Followers

Selasa, 23 Julai 2013

Anak warisan.


Wahewan Fariz baru berusia 9 tahun. Belajar dalam tahun tiga.  Anak kedua daripada tiga beradik, kesemuanya lelaki.  Anak Orang Asli yang dah banyak diajar untuk menjalani kehidupan harian kaumnya.  Semalam Wahewan memberi ibuintan 7 papan petai.  Semalam juga tidak sempat bertanya tentang petai yng dibawanya.

Hari ini semasa kelas Pendidikan Moral ketika Wahewan  dan empat rakan lain membuat kerja bertulis, ibuintan sempat berborak dengannya.  Menurutnya petai yang dibawanya semalam ialah petai yang diambil oleh bapanya.  Jika hari  cuti dia juga turut serta mencari petai bersama bapanya.  Dia juga telah dilatih untuk memanjat pokok petai dan telah beberapa kali berjaya memanjat dan menurunkan petai dari atas pokoknya. Bila ditanya 'tak takut ke kalau jatuh?  Jawabnya bersahaja 'tak takut, dah biase'. Best cikgu nanti jual dapat duit.... banyak. Bapa saya jual kat Cina. Boleh beli henpon.  Saya pun dah ada henpon, bapa belikan. Tapi henpon saya bapa yang guna.

Selain  boleh memanjat pokok petai, Wahewan juga mengaku pandai menoreh getah. Dia dah diajar ke kebun untuk menoreh sejak berumur tujuh tahun.  Tapi menurut ceritanya juga, abangnya yang di tahun 6 tidak di bawa masuk hutan untuk mencari petai atau menoreh getah sebab abangnya gemuk.  Bapanya kata menyusahkan bawa abangnya.  Bila ibuintan kata 'untungla abang kamu tak payah masuk hutan' selamba je dia jawab... saya lagi suka masuk hutan dari datang sekolah.  Tapi walaupun begitu dia antara anak murid Asli yang rajin datang ke sekolah, jarang sekali ponteng. Memang anak murid yang rajin dan ringan tulang.  Dia berada dalam kumpulan sederhana di kelasnya. Boleh membaca dan menulis dengan baik. Dia bercita-cita untuk menjadi anggota polis bila besar nanti.  Moga dia berjaya mencapai cita-citanya.



..... 

Sabtu, 13 Julai 2013

Bila dapat bersama...anak gembira, ibunya lagilah bahagia....

Salam 4 Ramadhan kepada semua, moga terus diberi kesihatan yang baik agar dapat melakukan ibadat dalam bulan ini dengan sebaiknya.  Alhamdulillah tiga hari berpuasa yang berjalan lancar.  Setelah dua hari berbuka tanpa Intan, petang semalam kami dapat berbuka bersama. Petang semalam Intan balik bercuti hujung minggu sehingga esok. Saya dan suami tiba di Terminal Bas Seremban dalam pukul enam setengah petang.   Saya dan suami bercadang untuk berbuka di restoran makanan segera yang terdapat di dalam kompleks membeli belah di sebelah bangunan terminal bas  bila mengagak Intan pasti tiba lewat kerana kesesakkan di lebuhraya selepas Nilai.


Namun bila melihat keadaan dalam KFC dan McD, semua meja  telah  penuh dengan barisan beratur  yang panjang disetiap kaunter maka kami terpaksa tukar fkiran.   Kami berdua ke bazar Ramadhan yang terdapat di sebelah bangunan terminal bas, kami beli dan bungkus sahaja untuk dimakan bila waktu berbuka tiba.  Intan sampai lima minit sebelum azan. Walaupun ada kedai makan di stesyen itu tetapi keadaan yang binggit dan bising menyebabkan kami tidak berminat untuk berbuka di situ.  Kami merancang berbuka saja dulu di dalam kereta dan kemudian singgah di mana-mana restoren semasa dalam perjalanan balik.


 Sebaik masuk ke kereta, azan Maghrib pun berkumandang.  Kami bertiga beranak berbuka sahaja di dalam kereta dengan makanan yang kami beli tadi... sebungkus nasi lemak, sebungkus meehon goreng serta air kotak , kami kongsi bertiga. Mungkin disebabkan kami beli di saat akhir dan pembeli pun sudah tidak berapa ramai maka penjual itu memberi meehoon dan nasi lemak yang agak banyak, kami makan berkongsi bertiga pun dah rasa kenyang.  Jadi kami tak perlu singgah di mana-mana terus balik ke rumah.  Setengah jam dah sampai ke rumah, perjalanan lancar. Alhamdulillah.

