Walaupun meluahkan apa yang terbuku di fb, namun ibuintan masih bermaruah untuk menjaga nama baik Pn X dan suaminya dengan tidak me'tag'kan kepada mereka berdua.  Suami Pn X adalah friends ibuintan di fb juga sebab kami sama bersekolah sejak dari sekolah rendah lagi.  Ibuintan hanya meluahkan perasaan panas ati dan ketidak patutan ayat-ayat yang dihamburkan kepada ibuintan.  Rasanya tidak ada orang yang akan tahu kepada siapa yang dimaksudkan kecuali dikalangan cikgu-cikgu sekolah ibuintan sendiri. Sebagai manusia yang masih tahu norma dan tahu adap, ibuintan tidak akan memalukan Pn X dengan mendedahkan siapa dia difb.

Ramai kawan yang memberi respon dan komen meminta ibuintan bersabar dan tidak seorang pun yang menyentuh dan bertanya kepada siapa yang ibuintan tujukan 'luahan panas ati' tersebut. Dengan membaca respon dan komen positif dari rakan-rakan fb, hati ibuintan menjadi tenang semula.

Mengenangkan kesian kepada anak-anak yang akan menyambut hari raya korban, selepas solat Asar baru ibuintan mula memasak rendang ayam dan merebus nasi impit.  Itupun dengan emosi yang masih tidak berapa stabil lagi. Rasa terhina dimaki hamun depan anak-anak murid memang sesuatu yang amat membebankan perasaan rasanya.

Hari raya korban 10 Zulhijjah 1431H adalah hari raya korban yang benar-benar mengorbankan perasaan ibuintan - sedih, pilu, hiba, terhina dan dimalukan bercampur baur.  Anak-anak dan suami yang bersimpati dan berasa belas, tidak seorang pun yang menyebut untuk ke mana-mana di hari raya.  Malah abahintan juga tidak mengajak kami balik ke kampung emaknya.

Dengan izin Allah juga, alhamdulillah rancangan ibuintan berkorban sebahagian daripada seekor kerbau juga berjalan lancar.  Hari raya kedua barulah hati ibuintan tenang semula, dan kesibukan memasak daging korban dan beberapa lauk lain melupakan terus tentang isu tersebut.  Ibuintan menerima kehadiran beberapa rakan guru yang datang ke rumah pada hari raya kedua. 

Beberapa rakan guru telah lama berhasrat untuk datang ke rumah, mereka mula menyebut-nyebut sejak hari raya puasa lagi, namun ibuintan tidak mempunyai masa yang sesuai untuk menerima mereka. Jadi sempena raya korban kali ini, dan sempena hari -hari terakhir persekolahan, rasanya hari Khamis semalam adalah masa yang sesuai sekali.  Rakan-rakan ibuintan dan keluarga mereka datang seawal pukul 12.tengahari, kami makan tengahari bersama dan semuanya berjalan lancar.

Sehingga pukul 3.30 petang masih terdapat dua keluarga rakan di rumah ibuintan, mereka tiba lewat sikit kerana ada urusan sikit di waktu paginya.  Ketika sibuk melayan tetamu inilah, ibuintan menerima panggilan telefon. Ambil saja telefon dari tangan Azim tanpa sempat memberi salam 'apa hal kau menulis macam-macam di fb', dengar saja suara tu ibuintan sudah tahu itu ialah suami Pn X. lagi sekali ibuintan menerima hamburan kata-kata kurang ajar pula.

Suami Pn X menuduh ibuintan kurang ajar kerana menulis dan memburukkan tentang isteri dan anaknya di fb.  Ibuintan katakan ' kalau kau yang baca ayat tu boleh paneh ati, cubo bayangkan pulak semasa istri kau memaki hamun di dalam kelas dan di depan murid' dan lagi sekali kami bertegang leher pula di telefon. Suami Pn X menuduh ibuintan memfitnah anaknya dengan menuduh anaknya menipu markah BM.

