Followers

Jumaat, 19 November 2010

Mentang-mentang aku cikgu tahun satu, begitu mudah aku di maki hamun.. namun itulah hakikatnya.

Berakhir sudah sesi persekolahan untuk tahun 2010.  Di hari terakhir persekolahan pagi tadi, ramai murid yang tidak hadir, mereka terus menyambung cuti sempena hari raya aidiladha.  Begitu juga guru-guru khasnya dari negeri Kelantan yang terus juga menyambung cuti mereka.  Kepada semua guru-guru selamat bercuti di ucapkan.

Minggu terakhir persekolahan pada tahun ini telah menambah satu lagi koleksi pahit kehidupan sebagai seorang cikgu. Hari Isnin yang lalu sekolah telah mengadakan majlis anugerah cemerlang.  Seorang ibu yang juga kakitangan sokongan di sekolah, telah datang menemui ibuintan. Ibuintan yang bertugas sebagai AJK mengurus murid yang mengambil hadiah memang sibuk menyusun atur kedudukan murid untuk menaiki pentas untuk menerima hadiah.

Si ibu (Pn X) datang komplen memberitahu bahawa anaknya dari tahun 3B tidak dapat hadiah mata pelajaran tertinggi iaitu subjek BM. Kebetulan juga untuk kelas 3B, ibuintan yang mengajar subjek BMnya.  Seingat ibuintan anaknya hanya mendapat pangkat B saja.  Ibuintan pun terus menyemak semula analisa keputusan BM untuk kelas tersebut, dan sememangnya anaknya hanya mendapat 66 markah sahaja.

Ibuintan pun memanggil murid tersebut dan bertanyakan tentang markah sebenar BM yang di dapatinya. 
'markah BM kamu sebenarnya 82 atau 66?' tanya ibuintan.
'66 cikgu" jawabnya.
'habis kenapa ibu kamu kata kamu dapat 82' tanya ibuintan lagi.
'entah' jawabnya.
Dan disebabkan sibuk dengan urusan menguruskan murid yang akan menerima hadiah, maka ibuintan pun tidak memaklumkan kepada Pn X tersebut tentang markah anaknya tadi.

Rupanya ketidakpuasan hati Pn X berlarutan sehingga keesokkan harinya.  Pn X terus berjumpa dengan guru kelas anaknya pula, meminta guru kelas mengubah semula markah BM anaknya dari 66 ke 82. Si guru kelas pun naik pening memikirkan banyak yang perlu diubah sekiranya betul markah murid tersebut ialah 82. Si guru kelas terus meminta penjelasan daripada ibuintan tentang kesahihan markah murid tersebut. Dan penjelasan ibuintan markah murid tersebut sah 66 dan tidak perlu diubah apa-apa.

Ketidakpuasan Pn X rupanya bertukar menjadi marah, Pn X yang tidak puashati datang menemui ibuintan dengan membawa bersama kertas peperiksaan BUKTI BM anaknya.  Dan sememangnya ke kertas BUKTI BM tersebut tercatat nama anaknya dengan markah 82.  Ibuintan yang pada mulanya menyangka telah tersilap menulis jumlah markah tersebut terus menukar markah tersebut menjadi 66.

Semasa inilah terkeluar ayat yang amat celupar dan tidak sepatutnya. Pn X tersebut dengan angkuhnya mengatakan bahawa ibuintan seorang cikgu yang tidak berguna dan gila. Dia mempertikaikan bagaimana anaknya boleh mendapat dua kertas peperiksaan BM dengan dua markah yang berlainan iaitu satu kertas mendapat 82 markah dan satu lagi mendapat 66. 

Ibuintan yang tidak mengetahui sianak mendapat dua kertas peperiksaan dengan dua markah pun menjadi terkejut  juga. Macam mana boleh jadi begitu. Semasa inilah Pn X mengatakan ' dia belum pernah jumpa seorang cikgu yang GILA yang memberi dua kertas peperiksaan dengan dua markah yang berbeza'.  Kami bertegang leher dalam situasi ini, ibuintan tetap mengatakan tidak pernah memberi anaknya dua kertas soalan BM, dan tetap mengatakan bahawa anaknya hanya mendapat 66 markah sahaja dan bukannya 82.

