Followers

Ahad, 31 Oktober 2010

Alahai orkid..

                          Bunga-bunga orkid yang sedang berkembangan

Pagi minggu yang ceria.  Operasi pagi minggu ini menyembur baja.  Sudah beberapa minggu, pokok-pokok orkid ini tidak mendapat tambahan zat makanan. Kesibukan aktiviti lain menyebabkan hampir lupa untuk membajai orkid yang sebelum ini dilakukan setiap minggu.

Nasib baik pokok-pokok orkid ini tidak merajuk dan sentiasa silih berganti mengeluarkan bunga. Mungkin sebab  ianya sentiasa disiram dengan air basuhan beras, ikan dan daging maka pokoknya sentiasa subur dan sihat.

Sabtu, 30 Oktober 2010

Rusa dan kijang, masak rendang pun sodap!

                                         foto dr tok gugel.
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2010. Selamat berjuang kepada pasukan rusa dan kijang.  Sebagai anak negeri mestilah mengharapkan kejayaan kepada pasukan rusa.  Walaupun bukan peminat tegar sukan bola sepak, bila dah negeri sendiri berjaya melangkah ke perlawanan akhir, terbit juga rasa teruja mengharapkan kemenangan kepada pasukan negeri sendiri.

Kesibukan bas dan kereta penyokong bergerak ke Bukit Jalil, bermula seawal pukul 11 pagi lagi.  Adik ipar bergerak dengan dua buah kereta, mereka mengajak kami turut serta.  Namun, hendak bersesak-sesak ke Stadium Bukit Jalil, itu sesuatu yang mustahil.

Nampaknya harga tiket yang dah naik tidak menyekat keghairahan peminat-peminat bola.  Dari kampung ibuintan saja telah bertolak tiga buah bas yang membawa penyokong dan peminat-peminat bola sepak.  Mereka hanya perlu membeli tiket, sementara  bas disediakan percuma.

Harapnya semua penyokong kedua belah pihak bertindak waras.  Tujuan untuk menyokong dan memberi semangat kepada  pasukan negeri masing-masing adalah baik. Adat perlawanan, satu mesti menang dan satu lagi mesti tewas..

Kepada semua penyokong terima keputusan dengan hati yang terbuka.  Kalau penyokong kecewa bayangkan setiap pemain yang terbabit lagilah kecewa.....   Selamat merebut Piala Malaysia kepada pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan. 

//Terbayang keenakan rendang rusa, bilalah dapat makan lagi?

Jumaat, 29 Oktober 2010

Kegilaan baru yang berbling-bling.

Semua kertas peperiksaan murid telah ditanda. Hanya menunggu markah daripada guru-guru lain untuk dikira dan dimasukkan ke dalam buku pelaporan.  Target hari Rabu depan semuanya mesti beres

Boleh meneruskan kegilaan baru.  Sejak dua menjak ini, diserang dengan penyakit membling-blingkan baju.  Jahitan manik terutama di lengan baju. Dah jadi syok sangat melihat lengan baju setelah dijahit dengan manik-manik.  Nampak meriah dan bergaya pulak.

So, rasanya untuk cuti sekolah yang panjang nanti inilah aktiviti  yang akan mengisi hari-hari cutiku. Dah banyak juga modal keluar membeli beraneka warna dan corak manik serta sequin.

Disamping belajar daripada seorang rakan,  menjelajah juga internet untuk  mencari dan melihat corak-corak untuk mendapatkan idea. Intan yang juga turut sama jatuh cinta dengan kegilaan baru ini, sedang tekun menyiapkan jahitan manik pada sepasang baju kurungnya.

Corak yang simple dan mudah yang sedang dijahit oleh Intan dibajunya.

Rabu, 27 Oktober 2010

Wahai 0mak-omak, sabar-sabarlah yo!


Demam periksa akhir tahun datang lagi. Walaupun sekolah rendah, anak-anak kecik lagi, tapi emak-emak yang excited gila.  Anak-anak sekolah rendah  ni pula  buat 'donno' saja, peksalah apa pun ada dio orang tak ambil 'pot' sangat. Berbuih mulut cikgu-cikgu mengingatkan, bulan depan peksa, minggu depan peksa, esok pagi mula peksa.... mereka buat muka selamba saja.. ada aku kesah..