Lagi sekali panas ati ibuintan mendadak naik, ibuintan seolah lupa pada tetamu yang masih berada di rumah.  Tuduhan dan hamburan kata kesat suami Pn X seolah-olah tindakan isterinya adalah betul, penjelasan ibuintan langsung tidak diambil kira. Sehinggakan ayat terakhir suami Pn X ialah 'kau tunggu den datang sekolah esok pagi, kito bersemuko, kau ingat den takut dengan kau' katanya.

Selepas ibuintan menerima panggilan yang mengatakan ibuintan cikgu kurang ajar dan dituduh memfitnah anaknya mengambil kertas peperiksaan murid lain, maka ibuintan terus menelefon ibu kepada murid yang mendapat markah 82 (murid yang sebenarnya)meminta ibu murid tersebut mencari semula kertas BM anaknya. Jawab siibu 'sudah puas mencarinya namun tidak jumpa, tetapi semua kertas subjek yang lain ada' dan kebetulan siibu juga adalah rakan guru ibuintan yang juga telah mengesahkan pada hari Selasa lalu bahawa kertas BM dan sebahagian tulisannya adalah milik anaknya.

Ya Allah, begitu sekali jadinya.  Seolah-olah selama setahun ibuintan mengajar anaknya di tahun satu dan setahun juga di tahun 3, tiada makna langsung baginya.  Kenapa percaya sangat dengan tindakan anaknya yang membawa dua kertas peperiksaan BM  dengan dua markah berbeza, kenapa tidak diperiksa dulu mengapa mesti ada dua kertas dan dua markah, dan mengapa juga tidak awal-awal lagi datang berjumpa dan bertanya tentang masalah dua kertas ini dengan ibuintan.


Pagi tadi, ibuintan ke sekolah dengan  doa semoga kekalutan ini tidak berpanjangan, dan berdoa semoga ibuintan juga dapat mengawal emosi daripada mengeluarkan kata-kata yang mungkin boleh memalukan diri sendiri ataupun mereka. Sebolehnya ibuintan ingin menutup semuanya dengan baik, namun sehingga pukul 9 pagi mereka tidak muncul, Pn X mengambil cuti walaupun dia dah berjanji akan membawa kertas yang bermarkah 66 tu hari ini.

Dan tiba-tiba ibuintan menerima panggilan telefon 'janganlah dihebohkan benda yang remeh tu' kata Pn X dihujung talian.  Ya Allah setelah, semua yang di lakukan dan dihamburkannya -  cikgu tak guna, cikgu gila dan cikgu kurang ajar - itu alasannya akhirnya... benda remeh..... namun hati manusia ibuintan yang dah tercalar ini berat juga menerima 'benda remeh' yang dimaksudkannya, dan tidak banyak sikit keluar juga ayat-ayat cinta sebelum ibuintan memutuskan talian.

//adakah kerana aku seorang guru tahun satu, maka sewenang-wenangnya aku boleh dimaki hamun dan dipersalahkan.
///dan demi menjaga maruah kedua mereka, setelah suami Pn X membalas komen dengan  ayat yang bermula 'mengapa kurang ajar sangat cikgu ni' di fb , maka ibuintan terpaksa membuang terus luahan panas ati di wall fb, bila suami Pn X membalas komen ini bermakna dia sendiri mendedahkan identitinya dan ibuintan tidak mahu kawan-kawan yang diluar lingkungan sekolah tahu mengenai tindakan anak, isteri dan dirinya sendiri dalam menegakkan benang basah..

Wallahuaklam..... sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kesilapan dan kelemahan ibuintan sendiri.

Rabu, 17 November 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha.

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA

KEPADA SEMUA RAKAN-RAKAN BLOGGER DAN FB

  andai ada salah dan silap, 
seribu keampunan dan kemaafan jua dipinta, 
berhati-hati di jalan raya dan di lebuh raya,
bersama-samalah kita menghayati pengertian korban dengan 
sebaiknya-baiknya.
Selamat menunaikan ibadah korban.
//dua hari yang sibuk, maaf tidak dapat mengunjungi dan membalas kunjungan rakan-rakan semua.

Ahad, 14 November 2010

Buluh, kelapa dan pemanjat pokok kelapa yang menjadi rebutan..., senario menjelang hari raya.

