Followers

Khamis, 31 Januari 2013

Santai.

Anak-anak orang Asli .

Pendidikan Moral tahun tiga.


Selasa, 29 Januari 2013

Dua hari, dua majlis, dua situasi.

Assalamualaikum....... bertemu kembali.  Alhamdulillah.... batuk yang dihidapi makin sembuh.  Bila musim buah, batuk pun datang sama, maka buah yang dipersalahkan. Padahal orang yang makan buah tak sedar diri, bukan makan lagi dah.... dah masuk kategori melantak. Dah rambutan gading tengah masak ranum, tu yang tak sedar diri tu.  Kena batuk baru berenti, baru nyesal.  Semalam balik rumah mak in law, buah manggis pulak dah masak.  Terpaksalah tahan nafsu, sanggup tahan tekak  taknak makan bukan sebab batuk saja tapi sebab malas nak kait buahnya juga.  Batuk menjadi-jadi selepas makan rambutan dengan banyaknya. Cuti hari Maulidur Rasul yang lepas, seorang jiran datang bertandang ke rumah.  Kami duduk  di bawah pokok rambutan tu.... borak sambil makan rambutan.  Macam-macam cerita, sedar-sedar selonggok kulit rambutan dah terkumpul.  Malamnya tekak mula perit, minum madu pun tak jalan.  Bangun pagi dah sah batuk berdengkang dengkung. 

Sebab dah tiga hari tak buat entri, jadi hari ni entri terkumpul la ya...

Hari Sabtu....26 Januari.  Berada di majlis perkahwinan Yana...anak bongsu KakNgah ibuintan di Langkap, Bidor. Ibuintan ke sana pada petang Jumaat bersama suami dan Intan saja.  Azim tinggal di rumah kakak ipar di Seremban, dah malas nak mengekor ibunya ke mana-mana sekarang ni, tambahan lagi ke majlis kenduri.  Macam-macam alasannya.



Ini Bang Teh, abang ibuintan yang nombor lima.  Dia dan isteri juga sampai dari Selayang pada malam Sabtu.

Emak sedara Yana sedang mencoret dibuku tetamu


Kad undangan perkahwinan Yana yg spesel... mengimbau zaman persekolahan kot, entah2 Fuad tulis surat cinta guna kertas buku latihannya dulu.



Tahniah Yana dan Fuad... moga berbahagia dan berkekalan jodohnya hingga akhir nyawa.

Ibuintan balik semula ke kampung pada petang itu juga selepas selesai majlis di rumah KakNgah.  Terpaksa balik sebab esoknya hari Ahad ada kenduri pula di rumah abang ipar di Kuala Kelawang, Jelebu.  Kalau ikutkan hati masih mahu lagi tinggal semalaman di Perak.  Walau suami tak kesah namun perhubungan dengan keluarga abang ipar hendak juga dijaga.

Ahad... 27 Januari.

Hanya ibuintan dan suami saja yang pergi ke kenduri di rumah abang ipar. Abang ipar mengadakan kenduri arwah dan tahlil, arwah isterinya iaitu KakLang Eda.  yang baru meninggal hujung tahun lepas akibat serangan stroke dengan tiba-tiba.  Selain kenduri arwah, bang ipar juga mengadakan kenduri ini dengan tujuan untuk mengumpulkan seluruh ahli keluarga ... keluarga arwah isteri dan juga keluarga abang ipar/keluarga suami ibuintanlah tu.  Semua adik beradik dan ke dua ibu bapa kedua-dua pihak hadir bersama.


Tujuan utama abang ipar memanggil semua ahli keluarga berkumpul ialah untuk berbincang tentang majlis  perkahwinan anak lelaki bongsunya pada bulan hadapan.  Keluarga sebelah arwah isteri abang ipar tetap mahu majlis perkahwinan itu diteruskan sebab semuanya telah diputuskan sebelum kematian arwah lagi.  Mereka tetap bersepakat untuk meneruskannya dan masih cuba untuk meneruskan juga apa yang diharap dan diaturkan oleh arwah sebelum ini.  Ini adalah majlis perkahwinan anak abang ipar yang pertama.
Abang ipar (berkopiah putih).  Sesi perbincangan untuk majlis perkahwinan dijalankan sebelah petang, selepas selesai kenduri tahlil dan makan tengah hari. Majlis yang sangat beremosi dan kerap kali terganggu dek esakan abang ipar dan ahli keluarga yang lain.  Memang sangat memilukan apalagi mengenangkan arwah baru dua bulan lebih meninggal dunia.

