Followers

Rabu, 30 November 2011

Rezeki yang tak diduga.

                                    
               
Pagi tadi dalam berkira-kira untuk menu makan tengah hari,  tiba-tiba terpacul adik ipar dan isterinya.  Kedatangan yang tidak dijangka.  Mereka berdua datang menghantar seekor ayam kampung yang telah siap disalai. Adik ipar ada membela ayam kampung di belakang rumahnya.  Dah banyak berkembang biak.  Selalunya kami dapat gulai ayam  tapi kali ini ayam yang belum dimasak.  Adik ipar dan isterinya datang sebentar saja sebab mereka ada urusan di Kuala Pilah.


Sementara kuih cucur ini adalah kuih yang paling sering dibuat oleh isteri adik ipar(biras).  Walau siapa pun datang ke rumahnya walau datang secara mengejut, itulah kuih yang sering dihidangkan untuk tetamunya.  Janji dirumahnya ada bahan-bahan untuk membuat kuih tersebut.   Senang dan mudah sangat biras membuatnya.   Kuih cucur yang dibawanya tadi masih panas lagi.


Ini pula buah kundang juga pemberian adik ipar  (ida).  Ada yang telah masak dan ada yang belum. Tidak kira masak atau belum, semuanya dimakan cecah dengan kicap berlada.   Skali hadap..licin ... rasanya lebih dari se kg.  ... dihadap oleh dua orang sahaja.. siapa lagi kalau bukan ibu dan intan = ibuintan.  Nasib baik dua-dua perut tebal, kalau tak mahu berebut tandas.

                Setelah dimasak. Inilah hasilnya.

//syukur dengan rezeki hari ini. Terima kasih kepada adik ipar dan isterinya.  Moga makin murah rezeki mereka.




Ucapan yang terlewat.

Rabu, Empat Muharam.  Salam Maal Hijrah 1433 buat semua pembaca blog ibuintan. Saya doakan semoga kita semua  sentiasa mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah s.w.t.  Cepatnya  masa berlalu.  Dihari keempat baru dapat mengucapkan selamat menyambut tahun baru.

Bercuti di kampung mertua bermakna juga bercuti dari internet.  Bercuti juga dari  mengadap komputer dan  blog.  Dikampung masa diisi bersama mertua sepenuhnya.  Masak, makan-makan, borak-borak serta tidak lupa menziarah ke rumah kakak dan adik ipar yang tinggal sekampung dengan mak mertua.  Mak dan abah mertua tinggal berdua saja, jadi setiap kali ada anak menantu serta cucu-cucu yang balik tergambar keriangan diwajah2 tua mereka.  Senang hati melihat mereka gembira menyambut kedatangan kami.  Moga tahun H1433 ini mereka berdua masih diberi umur serta kesihatan yang baik dan kami masih dapat menumpang kasih sayang keduanya.

                 Bapa mertua yang sntiasa mengukir senyuman manis.
       












Jumaat, 25 November 2011

Saya bakal jutawan... anda bila lagi?

Seusai membaca Yassin malam semalam, ibuintan menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan rapat.  Tidak pernah dia menelefon.  Perbualan yang singkat saja... tujuannya  mengajak ibuintan keluar.  Bila ditanya 'apa halnya'  Katanya saja mengajak keluar. Hanya ibuintan seorang, mesti dan tunggu pukul lapan setengah, dia dan suami datang menjemput. Walau diberi alasan atau minta tangguh hari lain, dia tetap meminta (paksa) ibuintan mengikutnya keluar malam itu juga.  Bila memaksa begitu yang terlintas difikiran mungkin rakan ini mengajak makan-makan di luar.


Disebabkan dia hanya mengajak ibuintan seorang, maka ibuintan masak dan menyediakan makan malam untuk anak-anak dan abahintan dahulu.  Tepat lapan setengah malam, dia sampai bersama suaminya. Sepanjang perjalanan kami berbual dan bertanya khabar masing-masing tanpa ibuintan tahu arah tujuan kami. Hanya mengikut saja.  Lebih kurang 20 minit, kamipun sampai ke tempat dituju.  ibuintan hanya terbayangkan mereka berdua hendak membelanja makan malam sebab tempat yang ditujuinya pun memang ada beberapa kedai makan yang hanya dibuka pada waktu malam saja.


 Jangkaan ibuintan silap.  Dengan tiba-tiba rakan ibuintan menarik ibuintan menaiki salah satu tangga yang terdapat di deretan rumah kedai di kawasan itu.  Banyak kasut dibahagian bawah tangga.  Hati mula rasa cemas dan tertanya-tanya.  Belum sempat bertanya,'kami telah disambut oleh beberapa orang wanita yang sangat peramah'.  Memang sangat peramah.  Ibuintan hanya terkedu dan terpinga-pinga.  Terus dibawa masuk ke dalam sebuah bilik.  Dalam bilik itu sedang berlangsung satu sesi ceramah.  Ada juga lebih kurang 20 orang remaja perempuan sedang tekun mendengar ceramah yang disampaikan.