Pagi semalam mula periksa akhir tahun. Subjek pertama biasanya mestilah subjek Bahasa Melayu. Seperti biasa kertas soalan akhir tahun dikendalikan oleh unit peperiksaan Jabatan Pelajaran setiap negeri. Wah, boleh tahan juga mengancam soalan tahun ini. Rata-rata semua soalan subjek teras menggunakan format peperiksaan UPSR, mengeluh jugalah mereka mengatakan soalannya susah.

Tapi bagi murid-murid tahun satu, susah ke senang ke sama juga bagi mereka.  Yang kumpulan murid ekselen saja yang  beriya-iya menjawab, tapi yang kumpulan lemah hanya dua tiga muka surat saja yang dibuatnya.

Menjaga murid tahun satu periksa lebih kurang sama juga dengan mengajar. Mula-mula wajib beri penerangan tapi tak lama, akan ada saja yang datang bertanyakan 'macam mana nak buat'.  Kalau kelas atas, senyap sunyi menjawab kertas periksa, kelas tahun satu tetap dengar suara cikgu yang lantang menyuruh murid menjawab atau menyemak semula. Nak semak apanya kalau soalan tu tak berjawab pun..kan.

Biasanya masa satu jam untuk menjawab bagi tahun satu memang tidak mencukupi.  Selalunya terpaksa memberi mereka mengulang menjawab semula terutama kumpulan murid lemah. Akan ada masa tambahan untuk mereka.

Kesian kalau tidak diberi peluang membuatnya semula kerana kumpulan lemah masih ada yang mengeja dan kurang lancar membaca.  Jadi peruntukan masa tambahan ada untuk mereka tapi tidak boleh disambung terus. Mereka yang lemah, masalah utama mereka ialah cepat bosan.  Mereka cepat bosan membaca. Jadi masa tambahan di hari lain akan diberikan.

Petang semalam, telah ada emak-emak yang prihatin, yang menelefon bertanyakan markah anak mereka. Kok iya pun sabarlah kak oi. Periksa tak habis lagi. Baru mula pagi semalam. Ingat cikgu ni robot ko,  masa tu saja terus menyemak semua kertas, terus beri markah.  Yang lagi sengal tu, anak mereka termasuk pulak dalam golongan yang perlu diberi masa tambahan.  So terpaksalah, terjujur dengan memberi alasan 'maaflah puan, terlupalah markahnya, kertas periksa saya tak bawa balik ke rumah'.

Nasib baik pagi tadi tak ada yang menelefon di sekolah, kalau tak kantoi, nak jawab apa pulak....

Isnin, 25 Oktober 2010

Terkenang semasa dulu.

Lampu bilik Intan sejak beberapa hari ini buat hal.  Kalau sebelum ini hanya berkelip-kelip tetapi masih menyala akhirnya, tetapi sekarang langsung tidak menyala.  Suasana jadi kelam, hanya diterangi oleh cahaya  lampu dari luar biliknya sahaja. Nasib baik Intan sudah habis periksa, tidak perlu mengulangkaji pelajarannya lagi.

Malam ini, ibuintan menggunakan laptop yang berada di dalam biliknya. Cahaya yang suram menyulitkan untuk menekan keyboard. Walaupun sudah bermata empat tapi masih tidak berapa jelas malah mata menjadi pedih karana pencahayaan yang kurang.

Lalu  memasang lampu gaslin yang sudah di make-over semula oleh abahintan.  Lampu gaslin ini adalah lampu peninggalan arwah abah.  Lampu ini sering digunakan semasa ibuintan masih kecil.  Semasa itu di kampung ini masih belum ada bekalan letrik, jadi hampir semua rumah di kampung ada sekurang-kurangnya sebuah lampu ini.  Mereka lebih suka menggunakan lampu gaslin kerana cahayanya lebih terang serta tidak menghasilkan jelaga.  Ianya juga lebih selamat sebab boleh digantung.
Lampu ini juga dikenali sebagai lampu pam. Ianya perlu dipam sebelum ianya menyala.  Ianya menggunakan mentol yang dikenali sebagai stom ataupun mentol butterfly.  Ianya dinyalakan menggunakan minyak spirit yang diletakkan pada bekasnya di dalam balang kaca.  Tangki bawahnya pula diisi dengan minyak tanah atau minyak gas.