 Namun semua tetap sepakat untuk meneruskannya kerana banyak benda telah diatur dan ditempah.  Paling memilukan juga arwah  telah menempah baju sedondon untuk semua ahli keluarganya mengikut tema yang telah ditetapkannya.  Hajat arwah yang mahu menumbangkan dua ekor lembu untuk majlis itu pun tetap juga diteruskan.  Arwah  dulu juga pernah menyuarakan hasrat mahu daging daripada seekor lembu itu dimasak rendang di kampung mak mertua ibuintan.  Arwah sangat suka rendang yang dimasak cara kampung mak mertua kami. Pendek kata abang ipar dan keluarga arwah sedaya mungkin akan cuba memenuhi apa saja yang pernah disebut-sebut dan dirancang oleh arwah sebelum ini untuk majlis perkahwinan ini nanti.

Ibuintan juga sangat sebak bila teringatkan keriangan dan keseronokkan yang tergambar diwajah arwah setiap kali kami bertemu, sebelum anaknya bertunang lagi arwah dah mula merancang majlis anaknya.  Keseronokkan seorang ibu dalam mengatur hari bahagia anaknya... namun semuanya tinggal perancangan... takdir Allah mengatasi semuanya.  Hanya kami yang tinggal sedaya mungkin akan cuba juga merealisasikan hajat dan impiannya... tak dapat semua sebahagian pun jadilah.

Al fatihah .... Amin.








Ahad, 27 Januari 2013

Majlis sambutan Maulidur Rasul

Assalamualaikum... syukur, bertemu kembali.  Dua hari menyepikan diri tanpa khabar berita. Moga semua sahabat bloggers berada dalam keadaan sihat dan gembira menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga tersayang.

Jumaat dan Sabtu yang sibuk buat ibuintan dan keluarga. Pagi Jumaat sekolah  mengadakan program sambutan Maulidur Rasul. Program bermula seawal pukul lapan pagi dengan majlis bacaan Yassin di surau sekolah, disertai juga beberapa orang ibu bapa yang hadir.


Selepas majlis bacaan Yassin, semua berkumpul diperkarangan sekolah untuk perarakan sambil berselawat ke masjid berhampiran, lebih kurang sejauh 500m.








Berkumpul diperkarangan masjid sebelum berarak balik semula ke sekolah.

Dah berjalan sejauh 1km, kita minum dulu. Makan roti (sumbangan syarikat kilang Roti Azan K.pilah) cecah air sirap.  Best jugakk!

Senyum lebarr!


Berkumpul di dalam dewan sekolah untuk mendengar ceramah maulidur rasul yang 'terpaksa' diambil alih oleh ustaz sekolah ini sahaja setelah penceramah yang diundang dan bersetuju pada awalnya memberi alasan  yang tak sepatutnya.  Redha je lah.... ustaz tu pun manusia biasa juga, kekadang termungkir janji juga. Tapi kesian juga pada ustaz Zul yang terpaksa menjadi penceramah 'bidan terjun' di saat akhir. Sebab hanya mengetahui penceramah jemputan itu tak dapat hadir selepas dihubungi setelah  tidak muncul-muncul.


Majlis di ikuti dengan penyerahan wang sumbangan oleh Encik Radzuan seorang bekas pelajar sekolah, juga anak kampong  ini yang kini berjaya sebagai seorang usahawan.. sumbangan RM1k kepada setiap murid yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR setiap tahun. Dalam majlis ini juga beliau masih berjanji akan meneruskan sumbangannya kepada murid yang berjaya mendapat 5A untuk beberapa tahun lagi.

Dan seperti biasa juga... acara isi perut... wajib menjadi aktiviti penutup majlis.  Makan tengah hari  menunya ialah hasil port-luck di antara kalangan guru dan kaki tangan sekolah.