Rupanya satu ceramah bisnes 'menjadi jutawan'.  Berdegar- degar dan berapi-api sipenceramah itu memberi penerangan dan penjelasan untuk menjadi jutawan.  Ibuintan terduduk saja bagai orang bodoh... memang bodoh, sesangat bodoh rasanya waktu itu.  mendengar saja tanpa apa-apa reaksi... yang ada dalam hati hanya marah, marah dan marah yang teramat.  Sesekali bila sipenceramah menyoal ... ibuintan hanya mampu buat bodoh, langsung tiada respon.


 Memang tak jangka, sedangkan sirakan dan suaminya begitu bersemangat, sesekali  bertepuk tangan dan menjerit memberi sokongan bersama barisan 'wanita yang peramah' tadi serta beberapa 'ahli pengedar'yang kononnya amat berjaya.   Berjayalah kononya sebab masing-masing memakai kot walau dalam bilik yang tak berapa sejuk tu.  Bergaya untuk menunjukkan mereka hebat... kononnya.  Memang sakit hati sungguh dan tambah menyakitkan hati ibuintan terpaksa memekakkan telinga mendengar tiga slot yang amat bongkak dan tamak bunyinya.

"INILAH LUBUK EMAS KITA, YANG TAK INGIN MENDAPATKAN EMAS ITU IALAH ORANG YANG MALAS DAN SANGGUP HIDUP MISKIN SAMPAI MATI'


Hanya cara untuk mendapat puluh ribu, ratus ribu malah jutaan ringgit yang disebut.  Dan yang paling penipu tu semua itu boleh di dapati dalam jangkamasa tiga bulan hingga setahun saja.  Cisss... Malah boleh mengatakan betapa bodoh dan miskinnya orang yang hanya bergantung pada gaji bulanan saja.  Nampak sangat tujuan dan matlamat hidup mereka adalah duit..duit dan duit.

Sanggup mengutuk pada orang yang kononnya buta mata sebab tidak menyertai mereka, tidak menjadi ahli dalam bisnes mereka. Yang pelik pulak tu si penceramah itu, yang ibuintan kenal, seorang kakitangan kerajaan dan masih bekerja makan gaji.  Bagi ibuintanlah kalau dah betul income sebulan puluhan/ratusan ribu dan menurut katanya juga dalam masa terdekat bakal bergelar jutawan... tak hinggin dah ibuintan kerja lagi tambahan gajinya pun dalam kategori miskin jugak.(spt katanya)


Semasa rehat sebentar di antara slot ceramah, ibuintan sempat menyuarakan rasa kesal kepada rakan dan mengajak dia balik segera.  Ibuintan juga menyatakan kesal sebab tidak diberitahu tujuan asal dia mengajak keluar.  Sipenceramah (kononnya yang paling berjaya dalam kumpulan itu) yang terdengar perbualan kami sempat menyampuk.. 'kalau diberitahu puan nak datang tak, mesti tak hendak kan'. .. rupanya strategi mereka ialah ajak dan jemput rakan keluar dan bawa tanpa diberitahu tujuannya.  Memang hampeh punya strategi.


Dan malangnya lagi, kalau nak menjadi ahli pun seeloknya jangan berbincang dulu dengan ahli keluarga/suami/isteri, dah jadi ahli baru boleh beritahu mereka.. alasannya nanti mereka tak setuju.  Apakah itu, tak boleh pula suami isteri berbincang dulu, ni melibatkan duit yang banyak... ada beberapa pakej yang ditawarkan... nak lambat kaya ambil yang murah, kaya cepat sikit ambil yng sederhana, kalau nak kaya cepat ambil yang termahal... ribu-ribu tu.


Hendak tak hendak, ibuintan masih juga menjaga airmuka rakan dan suaminya, ibuintan tidak mendesak mereka menghantar ibuintan balik dengan segera, dah terlanjur apa salahnya mendengar janji manis dan kehebatan mereka mengejar gelaran jutawan.  Hebat sungguh impian mereka.  Segala-galanya adalah wang, wang dan jutawan.

