Pagi tadi sekolah Along mengadakan majlis graduasi pelajar tingkatan lima. Sejak semalam Along telefon mengingatkan membawa samping songket hitamnya. Namun rasanya tujuan utamanya ialah mengingatkan dan meminta kami hadir ke majlis tersebut. Sekarang ini banyak sekolah meraikan pelajar tingkatan lima dengan menganjurkan majlis graduasi sebegini.
Antara tujuan utamanya sebagai pembakar semangat kepada para pelajar ini supaya memberikan yang terbaik di dalam peperiksaan SPM yang akan mereka duduki nanti. Ini juga sebagai motivasi kepada semua pelajar supaya berusaha gigih untuk mendapatkan tempat di institusi pengajian tinggi nanti.
Penyampaian sijil disempurnakan oleh YTM Dato' Undang Rembau dan Timbalan Pengarah Pelajaran yang mewakili Tuan Pengarah Pelajaran N. Sembilan. Kegembiraan terserlah diwajah setiap pelajar, dan semoga kegembiraan mereka akan diulangi di majlis graduasi yang menjadi idaman di peringkat yang lebih tinggi. Yang lebih megah, lebih hebat dan tidak semua berkemampuan untuk mengecapinya.
Kehadiran ibu bapa selain memberi semangat kepada anak-anak, secara tidak langsung juga memberikan sokongan kepada pihak sekolah supaya menganjurkan program ini pada setiap tahun. Ibuintan dan suami selama ini sedaya mungkin cuba menghadirkan diri di setiap aktiviti anjuran sekolah yang melibatkan Along, Intan dan Azim.
Mungkin sebab ibuintan dalam bidang ini, maka tahu sangat bahawa pihak sekolah biasanya amat mengharapkan kehadiran setiap ibu bapa ke acara atau majlis yang dianjurkan. Baik majlis suka-suka apa lagi majlis yang memerlukan penglibatan utama ibu bapa seperti mesyuarat PIBG ataupun perjumpaan tentang program pendidikan anak-anak. Namun yang pasti, setiap aktiviti ini kaum ibu adalah yang paling prihatin. Mungkin kaum bapa terikat dengan kekangan masa dan tugas utama mereka.
Ibuintan selalu dapat menatap wajah kecewa anak-anak yang mengharapkan kehadiran ibu bapa ke aktiviti anjuran sekolah mereka. Mereka sebenarnya amat bangga melihat kehadiran dan keprihatinan ibu bapa mereka.
Janganlah hanya menunggu anak mendapat nombor satu sahaja baru kita menunjukkan kebanggaan kita. Kalau itu menjadi ukuran, dalam satu kelas ada lebih kurang 30 orang murid dan hanya seorang yang mendapat nombor satu, di manakah letaknya anak kita di hati kita sekiranya dia tidak mendapat nombor satu?
3 ulasan:
IM dulu memang selalu tidak mis majlis anjuran sekolah. tujuannya untuk bagi signal kat anak yang ayah ibunya ambil berat pasal mereka.
tak sabar untuk ke sekolah anak..haha
ibuintan..seronok kan..boleh berjumpa jugak dengan ibubapa murid2 lain.
akak kalau kesekolah selalu emosi..pelik..kalau tengok anak naik pentas ke.tengok anak bersukan ke..mesti..sayu..sedih kadang2 sampai keluar air mata...
Catat Ulasan