Petangnya pula ibuintan dan suami serta Intan bergerak ke Langkap, Bidor ke rumah KakNgah untuk menghadiri majlis perkahwinan anak bongsunya.. Yana seorang blogger juga rupanya.  Insyaallah entri akan di tulis kemudian.

Sebentar lagi ibuintan akan bergerak pula ke Kuala Kelawang ke rumah abang ipar.  Ada majlis kenduri juga di rumahnya. Nampaknya cuti hujung minggu ini ke hulu ke hilir makan 'berkenduri'...






Khamis, 24 Januari 2013

Salam Maulidur Rasul.


Salam Maulidur Rasul 12 Rabiulawal 1434H

Salam Maulidur Rasul kepada semua muslimin dan muslimat seluruh dunia, selawat dan salam ke atas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW....










kredit to gugel

Rabu, 23 Januari 2013

WW - infaq

Tuan Puan Rahimatullah......






Rasullullah s.a.w bersabda :   " Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah."






Isnin, 21 Januari 2013

Tudung.

Tengah hari semalam ke majlis kenduri pertunangan anak rakan sekerja abahintan di Jemapoh. Meriah majlisnya..... dah macam majlis kahwin pun iya juga.  Siap dengan pelamin serta karaoke sekali.  Alahai susahnya  bila bercakap dalam suasana yang binggit begitu.  No komen!

Balik dari majlis kenduri tu kami  terus ke bandar Bahau.  Hajat hati nak cari tudung yang sama dengan tudung yang ditengok dalam laman biz online di FB.  Di Bahau ada butik yang menjual tudung jenama berkenaan.  Sampai saja terus ke butik tudung tersebut, sayangnya tudung yang dah pekenan sangat tu tiada dalam stok.   Ada design yang sama tapi berlainan warna daripada warna  yang dihajati.  Melepas la lagi!

Pilih juga yang lain tapi tak berkenan dengan mata sendiri.  Yang untungnya budak ini jugak.  Tudung-tudung yang dia nak beli secara online tu kebetulan ada juga dijual dikedai sebelah butik ni.  Apalagi lepas selai, selai dia mencuba. Yang pembantu kedai tu pulak sorong je tudung tu lepas satu, satu , ke dia.



Puas mencuba, akhirnya... 'ibu, Intan ambik dua helai ye'. Nasib baik dua helai saja yang sangkut. Intan memang tengah kemaruk dengan tudung bawal segera macam ni sekarang.  Dah beberapa helai dia beli secara online, termasuk tudung  yang dipakainya itu juga dibeli secara online..  Nampak gayanya ibu yang berhajat tapi anak yang dapat dulu.  Tapi ibunya tetap juga nakkan tudung yang dihajati jadi ibunya juga dah buat pesanan secara online... harga sama dengan harga yang dijual dibutik, cuma perlu tambahan untuk pos. Kan ... like mother like dother!



Sabtu, 19 Januari 2013

Random

Azim demam semula disertai batuk.  Batuk yang merisaukan tu takut athmanya menyerang lagi.  Takut sangat dia sesak nafas lagi.  Dua tiga hari ni kawasan luar rumah pula sangat berdebu.  Kerja penambahan ruang beranda tepi rumah masih belum siap.  Sejak semalam juga, debu makin banyak bila kawasan lantai simen yang sedia ada dipecahkan untuk dipasang tile.  Penuh berdebu kawasan halaman.  Tingkap dan pintu rumah terpaksa ditutup sepanjang hari untuk menghadang debu masuk ke dalam rumah.  Dalam rumah terpaksa divakum pagi dan malam.  Nasib baik Azim setia memakai mask menutup hidung dan mulutnya.

Nasib baik juga kawasan simen yang dipecahkan ini tidak lebar, menjelang petang tadi kerja memecahkan lantai simen ini siap sepenuhnya.  Ruang yang tidak bertile ini  cuma 3 kaki lebar dan 20 kaki panjang di kawasan tepi longkang.  Disebabkan ruangan yang baru ditambah bertile keseluruhan maka ibuintan mahu ruangan ini juga dipasang marmar.  Nampak janggal bila ruangan sejalur ini bersimen sahaja.

