Followers

Jumaat, 24 Mei 2013

Anak-anak sekolah... selamat bercuti.



Selamat bercuti kepada semua anak-anak yang masih bersekolah.  Manfaatkan cuti dua minggu ini dengan sebaiknya.  Jaga diri, jaga keselamatan dan jaga kesihatan... inilah antara pesanan yang pasti tidak terlupa dititipkan kepada semua anak-anak murid ibuintan setiap kali cuti sekolah bermula.  Moga ibubapa yang sentiasa sibuk selama ini dapat sama meluangkan masa bersama anak-anak mereka.  Bawalah anak-anak  berjalan-jalan, bercuti, berkelah atau apa saja aktiviti yang dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.
 
 
.....cikgu numpang bercuti sama tapi tidak semua cikgu dapat bercuti sepenuhnya,  ibuintan semestinya akan ke sekolah juga masih banyak kerja menanti terutama kerja-kerja melibatkan fail dan perkeranian., murid saja yang tak ada tapi kerja tetap ada menanti, tambahan pula buka sekolah nanti sekumpulan pegawai akan datang membuat pemantauan 




Ahad, 19 Mei 2013

Sambutan Hari Guru

Sekolah ibuintan mengadakan sambutan hari guru pada hari Jumaat lepas, ditunda sehari kemudian kerana semua murid tahap dua menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun sehingga hari Khamis.  

Majlis sambutan dimulakan dengan majlis bacaan Yassin di surau sekolah.

Setelah majlis bacaan Yassin, semua murid  bersukaneka bersama guru-guru di padang.  Cikgu dan murid bermain dan berkejaran di padang. Seronok, meriah, bergembira sesekali bersama begini dapat melepaskan segala tekanan. Selepas rehat, semua berkumpul pula di dalam dewan.  Kalau hari guru biasalah acara wajib untuk semua guru ialah bacaan ikrar guru serta nyanyian lagu Guru Malaysia.

Selamat hari guru yang terakhir buat Tn Hj Sulan (bersongkok) yang akan bersara pada akhir tahun ini.  Dalam seronok nak bersara terselit pula rasa sedih katanya.




Muka-muka ceria.




 Persembahan gwiyomi murid Pra sekolah paling memikat hati. Comel semuanya.



Persembahan koir murid tahun enam menyanyikan lagu sekolah yang telah diberi sentuhan baru.


Dan acara wajib juga sebelum balik ialah jamuan makan tengah hari. Semua makanan disumbangkan oleh guru-guru sendiri. Menu utama makan nasi berlaukkan daging salai, sayur campur serta ulam-ulaman, sate 1000 cucuk, kek sumbangan YB Adun Sri Menanti, nasi lemak serta pizza.  Sate terpaksa ditapau sebungkus seorang.  Bawa balik sebab dah tak termakan.


Tahun ini juga semua guru menyumbang untuk membeli hadiah kepada semua murid.  Kami sama-sama dapat hadiah , cikgu dapat murid pun dapat.  Murid juga kenyang dengan sumbangan nasi lemak sebungkus seorang, air kotak, buah serta makanan ringan yang lain.


 .... terima kasih kepada anak-anak didik yang memberi hadiah , namun hadiah yang paling bermakna kepada semua guru ialah kejayaan anak-anak didik di dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak. 






Khamis, 16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU... 1 Aspirasi 1 Agenda

Selamat Hari Guru untuk semua  cikgu-cikgu yang pernah mengajar dan  mendidikku selama ini.  Terima kasih, cikgu!  Hanya Allah yang akan membalas segala kebaikan dan tunjuk ajar cikgu kepada saya selama ini.
 
Selamat Hari Guru juga kepada semua pembaca blog serta rakan-rakan blogger Ibuintan yang bergelar guru.
 
Luahan hati seorang guru di masa ini....

Kami para guru merasa terharu jika ada bekas-bekas pelajar datang untuk mengucapkan "selamat hari guru, terima kasih cikgu." kepada kami
tapi apa yang berlaku, anda datang untuk menziarah tempat anda belajar
anda datang dengan pakaian sesedap badan
anda datang sebagai TUAN
tak ramai pun yang datang menghulur tangan
kesalahan yang lepas menjadi ingatan
ada yang datang menunjuk belang
merokok sesuka hati rambut entah apa-apa
anda tak peduli pun pada kami
saban hari kami cuba mendidik anak-anak yang masih beruniform sekolah
untuk patuh pada suruhan menjauhi larangan
sebagaiaman kami telah mencuba pada anda sekelian
tapi anda datang sebagai TUAN
tersentuh hati kami begitu diperlakukan
datang lah
datanglah dengan niat untuk berjabat tangan
datanglah dengan pakaian sedap mata memandang
datang lah raikan kami yang pernah anda panggil guru
datang lah dengan ikhlas dan sopan
wallahua'alam
 
....... Luahan hati ini .ibuintan copy paste dari laman FB ibuintan yang dishare oleh seorang rakan peminat orkid...
 
