Petang Khamis lepas, mendapat panggilan dari abang yang tinggal di Telok Intan meminta ibuintan menolong menghantar anaknya (kakak) yang belajar di Kolej Tunku Kurshiah untuk membeli belah di Jaya Jusco, Seremban. Kakak berada di dalam Tingkatan Lima, pihak kolej akan menganjurkan majlis makan malam untuk semua pelajar Tingkatan Lima di Royal Adelphi Hotel pada awal bulan November nanti. Jadi kakak ingin bershopping khas untuk malam dinner spesel mereka.
Petang semalam ke Seremban. Mengambil kakak di kolej dan menghantarnya bershoping ke Jaya Jusco Seremban 2. Kakak bersama dua orang lagi rakannya, seorang dari Ipoh dan seorang lagi dari Shah Alam. Kami sampai di JJ lebih kurang pukul 2.50 petang. Disebabkan mereka bertiga, ibuintan melepaskan mereka sendiri mencari barang yang mereka hajati di dalam JJ ,sementara ibu dan abahintan pula terus ke kedai Casa Moda di bangunan bersebelahan JJ.
Dah terlanjur sampai sana, setelah belek dan pilih dan kena dengan harganya, maka 'terbeli' lah kain-kain untuk di buat baju, walaupun raya dah habis, tapi kenduri tak habis-habis lagi. Selain undangan kenduri, abahintan juga mengundang sekali ibuintan ke majlis makan malam anjuran tempat kerjanya. Dah letak syarat hari tu, kalau nak juga bawa isteri ni mesti beri isteri ni beli baju baru. Ala bukan selalu pun pergi dinner ni. sesekali nak juga baju berlabuci dan berbling-bling tu.....
Setelah selesai urusan di Casa Moda, ibuintan masuk pula ke JJ. Keluar masuk saja ke butik-butik berjenama terutama kasut dan beg tangan, tapi sah tidak membeli. Cuci mata saja sambil senyum-senyum sumbing dengan salegirl yang senyum-senyum kelat pula sebab pelanggannya yang seorang ini tidak berduit banyak untuk membeli.
Walaupun kakak dan rakannya telah berada hampir dua jam di dalam JJ, mereka masih belum dapat kesemua barang yang mereka cari. Masih sukar membuat pilihan barangan yang mereka kehendaki. Rezeki anak-anak sekarang, walaupun masih bersekolah namun mereka mampu berbelanja di butik barangan berjenama. Mereka keluar masuk setiap butik sambil mencuba barangan yang mereka kehendaki seperti kasut. Kasut berjenama dan bertumit tinggi pilihan mereka, ibuintan sekadar senyum melihat gelagat mereka membuat pilihan.
Dua rakan kakak juga membeli baju ready-made yang berfesyen terkini di butik terpilih berdasarkan beg yang mereka jinjing. Selesai di JJ setiap seorang menjinjing sekurang-kurangnya tiga beg produk berjenama. Kami keluar dari JJ tepat pukul 5.20 petang. Namun seorang rakan kakak masih belum menemui tudung yang sepadan dengan baju yang baru dibeli, mereka menuju pula ke Casa Moda, namun tidak juga jumpa yang pekenan di hati. Mereka bertiga terus menuju ke Butik tudung Mawardah di bangunan bersebelahan.
Menemankan mereka bertiga mencari sehelai tudung juga memakan masa sehingga setengah jam. Butik tudung yang telah ada nama dan tentunya mahal harganya, Tudung yang rakan kakak pilih dan cuba, pilih lagi dan cuba lagi dan lagi-lagi cuba, juga semuanya berharga dalam lingkungan kurang dan lebih sedikit daripada RM100. Bayangkan akhirnya, sehelai tudung yang dipilihnya, yang akan dipakai pada majlis makan malam itu tiga kali ganda harga tudung yang ibuintan pakai.Tudung ibuintan dah lama beli dan pakai, dulu harganya RM29 saja.
Melihat rakan kakak berbelanja, ibuintan dapat meneka mereka mesti anak orang yang berada. Kakak taulah ibuintan, anak seorang bisnesman manakala ibunya seorang guru bertaraf ketua bidang. Bertuah anak-anak sekarang, mereka dibekalkan dengan sekeping kad yang boleh memenuhi keinginan mereka semasa bershoping. Tak perlu ibu bapa ada bersama.
Melihat pilihan mereka juga, spontan ibuintan terbayangkan bagaimanakah agaknya pakaian yang di pakai oleh pelajar yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Dan bagaimanakah perasaan pelajar itu semasa majlis berlangsung jika dibandingkan penampilan dikalangan rakan-rakan lain yang tentunya istimewa dan bergaya sakan. Atau mungkin tiada pulak anak orang yang kurang berada menuntut di kolej yang tersohor itu.
//Teringat cerita seorang rakan yang anak saudaranya hanya mampu bertahan selama sebulan saja di kolej itu dulu, tidak sanggup diketawakan hanya kerana memakai pakaian dalam yang tidak berjenama.