Selain ibuintan, ada juga beberapa orang makcik malah dah bertaraf nenek pun, rasanya dah lebih umur 60 tahun dibawa mendengar sama.  Kesian sangat bila ibuintan bayangkan jika nenek2 itu terpaksa menjadi ahli dan menyertai mereka.  Bayangkan duit yang akan mereka keluarkan dan di usia begitu mengapakah nenek2  itu diseret sama ke dalam bisnes ini.  Bayangkan jika menjadi ahli, bolehkah nenek2 itu mencari ahli baru/downline, jika tidak ada ahli di bawahnya, bolehkah nenek2 itu mendapatkan kembali jumlah duit yang telah dilaburkannya.



Slot itu berakhir hampir pukul sebelas setengah malam dan ada di antara nenek2 itu telah terlentuk dan terlelap di tepi dinding.  Malang sungguh nasib mereka.  Nampak sangat demi mengejar bonus beribu-ribu sebulan mereka tidak peduli siapa yang menjadi mangsanya.  Kekayaan dan kemewahan menjadi matlamat utama mereka nampaknya.


Semasa keluar, turun saja dari bangunan itu, ibuintan tercari-cari mana kereta mewah kepunyaan mereka, tak nampak sebijik pun, kereta setaraf ibuintan tu adalah beratur di parking tu, kereta mereka saja yang ada lagi ketika itu.  Semua kedai telah ditutup sewaktu kami meninggalkan tempat itu.


Syukur... dengan pendapatan ibuintan sekarang, jumlah yang sentiasa disebut-sebut dalam slot ceramah itu sebagai miskin, miskin dan miskin,  namun ibuintan amat menghargainya kerana itulah rezeki hasil usaha dan titik peluh sendiri.


//buat rakan... ibuintan tidak mengejar gelaran jutawan, dan tidak ada dalam impian pun menjadi jutawan.....maaf dan jangan hubungi lagi kalau itulah tujuannya.











Khamis, 24 November 2011

Duitnya entah di mana, angan-angan dah panjang berjela.

Belum sampai seminggu cuti sekolah anak-anak dah bising, bosan duduk dirumah saja.  Setiap hari tanya ibunya bila nak jalan-jalan bercuti.  Rancangan asal minggu depan akan ke Melaka.  Melaka mesti masuk dalam destinasi cuti kali sebab ibuintan  dapat baucer tiga hari dua malam percuma di A Famosa Resort.  Tarikh akhir baucer pada hujung tahun ini.  Tak pergi rugi pula .. free tu, dah jimat duit untuk penginapan.  Baucer ini ibuintan dapat bulan Julai lagi tapi masih belum berkesempatan untuk ditunaikan.  Ibuintan dapat baucer ini sebab masuk skim  'joint ownership'.

Selain itu ibuintan juga dapat potongan 50 peratus  tiket untuk masuk ke Taman Tema, taman buaya, Taman Mini Malaysia dan beberapa pusat rekreasi yang lain di sekitar Melaka.  Ini pula sebab ibuintan joint satu program promosi yang datang ke sekolah sekitar bulan Ogos yang lalu.  Bayaran yang dikenakan untuk joint hanya RM20 saja, dapat keahlian sehingga akhir tahun ini juga. Promosi ini khas untuk di negeri Melaka saja.  Kalau tidak silap anjuran Lembaga Pelancongan Negeri Melaka.

Ibuintan joint pun sebab dah dapat baucer di atas, sebab dah komfom nak ke Melaka, dengan potongan 50 peratus untuk tiket ini dapat juga jimat duit.  Bukannya murah tiket untuk masuk ke setiap tempat-tempat  tersebut.   Kekadang tak berbaloi kan, bayar mahal semata-mata nak tengok buaya menguap dan tidur dengan malasnya.

Kalau lima tiket dengan potongan 50 peratus, dah banyak juga jimatnya...  kan.  Boleh gunakan duit untuk tiket tu untuk makan-makan dan beli apa yang patut.  Takkan di Melaka taknak beli apa-apa.  Tak sanggup den masuk Mahkota Parade tu, JJ Ayer Keroh tu dan tempat lain yang sewaktu dengannya, setakat cuci mata yo... Tak dapek nolong ea tu.


Beg tangan dah patut ganti ni.  Kasut takkan nak pakai yang itu-itu je. Baju lagi, tudung lagi, ... wah, banyak tu, kalau dah banyak camni patutnya pergi lepas dapat bonuslah.  Dengarnya hari tu PM  bagi bonus hujung tahun ni.  Wah, abahintan kita tukar plan lagi lah ye!!


//tulah bukti ea... duit  lom dapat, tapi dah habih.  Camno tu??

//Yang di atas tu, angan2 ibuintan je.. keperluan persekolahan anak-anak lebih menjadi keutamaan, dah lengkap untuk anak-anak barulah ibunya dapat... dapat sisa-sisa pun jadilah!!










Selasa, 22 November 2011

Bila durian ditebuk tupai.

