Followers

Selasa, 31 Mei 2011

Ketagihan Internet.

 Syukur bertemu kembali.   Cuti sekolah begini rasanya ada komputer atau laptop yang 'on' sepanjang masa. Di rumah inilah... rumah orang lain mungkin tidak... anak-anak menggunakannya silih berganti, nampak sangat macam nak membalas dendam sebab bila hari sekolah mereka hanya dibenarkan menggunakannya di masa-masa tertentu sahaja.

Yang anak perempuan sorang tu,  dengan siri Koreanya, yang anak lelaki pula dengan you tube.. lagu-lagu serta video Maharaja Lawak.  Astro kat rumah ni hanya ada pakej asas saja jadi mereka tidak dapat menonton siri Maharaja Lawak yang disiarkan di tv.  Setakat semalam keadaan terkawal lagi nampaknya, bila tidak mengadap komputer mereka terutama Intan mengadap kerja sekolahnya yang banyak yang dibekalkan oleh cikgunya di masa cuti ini.


Pagi tadi semasa berkemas sambil mendengar siaran Radio IKIM sempat juga mendengar Motivasi Pagi tentang cara-cara  mengawal anak-anak dari menjadi ketagih komputer.

1.  Letak pelajaran nombor satu dalam agenda hidup.
     Maksudnya kita mesti menekankan kepentingan mencari dan mendapatkan  ilmu untuk menjamin kesejahteraan dalam hidup... pelajaran nombor satu.

2.  Mesti ada peraturan masa untuk mengadap komputer.. di waktu-waktu tertentu sahaja.  Pastikan anak-  anak telah belajar dan mengulangkaji pelajaran terlebih dulu.

3.  Kita kena faham dan minat apa yang anak minat.  Ibu bapa perlu belajar memahami minat anak supaya dapat menjadikan anak sebagai rakan baik untuk anak-anak bercerita dan berkongsi pendapat.  Maksudnya kita ada masa dengan anak-anak untuk melayan minat mereka.

4.  Kita kena galakkan anak aktif dalam aktiviti luar atau bepersatuan.  Supaya masa anak sentiasa terisi dengan aktiviti yang berfaedah.  Anak juga ada masa bergaul bersama masyarakat setempat.

Itu antara cadangan pakar motivasi yang sempat saya catat... maaf tidak perasan siapa pakar motivasi tersebut.


Dan di bawah ini pula adalah hasil rayauan yang  dapat di kumpul hasil bantuan tok gugel tentang Ketagihan Internet.

Menurut Kajian Center for Online Addiction, terdapat pelbagai jenis ketagihan dan ianya boleh diklasifikasikan kepada 5 kategori yang utama iaitu,
  1. Ketagihan mendapatkan maklumat – Merujuk kepada individu yang menggunakan internet untuk mencari sesuatu maklumat dengan kadar yang berlebihan.
  2. Ketagihan menggunakan komputer – Ia merujuk kepada individu yang menggunakankomputer secara berlebihan terutamanya mereka yang terlibat dalam pengaturcaraan dan permainan komputer.
  3. Ketagihan bahagian-bahagian tertentu dalam internet – Ia merujuk kepada individu yang gemar berkunjung ke bahagian-bahagian tertentu dalam internet misalnya ruangan perjudian, permainan online dan barangan lelong.
  4. Ketagihan hubungan siber – Ia merujuk kepada individu yang gemar menjalinkan hubungan secara online menerusi ruangan bilik sembang seperti IRC, ICQ, forum, jaringan sosial seperti friendster, facebook dan kumpulan-kumpulan diskusi privasi.
  5. Ketagihan seksual-siber – Ia merujuk kepada individu yang gemar meneroka ruangan pornografi serta ruangan sembang dewasa yang membincangkan hal-hal seksual secara terbuka.
Sementara yang berikut adalah merupakan simptom atau tanda-tanda bagi mereka yang mengalami ketagihan internet:
  • Sentiasa memikirkan tentang internet, berkhayal tentang apa yang berlaku di dunia siber dan merasa kerugian dan kekecewaan sekiranya tidak menggunakannya.
  • Merasa gelisah atau tidak tentu arah sekiranya tidak menggunakan internet.
  • Sukar untuk berhenti dari menggunakan internet walaupun setelah menggunakannya berjam-jam lamanya.
  • Mengalami gangguan psikomotor misalnya bahagian jari yang sering mengajuk perbuatan menekan papan kekunci atau tetikus.
Kesan dari ketagihan internet ini ialah mengalami tekanan perasaan serta kemurungan dan suka menyendiri disebabkan jarang bercampur gaul dengan masyarakat dan rakan-rakan. 
* Kredit to Rahsiasiber





Ahad, 29 Mei 2011

Selamat sudah... syukur.