                Senyum lebar sebab dapat balik ke rumah, namun ibunya lagilah tersenyum lebar, kembang setaman dalam hati sebab dapat berpuasa dan berbuka sekeluarga petang nanti.

Sebaik sampai di rumah malam semalam, Intan dah cadangkan menu utama untuk berbuka nanti dan pastinya menu berbuka petang nanti ialah menu menunaikan hajat 'puteri tersayang' ini yang selama di kolej  hanya makan hasil tangan 'makcik cafe'  saja.  Sabarlah sayang ya... demi menuntut ilmu kan.

Hari ini pastinya ibunya ini akan bergerak ke pasar untuk mencari dan melengkapkan bahan yang akan dimasak petang nanti.  Selalunya hanya abahnya yang akan singgah membeli sewaktu balik kerja namun untuk hari ini ibunya yang akan membeli sendiri.. Bila abahnya yang membeli mesti ada saja yang tidak lengkap...masak dalam kekurangan bahan la biasanya.   Namun tidak juga dapat ke pasar di waktu awal pagi  sebab pagi ini ibuintan akan ke sekolah dahulu, terpaksa ke sekolah kerana ada perjumpaan dengan ahli kelab doktor muda.  Ahli  kelab doktor muda akan menduduki ujian kompetensi mereka pada hari Rabu nanti.  Terpaksalah membantu mereka membuat ulangkaji kerana ini ujian mereka yang pertama kali.


Menu ibuintan dah ada dalam kepala... menu rakan-rakan apa pulak agaknya ye!  Kekadang pening juga kan memikirkan menu yang paling sesuai untuk dimasak.  Ibuintan jenis yang lebih suka  memasak dari membeli di bazar ramadhan.  Lebih puashati tapi ada juga  anak-anak membeli sedikit mengikut keinginan mereka.  Dan air antara yang wajib mereka beli. 


....namun yang lebih penting semuanya harus bersederhana jauhkan pembaziran, kalau ikutkan nafsu masa lapar semua hendak dimakan.  Kalau beli pun ikut keperluan, makan pun jangan berlebihan nanti berat pulak nak bersolat...jangan pulak kekenyangan  solat wajib dan sunat terawih sampai ketinggalan.


...


Isnin, 8 Julai 2013

Selamat datang Ramadhan.


.

Marhaban ya Ramadhan…………….
selamat menunaikan ibadah puasa, mohon maaf zahir dan batin.


 

Khamis, 4 Julai 2013

Misi menjejak Misteri nusantara.

Pagi tadi dalam pukul sembilan pagi tiba-tiba ibuintan mengigil bila terpandang sesusuk tubuh sasa yang lalu di luar kelas ketika ibuintan sedang mengajar.  Lelaki itu diiringi oleh seorang pekerja am sekolah. Setelah kelibat lelaki itu hilang, ibuintan terus menelefon pekerja am sekolah tersebut lalu bertanyakan siapakah lelaki itu.  Pekerja am itu memberitahu lelaki itu ialah seorang ustaz yang dipanggil oleh guru besar.  Guru besar meminta bantuan ustaz itu setelah beberapa kejadian aneh yang semakin kerap berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini.  Guru besar takut perkara yang tidak diingini terjadi kepada anak-anak murid yang semakin kerap melihat perkara dan makhluk yang selalunya tidak nampak dimata kasar kita.  Ada rupanya dikalangan anak-anak ini yang berkebolehan melihat makhluk ini yang menurut gambaran mereka sesuatu yang sangat menakutkan.


Bila mengetahui kehadiran ustaz ini maka ibuintan pun memberitahu pekerja am itu supaya bertanya kepada ustaz itu samada ibuntan boleh meminta bantuannya juga.  Selang dua puluh minit kemudian ustaz itu bersama pekrja am tadi datang ke kelas ibuintan, ustaz bertanya bantuan yang ibuintan perlukan.  Ibuintan memaklumkan yang ibuntan sering sakit kepala, mengantuk yang teramat serta selalu rasa lemah badan setiap petang selepas asar.  Ibuintan juga menceritakan bahawa ibuintan menggigil dan berdebar  bila terpandang ustaz pada pertama kalinya di awal tadi.  Terus ustaz berkata bahawa dia juga perasan akan perubahan ibuintan ketika itu.  Menurutnya lagi ustaz nampak benda itu di belakang/bahu ibuintan.  Bila ibuintan tanya lagi 'betul ke ustaz'.  Betul la memang ada tu' katanya lagi. Sambil bercakap ustaz terus melekapkan tapak tangannya di atas kepala ibuintan sambil bertanya 'apa rasa sekarang?  Masa tu juga ibuintan rasa kepala lapang dan ringan sangat.  Pandangan pun rasa sangat terang.


