Tengah hari semalam ibuintan dan suami menghadiri jemputan kenduri kahwin anak cucu sedara arwah abah di Rumah Rakyat Ampang Tinggi, lebih kurang 5 km dari rumah ibuintan. Sampai saja di majlis tersebut mata terus terpandang ke arah hiasan yang terletak betul-betul di hadapan khemah masuk. Apalagi terus ambik gambar. Memang dah lama tak jumpa benda ni terutama dimajlis-majlis perkahwinan. Orang kampung memanggilnya 'lancang'. Binaan yang dibuat seakan perahu dan dihias indah dengan bunga-bunga yang diperbuat daripada kertas bunga yang berwarna-warni. Setiap dua kuntuman bunga diikat bersama sebiji telur. Lancang ini adalah hadiah daripada kaum keluarga ayah pengantin perempuan yang juga bergelar 'buapak' dalam lingkungan keluarga mereka. Kalau mengikut Adat Perpatih mereka berada dalam suku Selemak Pahang.
Buapak adalah gelaran kepada seseorang yang mengetuai sesuatu Perut dalam masyarakat Adat Perpatih. Perut adalah kumpulan yang berasal daripada nenek atau moyang perempuan yang sama. Ahli-ahli dalam sesuatu perut itu amat rapat dan mereka memilih seorang ketua yang dipanggil Buapak. Antara tugas Buapak ialah menjaga maruah anak-anak buahnya, menguruskan istiadat keramaian (seperti perkahwinan) dan juga menyelenggara soal-soal pembahagian harta pusaka. (carian di wikipedia... ibuintan memang tak paham bab2 adat ni)
21 tahun yang lalu, ahli keluarga yang sama juga telah menghadiahkan sebuah lancang semasa perkahwinan ibuintan. Ketika itu abah ibuintan menjadi Buapak bagi keluarga ini. Mungkin ini cara waris keluarga ini menghargai Buapak dikalangan mereka. Tapi sayang gambar lancang semasa perkahwinan ibuintan dahulu telah hilang. Hilang bersama sebuah album penuh gambar kahwin semasa proses membuka rumah lama dahulu. Tapi rasanya tak banyak beza dari lancang yang ini. Menurut seorang anak sedara lancang ini mengambil masa dua minggu untuk disiapkan. Telur ini akan diberi sebagai cenderahati kepada tetamu yang hadir.
Gabungan warna yang menarik dan ceria. Kain batik lepas yang menjadi alas meja juga menarik coraknya.
Bersama goodies beg ibuintan juga mendapat setangai bunga telur dari lancang tersebut. Memang klasik bunga ni, stail lama beserta tangkai tampuk terung yang menjadi pemegang telur. Bukan semua yang mendapatnya sebab ibuintan pergi bersama suami dan dua orang jiran tetapi hanya ibuintan seorang yang mendapatnya. Macam tak aci lah pulak kan! Ada sebab tu... ibuintan anak kepada bekas Buapak mereka, tu sebab semua ahli keluarga ini tak kira umur memanggil ibuintan dengan gelaran Induk.
Bunga telur merah tu ialah bunga telur pahar yang terdapat di pelamin.. Induk jugak yang dapat.