Semasa ini juga timbul ayat 'memang tak berguna' banyak kali juga dia mengatakan ibuintan cikgu tak berguna, dalam keadaan ini makin ibuintan memberi penjelasan tentang ketidaktahuan tentang kes dua kertas peperiksaan BM makin hebat bahasa Pn X. Akhirnya ibuintan meminta Pn X menunjukkan kertas BM yang bermarkah 66. Jawabnya 'tinggal di rumah' dengan kasarnya. Ibuintan juga meminta Pn X membawa semula kertas tersebut pada hari Jumaat (hari ini). "Yelah' jawabnya dengan kasar dan terus pergi.

Dengan keadaan dimaki hamun dengan kasarnya di depan murid, di dalam kelas maka otomatik darah dan hati ibuintan panas meluap-meluap. Setelah beristigfar beberapa kali dan menjadi tenang semula, ibuintan pun menyemak semula kertas soalan  BUKTI BM yang bermarkah 82 yang ibuintan minta semula daripada Pn X tadi.

Dengan kuasa Allah, yang menyebelahi ibuintan, maka ibuintan terpandang di bahagian nama yang bertulis nama anaknya, terdapat satu lagi nama yang telah dipadamkan. Nama murid sekelasnya yang sememangnya mendapat 82 markah untuk kertas BUKTI BM tersebut.  Ibuintan pun terus menyelak sehelai demi sehelai, kertas soalan itu telah dipisah-pisahkan, tidak lagi berstapler. 

Tulisan dalam kertas soalan itu telah bercampur aduk, jawapan kefahaman  menggunakan tulisan murid yang sememangnya mendapat 82 markah sementara tulisan dikarangan sememangnya tulisan anaknya. Ibuintan yang menghadap buku tulis dan latihan mereka sepanjang tahun dapat kenal dan beza tulisan setiap mereka.

Untuk lebih menyakinkan, ibuintan segera merujukkan kertas soalan tersebut kepada separuh cikgu yang terdapat disekolah dan kesemua cikgu sependapat dengan mengatakan kertas soalan itu adalah milik murid yang mendapat markah 82 tadi. Hati ibuintan panas semula, namun tidak segera memberitahu Pn X sebab ibuintan nak juga pn X membawa ketas soalan yang bermarkah 66 itu dahulu.

Balik dari sekolah pada tengahari Selasa, disebabkan hati yang panas di sembur dan dimaki hamun oleh Pn X semua urusan ibuintan menjadi amat terganggu.  Rasa tensen yang teramat sekali. Semua kerja tidak dapat dilakukan, rancangan untuk memasak rendang dan merebus nasi impit juga tidak berjalan lancar. Sehingga akhirnya ibuintan mendapat idea untuk meluahkan api kemarahan yang terbuku dihati di wall fb.

Walaupun meluahkan apa yang terbuku di fb, namun ibuintan masih bermaruah untuk menjaga nama baik Pn X dan suaminya dengan tidak me'tag'kan kepada mereka berdua.  Suami Pn X adalah friends ibuintan di fb juga sebab kami sama bersekolah sejak dari sekolah rendah lagi.  Ibuintan hanya meluahkan perasaan panas ati dan ketidak patutan ayat-ayat yang dihamburkan kepada ibuintan.  Rasanya tidak ada orang yang akan tahu kepada siapa yang dimaksudkan kecuali dikalangan cikgu-cikgu sekolah ibuintan sendiri. Sebagai manusia yang masih tahu norma dan tahu adap, ibuintan tidak akan memalukan Pn X dengan mendedahkan siapa dia difb.