Sejak malam Sabtu blog tak boleh dibuka melalui firefox.... ada masalah ke? Dah beberapa kali juga tukar password.. juga masih tidak boleh.   Lalu pagi ni akses melalui  GChrome, nasib baik boleh.


Keletihan dan kepenatan yang teramat dirasakan.  Hari Jumaat seharian dalam perjalanan, pergi dan balik ke/dari Mersing.



7.15 pagi bergerak dari rumah, syukur perjalanan lancar.  Tepat pukul sebelas suku juga sebaik sampai terus terlihat 'buah' hati yang amat dirindui tersenyum girang.. sarat dengan beg yang disandang dibahu, dijinjing  dan di galas di belakang.. terus menerpa...  'Intan rindu sangat dengan ibu'

Ibu juga anakku, walau setiap hari dia  menelefon, hanya dengan bertentang mata dan dapat memeluknya saja yang dapat meleraikan rindu itu.  Syukur...




Sementara abahnya berehat dan meluruskan pinggang di wakaf yang disediakan di tepian Muara Sg Mersing, ibu dan anak sempat berfotoshoot sekejap... berlatarbelakang bot-bot nelayan dan feri ke Pulau Tioman yang sibuk berulang alik mengambil dan menurunkan penumpang. Bilalah dapat ke sana pulak!

 Hujan yang turun dengan tiba-tiba juga merencatkan hasrat dua beranak ini untuk meminta izin kepada seorang nelayan yang sedang mengemaskan pukatnya untuk turun dan menjenguk ke dalam botnya.  Bukan apa sekadar untuk melihat-lihat keadaan dan persekitaran dalam bot nelayan saja.


Perjalanan balik juga berjalan lancar.  Menjelang petang kami selamat sampai semula dirumah.




Dan dengan perancangan yang tiba-tiba juga.. semalam majlis kenduri kesyukuran kami berjalan lancar.  Hanya sempat menjemput jiran terdekat dan adik beradik suami  yang tinggal berhampiran sini.... keputusan untuk membuat majlis ini diputuskan pada petang Khamis yang lalu....  Hari-hari minggu yang lain untuk sepanjang dua minggu akan datang telah penuh dengan majlis kenduri kahwin di rumah jiran2 terdekat.



Jumaat, 27 Mei 2011

Misi hari ini.

Tak... ibuintan tidak menjadi misi secara rasmi tapi tugas pertama saya semalam selepas mendapat arahan bertukar dari menjadi guru kelas  tahun 2 Arif kepada  guru kelas tahun satu Bestari ialah sebagai pembantu misi. Pagi semalam sepasukan kecil misi dari Klinik Kesihatan Kuala Pilah seperti rutin biasa setiap tahun akan datang memberikan khidmat kesihatan kepada semua murid tahun satu dan enam.


 
                                   Pemeriksaan mata ... sebelum misi buat, cikgu kelas  awal-awal lagi dah buat.. rutin wajib guru kelas tahun satu setiap awal tahun mengisi buku rekod kesihatan murid serta menimbang berat dan tinggi murid untuk menentukan indek BMI setiap murid... murid itu obesiti ke, normal ke ataupun tidak normal... kurang zat lah tu. 



