Followers

Ahad, 27 Oktober 2013

Kenangan 21 tahun lalu.


Tengah hari semalam ibuintan dan suami menghadiri jemputan kenduri kahwin anak cucu sedara arwah abah di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, lebih kurang 5 km dari rumah ibuintan. Sampai saja di majlis tersebut mata terus terpandang ke arah hiasan yang terletak betul-betul di hadapan khemah masuk.  Apalagi terus ambik gambar. Memang dah lama tak jumpa benda ni terutama dimajlis-majlis perkahwinan.  Orang kampung memanggilnya 'lancang'. Binaan yang dibuat seakan perahu dan dihias indah dengan bunga-bunga yang diperbuat daripada kertas bunga yang berwarna-warni. Setiap dua kuntuman bunga diikat bersama sebiji telur. Lancang ini adalah hadiah daripada kaum keluarga  ayah pengantin perempuan yang juga bergelar 'buapak' dalam lingkungan keluarga mereka. Kalau mengikut Adat Perpatih mereka berada dalam suku Selemak Pahang.

Buapak adalah gelaran kepada seseorang yang mengetuai sesuatu Perut dalam masyarakat Adat Perpatih. Perut adalah kumpulan yang berasal daripada nenek atau moyang perempuan yang sama. Ahli-ahli dalam sesuatu perut itu amat rapat dan mereka memilih seorang ketua yang dipanggil Buapak. Antara tugas Buapak ialah menjaga maruah anak-anak buahnya, menguruskan istiadat keramaian (seperti perkahwinan) dan juga menyelenggara soal-soal pembahagian harta pusaka. (carian di wikipedia... ibuintan memang tak paham bab2 adat ni)

21 tahun yang lalu, ahli keluarga yang sama juga telah menghadiahkan sebuah lancang semasa perkahwinan ibuintan.  Ketika itu abah ibuintan menjadi Buapak bagi keluarga ini.  Mungkin ini cara  waris keluarga ini menghargai Buapak dikalangan mereka.  Tapi sayang gambar lancang semasa perkahwinan ibuintan dahulu telah hilang. Hilang bersama sebuah album penuh gambar kahwin semasa proses membuka rumah lama dahulu. Tapi rasanya tak banyak beza dari lancang yang ini.  Menurut seorang anak sedara lancang ini mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.  Telur ini akan diberi sebagai cenderahati kepada tetamu yang hadir.


Gabungan warna yang menarik dan ceria.   Kain batik lepas yang menjadi alas meja juga menarik coraknya.

Bersama goodies beg ibuintan juga mendapat setangai bunga telur dari lancang tersebut. Memang klasik bunga ni, stail lama beserta tangkai tampuk terung yang menjadi pemegang telur. Bukan semua yang mendapatnya sebab ibuintan pergi bersama suami dan dua orang jiran tetapi hanya ibuintan seorang yang mendapatnya. Macam tak aci lah pulak kan! Ada sebab tu... ibuintan anak kepada bekas Buapak mereka, tu sebab semua ahli keluarga ini tak kira umur memanggil ibuintan dengan gelaran Induk.

Bunga telur merah tu ialah bunga telur pahar yang terdapat di pelamin.. Induk jugak yang dapat.








Isnin, 21 Oktober 2013

Bertambah ahli maka bertambahlah duitnya keluar.

Tambah sorang lagi ahli  berkata mata di rumah ni. Cuti raya korban minggu lepas menghantar Intan membuat pemeriksaan mata di HANIZAH OPTOMETRY  di Kuala Pilah.  Intan sejak akhir-akhir ni kerap mengadu sakit kepala.  Dia juga mengadu tidak dapat melihat dengan jelas tulisan pensyarahnya ketika belajar di dalam dewan. Kekadang tulisan yang dilihatnya berbalam-balam.  Jika balik bercuti dihujung minggu tidak sempat membuat pemeriksaan. Setelah dibuat pemeriksaan di dapati mata kanan Intan mempunyai sedikit masalah lalu disyorkan supaya memakai cermin mata.  Power mata kanannya 275 berbanding mata kiri hanya 27.