Tangki ini dipam dengan menggunakan pengepam yang terdapat pada badan tangki.  Ianya dipam dengan kuat supaya mentol menyala dengan marak.  Apabila cahaya lampu menjadi kurang terang, tangki minyak perlu dipam semula.


Semasa mengemas stor di belakang rumah, dua tahun lepas, abahintan terjumpa lampu gaslin ini.  Waktu itu keadaannya telah berkarat.  Jadi abahintan yang berminat dengan barang-barang lama ini telah berusaha membersih dan mengecatnya semula.  Lampu gaslin ini telah ditambah dengan mentol dan boleh digunakan menggunakan letrik.  Sebenarnya abahintan cuba mencari mentolnya yang asal tetapi tidak ada dijual lagi.
Lampu ini diletakkan di suatu sudut di ruang tamu sebagai lampu hiasan.  Pernah ada tetamu yang datang, berminat untuk membeli lampu gaslin ini tetapi kami sayang untuk menjualnya.  Biarlah ianya menjadi kenangan.

//Teringat zaman kepayahan semasa tiada bekalan letrik dahulu, semuanya serba sukar.  Syukurnya anak-anak tidak melalui semua kesusahan tersebut.

Selamat Bersara.



Hari terakhir teraju JPNS

SEREMBAN – Selepas 34 tahun terlibat dengan sektor pendidikan, akhirnya Pengarah Pelajaran Negeri, Datuk Abdullah Mohammad menamatkan kariernya, semalam.

Kira-kira 100 warga Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) menghadiri majlis ringkas sempena persaraan beliau itu selepas genap usia 58 tahun semalam.

Abdullah yang merupakan anak jati negeri ini berasal dari Kampung Air Mawang, Johol.

Bermula sebagai guru kemahiran hidup dan sudah berkhidmat di enam buah sekolah di negeri ini sebelum diserapkan ke Jabatan Pelajaran negeri.

Beliau pernah menjawat jawatan ketua sektor serta timbalan pengarah sebelum dilantik menjadi Pengarah Pelajaran negeri pada 19 November 2007.

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengambil tarikh persaraan selepas dua tahun menerajui JPNS sempena hari lahirnya pada 23 Oktober 1952 supaya ianya dapat dikenang sehingga akhir hayat.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Pengarah JPNS, Jamali Salam.
Sumber;  Sinar Harian

Ahad, 24 Oktober 2010

Jom makan.

Cuaca mendung sejak pagi, sekejap hujan sekejap berhenti, Namun tidak lebat.  Bila cuaca macam ini duduk terperap saja dalam rumah. Perut pun cepat saja laparnya.

Pagi tadi sempat pergi pasar tani sekejap.  Tidak ramai peniaga yang berniaga. Ramai peniaga menyertai rombongan anjuran Persatuan Peniaga Pasar Tani, dengar khabarnya bercuti ke Langkawi.  Sesekali selepas penat berniaga, mereka berjimba pula bersama-sama. Mengeratkan silaturahim.

Disebabkan ramai yang bercuti berniaga maka pilihan barangan agak terhad.  Selepas berpusing-pusing mencari yang berkenan dihati, hanya membeli burung puyuh salai, ikan sembilang, tempoyak  dan sayur-sayur kampung saja.  Hajat asalnya hendak membeli daging salai


Selalunya hari bekerja, membeli lauk pauk yang telah siap di masak di kantin. Untuk makan malam pula masak yang simple dan apa ada saja.  Jadi untuk menu tengah hari, pagi ini masak gulai puyuh salai dengan pucuk pegaga. ikan sembilang goreng berlada, kerabu tauge campur dan sambal tempoyak mentah.  Sambal tempoyak hanya digaul dengan lada api.  Memang pedas. 