Ramai kawan yang memberi respon dan komen meminta ibuintan bersabar dan tidak seorang pun yang menyentuh dan bertanya kepada siapa yang ibuintan tujukan 'luahan panas ati' tersebut. Dengan membaca respon dan komen positif dari rakan-rakan fb, hati ibuintan menjadi tenang semula.

Mengenangkan kesian kepada anak-anak yang akan menyambut hari raya korban, selepas solat Asar baru ibuintan mula memasak rendang ayam dan merebus nasi impit.  Itupun dengan emosi yang masih tidak berapa stabil lagi. Rasa terhina dimaki hamun depan anak-anak murid memang sesuatu yang amat membebankan perasaan rasanya.

Hari raya korban 10 Zulhijjah 1431H adalah hari raya korban yang benar-benar mengorbankan perasaan ibuintan - sedih, pilu, hiba, terhina dan dimalukan bercampur baur.  Anak-anak dan suami yang bersimpati dan berasa belas, tidak seorang pun yang menyebut untuk ke mana-mana di hari raya.  Malah abahintan juga tidak mengajak kami balik ke kampung emaknya.

Dengan izin Allah juga, alhamdulillah rancangan ibuintan berkorban sebahagian daripada seekor kerbau juga berjalan lancar.  Hari raya kedua barulah hati ibuintan tenang semula, dan kesibukan memasak daging korban dan beberapa lauk lain melupakan terus tentang isu tersebut.  Ibuintan menerima kehadiran beberapa rakan guru yang datang ke rumah pada hari raya kedua. 

Beberapa rakan guru telah lama berhasrat untuk datang ke rumah, mereka mula menyebut-nyebut sejak hari raya puasa lagi, namun ibuintan tidak mempunyai masa yang sesuai untuk menerima mereka. Jadi sempena raya korban kali ini, dan sempena hari -hari terakhir persekolahan, rasanya hari Khamis semalam adalah masa yang sesuai sekali.  Rakan-rakan ibuintan dan keluarga mereka datang seawal pukul 12.tengahari, kami makan tengahari bersama dan semuanya berjalan lancar.

Sehingga pukul 3.30 petang masih terdapat dua keluarga rakan di rumah ibuintan, mereka tiba lewat sikit kerana ada urusan sikit di waktu paginya.  Ketika sibuk melayan tetamu inilah, ibuintan menerima panggilan telefon. Ambil saja telefon dari tangan Azim tanpa sempat memberi salam 'apa hal kau menulis macam-macam di fb', dengar saja suara tu ibuintan sudah tahu itu ialah suami Pn X. lagi sekali ibuintan menerima hamburan kata-kata kurang ajar pula.

Suami Pn X menuduh ibuintan kurang ajar kerana menulis dan memburukkan tentang isteri dan anaknya di fb.  Ibuintan katakan ' kalau kau yang baca ayat tu boleh paneh ati, cubo bayangkan pulak semasa istri kau memaki hamun di dalam kelas dan di depan murid' dan lagi sekali kami bertegang leher pula di telefon. Suami Pn X menuduh ibuintan memfitnah anaknya dengan menuduh anaknya menipu markah BM.

Lagi sekali panas ati ibuintan mendadak naik, ibuintan seolah lupa pada tetamu yang masih berada di rumah.  Tuduhan dan hamburan kata kesat suami Pn X seolah-olah tindakan isterinya adalah betul, penjelasan ibuintan langsung tidak diambil kira. Sehinggakan ayat terakhir suami Pn X ialah 'kau tunggu den datang sekolah esok pagi, kito bersemuko, kau ingat den takut dengan kau' katanya.

Selepas ibuintan menerima panggilan yang mengatakan ibuintan cikgu kurang ajar dan dituduh memfitnah anaknya mengambil kertas peperiksaan murid lain, maka ibuintan terus menelefon ibu kepada murid yang mendapat markah 82 (murid yang sebenarnya)meminta ibu murid tersebut mencari semula kertas BM anaknya. Jawab siibu 'sudah puas mencarinya namun tidak jumpa, tetapi semua kertas subjek yang lain ada' dan kebetulan siibu juga adalah rakan guru ibuintan yang juga telah mengesahkan pada hari Selasa lalu bahawa kertas BM dan sebahagian tulisannya adalah milik anaknya.

