Followers

Sabtu, 30 Mac 2013

Bersantai seharian di Port Dickson.

Selamat pagi.... pagi ni ibuintan dan keluarga bersarapan ringkas sahaja.  Menu sarapan pagi hari ini ialah puding roti bakar.  Harum semerbak bau roti dibakar memenuhi ruang dapur pagi ni.... makan panas-panas lagi sedap, ibuintan suka keranggupannya.  Roti lebihan membuat sandwich yang dibawa ke Port Dickson hari Khamis lepas.


Hari Khamis lepas kami sekeluarga bercuti sehari ke Port Dickson.  Bertolak seawal pukul sembilan pagi dari rumah.  Kami pergi dua keluarga, keluarga ibuintan dan keluarga adik.  Melayan anak-anak yang hendak mandi laut.  Tetapi di sana kami lebih banyak menghabiskan masa dan mandi di kolam saja sebab mengenangkan cuaca yang sangat panas sekarang ni.  Sampai saja di Port Dickson kami terus ke Mayang Sari Resort.  Kami tidak menginap di sana cuma kami pergi mandi manda di kolamnya saja.

Sebab budak ni... kami memilih mandi  di kolam saja tak ke laut.

Puas anak-anak mandi dan berendam dalam kolam ni.  Orang pun tak ramai hanya ada beberapa keluarga lain saja yang mungkin menginap di sana.  Bila tinggal hanya kami saja, apalagi semua pun turun ke dalam kolam. Berendam sepuas hati, ditambah pula cuaca tidak berapa panas.
 

Dah puas mandi, apalagi buka bekalan yang dibawa.  Berkelah pula di wakaf yang disediakan. Macam-macam bekal ada... ibuintan siap bawak mangkuk tingkat tu, senang angkut satu bekas saja tapi isi lain-lain. Keluarga adik pula bawa nasi berlaukkan rendang ayam.

Kami di sini sampai pukul dua setengah petang.  Dari sini kami ke Dataran Teluk Kemang pula. Dah sampai PD mesti nak ke sini jugak.  Anak-anak adik nak main di pantai pula.  Di Bagan Pinang tempat yang kami singgah pada awalnya, laut ketika itu masih surut, airnya jauh ke tengah lagi jadi anak-anak tak dapat bermain air di pantai.

Adik dan isterinya melayan  dua anaknya bermain air.

Anak-anak ibuintan pula melayan anak tekak dengan air batu campur... memang sesuai sangat dengan cuaca yang panas di pantai tu.

Ibuintan dan suami pula hanya membuat lawatan  gerai ke gerai saja dan  sebagai kenangan belikan anak adik baju berlambangkan PD untuk dipakai seharian.

Gerai ini yang paling menarik minat ibuintan.  Mulanya sekadar menjeling-jeling saja ke gerai ni, namun akhirnya tewas juga.  Terpaksa juga melayan tekak.. air liur dah kecur...  tiga peket RM5.  asalnya pilih tiga peket saja tapi yang keluar RM10 dari poket maka dari tiga menjadi enam. Hehehe ,.... ibuintan memang selalu tewas dengan bau air jeruk ni.

 Kami menempuh hujan yang amat lebat bermula dari highway PD hingga melepasi Bukit Putus.  Selepas Bukit Putus kami menempuh jam pula, dari Bukit Putus ke Tanjung Ipoh kami mengambil masa melebihi satu jam.  Hampir pukul enam petang kami selamat sampai di rumah.  Syukur selamat sampai walau agak lewat disebabkan jalan jammed.


..... walau sekadar mandi manda di kolam, namun yang penting anak-anak gembira dan enjoy.



Khamis, 28 Mac 2013

Buang membuang apa yang patut.


 Cuaca hari ni panas sampai ke petang.  Terik dan membahang. Petang tadi kami sekeluarga membuat operasi mengerat dahan-dahan pokok cempedak di hadapan rumah.  Banyak dahan yang sudah besar dengan daunnya yang merimbun menjadikan kawasan hadapan rumah seakan gelap.  Daun-daun yang terlalu banyak yang gugur juga menjadikan jalan ke halaman rumah nampak tidak terbela.  Tak sempat menyapu daun-daun kering setiap hari.  Abahintan bercadang untuk menebang terus pokok cempedak ini disebabkan buahnya yang sudah tidak berapa elok.  Buahnya banyak yang busuk sebelum sempat masak. Operasi petang tadi menjadikan sebahagian besar pokok ini telah  tidak berdahan lagi.  Disebabkan mengemas dan membuang dahan dan ranting memakan masa maka abahintan tidak sempat menebangnya.  

Sementara abahintan memotong dahan dengan dibantu oleh Along dan Azim, ibuintan pula mengambil kesempatan membelek semula pasu-pasu bunga yang sebelum ini menjadi tempat teduh musuh tanaman.  Kalau sebelum ini siput babi yang menjadikan pasu tempat persembunyiannya telah dikorbankan, saki bakinya yang masih ada sanggup memanjat lebih tinggi lagi.  Pokok orkid yang tinggi pula menjadi tempat teduhnya.

      Entah berapa hari perjalanannya untuk sampai ke paras hampir enam kaki ni.

Sebelum ini pasu-pasu besar ini menjadi tempat persembunyiannya untuk bertelur.


Kumbang kuning ini juga tak kurang hebatnya sebagai perosak, kumbang ini musuh nombor satu ni.  Kalau jumpa saja pasti ditangkap dan dijadikan sumber protin kepada si ikan kaloi.  Kalaulah kumbang ini hinggap pada putik bunga, habis dimakannya tinggal tangkai la jawabnya.

Selesai menggemas dan membuang semua dahan dan ranting-ranting, abahintan dan Azim membuat pula operasi mengait buah kelapa muda.  Dapatlah setandan, dalam empat biji saja yang masih elok dan selebihnya dah ditebuk tupai.




Masih lembut isinya.

Hilang dahaga.  Sejuk nyaman saja bila lalu ditekak.
 
Petang esok  akan diteruskan dengan menebang pokok cempedak pula.  Kalau cuaca mengizinkanlah sebab beberapa hari sudah setiap petang hujan turun dengan lebatnya.

 Pagi esok cadangnya kami sekeluarga akan bermandi manda dan bercanda di sebuah tempat percutian di Port Dickson.  Kami asalnya tiada rancangan untuk bercuti di mana-mana semasa cuti sekolah kali ini tetapi rancangan percutian sehari esok adalah atas  ajakan dan rancangan adik  lelaki dan keluarganya.  Jadi kami pun setujulah demi meramaikan dan memeriahkan lagi aktiviti mandi manda mereka.