Dengan cuaca yang mendung dan dingin, makan pula nasi panas dengan lauk-lauk yang agak pedas,  berselera makan.  Ikan sembilang goreng berlada memang kegemaran Intan dan Azim, ibu  dan abahnya kurang berminat. 

Sabtu, 23 Oktober 2010

Pembakar semangat.

Pagi tadi sekolah Along mengadakan majlis graduasi pelajar tingkatan lima. Sejak semalam Along telefon mengingatkan membawa samping songket hitamnya. Namun rasanya tujuan utamanya ialah mengingatkan dan  meminta kami hadir ke majlis tersebut.  Sekarang ini banyak sekolah meraikan pelajar tingkatan lima dengan menganjurkan majlis graduasi sebegini.

 Antara tujuan utamanya sebagai pembakar semangat kepada para pelajar ini supaya memberikan yang terbaik di dalam peperiksaan SPM yang akan mereka duduki nanti. Ini juga sebagai motivasi kepada semua pelajar supaya berusaha gigih untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi nanti.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh YTM Dato' Undang Rembau dan Timbalan Pengarah Pelajaran  yang mewakili Tuan Pengarah Pelajaran N. Sembilan.  Kegembiraan terserlah diwajah setiap pelajar, dan semoga kegembiraan mereka akan diulangi di majlis graduasi yang menjadi idaman di peringkat yang lebih tinggi. Yang lebih megah, lebih hebat dan  tidak semua berkemampuan untuk mengecapinya.

Kehadiran ibu bapa selain memberi semangat kepada anak-anak, secara tidak langsung juga memberikan sokongan kepada pihak sekolah supaya menganjurkan program ini pada setiap tahun.  Ibuintan dan suami selama ini sedaya mungkin cuba menghadirkan diri di setiap aktiviti anjuran sekolah yang melibatkan Along, Intan dan Azim.

Mungkin sebab ibuintan dalam bidang ini, maka tahu sangat bahawa pihak sekolah biasanya amat mengharapkan kehadiran setiap ibu bapa ke acara atau majlis yang dianjurkan. Baik majlis suka-suka apa lagi majlis yang memerlukan penglibatan utama ibu bapa seperti mesyuarat PIBG ataupun perjumpaan tentang program pendidikan anak-anak.  Namun yang pasti, setiap aktiviti ini kaum ibu adalah yang paling prihatin.  Mungkin kaum bapa terikat dengan kekangan masa dan tugas utama mereka.

Ibuintan selalu dapat menatap wajah kecewa anak-anak yang mengharapkan kehadiran ibu bapa ke aktiviti anjuran sekolah mereka.  Mereka sebenarnya amat bangga melihat kehadiran dan keprihatinan ibu bapa mereka.

Janganlah hanya menunggu anak mendapat nombor satu sahaja baru kita menunjukkan kebanggaan kita. Kalau itu menjadi ukuran, dalam satu kelas ada lebih kurang 30 orang murid dan hanya seorang yang mendapat nombor satu, di manakah letaknya anak kita di hati kita sekiranya dia tidak mendapat nombor satu?

Jumaat, 22 Oktober 2010

Sahlah sudah.

 Tengah hari semalam dengan rasminya abahintan menerima sepucuk surat rasmi dari sekolah Azim.   Surat meminta kerjasama abahintan, supaya datang ke sekolah berbincang tentang masalah disiplin Azim yang dikenakan tuduhan merokok di dalam kawasan sekolah, lebih tepat lagi di dalam kelas. Surat yang lebih kepada memberi amaran kali pertama.  Walaupun tidak berpuas hati namun kami  sepakat tidak memberitahu Azim tentang surat tersebut.

Pagi tadi sebelum ke pejabat, abahintan singgah dulu ke sekolah Azim.  Berjumpa dan berbincang dengan guru disiplin.  Guru disiplin kemudian memanggil kesemua murid yang dituduh termasuk Azim, seramai enam orang.  Kali ini abahintan pula yang menyoalsiasat mereka.  Dalam enam orang itu memang dua orang mengaku merokok dan memiliki rokok semasa mereka ditahan. Kejadian itu  berlaku di dalam kelas semasa waktu rehat.