Makcik-makcik jiran sekampung dah mula sibuk dengan persiapan membuat lemang.  Pagi tadi beberapa orang makcik sudah mula sibuk mencari buluh dan kelapa tua untuk dibuat  lemang. Mereka akan membakar lemang pada hari Selasa. 

Makcik-makcik yang masih sihat ini masih sanggup dan seronok untuk membakar lemang.  Semua dengan alasan anak dan cucu akan balik  beraya di kampung.  Buluh lemang dan kelapa tua menjadi rebutan, semenjak lemang di bisneskan, buluh lemang kini juga terpaksa di boking dulu.

Ada makcik yang dah boking buluh sejak awal minggu lepas lagi, buluh yang dah diboking ditandakan dengan gaya masing-masing.  Ada yang mengikat dengan tali dan ada juga yang mengikatnya dengan perca kain.  Buluh biasanya ditebang sehari sebelum membuat lemang.

Namun ada juga buluh yang telah ditanda ini akan ditebang oleh orang lain kerana buluh-buluh ini terdapat di atas tanah  rezab jalan. Kalau kes ini berlaku, akan terkeluarlah ayat-ayat cinta daripada mulut-mulut makcik-makcik tersebut, akan riuh sekampung jadinya.

Begitu juga dengan kelapa. Permintaan untuk kelapa tua dan masak juga amat tinggi.  Di kampung ini sebiji kelapa masak yang dikupas kulit berharga RM1.50, namun tidak mustahil pada hari Selasa nanti harganya Rm2.00 sebiji.  Semua rumah perlukan kelapa atau santan.  Buat lemang dan rendang, wajib ada santan.

Kalau tak bakar lemang pun, rendang mesti buat.  Rendang ayam atau daging, satu kemestian.  Untuk seekor ayam saja  biasanya gunakan dua biji kelapa, untuk santannya dan sedikit untuk dibuat kerisik.  Begitu juga untuk sekilo daging.   Ibuintan pula  lebih suka gunakan santan yang diperah sendiri daripada kelapa masak yang diparut berbanding santan siap dijual.

Kadang-kadang santan yang dijual menggunakan kelapa yang masih belum tua, ini menyebabkan rendangnya tidak tahan lama, mudah basi dan rendang juga tidak wangi.

Khidmat tukang panjat pokok kelapa juga amat diperlukan ketika ini.  Pagi tadi juga seorang pemanjat pokok kelapa telah memanjat hampir sepuluh pokok kelapa jiran-jiran terdekat.   Bila sampai turn makcik sebelah rumah, sipemanjat pokok kelapa tidak sanggup memanjat lagi ... kepenatan katanya..  Dia berjanji akan datang lagi esok pagi,   ibuintan juga meminta dia memanjat sebatang pokok kelapa yang berbuah lebat di depan rumah.

Upah memanjat sebatang pokok kelapa ialah RM10 ataupun buah kelapa di bahagi dua mengikut jumlah buah yang diturunkan, Namun kebiasaannya, sipemanjat lebih suka memilih untuk mengambil buah kelapa berbanding duit.  Kelapa akan dijual dikedai-kedai runcit atau dihantar ke kedai menjual santan.

Pagi tadi semasa kami berbual. sipemanjat telah dapat mengumpul hampir dua ratus biji kelapa.  Kelapa tua dan masak,  memang tinggi permintaannya menjelang hari raya aidiladha nanti. 

Nasib baik hujan lebat.

Pagi yang dingin dan sejuk menusuk ke tulang. Sejak tengah hari semalam hujan turun dengan lebatnya sehingga ke malam.  Rasa takut nak menyentuh air, air dalam kolah  terasa sejuk macam air batu , buka pula shower juga sejuk yang teramat.

Setiap kali selepas hujan, terutama hujan malam,  suasana dingin memang amat dirasai,  walaupun sejuk pada mulanya namun semasa mandi badan terasa amat segar dan kesejukkan air terus hilang.  Rasa puas mandi.