Harap esok kerja-kerja memasang marmar ni bermula.  Tak sabar menunggu siap projek yang seciput ni, nak berkemas cepat kawasan luar yang dah berterabur tu.  Stor dah siap cuma tinggal bahagian lantai ni saja.

Bila demam, selera makan pun meragam.  Bila ada yang tak sihat, mesti yang tak sihat tu diminta cadangan menu yang dikehendakinya.  Azim sejak semalam makan tak berapa selera. Azim ni pula satu masalahnya lagi ialah tidak kerap minum air kosong. Dia minum air kosong sewaktu makan saja.  Bila demam kurang makan maka minum pun kurang. Menu tengah hari tadi dia minta dimasakkan singgang ikan parang. Dia nak hirup kuahnya.  Azim memang suka makan lauk yang jenis bersup dan berkuah yang boleh dihirupnya, lauk lemak pedas bukan kegemarannya.

Dah alang-alang masak, masak tiga ketul ikan parang sekali gus. Abahintan dan Intan pun makan sekali.  Ibuintan pula dah makan di sekolah.  Pagi tadi sekolah ibuintan mengadakan program gotong royong.. gotong royong warga sekolah.  Aktiviti utama pagi tadi ialah mengecat dinding surau, dinding bilik pusat sumber serta bilik-bilik khas.  Program diakhiri dengan jamuan makan.  Jadi ibuintan makan di sekolah saja bersama rakan -rakan.


Makanan disediakan pengusaha kantin sekolah.






macam-macam kojo!




Lepas bekerja... makan durian yang disumbangkan oleh Ustaz Zulkefli.  Tokey durian ni... luas dusunnnya.  Terima kasih ustaz... moga musim nanti bertambah lebat buahnya.  Setiap kali musim durian, ustaz memang tak lupa menjamu rakan2nya.... makan-makan free, nak lagi puas makan.... order saja dan bayar ngan ustaz.



..... moga terus dijaga



Khamis, 17 Januari 2013

Bantuan awal persekolahan... moga benar membantu

Rentetan entri semalam.  ... rezeki anak-anak bila mendapat bantuan awal persekolahan.  Bukan nak mengata tapi cuma melahirkan rasa kurang puas hati saja dengan sikap segelintir ibu bapa yang masih tidak prihatin dengan keperluan persekolahan anak-anak mereka.  Dah namanya bantuan awal persekolahan, sepatutnya gunakanlah duit tu untuk bayaran keperluan persekolahan anak-anak.


Takkan semalam dapat terus habis. Tak dapat bayar semua bayar sebahagian pun jadilah.  Sedih sangat, memang dah diberi kata dua kepada semua pihak pentadbir sekolah agar tidak memotong sesen pun duit bantuan tu tapi kita sebagai ibu bapa tahu samada kita dah bayar atau belum keperluan persekolahan anak-anak kita.  Petang semalam sekolah ibuintan mengadakan majlis penyerahan duit bantuan ini, semua ibu bapa memang dapat 'penuh' duit bantuan tu, tapi kami guru-guru kelas bersedia juga untuk menerima sekiranya ada kalangan ibu bapa yang mahu membuat pembayaran bayaran persekolahan anak mereka.  Kami semua bersedia dengan resit bayaran.  Namun hampa, kelas ibuintan hanya seorang bapa keturunan orang Asli yang membuat pembayaran, itu pun bayaran menjelaskan baki bayaran yang telah dibuatnya pada awal tahun dulu.  Dan yang baiknya semua anak Orang Asli dalam kelas ibuintan telah selesai membuat pembayaran.

Namun yang malangnya, masih ada anak-anak kaum sendiri pula yang masih berhutang.  Bukanlah banyak sangat dan bukannya tidak boleh dibayar secara beransur-ansur.  Kecewa sangat dengan sikap ibu bapa anak-anak ini.  Hari ini  tidak ada seorang pun yang datang membuat pembayaran.  Ibuintan memang dah masak dengan keadaan begini, mesti ada seorang dua yang liat.  Setiap tahun memang cikgunya tak sampai hati membiarkan anak-anak ni belajar dalam keadaan tidak lengkap... maka terpaksalah cikgu-cikgunya mendahulukan duit sendiri  beli buku dan alat tulis.  Takkan nak biarkan anak-anak ini duduk melopong saja tanpa buku tulis dan buku latihan.