Azim dan tiga orang lagi rakannya memang berada bersama di dalam kelas ketika itu kerana menyiapkan kerja yang diberi guru sebelum waktu rehat. Dengan pengakuan rakan-rakan Azim sebagai saksi, sahlah ini hanya satu salah faham sahaja.  Dengan ini secara tidak langsung surat amaran kali pertama  untuk Azim ditarik balik.

Alhamdulillah,  rasa lega setelah masalah ini mendapat penyelesaian  yang jelas.  Moga-moga  Azim menghabiskan waktu persekolahannya di peringkat menengah dengan rekod yang bersih, tanpa ada masalah disiplin. Semoga dia akan mengikut jejak Along yang bakal meninggalkan alam sekolah menengah dengan rekod disiplin yang bersih.

Harapnya selepas insiden ini, Azim akan lebih berhati-hati dalam memilih rakan dan juga boleh berfikir untuk membezakan baik dan buruk setiap tindakannya.

//Walaupun seorang perokok, banyak juga alasan yang negatif yang diberikan  oleh abahnya kepada Azim tentang rokok.  Habis camno tu !

Rabu, 20 Oktober 2010

Nak percaya ke tidak?

                                                Image dari tok gugel.
Balik dari sekolah, Azim mengadu "Ibu tadi adik dipanggil oleh cikgu. Ada budak ngadu adik hisap rokok", berderau darah mendengarnya. Macam peluru berpandu soalan menerjah keluar, bermacam-macam soalan yang dihamburkan ke Azim.

Mendesak Azim bercerita yang sebenarnya. Azim tetap mengatakan dia tidak merokok. "Macam mana kawan boleh ngadu adik merokok, kalau adik betul-betul tidak merokok"tanya ibuintan berulangkali. Azim bercerita panjang, masa yang dia dituduh merokok dia sebenarnya berada di dalam kelas, sedang menyiapkan kerja sekolah bersama rakannya.

Dia dituduh bersama enam orang lagi rakannya dan menurut Azim dua orang rakannya itu memang suka merokok tetapi di luar kawasan sekolah. Melihat Azim beriya-iya mengatakan tidak merokok, ibuintan menjadi amat kesian padanya, namun masih tidak berani mempercayai sepenuhnya.  Maklumlah anak di depan kita lain tetapi ada masanya bila dibelakang ibu bapa dan dengan pengaruh dan pergaulan bersama rakan, sikap dan perangainya boleh berubah. Namun selama ini, Azim masih dalam kategori anak mendengar kata dan tidak berani bercakap bohong.

Namun, ibuintan takut juga dengan cabaran alam remaja yang baru ditempuhinya. Anak remaja lelaki berumur 14 tahun, takut keinginanya untuk mencuba (selepas melihat rakan lain) merokok itu timbul. Berbagai nasihat dan sebab serta akibat merokok diterangkan kepada Azim, sebab utamanya dia masih bersekolah, masih terlalu muda....nasib baik Azim tidak mempertikaikannya sebab abahnya juga merokok.

Risau juga bila melihatkan pelajar lelaki sekolah Azim, sebelum masuk ke kawasan sekolah di waktu pagi, singgah dulu di simpang jalan, merokok bergilir-gilir tanpa rasa segan dan takut kepada guru-guru mereka.  Ramai juga dikalangan mereka adalah bekas anak murid semasa mereka di sekolah rendah dulu.

Guru Azim hanya bertanya dan memberi amaran akan memanggil penjaga ke sekolah sekiranya terbukti tuduhan tersebut benar... itu yang sangat-sangat Azim takuti.

Petang tadi ibuintan sempat menelefon rakan baik Azim yang merupakan rakannya sejak di tahun satu dan juga bekas anak murid ibuintan, bertanyakan hal yang sebenarnya dan menurutnya  Azim memang tidak merokok.  Mudah-mudahan semuanya betul dan jujur.