Sempat juga ustaz memberitahu bahawa kawasan hujung kelas tahun satu tu ialah salah satu 'tempatnya'.  Wah... makin kecut perut rasanya.  Namun harapnya tiadalah lagi gangguan  selepas usaha ustaz itu.  


.... tak dapat bayangkan macam mana keadaannya jikalau mata kasar ini dapat melihat makhluk halus tersebut, minta dijauhkan lah... maun pengsan rasanya



Rabu, 3 Julai 2013

Ala misteri nusantara la pulak.

Aduhaii... sekolah ibuintan akhir-akhir ni dah banyak pulak timbul cerita siri ala-ala misteri nusantara ni.  Banyak dah perkara pelik dan kejadian yang tak dijangka berlaku.  Kes tegur menegur istilah pak dukun memang dah kerap sangat di dengar.  Tak semena-mena demam, tak disangka-sangka tanpa sebab musabab  terus sakit pinggang, tanpa ada sebab yang nyata badan rasa dicucuk-cucuk..,ada yang sakit kepala tiba-tiba, seram sejuk di tengah hari panas.  Dah macam-macam yang di dengar.

Kejadian semalam tiga orang murid Anak Orang Asli ke tandas di tingkat paling atas bangunan baharu tidak semena-mena menjerit ketakutan, menangis-nangis mengadu dengan makcik tukang sapu bila seorang daripada mereka mendakwa terlihat satu lembaga yang putih besar dan berbulu tergantung di syiling tandas.  Sehingga waktu balik budak itu ketakutan dan hari ini langsung tak datang ke sekolah, menurut temannya budak itu telah demam.


Seorang guru pemulihan khas juga bercerita bahawa kerusi di dalam kelasnya asyik hilang satu atau bertambah dua.  Kelas pemulihan khas ini muridnya belajar menggunakan meja cara Jepun yang rendah  di mana murid duduk bersila sewaktu belajar. Maklumlah muridnya hanya beberapa orang saja setiap waktu pembelajaran.  Sejak beberapa minggu ini ada beberapa kejadian pelik berlaku di kelas itu.  Kunci kelas itu hanya dipegang oleh guru itu seorang sahaja.  Kali pertama dahulu cikgu itu kehilangan duit syiling yang disimpannya dalam bekas.  Yang peliknya tiada kesan orang masuk. Pintu dan tingkap semuanya tertutup dan berkunci.

 Keesokannya pula cikgu itu kehilangan dua buah kerusi guru.  Dalam kelas itu  hanya ada  lima buah kerusi sahaja untuk kegunaan rakan-rakan guru yang sering masuk ke kelas itu di waktu rehat.  Tapi keesokan hari di dapati dua buah kerusi telah hilang, bila ditanya kepada rakan-rkan yang lain jika ada yang mengambil dan membawanya keluar namun tiada siapa yang mengambilnya.  Pagi tadi pula kejadian pelik berlaku lagi bila bilangan kerusi yang ditinggalkan semalam bertambah sebuah lagi.  Semalam sebelum balik dipastikan hanya ada lima buah kerusi berwarna kuning di dalam kelas itu tetapi pagi ini bila kelas dibuka terdapat pula tambahan sebuah kerusi lagi tapi berwarna putih. Alahai siapalah yang membawa keluar dan masuk tu!  pintu dan tingkap tetap macam biasa terkunci rapat.  Mission imposibble betul la..


Ibuintan juga selain tiba-tiba demam mengigil .. pernah juga mengalami perkara yang pelik dan tiba-tiba meremangkan bulu tengkuk.  Pernah sekali ibuintan ketika menanti murid masuk ke bilik pendidikan seni di tingkat paling atas bangunan baharu  tiba-tiba terdengar suara seperti seseorang menangis teresak-esak sedangkan bilik lain di sebelah menyebelah yang lain semuanya kosong.  Bilik di tingkat paling atas tu semuanya ialah bilik-bilik khas sahaja. Hanya di gunakan di waktu-waktu tertentu sahaja.  Mendengar bunyi air seolah-olah ada orang  yang sedang mandi dalam tandas pun pernah juga.  Biasanya cepat je la lari turun. 