Duit bantuan awal yang di dapati semalam memang dah mampu melangsaikan pembayaran mana yang perlu dahulu.  Memanglah duit bantuan tu tak menampung semua jumlah pembayaran, namun masih amat membantu sebahagian besarnya.  Nak harap semua guru kelas keluarkan duit sendiri dulu memang tak mampulah. Itupun dalam tak mampu, termampu juga akhirnya... demi perasaan kasihan.  Akhirnya ada yang bayar habis tapi tak kurang juga akhirnya cikgu menukar niatnya kepada 'sedekah'....bila akhirnya malas  nak mintak-mintak dan ingatkan anak-anak tu berulang kali.

Bila KSSR dilaksanakan, bila mana fail dan evidens menjadi keutamaan, maka bila ada ibu bapa yang tidak membuat pembayaran , cikgu kelas menjadi amat tertekan.  Duit menjadi masalah utamanya, failnya bukan fail kertas limoposen tu.  Kesian la kat cikgu-cikgu ni sikit, dah la cikgu-cikgu keluar duit beli kertas A4 berrim-rim, fotostat lagi, dakwat printer lagi.  Sejak KSSR ni printer pun dah nak jamed dah.  Takkan duit buku tulis dan buku latihan anak-anak pun cikgu juga nak bayarkan.  Tolonglah abang-abang, kakak-kakak, adik-adik... prihatinlah sikit demi masa depan anak-anak.

... teringat kisah semasa bayaran KWAPM  RM250 semasa di sekolah lama dahulu,.. seorang anak murid bercerita emaknya beli hp dengan duit RM250 tu sebab nak undi Mawi ,... seorang lagi bercerita bapanya beli pancing baru beratus ringgit dengan duit tu jugak... so mana keutamaan untuk pelajaran anak-anak!!



Rabu, 16 Januari 2013

Rezeki anak, gunalah untuk anak.



Senyum ... seorang bapa tersenyum lebar menerima wang tunai RM100 bagi pihak anaknya di majlis penyampaian bantuan khas awal persekolahan 2013 petang tadi yang disampaikan oleh YB ADUN Seri Menanti. ( ambik pic dari FB Dato'..maaf ye Dato)

... Sejak petang tadi line internet sungguh  mendukacitakan, lembab teramat.  Nak upload gambar pun tak lepas-lepas.... makanya mood pun terus tenggelam.



Selasa, 15 Januari 2013

Kerja dalam cuti.

Selamat Hari Keputeraan Tuanku... moga Allah lanjutkan usia Tuanku.



Inilah kerja tambahan di hari cuti umum semalam..... ada murid, adalah cikgu.  Seawal pukul 7 pagi sudah bergerak dari rumah menaiki bas bersama anak-anak murid. Bukan jauh pun, tapi dah atas arahan pihak atasan, kenalah akur.  Bukan tak boleh memandu sendiri tapi siapa nak jaga anak-anak orang yang di dalam bas itu, dalam bas pun macam-macam boleh berlaku.  Tidak pasal-pasal nanti kena saman.





 Ini pula tugasan  anak-anak murid, beratur untk mengibarkan bendera semasa keberangkatan Tuanku.



Sebahagian murid lain pula berada di kawasan Istana Lama/Muzium  Lama Seri Menanti kerana menyertai pertandingan mewarna dan melukis.







Makanya tugasan cikgunya semalam yang paling mencabar ialah memastikan kesemua 36 orang anak 'orang' yang dibawanya selamat kembali ke rumah masing-masing semula.  Bayangkan siksanya bila tiba masa mengumpulkan mereka semula di waktu balik, tidak semua mendengar arahan dan tidak semua faham arahan.  Syabas kepada ketua rombongan Cikgu Ghani... dengarnya naik angin juga bila sorang murid lelaki 'hilang', hampir sejam mencari bila dia tiada ditempat berkumpul yang telah ditetapkan, rupa-rupanya budak tu awal-awal lagi dah naik bas.  Maunya dibagi penampar saja... tapi anak orang! 