Bila durian ditebuk tupai..... nasibnya tak semalang kelapa ditebuk tupai.   Wah, tak boleh tahan.


Jika kelapa ditebuk tupai, kelapa itu langsung tidak berguna lagi. Tu sebab ada peribahasa sebegitu, cuma yang malangnya peribahasa itu ditujukan kepada para gadis.  Yang salah lelaki yang terima musibah gadis.  Atau mungkin dua-dua salah tetapi yang terima musibahnya tetap sigadis juga.  Jadi berhati-hatilah wahai sigadis dengan pujuk rayu 'sang kekasih hati'. Belum pasti kekasih hati akan bertanggungjawab dengan menjadi suami anda nanti.  Takut nanti habis madu sepah dibuang.   Menanggung malu seluruh keluarga ...itupun  kalau tahu malulah!!

Jika durian pula ditebuk tupai, durian itu masih ada gunanya.  Isi durian di dalamnya masih ada yang boleh digunakan atau dimakan,. terutama isi durian yang telah  tua sedap dimasak lemak cili api.   Boleh juga dimasak lemak putih.. wangi bila disatukan dengan daun kunyit.


Pagi semalam, dua biji durian dibelakang rumah telah gugur,  Dua-duanya telah ditebuk tupai.  Masih belum masak tetapi telah tua.  Yang ditebuk tupai hanya sedikit, yang dimakannya tak sampai pun seulas.  Kenapalah tupai tu suka membazir, mengapa ditebuk banyak, tebuk sebiji sudahlah... makan isinya sampai habis.  Ini tidak tebuk sikit lubang, makan sikit isinya, tebuk pulak lagi yang lain.. pun makan sikit juga. Memang membazir, mentang-mentanglah tupai tu makan free. Yang geram juga tupai tu tebuk buah yang besar-besar dan cantik saja.  Buah yang kemetot tak pulak dipilihnya.  Demand sungguh!!


Baki isi durian yang masih elok itu selepas dikupas,  ibuintan gulai lemak cili api campur sedikit daging salai.  Selalunya arwah emak dulu suka masak lemak putih saja dibubuh daun kunyit.  Ibuintan mencuba kelainan sikit, cuba masak lemak cili dengan daging salai pula.  Tak bubuh daun kunyit sebaliknya bubuh dua batang serai.  Wah... anak-anak yang pertama kali merasa juga mengatakan sedap.. Rasa lemak durian tua dan aroma daging salai serta serai memang membangkitkan selera.



Kalau ada yang gugur lagi tapi masih belum masak nak buat gulai  lemak putih pula.  Kalau dulu setiap kali mak buat gulai lemak , mesti ada goreng ikan masin serta sambal gesek ikan bilis yang pedas tu.  Memang judu sangat...  makan pula dengan nasi panas, bak kata orang nogori 'mencieh poluh dek sodap ea'.












TAHNIAH.. ghimau Malaya.

Tak kira... nak jugak  ucap tahniah kepada team Harimau Malaya.  Game yang penuh dengan debaran menentang team Garuda dalam final bolasepak Sukan Sea malam tadi. Tahniah akhirnya rezeki memihak kepada team harimau juga walau banyak provokasi yang telah dilakukan oleh pihak lawan.. Emas dalam genggaman.  Pagi ni bukak fb, semua post tentang game malam tadi.  Semua ucap tahniah kepada team harimau.  Sukan bolasepak memang hebat, rakyat bersatu menyokong pasukan negara. 


Macam-macam ucapan yang dipost ke fb. 










Ustaz Don pun ucap tahniah.  Ustaz yang tengah meletop di TV Al-Hijrah.




Tahniah... team ghimau Malaya.  Hari Rabu ni mengaum lagi menentang pasukan Syria.  Moga terus berjaya menaikkan nama Malaysia.



Oh ya...... tahniah juga pada pasukan Hobin Jang Hobin yang menang  3 - 1 menentang pasukan Bangladesh petang semalam di STAR of  Paroi.  Moga terus berjaya ditahun hadapan.





Ahad, 20 November 2011

Pencuci mulut dari syurga.


Balik dari joging pagi tadi, semasa menurunkan seorang rakan (Yati) yang sama-sama berjoging di tepi jalan di depan rumahnya, terlihat pokok buah tin di tepi pagar rumahnya sedang masak ranum.  Ibuintan dengan tidak malunya terus meminta beberapa biji.  Kelihatan semua buah di atas pokok itu sedang masak, hampir kesemuanya berwarna merah.  Berbuah amat lebat didahannya yang rendang.