Ya Allah, begitu sekali jadinya.  Seolah-olah selama setahun ibuintan mengajar anaknya di tahun satu dan setahun juga di tahun 3, tiada makna langsung baginya.  Kenapa percaya sangat dengan tindakan anaknya yang membawa dua kertas peperiksaan BM  dengan dua markah berbeza, kenapa tidak diperiksa dulu mengapa mesti ada dua kertas dan dua markah, dan mengapa juga tidak awal-awal lagi datang berjumpa dan bertanya tentang masalah dua kertas ini dengan ibuintan.


Pagi tadi, ibuintan ke sekolah dengan  doa semoga kekalutan ini tidak berpanjangan, dan berdoa semoga ibuintan juga dapat mengawal emosi daripada mengeluarkan kata-kata yang mungkin boleh memalukan diri sendiri ataupun mereka. Sebolehnya ibuintan ingin menutup semuanya dengan baik, namun sehingga pukul 9 pagi mereka tidak muncul, Pn X mengambil cuti walaupun dia dah berjanji akan membawa kertas yang bermarkah 66 tu hari ini.

Dan tiba-tiba ibuintan menerima panggilan telefon 'janganlah dihebohkan benda yang remeh tu' kata Pn X dihujung talian.  Ya Allah setelah, semua yang di lakukan dan dihamburkannya -  cikgu tak guna, cikgu gila dan cikgu kurang ajar - itu alasannya akhirnya... benda remeh..... namun hati manusia ibuintan yang dah tercalar ini berat juga menerima 'benda remeh' yang dimaksudkannya, dan tidak banyak sikit keluar juga ayat-ayat cinta sebelum ibuintan memutuskan talian.

//adakah kerana aku seorang guru tahun satu, maka sewenang-wenangnya aku boleh dimaki hamun dan dipersalahkan.
///dan demi menjaga maruah kedua mereka, setelah suami Pn X membalas komen dengan  ayat yang bermula 'mengapa kurang ajar sangat cikgu ni' di fb , maka ibuintan terpaksa membuang terus luahan panas ati di wall fb, bila suami Pn X membalas komen ini bermakna dia sendiri mendedahkan identitinya dan ibuintan tidak mahu kawan-kawan yang diluar lingkungan sekolah tahu mengenai tindakan anak, isteri dan dirinya sendiri dalam menegakkan benang basah..

Wallahuaklam..... sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari kesilapan dan kelemahan ibuintan sendiri.

32 ulasan:

Ibnu Jamaluddin berkata...[Reply]

Setiap apa yang kita lakukan pasti ada ganjaran dan pembalasan...

Aduhai manusia, kerna duniawi kamu sanggup mengenepi tujuan utama.

Sabar ya cikgu, walau saya bukan guru tapi saya faham betapa amarahnya hati cikgu sekarang...
Ada hikmah di sebalik musibah ini...

Mimie.Candy Cane berkata...[Reply]

sakit hati saya bace cerita ibu kali ni..faham sangat perasaan ibu..cuma kesal cara pn x tu bila tau pekara sebenar..ssh sangat nak mintak maaf.ego tak bertempat.

imanshah berkata...[Reply]

salam bu

saya membacanya dari awal dan akhir walau mendidih juga perasaan saya...

beginilah kita guru..ibarat mentimun..digolek pun kita kena, tergolek sendiri pun kita yang kena.
Takpe, berani kerana benar..

kerana dunia, manusia boleh putusa sahabta.banyak bersabar ya bu

imanshah berkata...[Reply]

salam bu

saya membacanya dari awal dan akhir walau mendidih juga perasaan saya...

beginilah kita guru..ibarat mentimun..digolek pun kita kena, tergolek sendiri pun kita yang kena.
Takpe, berani kerana benar..

kerana dunia, manusia boleh putusa sahabta.banyak bersabar ya bu

a.z.r.i.n.a.03.07 berkata...[Reply]

Salam Kak,


Saya pun turut geram bila baca n3 kali ni. Sabar adalah yang terbaik kan kak..