Nasi putih bersama lima jenis lauk ... gulai daging, rendang daging, ayam masak merah, gulai lemak kubis serta rendang hati dengan kacang. 

Sejak Tuanku menerajui negeri ini, sudah dua kali jamuan rakyat disediakan dengan teratur.  Secara buffet dan banyak khemah disediakan.  Tidak seperti yang terdahulu, makanan disediakan dalam bekas polisterin dan dibahagikan dalam keadaan yang berebut dan kelam kabut.  Semalam ibuintan dan rakan-rakan yang lain makan di kawasan Seri Menanti Resort bersebelahan Istana Lama. Alhamdulillah.. kek oren yang sangat sedap tapi kek coklatnya tak sempat merasa... dah habis.

Tulah Istana Lama Seri Menanti /... waktu puncak kepenatan ni.  Dah tersandar bodoh di tiang khemah.  Kalaulah tak ada orang mahu tidur baring di bawah khemah ni.  Waktu ni majlis penyampaian hadiah sedang berlangsung di kawasan khemah di hadapan.  Tak larat dah nak ke sana, sapa yang dapat hadiah pandai-pandailah ambik sendiri.  Hehehe nasib baik tak ada sorang pun yang dapat hadiah.  Murid-murid dari SJK(C) rasanya yang memonopoli hadiah utama.








Ahad, 13 Januari 2013

Jom layan orked... hati pun tak sakit.

Assalamualaikum dan selamat bercuti hujung minggu.  Moga ceria bersama keluarga tersayang. Apa aktiviti hari ni?  Apa aktiviti yang menyeronokkan hari ni?  Bagi ibuintan dapat berkumpul bersama keluarga pun dah seronok, masak untuk mereka dan makan-makan bersama.  Hujung minggu hari untuk menyelesaikan kerja rumah tangga yang dah di'tunggakkan' selama lima hari ... mengemas dan  melipat kain baju.  Juga menyapu halaman rumah, bertegur sapa dengan oked... tanya oked2 tu apa khabar, makan cukup tak, minum cukup tak... kalau ada yang tak cukup, oked2 tu taklah cakap tapi tunjuk reaksi je... kalau cakap kang tobat ibuintan tak poe lagi dah ngadap oked2 tu... tunjuk reaksi pun taklah dengan ngangguk atau goyang-goyang daun ea lak... cuma tunjukkan daun kuning ke, daun bekulat ke, batang dari gemuk jadi kurus ke, tak berbunga ke... camtu la lebih kurang reaksi nya... kalau ada tanda-tanda tu bagilah makan... letak baja bunga, letak baja daun.. siram air.

 Kerja sekolah tak kira lagi tu.  orang yang kerja pejabat rasanya untung lagi sebab buat kerja di pejabat saja.  Dah dua malam memasukkan data murid yang seramai 19 orang tu tapi hingga pagi ni masih tak setel lagi.  Aduh.. nak internet cam mana lagi agaknya supaya kerja-kerja ni berjalan lancar. 

 Ini jumlah pengguna pada pukul 12 tengah malam tadi.... tepat tengah malam.  Dah  sesak dah ni, nak masuk satu nama pun punyalah azab menunggu. Tak tahan dengan keadaaan ni ibuintan sanggup hingga pukul 1 pagi sahaja. Dalam masa dua jam hanya boleh masukkan data lapan orang murid saja... tak ke membazir banyak waktu tu ngadap benda tu je. 

Ini pulak jumlah pengguna semasa ibuintan log in pukul 9.48 pagi ni.  Sekarang dah pukul 10.05 masih tak masuk-masuk lagi.
Asyik la berpusing-pusing.... aiya manyak pusing-pusing maa!  Tu la sebabnya cikgu asyik jadi burung hantu je setiap malam, harapkan memalam lajulah masuknya.  Nak buat macam manakan, beribu guru yang perlu menguruskan data berpuluh-puluh ribu  anak murid dalam jangka masa yang sama, memanglah sendat jadinya.


Ni pun status yang dipos oleh seorang rakan guru dilaman FBnya.  Malam tadi jugak la ni!!

.... "Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS. 39:10);


.....Kita banyakkan sabar, cikgu-cikgu ye!