Buahnya  menutupi hampir penuh dahan dan batang.  Yati memetik dan menghulurkan enam biji buah tersebut.  Sampai saja di rumah, terus mencuci dan mengupas kulitnya. Rasanya  sedap, lemak-lemak manis.  Pernah juga makan buah tin segar sebelum ini. ibuintan seorang makan sebiji, anak-anak dan suami kurang suka, ini kali pertama mereka mencuba merasa buah tin segar.  Buah yang kering yang selalu jemaah bawa dari Mekah itupun mereka tak berapa suka juga.  Ibuintan dua-dua suka.. segar dan kering sebab rasanya taklah terlalu manis.

                    Gambar carian gugel. Berbiji halus serta mengandungi banyak air.

Esok pagi rasanya berhajat untuk meminta lagi.  Menurut Yati ahli keluarganya tiada yang berminat dengan buah ini.  Selalunya buah ini dibiarkan gugur begitu sahaja.   Hasil pembacaan juga menyatakan buah ini mengandungi antoksidan yang tinggi dan boleh membantu mencegah penyakit berkaitan dengan perut terutamanya kanser usus.  Selain itu juga buah ini boleh menolong menguatkan jantung dan baik bagi pesakit asma.  Buah tin juga dikenali sebagai buah dari syurga.  Jadi makanan/pencuci mulut  ibuintan sebelum sarapan pagi tadi ialah buah dari syurga inilah.

Riwayat dari Abu Zar r.a. bahawa Nabi SAW dihadiahkan satu bekas buah tin.Lalu Nabi SAW mengajak sahabat-sahabatnya makan.  Nabi pun turut sama makan.  Kemudian baginda SAW bersabda :”Kalau aku perkatakan tentang buah yang diturunkan dari syurga, nescaya aku katakan inilah dia. Kerana buah-buahan syurga tidak berbiji. Oleh itu makanlah buah ini. Sesungguhnya dia menghentikan penyakit buasir, serta bermanfaat untuk sakit-sakit badan.”






//rasa beminat untuk mencari anak pokok ini untuk ditanam di dalam kawasan rumah.  Pokoknya juga rendah dan rendang, berdaun lebar, cantik juga sebagai pokok teduhan.... boleh bina pangkin di bawah pokok.











Sabtu, 19 November 2011

Hepi Ending... tutup buku lama , buka buku baru.

Selamat bercuti kepada semua warga sekolah... cuti yang panjang dihujung tahun.  Moga dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Semalam hari terakhir sesi persekolahan juga hari terakhir ibuintan di sekolah itu.  Dengan sebab-sebab tertentu ianya menjadi hari yang amat ditunggu-tunggu .. Bak kata omputih jadi 'hepi ending' walau ada babak sedih di awal cerita.  Pindah sekolah tak jauh pun, balik kampung sendiri saja, seperti dalam ucapan ibuintan semalam, berpindah sebab nak beralih angin, moga angin baru membawa  semangat baru demi mendidik  anak bangsa, Selain itu' nak buat jaringan sosial yang baru', nak tambah kawan baru, anak murid baru serta tambah kenalan dan kawan baru dikalangan penjaga juga. 


Tempat lama bukan tak bersemangat, semangatnya tetap sama malah kekadang lebih dari jangkaan namun ada masanya pula semangat itu dimatikan oleh yang  sepatutnya.  Kecewa dan hampa sering bertandang tak seiring dengan keinginan dan iltizam.   Moga Allah memberi kekuatan dan semangat baru ditempat baru nanti.

Hanya Dia yang maha mengetahui apa yang ada dan apa yang dirasa selama ini.  Anak murid dan penjaga yang ditinggalkan tidak bersalah, mereka menjadi sebahagian pendorong kuat yang membuatkan ibuintan bertahan di sana selama 14 tahun.  Namun, walau ke mana berpindah tujuan dan matlamatnya tetap sama, berbakti demi anak bangsa dan demi rezeki yang dicari.  Niat dan keikhlasan tetap sama, itulah modal utama setiap bergelar guru.  Niatnya tetap tak lari dari mendidik dan memberi ilmu, campaklah ke mana saja.

Namun hati manusia, kekadang tercalar dan tercabar juga.  Bukan pinta disanjung tapi cukuplah sekadar dijaga.  Buat yang berkuasa ..pandanglah dengan mata hati, bezakan yang ikhlas dan yang ada makna.  

                            Kenangan terakhir.

18 November 2011.
Jam 12.15 pagi...


 Hati berbunga walau kali terakhir lalu di sini.








Khamis, 17 November 2011

Musim cuti sekolah.... dulu -dulu Tok Mudin jadi rebutan.

