Followers

Selasa, 26 November 2013

Pertemuan kembali

Hari Sabtu lepas ibuintan menghadiri dua majlis kenduri kahwin di dua tempat yang berlainan.  Majlis pertama di hotel Melang Inn, majlis resepsi perkahwinan anak seorang rakan guru yang baru bersara bulan Jun yang lepas.  Kalau dah tuan rumahnya seorang guru maka ramailah kelibat rakan guru yang hadir memenuhi jemputan tuan rumah.




 Tahniah kepada Kak Normah dan suaminya yang menerima menantu.  Pasangan ini ialah rakan rapat kepada suami ibuintan.


Dari Hotel Melang Inn ibuintan bersama dua orang rakan baik bertolak pula ke Dewan Majlis Perbandaran Seremban untuk memenuhi jemputan seorang rakan guru juga.  Beliau juga ialah rakan sekelas ibuintan semasa di kelas menengah rendah dahulu, kami sekelas sehingga tingkatan tiga.  Di sini majlis menjadi pertemuan kembali dengan beberapa rakan lama sejak sekolah rendah yang sudah hampir 35 tahun tidak berjumpa.  Sayangnya ibuintan tiba agak lewat apabila ramai yang telah balik.  Hanya sempat berjumpa beberapa orang sahaja.


 Tahniah kepada Uji (berbaju pink) dan pasangan pengantin.  Uji bergambar bersama rakan sekelas sewaktu di sekolah rendah dan menengah dulu.  Sayang ibuintan tak dapat joint sekali sebab ibuintan sedang makan ketika mereka bergambar bersama pengantin ketika ini.

Bersama bff yang sering berkongsi kisah suka duka dan menangis ketawa bersama.  Moga persahabatan ini berpanjangan.  Tahniah Uji yang telah selamat menjadi mak mertua.  Jadi mak mertua yang baik ye baii!

.... kawan datang dan pergi tapi kawan sejati setia di saat susah dan senang kita.  Terima kasih kepada yang sudi berkawan dan menerima ibuintan sebagai kawan dengan seadanya...


Rombongan cik kiah belajar memasak.

Minggu pertama cuti sekolah akhir tahun telah berlalu.  Masih ada kerja yang melibatkan online yang belum selesai.  Hari Isnin lepas sebelah paginya semua menghadiri  LDP Penyebaran KSSR tahun 4 untuk tahun 2014 di makmal komputer sekolah.  Ibuintan membuat pembentangan untuk subjek Pendidikan Seni tahun 4 berdasarkan kursus yang telah dihadiri pada bulan Oktober lepas.  Semua guru yang telah menghadiri kursus KSSR bagi semua subjek tahun 4 diminta membuat pembentangan.  Tugasan tambahan yang diberi pada LDP tersebut ialah semua guru diminta mengisi eOperasi dan mengemaskini ePrestasi. Bab e e ni memang amat melecehkan.

Makan tengah hari disumbang oleh Cikgu Mohd Faizal kerana anaknya bekas pelajar sekolah ini telah berjaya mendapat 5A dalam UPSRnya yang lalu.

HAhaha... ini kes kelaparan terlampau, sempat tunjuk tulang dan pinggan  je ni! 

Selepas solat Zuhur mesyuarat penutup untuk unit kurikulum, ko kurikulum serta hal-ehwal murid pula dijalankan.  Mesyuarat penutup dan pembentangan untuk semua aktiviti yang telah dijalankan disepanjang tahun 2013.  Selesai sehingga hampir pukul empat petang.

Sebagai buah tangan setiap guru mendapat sebuah hamper setiap seorang sumbangan waris. 

Hari Selasa dan Khamis pula menolong guru pusat sumber.  Sementara hari Rabu ibuintan bersama geng-geng melepas tekanan merombong ke Kolej Komuniti Kuala Kelawang Jelebu. Merombong sambil belajar membuat kek kononnya.  Merasalah naik bas kolej komuniti yang datang menjemput dan mengambil kami secara percuma.  



Kami diajar membuat kek coklat moist dan kek keju.  Walaupun biasa  membuatnya terutama kek coklat moist tapi ibuintan seronok sebab dapat berkumpul bersama kawan-kawan yang dah jarang berjumpa.  Kelas ni lebih kepada perjumpaan kawan lama sebenarnya.  Kami juga sudah merancang untuk meminta pihak kolej komuniti membuat bengkel masakan yang lain pula.  Bengkel yang bakal kami hadiri selepas ini ialah masak Nasi Arab pula. Kami hanya dikenakan bayaran sebanyak RM15 seorang.

Bergambar kenangan bersama tenaga pengajar dari Kolej komuniti (berjubah hitam)

.....Meriah kelas dewasa ini dengan gelak tawa. Merasalah juga makan roti panas dan burger bakar spesial hasil tangan pelatih-pelatih yang belajar di sana.  Hilang tekanan kerja bila berada dalam kelas yang semerbak harum bau roti dan kek.