Selasa, 19 Oktober 2010

Biskut Azan


Petang tadi, abahintan makan biskut azan dicecah dengan kopi-O panas.  Sudah lama tidak membeli biskut Azan, biskut yang ranggup dan tidak berapa manis,. memang sesuai dimakan sewaktu minum petang. Biskut Azan keluaran syarikat bumiputera yang terkenal  di Kuala Pilah. Kilangnya terletak di kawasan perindustrian kecil di Dioh, Kuala Pilah , berhampiran dengan pasar Kuala Pilah. Juga amat dikenali sebagai "Biskut Panjang'

Semasa bersekolah dulu, biskut ini menjadi sarapan utama setiap pagi sebelum ke sekolah. Bentuknya  panjang dan leper sikit.  Tidak berapa keras tetapi ranggup. Sesuai dimakan dengan kopi-o, tea-o atau sebarang minuman kegemaran lain.  Dulu dalam bungkusan plastik yang simple saja tetapi sekarang telah dinaiktarafkan bungkusannya, namun masih mengekalkan identitinya masih di dalam plastik juga. Bila dibuka saja sudah terbau aromanya yang wangi.

Untuk dimakan, seeloknya dicicah sekejap di dalam air dan terus dimakan, jangan direndam supaya tidak terlalu lembut. Sekejap sahaja agar semasa dikunyah masih terasa keranggupannya. 


// teringat seorang rakan dari Sabah, sewaktu dikolej dulu sebab baru pertama kali makan terus terpikat. maka dia boleh menghabiskan sebungkus (sepuluh keping) sekali makan, selepas itu sehari semalaman dia kekenyangan

Isnin, 18 Oktober 2010

Bulan Bahasa Kebangsaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia dengan menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.  Tema BBK pada tahun ini ialah 'Bersama kita memartabatkan bahasa kebangsaan" dan bulan Oktober  menjadi BBK untuk tahun 2010 ini.

Pagi tadi Panitia Bahasa Melayu sekolah ibuintan telah menjalankan aktiviti-aktiviti bahasa sempena BBK di peringkat sekolah.


Majlis sambutan dijalankan di dalam dewan sekolah. Ianya bermula sebaik saja selesai perhimpunan rasmi sekolah.
Majlis dimulai dengan nyanyian beramai-ramai yang diketuai oleh kumpulan koir murid-murid tahun 6 yang menyanyikan ;


LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Gunakanlah Bahasa Kebangsaan Kita
Marilah Amalkan Ramai-ramai
Bahasalah Menyatukan Kita Semua
Yakinlah Bahasa Jiwa Bangsa

Marilah Mari Rakyat Semua
Buktikan Taat Setia dengan Satu Bahasa
Maju Bangsa dan Maju Negara
Megahkan Bahasa Kita
Bahasa Jiwa Bangsa


Lagu/Lirik:  Dol Ramli


Selain  koir,  persembahan lain yang dijayakan oleh murid-murid ialah bercerita tahap satu, deklamasi sajak, pantun, gurindam, syarahan dan syair juga diadakan.

              Sebahagian murid yang mengambil bahagian.

Ahad, 17 Oktober 2010

Rezeki anak-anak sekarang.

Petang Khamis lepas,  mendapat panggilan dari abang yang tinggal di Telok Intan meminta ibuintan menolong menghantar anaknya (kakak) yang belajar di Kolej Tunku Kurshiah untuk membeli belah di Jaya Jusco, Seremban.  Kakak berada di dalam Tingkatan Lima,  pihak kolej akan menganjurkan majlis makan malam untuk semua pelajar Tingkatan Lima di Royal Adelphi Hotel pada awal bulan November nanti. Jadi kakak ingin bershopping khas untuk malam dinner spesel mereka.

Petang semalam ke Seremban. Mengambil kakak di kolej dan menghantarnya bershoping ke Jaya Jusco Seremban 2.  Kakak bersama dua orang lagi rakannya, seorang dari Ipoh dan seorang lagi dari Shah Alam.  Kami sampai di JJ lebih kurang pukul 2.50 petang.  Disebabkan mereka bertiga, ibuintan melepaskan mereka sendiri mencari barang yang mereka hajati di dalam JJ ,sementara ibu dan abahintan pula terus ke kedai Casa Moda di bangunan bersebelahan JJ.