Teringat semasa kecil, semasa di darjah satu, bila cikgu tanya 'apa cita-cita' tidak pernah memberi cita-cita untuk menjadi cikgu, semata-mata dengan alasan taknak bangun awal pagi dan mandi pagi.  Masa itu bangun awal pagi hanya kerana hendak ke sekolah, benci sangat kena bangun pukul 6 pagi.

Semasa kecil rasanya air paip lagi sejuk dari sekarang. Tapi rasanya tidak pernah tidak mandi pagi pula, walau sesejuk mana mesti mandi, tetap mandi walau pun hanya dua tiga cebuk saja.  Air dingin dari logi air Taman Ulu Bendul.

Hujan turun sebaik sampai di rumah dari menghadiri kenduri kesyukuran di rumah jiran.  Hujan yang lebat dengan guruh dan petir, memang tidak mengizinkan sama sekali untuk melayan tv dan melayari internet.  Dan seperti komen pedas Intan,
                             'ibu, nasib baik hujan lebat, kalau tak, tak siaplah baju raya ustazah Normah ni'

dan komennya itu merujuk juga kepada sepasang baju kurungnya yang masih belum siap.

Hahaha... betul kata Intan dan memang nasib baik hujan petang semalam, menjelang pukul sebelas malam, tiga kurung Ustazah Normah telah siap dijahit begitu juga dengan baju kurung Intan.  Beres, hari ini bolehlah lepak lama sikit depan pc.  Eh.. tak boleh juga sebab kain baju masih ada dua gunung bakul yang masih belum berlipat.

Kerja urusan rumahtangga mesti beres dulu, kalau tak Gunung Merapi abahintan pula akan meletus....'ibu ni asyik ngadap tu je, ni tak buat, tu tak buat...bblablablablabla.......... jangan sampai itu terjadi...oh.. tidakkkk , aku tidak rela mendengarnya.  Rasanya orang lelaki berleter lagi sakit telinga dan jiwa mendengarnya.

Ha.. ni nak tunjuk juga.  Pernah tak sesiapa buat, masa minum petang dalam dingin hujan petang semalam, selain teh susu panas, kami makan ini....


kelakar sungguh, jambu air ni, jiran sebelah rumah yang beri pagi semalam, sebab nak pergi kenduri tak sempat nak makan.  Memang suka jambu ni, makan dengan colek kicap saja, tak sangka semua suka makan termasuk abahintan sekali,  nasib baik tak meragam perut.  Biskut langsung tak berusik, makan jambu sewaktu minum petang... hari ini dalam sejarah.


Jumaat, 12 November 2010

Kentut.... jangan kau ketawa kalau aku tak boleh kentut.

                                                     ihsan tok gugel


'Aku tak boleh kentutlah . kak'

'Badan aku dah rasa lain macam ni, angin dah penuh satu badan aku ni, aku dah buat macam-macam dah supaya kentut'

"kau urut lah" kata rakan yang lain.

'Dah, aku dah urut, dah makan ubat juga, tapi masih tak mau kentut'

'Kau tidurlah menonggeng' cadang rakan yang lain pula.

'Aku dah buat jugak, tapi tak maunya juga.  Aku dah lama la tak rasa nikmat kentut ni'.

Hahahaha... selalu ketawakan seorang rakan yang sering mengadu bahawa dia tidak boleh kentut, dan sudah hilang nikmat melepas angin secara semula jadi tu. 

Sesungguhnya kentut juga suatu nikmat kepada kita.  Kentut cara badan kita mengeluarkan angin atau gas yang tidak sihat yang terkumpul di dalam badan.  Cuba rasakan sesekali kita kentut, tak kiralah dengan volume yang kuat atau perlahan, perut kita akan rasa lega dan ringan.

Kentut biasanya ditandai dengan rasa memulas di perut. Ini sering menjadi petanda kalau kita
  • Kelebihan makan makanan tertentu seperti buah durian dan petai . Kalau makan benda macam ni, bayangkan gas yang akan keluar nanti.  Semerbak satu alam. 
  • Semasa keinginan untuk buang air besar.  Ini tanda yang paling biasa di alami.
  • Kesan sampingan ubat yang kita makan.
  • Menderita  sembelit.
  • Ataupun masuk angin dalam badan.
Sejak dua hari ni, perut rasa lain macam juga, rasa senak dan sebu. Selalunya senang untuk mengeluarkan angin dan gas-gas  nitrogen, hidrogen, karbondioksida dan berbagai gas lagi yang terkumpul dalam perut ini.