 
 

Selasa, 14 Mei 2013

Sama naik.

Terima kasih kepada sahabat yang meninggalkan komen di entri sebelum ini... ibuintan tidak berkesempatan membalasnya.. terima kasih kerana singgah dan mendoakan kesihatan ibuintan.



 

Mak mertua dan menantu sama agenda. Jururawat sedang memeriksa tekanan darah mak mertua.  Sejak mendapat serangan stroke ringan, setiap hari mak  terpaksa dibawa ke klinik untuk diperiksa tekanan darahnya.  Nasib baik klinik desa dekat  dengan rumahnya. Jadi tidaklah menjadi masalah sangat untuk menghantarnya setiap pagi.  Setelah seminggu mak  dikehendaki pula membuat pemeriksaan di hospital dengan membawa hasil ujian tekanan darah yang dibuat pada setiap hari tu.  Begitulah rutin mak  sejak mendapat serangan stroke ringgan beberapa minggu lepas.  Keadaan mak  makin baik tapi masih terpaksa menggunakan tongkat  untuk berjalan.  Mak  juga terpaksa memakai lampin pakai buang setiap hari kerana mak mertua ibuintan kini juga menghadapi masalah lemah kawalan air kencing, tau-tau dah basah saja kainnya.


Nasib baik dua orang adik suami tinggal tidak jauh dari rumah mak mertua, jadi mak dan abah mertua ibuintan bergilir-gilir ke rumah kedua anaknya itu.  Kata cucu-cucu mereka kini,... "petang Ahad je atuk dan uwan check-in di rumah Mak Tih, petang Jumaat check-out... balik rumah sendiri" kemudian minggu berikutnya pula 'check-in" di rumah Pak Cu.... begitulah selang seli setiap minggu.  Rumah anak lain yang jauh belum mahu lagi.  Ibuintan dan adik-adik ipar yang lain yang tinggal di luar pula bergilir balik setiap hujung minggu.  Ibuintan dan keluarga biasanya balik pada petang Sabtu dan bermalam di sana.  Dah puas mengajak tinggal bersama kami untuk seminggu  tapi ditolak mentah-mentah.  Macam-macam alasan yang diberi terutamanya oleh abah mertua ibuintan. 


Kakak ipar ibuintan ada membelikan satu set alat mengukur tekanan darah jenama Omron untuk kegunaan mak tapi mak tak yakin, mak tetap nak buat pemeriksaan di klinik juga.  Adik ipar (Pak Cu) sebab taknak bising-bising terpaksa jugalah mengikut kehendak mak, mak tetap nak 'misi' juga yang pam dan periksa dilengannya.  Ibuintan ambil kesempatan juga menggunakan alat tersebut , senang sangat rupanya.  Ibuintan pun bercadang juga hendak ,membelinya untuk kegunaan di rumah sendiri.  Ibuintan juga dikehendaki ke klinik setiap dua hari untuk diperiksa tekanan darah selepas pitam minggu lepas.  Setakat ini menurut 'misi' tekanan darah ibuintan masih normal tapi tak tahulah apa kata doktor bila berjumpanya hari Khamis nanti.  Kalau disahkan darah tinggi akan bermulalah episod makan ubat darah tinggi setiap hari.



.... memang kesihatan amat mahal harganya...





Sabtu, 11 Mei 2013

Dunia ku berputar 360 darjah.

Alhamdulillah syukur.  Bertemu kembali.  Selamat menyambut bulan Rejab.  Moga  sahabat semuanya berada dalam keadaan sihat dan sejahtera disamping keluarga tersayang.  Syukur, ibuintan sihat nwalau pada hari Khamis lepas mendapat ujian sedikit.  Ibuintan mendapat pitam yang agak teruk juga pada pagi Khamis lalu.  Sebaik terjaga dari tidur di waktu subuh tu, pandangan ibuintan berpinar, bilik terasa berpusing 360 darjah, ligat sekali rasanya.  Tidak boleh bangun langsung, malah nak membuka mata pun tak berani.  Keadaan ini dialami hampir satu jam.  Pantang buka mata, pandangan terasa berpusing ligat.  Badan pula berpeluh-peluh.