Pilih bingkai.  Rambang mata.


Cuba berkali-kali.

Lepas satu satu hingga jumpa yang berkenan di mata dan hati.
Nasib baiklah jumpa juga yang berkenan.  Ibuintan minta disiapkan dalam tiga hari sebelum dia balik ke Gopeng tapi disebabkan premis tutup dua hari sempena hari raya korban maka cermin matanya tidak dapat disiapkan dengan cepat.  Baru petang tadi ibuintan dapat panggilan dari kedai cermin mata yang memaklumkan cermin matanya telah siap. Nampaknya esok cermin mata tu akan dipos lajukan ke Gopeng.

 Adiknya Azim juga sudah memakai cermin mata sejak bulan September lepas kerana masalah silau pula. Nampaknya makin bertambahlah budget untuk cermin mata sahaja apabila 4 daripada 5 sekeluarga telah bermata empat. Kena tambah tabungan bulanan nampak gayanya.  Tapi setakat ini cermin ibunya tetap yang lebih harganya sebab menggunakan cermin kaca serta berkanta jauh dan dekat.  Memang bercinta juga setiap kali nak menukarnya.  Yang penting cerminnya bingkai tak kisah sangat.





Jumaat, 18 Oktober 2013

Korban.

                                                       Salam Aidil-adha.

Alhamdulillah, tahun ini sekali lagi ibuintan dapat bersama menyertai ibadah korban.  Tahun ini ibuintan menyertai satu bahagian bersama ahli kariah masjid di kampung ini.  Tahun ini lima ekor lembu telah dikorbankan di masjid ini.  Inilah lembu kedua yang dikorbankan, lembu bahagian ibuintan juga.









Isnin, 7 Oktober 2013

Surau pun nak dipantau juga.

Banyak benar yang dipantau sekarang ni...  sekarang giliran surau pulak.

Satu taklimat khas di adakan pada minggu lepas.  Surau sekolah telah dipilih untuk mewakili daerah Kuala Pilah dalam Program Surau Imarah ke peringkat Negeri .  Terperanjat beruk masing-masing, satu keadaan yang tidak dijangka sama sekali, dan tidak pernah mendengar pun tentang program itu sebelum ini.  Alasan utama surau sekolah ini terpilih ialah kerana surau ini amat aktif aktivitinya sepanjang tahun.  Memang pun, itu tidak dinafikan, suaru ini memang  setiap hari digunakan.  Selain belajar di kelas JQaf, ustaz juga membawa murid ke sini untuk belajar, guru-guru dan  pekerja lelaki solat zuhur berjemaah setiap hari selain waktu petang pula di gunakan untuk kelas agama petang. Sementara setiap pagi Jumaat pula majlis bacaan Yassin dan taskirah pendek oleh ustaz juga dijalankan di surau ini.  Kriteria pemilihan juga kerana panitia Agama sentiasa mengadakan aktiviti agama seperti sambutan Maulidur Rasul, Ihya Ramadhan, Nuzul Quran , khatam Quran malah kelas pengurusan jenazah pun ada.  Dan yang lagi terkejutnya juga tempuh masa diberi  hanya dua minggu menjelang pemantauan oleh pihak unit Agama Islam.  Kalau dah namanya ada pemantauan maka banyak benda lah yang akan dipantau terutama fail dan dokumentasi yang jadi keutamaan selain keceriaan surau.

Ibuintan wajiblah masuk kumpulan keceriaan ni. Di saat kerja hujung tahun makin bertambah disertai setiap minggu ada sahaja guru yang keluar berkursus maka hendak tak hendak arahan terpaksa  dipatuhi juga.

Dimulai dengan aktiviti gotong royong membersihkan surau.