Petang semalam hantar Along ke klinik untuk mendapatkan rawatan kudis di kakinya yang sudah beberapa hari   masih tidak sembuh.  Kejap elok keringnya tapi  bila makan semula makanan yg ada  telur kudisnya berair semula.  Dari sebesar syiling sepuluh sen dah makin melebar menjadi hampir sebesar syiling lima puluh sen pula.  Merah dan berair tapi tidak menanah. Sudah bermacam krim dan ubat kudis yang disapunya namun masih tidak memberi kesan yang baik.  Dah berparut kemudian berair semula, sentiasa berulang-ulang.


; 'kudis biasa saja tak bahayalah.  Saya kasi suntik ya' kata dr Kamal.  Along yang memang penakut dengan jarum, mungkin juga sebab malu bila hendak disuntik meminta ibuintan keluar dari bilik doktor ..'ibu tak payah tengok' katanya.


Keluar saja dari bilik doktor Along dengan perasaan terkejutnya bercerita.  'Ibu ...doktor tu eloklah, dia suruh Along baca Bismillah  dan selawat, nak cucuk sikit je, dia pun  ucap Bismillah dan selawat sekali.  Doktor tu kan Cina' kata Along.  Laa Along tak tahu rupanya yang dr Kamal tu seorang Muslim. Dah lama masuk Islam.  Isterinya juga seorang doktor... berbangsa Melayu. "Ohhhh patutlah" kata Along.


Semasa menunggu mengambil ubat dan membuat bayaran dikaunter, ibuintan terpandang notis di bawah.


Hari Jumaat ni hari akhir persekolahan untuk sesi 2011 ini.  Bermula saja musim cuti sekolah maka  musim berkhatan pun bermula.  Sempat bertanya pada kerani dikaunter, jawab kerani berkenaan 'dah penuh untuk sepanjang bulan November dan Disember ni'.. Mak aii bayangkan tu betapa ramai agaknya yang masuk jawi hujung tahun ini.  Tu baru di satu klinik.  Memang pun sebab ibuintan pun dah dapat jemputan kenduri khatan pada hari Sabtu dan Ahad minggu ini.  Anak murid sendiri yang  mengundang.


"Kamu tak takut ke, sakit tau, putus tu'    ....hahaha tak senonoh punya cikgu, ..

."ala cikgu, doktor tu bius dulu lah , tak rasa pun"

' Eh, mana kamu tahu, kamu tak sunat pun lagi' .

' tak, tak sakit, abang saya kata tak sakit, abah saya pun kata tak sakit. Abah kata macam kena gigit kerengga je'

.......hehehe ....budak tu tak tau yang abahnya masa bersunat dulu meraung dan lari keliling rumah sebab takut dengan Tok Mudin.  Ibuintan tahulah sebab abahnya tu anak jiran sekampung ibuintan semasa kecil dulu.  Ibuintan datang semasa kenduri  abahnya dulu.   Tapi taklah nak bukak cerita pulak, nanti malu pulak si abahnya tu.





Zaman 70an masih guna khidmat tok mudin lagi, jarang sangat yang bersunat dihospital begitu juga diklinik.  Ada juga kes kendurinya langsung tapi bersunatnya tak jadi sebab terlalu takut.  Rasanya sekarang tok mudin pun dah tak wujud lagi, dah pupus satu lagi kerjaya tradisional.  Budak-budak sekarang pun  mungkin tak pernah  dengar nama Tok Mudin. Bila ditanya semuanya tak tahu siapa dan apa tugas Tok  Mudin tu.  Biasanya bila mengajar tema 'Pekerjaan', ibuintan  sebut juga Tok Mudin sebagai salah satu kerjaya orang dulu-dulu.  Boleh buat duit Tok Mudin dulu-dulu.  Special lagi.. datang berjemput pulang berhantar.


Kalau tak silap masa tu ada dua orang tok mudim yang amat digeruni oleh budak lelaki .. seorang dipanggil  Mudim Hasan dan seorang lagi Mudim Johol.  Memang pemes dua nama tu,, mungkin sekarang keduanya tu dah arwah pun.

Disebabkan  ibuintan dari kecil telah dibawa ke setiap majlis kenduri dikampung maka banyak juga kenangan majlis bersunat yang masih ibuintan ingati... banyak yang lucu bila dikenang-kenangkan.  Di daerah sini masih ada kenduri majlis berkhatan ni.  Jemput jiran , pasang khemah malah kekadang ada juga yang sembelih lembu  dan  majlis berkhatam Quran juga jika budak itu telah khatam mengaji....  meriah jugaklah.  Banyak jugalah budak yang bersunat tu dapat 'upah'.  Along dan Azim dulu mencecah juga seribu RM diorang dapat. Masakan tidak ada yang hulur RM50.... RM10 dan RM5 tu majoritinyalah.  Selain disimpan dapat jugalah  mereka menunaikan impian.... Along beli basikal BMX yang agak mahal juga  masa tu serta PS2 untuk Azim.