Bila gas-gas ini tidak mahu keluar, barulah macam-macam yang dirasai, kepala juga menjadi sakit dan berdenyut-denyut selain badan juga rasa menyucuk-nyucuk.

Petang semalam, setelah rasa badan yang semakin tidak enak, setelah meminta anak-anak dan abahintan mengurut dan memicit-micit badan, masih juga tidak berkurangan.  Akhirnya terpaksa juga mengambil ubat buang angin, ubat yang berangin dan hanya dikumam dalam mulut, macam makan gula-gula saja.

Bangun pagi ini, lega.. sebutir bom zaman Jepun dah meletup... hahaha aku dah kentut... itulah lain kali kau 'ibuintan' jangan celupar sangat mulut tu, jangan suka hati mak bapak kau ketawakan orang yang dah hilang nikmat terkentut ni..

//sesungguhnya setiap sesuatu yang Allah jadikan ada kegunaan dan fungsinya... so kalau ada teman-teman yang terlepas dan mengeluarkan pula aroma yang menusuk alam, samada sengaja atau tidak disengajakan... maafkanlah  walaupun dengan berat hati

Rabu, 10 November 2010

Hari makan-makan free.... untuk suka-suka

Kerja-kerja perkeranian sudah siap.  Semua murid sudah mendapat kad pelaporan masing-masing. Semua fail-fail murid sudah dikemaskini.  Urusan pemulangan dan pemberian semula buku teks juga telah selesai.

Murid-murid sejak semalam bersukaria di padang. Pertandingan futsal antara rumah sukan di adakan.  Yang tidak mengambil bahagian jadi tukang sorak di tepi padang.

 Cikgu-cikgu tidak bermain tapi penatnya mengalahkan yang bermain.  Penat mengarah dan mengawal murid-murid.  Takut kejadian yang tidak diingini berulang, takut ada yang cedera, takut ada yang dihempap tiang.

Pernah terjadi beberapa tahun lepas, dalam sibuk budak bermain bolasepak, ada yang pergi memanjat tiang bola baling, terjatuh lalu dihempap tiang dan habis semua gigi tercabut. Memang kesian melihat budak tersebut, sambil darah meleleh keluar satu satu giginya tanggal.  Dengan usaha pihak sekolah budak itu sekarang telah menjalani pembedahan menanam semula gigi.

Hari ini juga, dihujung-hujung hari persekolahan ini, ada kelas telah mula membuat jamuan kelas.  Seolah-olah sudah menjadi satu tradisi pula hujung tahun mesti ada majlis makan-makan.

Tidak terkecuali kelas tahun satu.  Walaupun tiada duit kelas, mereka juga bertanya tentang jamuan.  Mereka excited bila kelas abang atau kakak mereka mengadakan jamuan, so pagi tadi di waktu rehat, sudilah cikgu kelasnya ini memberikan sedikit jamuan ringan.  Jamuan tergempar namanya.

Pepagi tadi, ibuintan pergi ke kantin, tempah nasi ayam , sepotong  tembikai dan sebungkus keropok untuk setiap seorang serta dua jag air oren.  Waktu rehat tadi, makan bersama-sama di dalam kelas.  Walaupun serba simple, namun mereka seronok nampaknya, hanya itu yang mampu diberikan

Ada juga yang bertanya kenapa cikgu tak beli keepsi, cikgunya jawab  "keepsi belum buka" hahaha cikgunya malu nak jawab tak cukup duit... 


Waktu akhir pula, pukul 12 tengah hari, menerima jemputan jamuan kelas untuk tahun 3, 4 dan 6 pula.  Tahun 3 menjemput sebab mengajar BM untuk kelas tersebut.  Ketiga-tiga kelas ini bermewahanlah sikit, setiap kelas order keepsi.  Kenyang mereka makan dua ketul ayam setiap seorang, snack plate setiap satu.