Abahintan memberi minum segelas air limau kasturi dan tidak membenarkan ibuintan bangun dari tempat tidur.  Selang setengah jam kemudian ibuintan terasa hendak membuang 'hajat besar'.  Hendak tak hendak terpaksa juga bangun.  Nasib baik ketika itu sudah berkurangan berpinarnya, namun ibuintan tetap berhati-hati.  Ibuintan terpaksa berjalan ke tandas dengan menyisir ditepi dinding.  Sampai saja ke dalam tandas, sebaik sahaja menutup pintu tandas tiba-tiba pandangan berpusing ligat semula, dalam sekelip mata saja ibuintan dah terduduk atas mangkuk tandas dengan tangan masih memegang tombol pintu.  Nasib baik ibuintan di dalam tandas dan terjatuh atas mangkuk tandas kalaulah dalam bilik air tentu dah tersembam atas lantai bilik air.  Dan mungkin kepala boleh terhantuk pada dinding, kolah atau sinki.  Syukur ibuintan tidak mendapat mudarat semasa kejadian itu.


Keluar saja dari tandas, ibuintan tidak berani berjalan lagi.  Ibuintan terpaksa merangkak ke bilik.  Tak tahan dengan keadaan ini, ibuintan segera minta dihantar ke hospital.  Ibuintan dikejarkan ke wad kecemasan hospital Kuala Pilah.  Sebaik sampai di sana, ibuintan segera disorong ke wad kecemasan tetapi belum sempat sampai ke katil, ibuintan sekali lagi mengalami pitam.. katil di bilik itu seperti diputar 360 darjah, kelihatannya berputar ligat sekali. Rasa melayang dan tunggang terbalik semua yang ada depan mata ketika itu.  Tanpa dapat berbuat apa-apa ibuintan terus muntah di hadapan doktor dan jururawat yang berada di sebelah ibuintan. Melambak-lambak muntah, nasib baik hanya muntah air sebab belum makan pagi lagi.  Hingga muntah hijau yang teramat pahit keluar barulah ianya berhenti. Kesian juga kepada seorang jururawat di situ sebab muntah ibuintan terkena pada bajunya.  Bukan disengajakan.

Sebaik keadaan ibuintan lega sedikit, para doktor seramai empat orang terus membuat pemeriksaan.  Mengambil tekanan darah, pemeriksaan jantung dan beberapa perkara lain.  Telinga juga diperiksanya.  Bermacam-macam soalan juga diajukan terutamanya tentang sejarah kesihatan ibuintan selama ini.  Tekanan darah ibuintan ketika itu ialah 145/95.  Agak tinggi menurut doktor.  Ibuintan terus diberi ubat suntikan yang disuntik dibelakang tapak tangan. Pertama kali kena cucuk kat belakang tapak tangan ni.  Sakit juga rupanya terutama bila disuntik dengan ubat kali kedua.  Mencucuk-cucuk dalam saluran darah tu rasanya.  Ibuintan berada di wad kecemasan selama hampir lima jam dengan dua kali disuntik ubat.


Tepat pukul 11.30 ibuintan dibenarkan keluar dari wad kecemasan itu.  Tapi sebelum keluar kena buat beberapa ujian keseimbangan untuk membuktikan ibuintan betul-betul boleh berdiri dan berjalan dengan baik.  Hasil dari keadaan ini ibuintan terpaksa ke klinik berhampiran setiap pagi selama lima hari untuk mndapatkan pemeriksaan tekanan darah.  Untuk memastikan samada ibuintan telah mendapat darah tinggi.

Pitam hari itu ibuintan rasa berpunca dari memakan lauk yang dibeli yang mengandungi serbuk perasa yang banyak.  Hari Rabu lepas ibuintan membawa seorang pelajar ke pertandingan bercerita Bahasa Melayu Tahap 1 ke sebuah sekolah lain di kuala Pilah.  Pertandingan itu berlangsung sehingga pukul dua suku petang. Sewaktu dalam perjalanan balik, ibuintan singgah di sebuah kedai makan untuk membeli lauk.  Ibuintan belum pernah makan di kedai itu.  Semasa makan di rumah, ibuintan sudah terasa gulai kari ikan yang dibeli itu dibubuh dengan perasa tambahan yang agak banyak.  Ibuintan memang alah dengan bahan perasa tersebut.  Tapi disebabkan tiada pilihan lauk lain, selain dari rasa lapar maka ibuintan makan juga lauk tersebut.  Malamnya ibuintan dah rasa kepala ni rasa berat dan pening.  Jadi ibuintan masuk tidur awal dari kebiasaan. Dan keesokkannya itulah dunia disekeliling ibuintan berputar 360 darjah... pitam pun datang menyerang.  Ini kejadian kali kedua yang dialami selama hayat ini.

Sehingga ke hari ini, sesekali peningnya datang juga menyerang.


..... selalunya setiap kali membeli atau mengoder makanan ibuintan akan minta supaya serbuk perasa tambahan itu tidak ditambah dalam masakan yang diminta dan kalau makanan yang telah siap dimasak pula


Rabu, 8 Mei 2013

Sedekah.

Si Hitam yang terbiar. Ada kecacatan dimata kirinya.