Hahahaha....ni kenapa nyorok ni?  "cikgu..... misi tu check 'nonee' saya'.  Juga rutin wajib diperiksa  untuk setiap murid lelaki tahun satu... oleh misi la.. cikgunya tak diberikuasa, nasib baik!  Walaupun masih kecil tapi mereka tetap malu, mereka tetap main tarik-tarik seluar dengan misi... misi memeriksa untuk memastikan 'nonee' mereka sempurna dan sihat kot... saham besar tu.... ada juga kes yang mempunyai hanya sebiji ' telur' dalam kantung telurnya. (betul ke kantung ni)


Babak yang ditnggu-tunggu.  Pelbagai gelagat dapat dilihat.  Paling digeruni dan ramai yang pucat 'muka dituris' pun tak berdarah rasanya.







         Antara yang perlu dipujuk dan akhirnya terpaksa 'dipaksa'.

                              Legaaaa dan boleh tersenyum riang serta berlagak pulak dengan murid kelas sebelah yang menyusul giliran selepas mereka.


Saya bercuti hari ini.  


Doakan misi   menjemput balik  'puteri kesayangan' yang amat dirindui   dipermudahkan.

Selamat bercuti kepada semua para pelajar dan guru-guru.

Rabu, 25 Mei 2011

Cikgu..... tak payah lah belajar lagi!


Wajah-wajah mulus yang tidak akan dijaga lagi.  Anak-anak tahun 2 Arif yang tidak akan menjadi anak di bawah jagaan saya lagi.  Mulai penggal kedua nanti mereka semua akan mendapat ibu baru a.k.a guru kelas baru dan juga guru BM baru.  Ibu yang ini akan menjadi ibu kepada anak-anak yang lain pula, anak-anak yang telah ditinggalkan ibunya kerana ibunya telah berpindah ke sekolah lain.


Cikgu akan pindah..

Alaaa cikgu... janganlah pindah.


Tak boleh cikgu mesti pindah juga.


Cikgu pindah mana,.. rumah cikgu kan dekat dengan sekolah.


Memanglah rumah cikgu dekat tapi  cikgu mesti pindah juga.... cikgu dah dapat arahan pagi tadi.


Ye lahh...cikgu pindah mana?


Cikgu pindah tak  jauh pun,  cikgu akan selalu lihat kamu..cikgu nak pindah ke tahun 1 Bestari saja.

Laaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa.... ohhhh cikgu ganti Cikgu Bibah ye sebab Cikgu Bibah dah pindah.  Huh... ingat cikgu pindah sekolah lah tadi!


Kesian mereka... dah serasi menjaga dan mengajar mereka selama lima bulan ni tapi mulai bulan depan terpaksa menyerahkan mereka kepada guru lain, saya diarahkan menjaga dan mengajar kelas tahun satu sepenuhnya. . sebelum ni berkongsi tahun satu dengan Cikgu Bibah.

Bebanan kerja bertambah.  Murid LINUS kelas 1 Bestari menunggu untuk dipulihkan.  Lima bulan masa yang berbaki untuk tahun satu ini perlu digunakan sepenuhnya supaya nama murid-murid LINUS ini terkeluar dari fail LINUS hujung tahun nanti.  Maksudnya mereka tidak akan berada dalam kelas pemulihan ditahun dua nanti.

Nasib baik kelas 1 Arif tiada calon LINUS. Semua telah pandai membaca. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun bagi kertas BM semua calon mendapat gred A kecuali seorang mendapat gred B dan seorang lagi mendapat gred C.Seratus peratus lulus.  Legaaaaaaaa

Namun yang rasa amat terbeban ialah Fail Pentafsiran Sekolah KSSR bertambah lagi ..kalau sebelum ini menyiapkan untuk kelas 1 Arif saja dah berpinau biji mata kini tambah pula untuk sebuah kelas lagi. Cerita fail KSSR akan menyusul kemudian.



                    Alaaa cikgu..tak payahlah belajar lagi, kita kan dah periksa.  Mereka awal-awal dah minta cuti belajar atas dua alasan kuat  (bagi mereka la) pertama dah periksa  pertengahan tahun dan kedua pula dah nak cuti sekolah.  Banyaklah alasan mereka kan... tak cukup lagi ke cuti dua minggu tu !!

///Hahaha... cikgu mereka ni  pun LAGIiiiii tak sedar diri sebab cikgu mereka ini hari Jumaat lagi dah ambil cuti, ambil cuti rehat khas.... ada misi la tu!