Selasa, 15 November 2011

Periuk tembaga.




Pernah tengok tak?   Inilah periuk tembaga.  Periuk tembaga ini dibawa oleh seorang rakan guru semasa majlis korban di sekolah minggu lepas.  Besar dan berat.  Semasa majlis korban itu periuk ini digunakan untuk memasak sup tulang.  Dah masuk kategori antik ni kan.








Warna-warni Hari Sukan.





//Kejohanan olahraga kali ke 22 pada hari  Ahad lepas... kali terakhir bersama di sini.





Sabtu, 12 November 2011

Cubaan yang berjaya.



Percubaan pertama di sini.   Syukur, alhamdulillah permohonan untuk beralih angin ke tempat baru diluluskan.  Tempat baru belum diketahui dengan rasmi namun harapnya biarlah seperti tempat yang dipohon. 

Tinggal lagi berbaki seminggu sebelum sesi persekolahan tahun ini berakhir, ini bermakna seminggu juga lagi khidmat di tempat sekarang akan berakhir.  Semua kerja pasti akan dibereskan minggu ini juga sebelum serah tugas dilakukan.  Harap semuanya berjalan lancar.


Esok kejohanan sukan tahunan akan berlangsung. Tugasan esok seperti biasa, mengetuai bahagian jamuan. Harap juga dapat memberikan yang terbaik demi tugasan yang terakhir yang diamanahkan.













Jumaat, 11 November 2011

Suntuk ..... penatnya mengejar masa.

Hari  Isnin ....cuti sempena Hari raya Aidil Adha.

Hari Selasa .....majlis korban peringkat sekolah.

Hari Rabu ... pemilihan dan latihan.

Hari Khamis..... sukantara.

Hari Jumaat.....    latihan lagi dan raptai perbarisan.

Hari Sabtu....... persediaan tempat.

Hari Ahad .......hari langsungnya. 

Memang sah sukan tahunan sekolah kali ini cukup ekspress.  Hanya tiga hari masa diperuntukkan.... hari pertama buat pemilihan peserta dan terus buat latihan sukan, hari  kedua buat sukantara dan pemilihan untuk acara perbarisan dan hari ketiga latihan perbarisan dan raptai sukan.

Pening sungguh jadinya,... dah la budak-budak ramai yang  tidak hadir.  Peserta setiap rumah tidak mencukupi maka terpaksalah ada yang masuk beberapa acara.  Itulah jadinya bila semua program dibuat disaat akhir sebelum cuti hujung tahun begini.  Yang tertekan cikgu2 juga.   Maka berjemurlah dari pagi hingga tengah hari di padang. Maka terjerit terpekiklah cikgu-cikgi ditepi padang.... mengarah, menyusun, menerang, mengawal.....malah segala macam hal lagi.  Kejohanan sukan yang besar pula tu, jemput ibubapa penjaga sekali dan rasanya ramai penjaga yang akan hadir sebab hari cuti, kalaulah tak berjalan lancar.... alahaiii malunyo.


Maka sepanjang minggu ini saya memang tak berkesempatan sungguh nak menyinggahkan diri ke laman maya sahabat semua.  Malam pula teramat letih rasanya, dapat saja merebahkan badan terus lelap... tak kira di sofa atau di depan tv.  Rasa bersalah pun ada juga, beberapa komen di entri sebelum ini langsung tidak berjawab, lawatan balas pun tidak dibuat... bukan tu saja blog sendiri pun tak berjenguk.

Kalau dapat mengadap lappy  pun kerana terpaksa sebab key-in markah untuk SPPBS dan keputusan ujian saringan 3 LINUS.  Minggu depan minggu akhir persekolahan dan minggu terakhir juga untuk masukkan keputusan SPPBS budak... keputusan untuk band tertinggi pula, band 6... untuk murid yang paling cemerlang.. Yang jadi masalah utamanya bila  masalah 'hang' tak boleh masuk sistem berkenaan.....tu yang susahnya yang buatkan kerja dah sepatutnya siap tapi masih tak siap-siap.  Nak harap guna internet di sekolah.yang lambatnya mengalahkan siput babi tu, komfom tahun depan pun tak selesai semua kerja.  Dua puluh kali buka pun tak jamin dapat masuk ke website berkenaan.  Bila macam ni terasa menulis sendiri markah secara manual tu sepuluh kali lebih  baik. 

Adohaiii copekla cuti sekolah... tak sabar dah rasanya nak  bercuti, nak kumpul semula tenaga yang dah banyak hilang ni.... ponek amek dah ni.