Dah terlanjur sampai sana, setelah belek dan pilih dan kena dengan harganya, maka 'terbeli' lah kain-kain untuk di buat baju, walaupun raya dah habis, tapi kenduri tak habis-habis lagi. Selain undangan kenduri, abahintan juga mengundang sekali ibuintan ke majlis makan malam anjuran tempat kerjanya. Dah letak syarat hari tu, kalau nak juga bawa isteri ni mesti beri isteri ni beli baju baru.  Ala bukan selalu pun pergi dinner ni. sesekali nak juga baju berlabuci dan berbling-bling tu.....

Setelah selesai urusan di Casa Moda, ibuintan masuk pula ke JJ. Keluar masuk saja ke butik-butik berjenama terutama kasut dan beg tangan, tapi sah tidak membeli.  Cuci mata saja sambil senyum-senyum sumbing dengan salegirl yang senyum-senyum kelat pula sebab pelanggannya yang seorang ini tidak berduit banyak untuk membeli.

 Walaupun kakak dan rakannya telah berada hampir dua jam di dalam JJ, mereka masih belum dapat kesemua barang yang mereka cari.  Masih sukar membuat pilihan barangan yang mereka kehendaki.  Rezeki anak-anak sekarang, walaupun masih bersekolah namun mereka mampu berbelanja di butik barangan berjenama. Mereka keluar masuk setiap butik sambil mencuba barangan yang mereka kehendaki seperti kasut. Kasut berjenama dan bertumit tinggi pilihan mereka, ibuintan sekadar senyum melihat gelagat mereka membuat pilihan.

Dua rakan kakak juga membeli baju ready-made yang berfesyen terkini di butik terpilih berdasarkan beg yang mereka jinjing. Selesai di JJ setiap seorang menjinjing sekurang-kurangnya tiga beg produk berjenama. Kami keluar dari JJ tepat pukul 5.20 petang. Namun seorang rakan kakak masih belum menemui tudung yang sepadan dengan baju yang baru dibeli, mereka menuju pula ke Casa Moda, namun tidak juga jumpa yang pekenan di hati.  Mereka bertiga terus menuju ke Butik tudung Mawardah di bangunan bersebelahan.

Menemankan mereka bertiga mencari sehelai tudung juga memakan masa sehingga setengah jam. Butik tudung yang telah ada nama dan tentunya mahal harganya, Tudung yang rakan kakak pilih dan cuba, pilih lagi dan cuba lagi dan lagi-lagi cuba, juga semuanya berharga dalam lingkungan kurang dan lebih sedikit daripada RM100. Bayangkan akhirnya, sehelai tudung  yang dipilihnya, yang akan dipakai pada majlis makan malam itu tiga kali ganda harga tudung yang ibuintan pakai.Tudung ibuintan dah lama beli dan pakai, dulu harganya RM29 saja.

Melihat rakan kakak berbelanja, ibuintan dapat meneka mereka mesti anak orang yang berada. Kakak taulah ibuintan, anak seorang bisnesman manakala ibunya seorang guru bertaraf ketua bidang.  Bertuah anak-anak sekarang, mereka dibekalkan dengan sekeping kad yang boleh memenuhi keinginan mereka semasa bershoping. Tak perlu ibu bapa ada bersama.

Melihat pilihan mereka juga, spontan ibuintan terbayangkan bagaimanakah agaknya pakaian yang di pakai oleh pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Dan bagaimanakah perasaan pelajar itu semasa majlis berlangsung jika dibandingkan penampilan dikalangan rakan-rakan lain yang tentunya istimewa dan bergaya sakan. Atau mungkin tiada pulak anak orang yang kurang berada menuntut di kolej yang tersohor itu.

//Teringat cerita seorang rakan yang anak saudaranya hanya mampu bertahan selama sebulan saja di kolej itu dulu, tidak sanggup diketawakan hanya kerana memakai pakaian dalam yang tidak berjenama.

Jumaat, 15 Oktober 2010

Yang utama kegembiraan mereka.

                                      Warna-warni hari sukan.

Free Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.com
Free Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.com
Free Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.com
Free Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.com
Free Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.comFree Image Hosting at www.picturetrail.com

                                           Selesai sudah .........
yang penting anak-anak murid gembira 
                                          Penat dan letih guru-guru pun  hilang ....