Selasa, 24 Mei 2011

Mari Kita Mencuci Hati.

Mari kita berkongsi tentang petua mencuci hati yang diolah oleh pakar motivasi Datuk Dr. Haji Fadzilah Kamsah.   Harap-harap tiada lagi hati yang kotor yang suka menyakitkan hati orang lain dalam sedar ataupun tidak, jauh dari sifat hasad dengki, cemburu  dan iri hati melihat kesenangan dan kegembiraan orang lain, sentiasa bersyukur dengan rezeki dan nikmat yang kita dapati tanpa membandingkan dengan orang lain.


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.

1.  Dirikan solat dan banyakkan berdo'a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2.  Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3.  Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4.  Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi.
Sekurang- kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5. Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri.katakan lah "Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati : "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – cubalah!!

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Mengingati mati – Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila- bila masa.

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang shubhah.(diragui halal dan haramnya.)

14. Berkawan dengan ulama'.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi.)

16. Pesan pada orang, jadi baik.

17. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut dan lain-lain.)

kredit to- Artikel iluvislam.com



//Dah muak dan jelak dengan orang-orang yang berhati batu dan berhati kedu.... moga Allah mengampunkan dan membuka pintu hati mereka ini untuk berubah.









Jumaat, 20 Mei 2011

Rezeki Harimau.

""Alkisah... .. Seorang lelaki Islam ponteng sembahyang Jumaat. Sebaliknya dia masuk hutan untuk memburu ayam hutan. Sedang dia terhendap-hendap di dalam semak, tiba-tiba dia berlanggar dengan seekor HARIMAU yang sedang lena tidur.

Dia begitu terkejut sehingga senapangnya tercampak lalu tergelungsur ke dalam jurang. Dia pula tergolek ke arah lain, jatuh ke atas batu dan KRAKKKK! Kedua-dua kakinya patah.

HARIMAU tadi terus menghambatnya, sedangkan dia dah tak boleh bergerak lagi.

"Ya Allah," doa lelaki tersebut,"Ampunilah dosaku kerana ponteng sembahyang Jumaat berjemaah pada hari Jumaat yang mulia ini ..

Ampunilah aku ya Allah ...makbulkan hajat ku ini .. jadikanlah HARIMAU yang memburu aku, HARIMAU yang beriman .. tolong ya Allah! Aminnn.."

Tiba-tiba guruh berdentum! HARIMAU tadi tiba-tiba terhenti betul-betul di hadapan lelaki tadi.

Harimau itu bertukar menjadi seekor harimau yang beriman dan bersopan santun.

Sambil menadah kedua-dua kaki depannya ke langit .. HARIMAU tersebut pun berdoa, "Allahumma barik lana, fima razaktana, wa qina azzabbannar. Amin! "









 Walaupun lawak namun ada mesej dalamnya ..kan.  


///Perkongsian dari fb ensaiklopedia melayu.




Khamis, 19 Mei 2011

Takziah buat Abdul Hakim 'Telur dibasuh'


Takziah kepada penulis blog telordibasuh.blogspot.com.  Bila buka fb tadi nampak Tubelawak memaklumkan  Hakim telah meninggal dunia di  Hospital Putrajaya kerana mengalami jangkitan kuman di paru-paru. Kesannya, paru-paru menjadi keras dan beliau tidak dapat bernafas sendiri.

Muda lagi, seorang anak muda yang peramah dan sering menyapa ibu.  Semoga keluarganya tabah dengan pemergiannya.  Ya Allah.. ampunkanlah dosa-dosanya  dan tempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal solih.

Al-fatihah.... amin.


//Tiada lagi gurauan dan entri pelik tapi menarik di blognya.






Janji Bahagia.

Hadiah sempena Hari Guru.
 DG48 ke Gred DG52 =  1,228 guru .
Gred Khas C               = 72 guru .
DG44 dinaikkan ke Gred DG48 = 6,585 guru .
DGA32 ke Gred DGA34           = 99 guru
JUMLAH yg terima hadiah         = 7984 guru..
 