Tikar getah dan karpet lama terpaksa dibuang.


Perabut yang tak perlu dan tak berapa elok lagi terpaksa dikeluarkan juga.




Warna baru dipilih.  Temanya ialah merah supaya terserlah keceriaannya.  Permaidani serta langsir berwarna merah oren.  Tirai juga dipasang sebab tirai juga antara yang akan memberi markah.  Sejak minggu lepas setiap hari memberi sentuhan baru kepada surau ini.

Majlis bacaan Yassin pertama Jumaat lepas sehari selepas karpet dan langsir baharu dipasang. Karpet tikar yang nipis sahaja sebab kekurangan kewangan, bertanding untuk wakil daerah tetapi tiada bantuan kewangan yang dihulurkan.  Kalau ada yang nak menyumbang amat-amat dialu-alukan.

Semalam dan hari ini juga operasi masih terus berjalan. Siling yang bertompok kerana kebocoran atap terpaksa disorokkan dengan cara begini... jaluran kain merah kuning tu.. Selangor la pulak! Sebab kain tu saja yang ada, guna sajalah.  Nak mengecat selain belanja kami juga sudah kesuntukan masa.  Esok operasi akan bersambung lagi. Harap-harap pegawai pemantau tu datanglah selepas cuti hari raya korban nanti. 


..saya yang menurut perintah...


...berilah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpa ini..



"Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpa ini, dan gantikan kepadaku sesuatu yang lebih baik daripada ini"
 
Kecuaian sendiri, ibuintan kehilangan duit baru-baru ini. Jumlah melebihi 1K. Bagai pecah kepala memikirkan bagaimana dan siapa yang mengambil duit itu. Ibuintan sendiri tidak tahu bila duit itu diambil, sedar-sedar sudah tiada dalam bekasnya. Sedih teramat rasanya. Namun tidak berani menuduh atau bertanya kepada sesiapa. Bimbang bila bertanya nanti disangkanya menuduh pula.  Kecuaian ibuintan juga ialah  meninggalkan beg begitu saja samada dalam kelas atau bilik guru terutamanya ketika ke tandas sebab ibuintan beranggapan semua orang jujur dan tidak berniat jahat. 
 Penat sungguh memikirkannya.  Namun tidak terlintas pula untuk berjumpa sesiapa yang kononnya pandai meneka atau menilik tentang kehilangan duit itu. Memang bagai pecah kepala memikirkan untuk menggantikan kembali duit yang hilang itu.  Duit itu bukan milik ibuintan,  duit itu ialah duit kelas dan sebahagiannya pula ialah duit yuran kelab. ibuintan ialah bendahari kelab kebajikan staff . Kekadang ada masa duit tunai diperlukan untuk tujuan tertentu dengan segera maka ibuintan sentiasa membawa sejumlah kecil duit tunai setiap hari.  Dan kebetulan pula ketika kehilangan itu jumlahnya pula agak banyak sebab ada beberapa orang ahli  telah membuat bayaran yuran bulanan.
 
Runsing dan tegang amat rasanya. Beberapa malam tidur pun tak lena jadinya. Serba tak kena rasanya. Sehinggalah suatu malam, ibuintan bercadang untuk membuat solat hajat supaya orang yang mengambilnya lembut hati untuk memulangkan kembali duit tersebut.  Namun kuasa Allah, saat ibuintan bersedia untuk membuat solat hajat, terlintas sesuatu difikiran. Tiba-tiba ibuintan terfikirkan mungkin musibah ini ialah cara Allah untuk membersihkan yang keruh, yang kotor dan yang salah serta terkurang yang mungkin pernah dilakukan selama ini.  Mungkin zakat dan sedekah yang dikeluarkan belum mencukupi,  mungkin juga ada hasil dapatan yang tidak layak dan tidak bersih untuk ibuintan dan mungkin juga ada yang terniat sebelum ini tetapi tidak dilaksanakan.  Mungkin juga ada yang terlalu berkira selama ini untuk melakukan sesuatu. Malah mungkin juga  orang yang mengambil duit itu benar-benar memerlukannya.  Mungkin kerana terlalu terdesak dan tidak punya cara lain, walau caranya salah. Malah paling utama ibuintan rasakan ini juga salah satu cara Allah 'menggantikan sesuatu yang lebih baik'.
 