Malah banyak lagi kejadian aneh yang turut dialami oleh pihak pentadbir sekolah... cuma kami buat seolah-olah tak tahu apa-apa je... buat donno saja.  Kita sama-sama menumpang di bumi Allah ni, tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah swt.



.... kelebihan anak-anak kecil ada yang dapat melihat wajah-wajah yang mengerikan (menurut cerita mereka) dan yang dewasa pula hanya dapat merasakan kewujudan mereka dari gerakrasa yang dirasai serta juga kekadang kesan usikan/teguran mereka ... sakit yang datang tiba-tiba dan tidak dapat dikesan oleh perubatan moden




Selasa, 2 Julai 2013

Ujian dariNya.... syukur semuanya telah selamat.

Bulan Jun dah pun berlalu.  Hanya tiga entri pendek yang dapat ibuintan post.  Itupun menggunakan tab sahaja.  Malas sangat rasanya nak berblog sekarang ni.  Letih dan malas nak menulis. Bulan Jun juga bulan yang teramat sibuk rasanya.  Sepanjang minggu ada sahaja aktiviti.  Banyak yang nak ditulis sebenarnya, banyak juga kisah suka duka yang dilalui sepanjang bulan lepas.  Perkara duka dah berlalu tak perlu diungkit lagi.  Cuma sikit terkilan dengan sikap seseorang yang tidak jujur.  Biarlah semuanya berlalu dan ibuintan juga dengan ikhlas hati memaafkan semua tindakannya. Tidak perlu berlagak sombong dan ibuintan juga tidak mahu sepertinya, walaupun dia tidak mengaku salahnya dan tidak pun meminta maaf namun tiada salahnya ibuintan memaafkannya dalam diam.  Moga Allah mengampunkan kekhilafannnya dan memberinya petunjuk dan hidayah... hidup ini tidak selamanya indah dan kita juga tidak selamanya berada di atas.

Semalam Isnin, ibuintan dah bercadang hendak menulis entri yang baru.  Ibuintan bercuti rehat semalam.  Terpaksa mengambil cuti sehari setelah merasakan kepenatan yang amat sangat.  Sejak pertengahan bulan Jun ibuintan rasakan teramat penat sekali.  Aktiviti yang padat sehingga hujung minggu, padat dengan aktiviti sekolah, padat juga dengan aktiviti berkenduri setiap hujung minggu disamping terkejar ke rumah mak mertua yang semakin tidak sihat sejak akhir-akhir ini. Letih sangat rasanya.  Tambahan pula kerja rumah sudah tiada pembantu yang menolong.  Kalau selama ini Intan yang banyak membantu tapi kini Intan telah menyambung pelajarannya semula.


                     Intan kini sedang belajar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Sepanjang hujung minggu lepas juga Jumaat hingga Ahad berulang alik ke Seremban.  Kakak ipar ibuintan mengadakan majlis kenduri kahwin anak sulungnya di Taman Tasik Jaya Seremban.  Sejak petang Jumaat lagi ibuintan sekeluarga telah ke rumahnya. Majlis akad nikah berlangsung selepas Asar tapi ibuintan terlepas menyaksikan momen indah ini sebab terpaksa pula ke stesyen bas Terminal 1 Seremban untuk menjemput Intan yang balik dari Gopeng.  Hanya dapat menatap gambar-gambar yang diambil oleh Azim.


             

  Selamat Pengantin Baru kepada Along Ain dan Khalid Reza... mak uda mendoakan moga kalian berbahagia selamanya... jagalah rumahtangga yang baru dibina dengan sebaiknya.

Namun, kegembiraan meraikan majlis perkahwinan kedua mempelai ini menjadi agak terganggu buat ibuintan dan suami apabila Azim dengan tiba-tiba mengalami sakit perut yang agak teruk.  Menangis dan mengerang kesakitan di saat pengantin akan bersanding pada hari Sabtu.  Azim terpaksa di kejarkan ke sebuah hospital swasta yang berhampiran.  Hasil pemeriksaan doktor, doktor memaklumkan Azim mungkin mengalami kekejangan otot perut, Azim segera diberi suntikan ubat.  Ubat penahan sakit tentunya.  Menjelang malam sakit perutnya berulang-ulang kembali tapi tidaklah terlalu kuat.