Guru di M'sia = lebih daripada 400 000..
Kurang  2% guru yg terima hadiah daripada Kementerian 
  
Tak apalah cikgu-cikgu.  
Tak naik gaji pun tak apa,.. janji kita bahagia. 
Anak-anak didik tetap keutamaan kita.
Rezeki tetap Allah yang beri.






........Bahagia tak cikgu?



Rabu, 18 Mei 2011

Di mana wajah-wajah kesayanganku.

Buka blog sendiri.... kosong, buka pula bloglist juga kosong... singgah ke laman kengkawan juga kosong.... hai.. blogspot buat hal lagi ke!  Tak sudah-sudah lagi ke kemas rumah!.  Janganlah hilangkan wajah-wajah kesayangan hamba.

Walaupun tak sebanyak mana.. tapi mereka tetap wajah-wajah kesayangan hamba. Setakat terakhir pagi tadi ada seramai 271 orang... janganlah itupun dihilangkan juga.  Kejam sungguh kau blogspot.....  Dah la hari Jumaat lepas ada entri dan komen-komen yang hilang, ni wajah-wajah manis kesayangan pula dihilangkan.  Nak buek camno ni!  Harap-harap muncullah semula ..kan.

Ruangan followers kosong.
                             Di bloglist juga sama.

Ke... blogspot main sorok-sorok.  Atau elok pindah rumah saja, rumah sewa pulak.







Selasa, 17 Mei 2011

Sahabatku... pergimu takkan kembali.

 DariNYa kita datang kepadaNya kita kembali.

16 Mei 2011... dalam keriangan setiap warga pendidik menyambut Hari Guru, tarikh ini pada hari ini mencatat peristiwa pilu dan kehilangan yang besar buat rakan guru Arifin Mohd Yusuf (Ipin)atas kembalinya isteri tersayang Halida Atan (Idah) ke rahmatullah selepas Maghrib tadi.

                        Gambar diambil dari fb arwah.

Kami bertiga berkawan baik sejak belajar di sebuah maktab perguruan di Hulu Kinta, Ipoh hampir 25 tahun yang lalu. Hubungan kami berlanjutan kerana  Idah yang berasal dari Muar berkahwin dengan Ipin yang berasal dari Kuala Pilah.  Jodoh menemukan mereka ketika sama-sama belajar di sana. Kedua mereka juga kini mengajar dan menetap di sini.  Mereka berdua mempunyai enam orang cahayamata.


Idah  mendapat demam teruk dengan tiba-tiba pada awal bulan April lepas dan telah dirawat dihospital di sini, namun akhirnya setelah dirujuk ke Hospital Selayang dia telah disahkan menghidap kanser payudara.  Sel-sel kansernya telah merebak ke paru-paru.  Idah terus mendapatkan rawatan kimoterapi di Hospital Putra Jaya dan Idah hanya sempat menerima rawatan kimo kali kedua beberapa hari yang lepas.

Ibuintan menerima perkhabaran bahawa Idah sedang nazak pada petang tadi.  Rupanya di saat rakan-rakan guru yang lain bergembira dengan pelbagai acara dan aktiviti  sempena hari guru, Idah sedang bergelut melawan penyakitnya.  Hajatnya untuk memakai jubah dan menerima ijazah pada pertengahan bulan hadapan juga tidak tercapai. Idah baru saja menamatkan pengajiannya di OUM.


Semoga sahabatku Ipin dan seluruh keluarganya menerima takdir dan ujian ini dengan tabah.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Al-fatihah untuk arwah Halida bt Atan... 2.12.1967 - 16.5.2011.

Amin.




Ahad, 15 Mei 2011

Rumah kecil tiang empat sebab tak mampu nak beli banglo.

Syukur, bangun pagi  tadi mata rasa segar dan tidak lagi pedih dan merah macam pagi semalam.  Terasa segar semula  Semalam menggunakan ubat titis dari klinik.  Malam tadi pula sebelum tidur saya ikut nasihat Ustaz Razak.

Pakai celak pemberian seorang saudara yang dibelinya ketika mengerjakan haji .  Sebab tidak pernah pakai, rasa jakun pula, semumeh di tepi mata, rasa pedih sedikit tapi lama kelamaan rasa okey pula.  Arwah mak dulu suka sangat pakai celak ni, setiap kali selepas mandi pagi mesti pakai, walau calit sikit saja.. untuk bersihkan mata katanya. 

