Assalamualaikum,
Sudah empat hari Azim dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Hajihah Kuala Pilah, Dr. Fauzi (Dr pakar) memberitahu Azim boleh keluar pada hari Selasa, keadaan Azim makin baik tiada lagi mengalami masalah pernafasan cuma batuk sekali sekala, Azim juga tidak lagi memerlukan bantuan gas, cuma doktor minta dia berehat secukupnya.
Azim telah dimasukkan ke wad lelaki, wad kanak-kanak hanya untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun sahaja. Ini adalah pengalaman pertama ibuintan berada lama di dalam wad lelaki. Suatu pengalaman baru yang ibuintan dapat. Rata-rata pesakit yang berada di dalam wad ini ialah warga emas. Mengidap bermacam-macam penyakit kronik dan memerlukan penjagaan. Sesuatu yang amat menyentuh hati ibuintan ialah melihat betapa setia dan sabarnya para isteri yang juga warga emas- menjaga dan memberi perhatian yang begitu sekali kepada suami mereka. Ada yang sudah berada selama tiga minggu dihospital, siang malam sentiasa disisi, tidur malam disisi katil suami hanya beralaskan sehelai tikar, sebiji bantal dan sehelai selimut. Begitu setia, walau keadaan tidak selesa dan rehat yang tidak mencukupi, anak-anak mereka datang menjenguk waktu melawat sambil menghantar makanan untuk ibu mereka. Isteri tetap di sisi walau ada anak-anak yang menjaga sama. Sentiasa tabah melayan kerenah suami yang sakit, memicit badan, menyuap makanan, membersihkan diri, memimpin ke bilik air, semua dilakukan dengan penuh ikhlas dan rela. Sesungguhnya ibuintan amat kagum dengan kasih sayang dan kesetiaan para isteri warga emas ini.
Namun situasi begini tidak ibuintan lihat di wad wanita, payah hendak jumpa para suami yang sanggup melayan dan menunggu isteri yang sakit, menjaga dan berada di samping isteri sepanjang hari, si suami hanya datang waktu melawat sahaja, menghantarkan makanan dan sehabis waktu melawat mereka akan balik.
Suami bergantung sepenuhnya kepada anak mereka untuk menjaga ibu yang sakit. Mengapa si suami tidak sanggup bersama bersengkang mata dan merasai bersama penderitaan dan kesakitan si isteri? Adakah suami malu menunjukkan kasih sayang kepada isteri atau suami telah kurang kasih sayangnya seiring peningkatan usia? Situasi begini juga berlaku di wad kanak-kanak, ibu yang sentiasa menjaga anak sepanjang masa, mereka sanggup memohon cuti asalkan dapat sentiasa disisi anak-anak mereka. Sedangkan bapa dengan alasan-alasannya.
Memang selayaknya seorang ibu yang juga seorang isteri mendapat pengiktirafan yang besar di dalam Islam, kasih sayang dan pengorbanan mereka memang tiada tandingannya. Hanya nyawa yang menjadi sempadannya.
Wassallam.
5 ulasan:
anak lelaki dididik dari kecil utk keluar berjauhan dr keluarga...sbb tu lelaki tak ramai yg 'sensitif' dgn hal2 bersangkut emosi keluarga...
owh..lupa nak tanya khabar
bagaimana azim?
harap2 makin baik
alhamdulillah,
azim dah keluar hospital hari ni, terima kasih kujie sudi bertanya khabar
Salam,
Semoga anak cepat sembuh.
trima kasih sweetie.
dah beransur baik tp hari ni tak sekolah,mc lagi
Catat Ulasan