Apalah sangat pada markah. Kalau kurang markahnya, galakkan anak tu buat yang terbaik.

Menghamburkan kemarahan pada orang lain adalah perbuatan yang tidak matang lebih2 lagi depan pelajar sekolah.

Harapnya akak dah okey.. >_<

kakcik berkata...[Reply]

Salam ibuintan...

* tidak akan runtih bukit kerana salakan sang anjing.

** air di dulang yang ditepuk - akan terpercik ke muka orang yang menepuknya.

Sabarlah - Dia Maha Mengetahui.

ibuintan berkata...[Reply]

sdr ibnu.

hanya Allah yang mengetahui bagaimana perasaan saya sekarang..

itulah jadinya bila perasaan dikuasai nafsu semata, bercakap ikut sedap hati dan mulut saja tanpa mengenangkan perasaan orang lain

ibuintan berkata...[Reply]

mimie,

semua perasaan ada dalam hati ni..

dia dah sedar tentang tindakan anaknya yang menipu namun dia tidak cuba untuk mempercayainya... memang egonya tinggi, tidak pun mungkin dia dah malu sendiri

ibuintan berkata...[Reply]

salam kembali Iman,

itulah nasib guru, namun sebab yang segelintir manusia yang berhati beku begini maka hati guru banyak yang tercalar....

ibu boleh terima kalau bercakap dan berbincang dengan baik, ini tidak penjelasan ibu langsung tidak diambil perhatian... sebaliknya dipersalahkan seratus peratus

ibuintan berkata...[Reply]

iman lagi..

memang ibu mengumpul kekuatan untuk bersabar... nasib baik cuti ini dapat mengelakkan ibu dari berjumpa dengannya

ibuintan berkata...[Reply]

salam reen,

kalau semua berfikiran dan bertindak seperti reen, alangkah aman damai jadinya

dah rasa okey sikit, sebab takkan jumpa dia disepanjang cuti ini

ibuintan berkata...[Reply]

kakcik,

memang dah nampak pun air dah terpercik kemuka mereka... sianak, emak dan bapaknya sekali

tulah sebab menuduh tanpa usul periksa

betul tu, kebenaran terserlah akhirnya... alhamdulillah

anie,Nagoya berkata...[Reply]

Pn X tu tak cukup ilmu...otak pendek.kalo dia ada otak yg sempurna...dia tak akan wat cam tu..kesian pada anak dia punyai ibu yg otak pendek cam ibunya....

ibuintan berkata...[Reply]

pn anie,

haah lah agaknya otaknye senteng sikit... tapi anaknya otak lebih sikit tu sebab ada idea menipu dengan mengambil kertas peksa budak laen..

Mohamad berkata...[Reply]

Salam ibuintan,
Saya selalu ingatkan diri saya dan guru-guru jika kita buat sesuatu kita kena teliti dan ada bukti... terutama dokumentasi.

Spt yang dikatakan ibu, ibu kenal dengan tulisan murid, itu sudah memadai untuk menyatakan bukti bahawa pelajar tesebut sudah menipu dan sebagai alasan untuk melawan hujah. Jika kita tidak teliti dan mengenali sudah tentu kita akur dan kesalahan di pihak kita..

Walau bagaimana pun, sebagai seorang guru, saya puji tindakan ibu.. walau marah, kita masih ingat adab kesopanan dan tatasusila..

ckLah@xiiinam berkata...[Reply]

Tanpa guru tahun satu....siapalah kita?