Ini saja yang tinggal.  Semasa mak masih ada dulu, mak ada beberapa koleksi bekas celak ni, kalau tak silap ada yang besar juga.  Tapi sayang koleksi bekas celak mak entah menghilang ke mana, atau mungkin tersimpan di dalam stor belakang rumah.  Semuanya kerana operasi menyimpan dan mengemas semasa meruntuhkan rumah lama dulu. 

Nak memujuk abahintan mengeledah semula stor mencari khazanah lama mungkin juga sukar.  Terlalu banyak barang dalam kotak dan beg sampah hitam yang belum dibuka. Tu lah kesilapan utama masa mengemas barang-barang dulu, tidak di tulis pada kotak isi perut dalamnya.  Main sumbat dan masuk saja.

Banglo kecil di belakang rumah. Dijadikan stor menyimpan khazanah barang-barang terutama barang-barang dari rumah lama yang telah dirobohkan.  Stor ini asalnya ialah rumah kepok padi, iaitu tempat simpanan padi, dan mungkin usia rumah kecil bertiang empat ini telah menjangkau lebih setengah abad.  Masih elok dan kukuh dan tidak dimakan anai-anai. 

Saja tidak diruntuhkan dan dibiarkan sebagai kenangan ianya pernah menjadi tempat simpanan harta .... padi.  Walau kecil dan kini semakin buruk namun banyak jasanya.  Hasil buatan tangan arwah abah.  Ada dalam perancangan untuk dinaiktarafkan.... cat dengan kaler yang ekstrim, garang ......okey jugak kan!



Walau ada yang baru, yang lama juga tetap dihargai.




Sabtu, 14 Mei 2011

Sakit mata.

Blogspot dah okey. Banyak komen dari last entri  hilang.  Tak sempat balas lagi.  Cadang pagi ni  nak balas komen-komen tertunggak  yang lain juga.  Maklumlah hari kerja tak sempat ngadap blog lama-lama.  Hanya buka blog di waktu petang atau malam saja. 


Hari ini juga rasanya tak boleh ngadap  blog lama-lama..  Bangun pagi tadi mata rasa pedih, gatal, merah dan berair. Namun tiada tahi mata.   Mungkinkah sakit mata?  Ada juga beberapa orang anak murid di sekolah yang bercuti kerana sakit mata.  Lepas titik beberapa titis eye.mo, ada rasa kurang pedih dan gatal, tapi mata masih merah terutama sebelah kanan.  Mungkin perlu ke klinik juga pagi ini.


Tak mahu peristiwa sakit mata  pada tahun 2007 berulang kembali, ingat sangat sebab dapat cuti sakit selama enam hari.  Mata berair dan bengkak .. Sangat sakit bila membongkok.  Rasa terjojol biji mata bila ruku dan sujud semasa solat.  Semuanya kerana lepas dua hari baru berjumpa doktor dengan alasan mata merah sebab masuk habuk.



//mata makin pedih dan perit.



Rabu, 11 Mei 2011

Roti Telur ..... nasiblah yo!

Jom kita buat roti telur.

Mula-mula kita buka dulu buku resepi.


Nampaknya buku ni selalu digunakan, takpun main sumbat je dalam beg.  Bagus!


Hai, baru masuk bulan lima, belum pun setengah tahun. 

Macam dah di gigit tikus je!


Jom kita cari resepinya.  Dah lama lah tak buat, rasanya senang saja tapi tak pe lah ...  kita semak resepinya, rasanya ada tulis dalam buku-buku  ni.

Buku resepi satu.

Alamak! Tak lengkaplah pulak!

Buku resepi dua.
Juling mato den!

Buku resepi tiga.

Adohai...

Kensellah buat roti telur.  Resepinya mencurigakan.

Apa kata kita cari info tentang makanan seimbang.  Berguna tu terutama buat ibu-ibu yang prihatin  dan selalu menjadi chef di dapur.

Info 1. 


Info dua.


Okey, puan-puan.. Faham dah apa itu makanan seimbang.

