Sejak semalam mula semula aktiviti menunaikan undangan majlis kahwin. Selain menerima undangan ke rumah terbuka, undangan majlis perkahwinan juga telah banyak di terima. Mulai semalam dan berterusan hampir setiap minggu, telah berbaris undangan untuk dihadiri.
Semalam hanya sempat menghadiri kenduri kahwin saudara sebelah abah mertua di Terachi. Majlis perkahwinan anak perempuan yang sulung. Dua lagi undangan untuk majlis rumah terbuka rakan setugas dan penjaga murid di sebelah petang, tidak dapat dipenuhi.
Balik dari majlis perkahwinan selepas solat zuhur terus ke rumah mak mertua. Hari ini memenuhi pula undangan kenduri kahwin saudara sebelah emak mertua pula. Rumahnya selang beberapa buah saja dari rumah emak mertua, perkahwinan anak lelaki sulung.
Selepas zuhur, adik ipar dan suaminya mengajak menemankannya ke Felda Kepis. Adik ipar dan biras berhajat menemui 'sahabat' yang pernah menolong mengubati adik ipar yang pernah 'dianiaya' sebelum ini. Adik ipar telah mengalami batuk yang teruk dan demam yang berterusan.
Telah beberapa kali ke hospital membuat pemeriksaan, di uji darah, kahak, air liur dan air kencing, namun hasil ujian tidak menunjukkan sebarang penyakit bahaya. Ke klinik dan hospital swasta juga telah dikunjungi. Namun hasilnya tetap sama, kata doktor hanya demam dan batuk biasa, tetapi keadaan adik ipar makin teruk, batuk makin kerap sehingga menjadikan adik ipar sakit dada dan sesak nafas. Fizikal badan juga makin kurus.
Akhirnya adik ipar mencuba pengubatan secara altenatif. Adik ipar telah diperkenalkan dengan seseorang (sahabat) beliau tidak mahu dipanggil sebagai dukun ataupun bomoh', adik ipar telah melalui proses pengubatan yang kelihatannya tidak bercanggah dengan akidah, bukanlah teknik syirik, 'sahabat' itu mengutamakan konsep taqarrub(berpegang & yakin) pada Allah dan Alhamdulillah adik ipar telah sembuh sepenuhnya.
Hajat adik ipar dan suaminya petang tadi lebih kepada untuk bertanya khabar dan menziarah 'sahabat' yang pernah membantunya selama dalam kesusahan dan dalam angkara hasad dengki sesama rakan niaga.
Kami berada di rumah 'sahabat' sehingga pukul lima setengah petang kerana semasa kami sampai dirumahnya sahabat itu sedang berusaha menolong satu keluarga yang datang dari Batu Pahat, anak gadis keluarga tersebut sakit kerana perbuatan dengki sesama manusia sendiri. Namun dari cerita yang didengari daripada mulut ibu gadis itu, anak gadisnya telah hampir sembuh sepenuhnya setelah menanggung derita hampir empat tahun. Mereka telah kerap kali berulang dari Batu Pahat semata-mata berikhtiar mengubati anak gadisnya itu.
Syukur, semoga dengan keizinan Allah anak gadis itu akan sembuh sepenuhnya. Sebak mengenangkan dalam mengejar kesenangan dan kemewahan dunia, ada manusia yang sanggup menganiaya saudara seagama dan sebangsa sendiri.