Maka dengan hati yang tulus ikhlas, seikhlas-ikhlasnya dan dalam linangan airmata juga ibuintan memohon kepada Allah bahawa ibuintan amat redha dengan kehilangan duit itu,  ibuintan menghalalkan semuanya dan meminta dan berdoa juga  moga Allah membantu insan yang terbabit agar lapangkan kehidupannya serta memberinya petunjuk dan hidayah juga...duit itu insyaallah boleh diganti
Ya Allah besarnya kuasaMu... selesai semuanya tiada apa lagi kerisauan atau beban yang dirasakan lagi. Kosong dan lapang semuanya. Tidur pun kini lena semula.  Tiada sekelumit kekesalan pun yang dirasakan kini.  Syukur, alhamdulillah. 
 
Berlapang dadalah dengan musibah yang menimpa, moga besar ganjarannya yang menanti.

"Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – Ya Allah peliharalah diri ini."
amin
copypaste status UAI difbnya.  
  

Selasa, 1 Oktober 2013

Bila ibu mula malas ke dapur.


"ibu ni kan sejak kakak dan along takde kat rumah, jarang  masak..asyik beli kat kantin je, malam pun masak simple-simple"

 Aduih.. tak semena-mena dapat komen berapi daripada Azim petang tadi.  Hahaha memang betul pun. Kerajinan memasak makin menurun sejak dua menjak ni.  Tambahan pula tengah hari hanya Azim sorang saja yang makan, itu pun kekadang tak juga makan bila dia balik lewat petang dari sekolah.  Ibuintan biasanya makan di kantin sewaktu rehat.  Makanan berat pula seperti nasi berlauk, tu yang kenyang sampai ke petang. Lauk pauk yang dijual dikantin pun menepati selera dan citarasa, apalagi membungkus la setiap hari.  Suami juga setiap hari tidak balik ke rumah, makan di rumah emak atau adiknya yang tidak jauh dari tempat kerjanya.  Makan malam sahaja kami dapat berkumpul bertiga.

Makan malam biasanya memang simple saja, memang jarang masak berat untuk makan malam sebab selalunya lauk yang dibeli masih berbaki.  Azim pun makan bukannya banyak sebab dia dah makan disekolah waktu rehat.  Malam biasanya rebus, buat sup, goreng atau bakar saja.  Hari cuti atau hujung minggu baharu masak yang berat dan mengikut selera yang berhajat. Malam  makan berlauk lemak dah terpaksa dikawal, dah kena jaga paras kolestrol sekarang.... kukus, panggang dan rebus yang selalunya.  Tu yang Azim tak berapa bekenan tu terutama yang berebus... tak menarik minat dia langsung.  Sian budak tu gara-gara Along dan kakak tak ada, mood ibunya pun berubah.  Bukan apa ibunya kalau masak makanan yang menjadi kesukaan kakak dan alongnya, hati ibunya terus menjadi sayu, terus mengenangkan mereka berdua, silap-silap hilang selera makan, mesti terbayangkan kakak dan alongnya yang setiap hari hanya makan di kedai.

Yang penting telur, nugget, ayam sedia digoreng serta daging burger mesti ada dalam fridge.  Lauk kecemasan untuk Azim, boleh digoreng bila-bila masa serta amat disukainya.


Menu sambil menyambil... hehehe 

Gulai telur itik dicampur pucuk ubi yang disimpul permintaan suami.

                                                             Goreng peria berkunyit..