Tulah sebabnya cikgu-cikgu banyak yang tak dapat dipisahkan dengan ubat darah tinggi dan banyak yang menjadikan  cermin mata tebal-tebal sebagai teman sejati.  Nak buatk camno.... inilah antara penyebabnya!

Isnin, 9 Mei 2011

Sawah dan kenangannya.

                                                                       
                                                         Apa guna menuai padi,
                                                     Tiba masa bertumbuh lalang,
                                                         Apa guna menabur budi,
                                                       Jika bakti tiada dikenang.



 Gambar sawah padi di hadapan rumah  ini di ambil dibawah terik matahari ketika balik dari kerja.  Hanya deruman mesin pemotong padi yang kedengaran.  Lama berdiri menghadap ke sawah,  sehari dua ni akan habislah semua padi-padi ini dituai.  Warna kekuningan padi yang terhampar akan lenyap dari pandangan mata, yang tinggal hanya jerami padi yang akan di bakar pula bila tiba masanya.

Tiada lagi kemeriahan musim menuai.  Tiada lagi kedengaran  pantang larang untuk menjaga semangat padi.  Tidak juga lagi kedengaran bunyi lesung  mengemping padi pada tiap malam.  Hilang juga bunyi sorak sorai menghalau burung-burung dijemuran padi.  Tidak terlihat juga  lagi orang-orangan tergantung di tengah sawah.

Terlalu rindu pada bau padi yang baru dibanting, rindu lagi bau nasi beras baru.  Rindu juga pada kenangan menangguk ikan sepat dan puyu yang banyak di musim menuai. Menimba parit yang hampir kering. Menyalai ikan keli yang boleh dijadikan stok untuk berbulan-bulan.  Nasi beras baru yang panas dengan berlaukkan ikan puyu dan sepat yang hanya dibakar dan dicecah air asam, terlalu membuka selera rasanya ketika itu.

Teringat juga pada kenangan bermain layang-layang di tengah sawah.  Bermain kejar-kejar dengan anak kerbau yang sedang menggatal.    Ahhh...Terlalu banyak yang telah hilang.  Terlalu indah untuk dikenang walau tika itu hidup penuh dengan kesusahan.  Bermain selut dan lumpur tidak menjadi alahan.

Kepuk padi juga telah lama tidak berisi malah tiada lagi rumah yang menyimpannya. Kalau dulu sebelum padi dimasukkan ke dalam kepuk, padi disukat dan dikira menggunakan gantang.. kalau cukup hisabnya akan dikeluarkan zakat. Selebihnya disimpan dan ada juga dijual.  Malah dengan hasil jualan padi yang dikumpul tahun demi tahun musim demi musim ini jugalah yang dapat menunaikan hajat mak dan abah ke tanah suci.  Juga menyekolahkan anak-anak.

Bila beras hampir habis dalam tempayan, padi dikepuk akan diambil sebuntil dua lalu dijemur. .  Padi dijemur seharian di bawah cahaya matahari terik. .. kemudian ditumbuk atau dihantar ke kilang pengisar padi.  Bila ditanak... sungguh wangi aroma nasi beras baru. Nasi juga lambat basinya.

Rasanya telah tiga dekad ianya berlalu dan kini ianya telah menjadi sejarah dan tinggal hanya sebagai kenangan yang sesekali diceritakan pada anak-anak.  Tiada lagi orang kampung yang mengusahakan sawah-sawah ini.  Semuanya telah diswastakan.  Tuan tanah hanya mendapat hasil yang hanya cukup untuk membeli beberapa kampit beras biasa.






Ahad, 8 Mei 2011

Taat kepada kedua ibu bapa.

SELAMAT HARI IBU KEPADA SEMUA IBU-IBU DAN BAKAL IBU.  
Hadiahkan kepada ibu kemuliaan hati budi.



 Buah mangga buah jambu,
Dibuat rojak sedap dimakan,
Aku bangga kepada mu ibu,
Jasa baktimu tidak ternilaikan.



Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.     [al-Ahqaf 46:15]


 Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”  Riwayat al-Hakim.


 * Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

* Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

* Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

* Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

* Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.


Kredit to Himpunan Hadis