Malam Isnin pula selepas Maghrib sekali lagi Azim mengerang kesakitan yang teramat. Mandi peluh dia menahan kesakitan.  Sekali lagi Azim dikejarkan ke hospital.  Kali ini di hospital Kuala Pilah pula.  Azim terus dibawa ke wad kecemasan.  Pemeriksaan segera dilakukan, ujian kencing, darah dan x-ray dilakukan segera.  Namun setelah dua jam di sana,  hasilnya tiada apa yang dapat dikesan... menurut doktor tiada masalah.  Doktor hanya menjangkakan Azim mungkin mula mendapat gastrik.  Hanya dibekalkan ubat penahan sakit serta ubat gastrik.  Sakitnya berkurangan setelah diberi ubat penahan sakit.  Isninnya Azim diberi cuti sakit sehari.  Sepanjang seharian di rumah, Azim rasa sihat dan tidak sakit perut lagi.

Malangnya malamnya pula selepas Maghrib sekali lagi Azim mengerang kesakitan.  Kesakitan yang teramat-amat.  Sampaikan berguling dan menonggeng di atas lantai.  Kesian sangat ibuintan melihatnya, sapu minyak angin dan makan ubat pun tidak berkesan.  Setelah berbincang dengan suami, ke spesialis katanya kejangan otot perut, dah di xray pula tiada apa-apa yang dapat dikesan, akhirnya ibuintan nekad membawanya ke rumah seorang makcik untuk berubat, sayangnya makcik itu pula tiada di rumah.  Akhirnya seorang jiran menyuruh membawa Azim berjumpa seorang pakcik di Melang. Kebetulan pakcik itu saudara  ibuintan juga Jarak dari rumah ibuintan ke rumah pakcik itu dalam 8 km, memecut laju abahintan, Azim tetap mengerang dan menangis di tempat duduk belakang.

Hanya Allah saja yang tahu keadaan kami malam semalam.  Nasib baik pakcik itu ada dirumah ketika itu.  Sewaktu ibuintan dan suami sampai di rumah pakcik itu, ada tiga orang lelaki dewasa sedang belajar mengaji dengan  pakcik itu.  Sebaik sampai saja, setelah diberitahu keadaan Azim, pakcik itu segera meletakkan tapak tangannya di atas perut Azim, antara pusat dengan dada.. spontan kata pakcik tu...'sebab cacing gelang'  terperanjat sangat kami semua mendengarnya.  Cacing gelang saja.  Namun syukur, setelah beberapa kali pakcik itu berusaha, keadaan Azim semakin lega.  Walaupun sehingga cubaan keempat sakitnya masih berulang-ulang sehinggalah pakcik itu menekan sebiji limau nipis dipusat Azim.  Azim terus muntah sebanyak dua kali serta di akhirnya terpaksa berkejar ke tandas, barulah keadaannya benar-benar lega.  Syukur sangat Allah memperkenankan doa dan usaha pakcik itu.



Entahlah apa punca dan penyebab kemunculan cacing gelang itu.  Yang ibuintan dengar sejak dahulu ialah setiap kita ni memang ada cacing gelang di dalam perut ini.. ni yang ibuintan dengar dari mulut orang-orang tua dahulu.  Difilem x-ray tu tak nampak pulak cacing gelang tu.  Dan ada juga yang ibuintan dengar daripada mulut arwah2 uwan dahulu yang "sakit perut akibat dari cacing gelang ini melibatkan usaha dan tindakan menyalahi hukum Allah oleh segelintir manusia yang membelakangkan hukum Allah... wallahuaklam.  Namun jika benar apakah salah dan dosa Azim maka dia dijadikan mangsa.


Melihat keadaan Azim, kesakitan yang dialaminya memang benar-benar amat menyakitkannya. Sehinggakan abang2 yang belajar mengaji di rumah pakcik itu juga merasa sangat kesian melihat keadaannya. Mereka juga mengatakan belum pernah melihat keadaan sebegitu.  Syukur, hari ini keadaan Azim ceria kembali dan menurutnya tiada lagi rasa kesakitan di bahagian perutnya itu.  Di sekolah juga dia dapat menjalani latihan sukan tanpa rasa sakit... syukur Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.