Berkat ketua kelas mengutip duit kelas dari awal tahun, dapatlah mereka berjamu keepsi namun guru kelas perlu menopup juga sedikit. Ada guru kelas yang sponsor nasi ayam saja, ayamnya dari keepsi.  Budak-budak dengan ayam goreng, sekejap selesai - hingga menjilat jari.

//esok keputusan UPSR, Jumaat majlis khatam Quran, Isnin majlis anugerah cemerlang, Selasa tak tahu lagi, Rabu hari raya, Khamis mungkin cuti, Jumaat hari last, lepas tu.. cutiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii

Selasa, 9 November 2010

001 Tau Tak?


Fakta internet :  mengunyah 'chewing gum' semasa menghiris bawang boleh mengelakkan mata menjadi pedih.

Percaya tak?   Jom kita cuba.

Isnin, 8 November 2010

Kem Membaca 1 Malaysia.

Pagi tadi pelancaran kem membaca 1 Malaysia peringkat sekolah telah berlangsung dengan jayanya.  Sekolah ini adalah antara sekolah rendah yang terpilih mewakili Negeri Sembilan. Majlis pelancaran kem ini diadakan di dewan sekolah.  Semua murid dan guru-guru berkumpul di dewan.

Majlis dimulai dengan bacaan doa, diikuti ucapan pelancaran oleh guru besar dan gimik pelancaran oleh wakil ADUN Seri Menanti yang memecahkan sebiji belon.  Seterusnya persembahan bacaan gurindam dan deklamasi sajak oleh murid tahun 5.

Tepat pukul 9.30, wisel dibunyikan. Semua murid dan guru membaca sekurang-kurangnya sebuah buku dalam masa yang ditetapkan iaitu selama 33.5 minit.  Wisel dibunyikan semula setelah cukup masa yang ditetapkan.

Semua murid memberikan kerjasama dengan membawa sekurang-kurangnya sebuah buku cerita atau bahan bacaan ilmiah yang sesuai.  Majlis disambung semula selepas rehat dengan pertandingan info-hunt dan bercerita tahap 1 dan 2. Kemudian diikuti dengan tayangan video dokumentari.

Majlis bersurai tepat pukul 1.35 petang.

// pukul 2.30 hingga 4.30 petang semua guru mengikuti latihan dalam perkhidmatan tentang Kurikulum Standard Sekolah Rendah yang baru yang di adakan di BIlik Sidang. Taklimat disampaikan oleh GPK 1.

Ayam den tangkap dah terlepas.



Sekadar hiburan di pagi Senin yang kurang ceria......

//jangan ayam terlepas tangan pulak bau taik.

Ahad, 7 November 2010

Tukar rancangan dari sandwish ke karipap roti.

Tadi ke blog reen , terbaca komen IM yang rasa kenyang bila ke blog kaum ibu di hari-hari cuti seperti ini.. Maaflah IM kalau terganggu lak.  Memang tak dapat kami nak lari dari rutin wajib tersebut.

Malam tadi dalam  cadangannya nak membuat  yang  ini tetapi pagi tadi tukar plan pula sebab tak cukup syarat.  Selepas dihancurkan sardin dan digaul bersama hirisan bawang dan cili besar, terfikir untuk membuat karipap roti.

Roti yang telah dibuang kulit sekelilingnya dibubuh isi sardin dan dilipat dua.  Kemudian bahagian tepi keliling roti ditekap dengan garfu, tujuannya supaya tidak terbuka semasa digoreng.  Goreng dengan minyak yang sedikit dan api yang perlahan. Ranggup di makan semasa panas.. Anak-anak suka, sekejap habis sebundle roti sekali hadap.

Lepas ni bersilat lagi didapur, masak sup tulang lembu pula untuk tengah hari. Abahintan dah beli tulang dan sedikit daging lembu di pasar minggu tadi.  Nak masak juga gulai tempoyak, terliur nengok lauk kak erna semalam.