Yang selebihnya masih kurang, sekurang-kurangnya sebuah buku. Ada yang memberi alasan tak jumpa, sudah koyak dan ada juga yang telah hilang dari simpanan. Nampak sangat murid-murid tidak prihatin untuk menjaga buku-buku yang mereka dapat dengan percuma.
Mungkin sebab dapat percuma dan anggapan 'jamin dapat' lagi di tahun depan, maka ada juga segelintir penjaga sendiri tidak ambil peduli langsung dengan buku-buku anak mereka. Mereka tidak kisah jika anak-anak mereka meninggalkan buku-buku di dalam meja di kelas. Tidak kisah jika anak-anak mereka tidak membawa buku-buku balik ke rumah.
Biasanya selepas peperiksaan akhir tahun, buku-buku akan dikutip semula dan akan diberi pula dengan buku-buku baru untuk kegunaan tahun hadapan. Semasa ini juga biasanya berlaku kes ambil buku kawan untuk menampung buku sendiri yang hilang.
Ini terutamanya berlaku kepada buku yang tidak bernama atau tidak lengkap butir-butir diri siempunyanya. Terdapat jugalah kes tuduh menuduh untuk merebutkan sebuah buku yang tidak bernama atau nama pemiliknya telah ditukarganti.
Setiap buku yang hilang atau rosak perlu diganti dengan yang baru ataupun dibayar mengikut harga buku tersebut. Selagi tidak diganti atau dibayar semula, mereka tidak akan dapat buku baru untuk kegunaan di tahun depan.
Kebiasaannya semua mampu mengganti atau membayar harga sebuah buku yang hilang. Namun alangkah eloknya sekiranya setiap anak-anak kita ditekankan supaya menjaga buku-buku yang mereka dapat dengan percuma itu dengan sebaik mungkin.. Kalau kita dapat yang baru dan cantik biarlah murid yang akan dapat ditahun hadapan juga mendapat buku yang masih elok dan cantik. Janganlah balut kulit buku pun tunggu dipaksa atau didenda....