Bertabah ya cikgu!

ibuintan berkata...[Reply]

cikgu mohamad,

memang saya ada bukti sahih lagi, selain kenal tulisan anak-anak murid saya juga menyimpan keratan analisa markah murid yang terdapat di bahagian belakang kertas periksa tersebut..

saya sudah koyakkan sebab nak buat rujukan untuk analisa pencapaian, dan yang itu Pn X tak tahu ada dalam simpanan saya..

ibuintan berkata...[Reply]

ckLh,

nasib guru tahun satu, ramai yang memperkecilkannya dan hanya memandang sebelah mata saja... namun ibu tetap bangga sebab mereka ada yang datang dari zero dan akhirnya kita nampak kemajuan yang ketara pada mereka..

Yunus Badawi berkata...[Reply]

Salam ibuintan,

Allah sentiasa di pihak yg benar. Banyakkan bersabar dan berdoa kpdNya.

Saya pun hairan setakat satu pelajaran tu sanggup ibubapa murid tu mengata dan menyakitkan hati ibuintan yg telah bersusah payah mengajar anak2 murid tahun 1 termasuk anaknya. Kalau markah tersilap utk peperiksaan besar spt SPM satu hal lah juga. Ini utk darjah 1.

Anak saya pun gurunya pernah tersilap mengatakan dia gagal dalam subjek matematik semasa di Ting 1 tetapi yg sebenarnya dia dapat 88 markah. Saya tak buat kecoh pun kerana dah silap nak buat mcmana.

ibuintan berkata...[Reply]

salam YB..

itulah bezanya...

taraf pendidikan membezakan sikap dan pemikiran mereka..

saya pun tak tahu apa yang direbutkan dengan markah 82 tu

fadhlinaafifah berkata...[Reply]

Sabar ye cikgu . :)

cikgu isza berkata...[Reply]

berbanyak bersabar yer.. resam yang sentiasa perlu kita telan.. kat sekolah ni pun ada kes bila parent pertikaikan anak guru dapat markah tinggi.. macam2..

ibuintan berkata...[Reply]

fadhlina,

sedang bersabar la ni, mau tak mau mesti bersabar..

ibuintan berkata...[Reply]

cikgu isza,

yang itu memang biasa la... kita juga dituduh membocorkan soalan, walaupun kita tak tau apa2 soalan yang kluar tu..

maiyah berkata...[Reply]

salam ibuintan..
sabar je la.. mmg betul2 nk kene sabar kan, tp pn x tu x bleh le sampai ckp camtu wlau mrh pun :(

ibuintan berkata...[Reply]

salam maiyah..

memang kena sabar...

marah Pn x tu yg tak sepatutnya... dia marah tanpa usul periksa

ummu berkata...[Reply]

assalamualaikum ibu intan,
sedihnya saya baca entry ibuintan ni.pengalman ibu intan ini,"mentang2 saya cikgu murid tahun 1" mengingatkan salah satu pengalman pahit ibu saya sebagai cikgu.
semoga Allah beri kekuatan kpd kita untuk menjadi cikgu yang berjaya.

ummu berkata...[Reply]

maaf Ibu intan,tadi saya ingatkan tak boleh komen.mata dah ngantok,:),sorry

BUNGA berkata...[Reply]

salam ibuintan..
sabar yer... besar dugaan dan cabaran sbgai cikgu ni.. mudah2an ibuintan kuat dan cekalkan semangat mendidik anak2 bangsa..

p/s: haih.. pelik saya dengan makbapak zaman sekarng ni..

ibuintan berkata...[Reply]

mualaikumsalam ummu,

trima kasih kerana ummu juga dapat merasainya, memang ibuintan sedih sangat dan ini juga sebenarnya bukan pengalaman yang pertama yang dialami..

itulah yang diharapkan walau macam mana anggapan pun, insyaallah amanah untuk mendidik anak2 ini akan diteruskan dengan ikhlasnya

ibuintan berkata...[Reply]

ummu.. mata ngantuk pergi tidur, jangan dipaksa2 berjaga.. tak elok jadinya

ibuintan berkata...[Reply]

bunga,

terima kasih sudi ddatang..

insyaallah itu tidak akan melunturkan semangat dan azam untuk memberi yg terbaik kpd anak2 didik semua