Selasa, 8 November 2011

Majlis Korban Peringkat Sekolah.

Kepenatan.  Syukur majlis korban yang ibuintan sertai disekolah telah selesai dengan jayanya.  Tiga ekor lembu telah dikorbankan.  Beberapa orang guru dan penjaga telah berkongsi tiga ekor lembu untuk dikorbankan.  Majlis korban ini turut mendapat kerjasama dan bantuan ibubapa murid.  Sembelihan telah dilakukan oleh Ustaz Nazri.


                      Dua ekor lembu yang telah ditumbangkan, bersedia menunggu giliran untuk dikorbankan 

                            Guru-guru lelaki dan wakil bapa melapah daging.


                Guru-guru wanita dan wakil ibu juga bergotong royong memasak.




               
Sebelum makan tengah hari, semua murid, guru-guru dan ibubapa penjaga berkumpul dikantin untuk bersama-sama bertakbir dan bacaan doa selamat yang juga dipimpin oleh Ustaz Nazri. Kemudian diikuti penyerahan daging korban kepada beberapa orang pelajar anak yatim dan penjaga yang hadir.   Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari. Masakan ringkas gulai daging serta sup.







Ahad, 6 November 2011

Salam Aidil Adha.


                       SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA KEPADA SEMUA SAHABAT DAN PENGUNJUNG LAMAN Ibuintan


Allahu Akbar... Allahu Akbar... Allahu Akbar... 
Laa ilaha ilallahu wallahu akbar Allahu Akbar... 
Walillah ilham.. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah, diatas segala petunjuk yang telah diberikan kepada kamu, agar kamu bersyukur."









Sabtu, 5 November 2011

Saja je.... jom kita merendang.

Selamat berpuasa kepada yang berpuasa sunat Hari Arafah (9 Zulhijjah) hari ini. Esok pula hari  raya.  Selamat menyambut hari raya Aidil Adha kepada sahabat semua.


Masih tak pasti nak masak rendang ke tidak, nak masak rendang ayam  ke atau rendang daging.  Tak masak apa-apa kesian pulak  anak-anak tak ada benda yang nak dimakan.  Lemang memanglah tak buat, kerja  berat tu.  Yang pasti nasi impit mesti buat sebab itu sentiasa menjadi permintaan anak-anak. Kalau dah ada nasi impit kenalah masak juga rendang sekali kan.  Nasib baik abahintan dah beli daging dan ayam petang semalam....  tinggal nak buat pilihan saja yang mana satu nak direndang.


Okeylah... nak mula masak pulak ni, kang fikir panjang-panjang semua tak jadi.  Matahari makin tinggi tu. jangan ngadap lappy je!  Abahintan dah jeling-jeling tu... takkan tak paham-paham jugak ibuintan oiiii.  Masuk dapur cepat!!







Khamis, 3 November 2011

Nona dan srikaya..... dua-dua manis.

                             Buah srikaya ini hampir masak setelah masak warnanya juga kekal begitu.

Semalam ibuintan buat entri tentang buah srikaya.  Tijah, Pizet, kakcik dan Kaklong kata buah itu juga dipanggil buah nona.  Mungkin lain tempat lain nama panggilan untuk buah ini.  Di tempat ibuintan buah ini memang dipanggil buah srikaya.Buah srikaya ni masak ke muda ke... warnanya tetap sama, tetap hijau cuma bila telah masak kulit dan isinya menjadi lembik.  Sebab itu bila dah besar perlu di check selalu, perlu dipegang untuk tahu dah masak atau belum... selagi belum masak kulitnya masih keras. 

                     Gambar carian dari tok gugel.  Yang warna merah itu ialah buah nona yang telah masak dan sedia untuk dimakan.

Sementara buah yang ini baru dipanggil buah nona.  Semasa kecil dulu dibelakang rumah ibuintan ada sebatang pokok nona ni.  Dan ibuintan suka makan buah nona yang telah masak.  Buah nona yang telah masak  baunya sangat wangi dan rasanya juga manis.  Bila masak buah nona ini akan bertukar ke warna kemerahan.  Bila warnanya merah saja maknanya buah nona ini telah sedia untuk dipetik dan dimakan.  Kalau tak silap bijinya juga seakan biji buah srikaya, bewarna hitam.

Buah srikaya (Annona squamosa) dan buah nona  (Annona reticulata L) maknanya  kedua buah ini adalah sedara kandung.... sebab nama Annona tu mestilah nama famili mereka..  hahahaha betul la tu!  adik beradik sama bapak lain emak kot... pandai la ko ibuintan!! 



Daunnya juga seakan sama tapi berbau lebih kuat dari daun pokok srikaya.  Juga selalu digunakan untuk dibuat jaram kepala.