Terima kasih kepada semua sahabat yang meninggalkan komen di entri sebelum ini. Tak sempat dibalas dan belom sempat juga menjenguk balik ke blog sahabat semua. Insya Allah ada masa dan kesempatan nanti ibuintan akan menjenguk sahabat semua.
Pagi Ahad, selain ke kenduri rumah jiran terdekat, ibuintan juga terkejar-kejar juga ke rumah jiran terdekat yang lain yang tiba-tiba menerima berita kematian anak lelakinya yang juga bekas anak murid ibuintan. Kak Siah yang sedang berniaga di pasar tani pagi Ahad tiba-tiba pengsan sebaik menerima berita anak lelaki keduanya meninggal dunia di Sabah akibat kemalangan. Anak lelakinya Mohd Isa , berkhidmat sebagai askar di Sabah. Pagi kejadian Mohd Isa sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.
Menurut Kak Siah, dua hari sebelum kejadian dia ada menelefon memberitahu bahawa dia tidak dapat mengirimkan wang pada bulan ini kerana baharu membeli sebuah motosikal. Isa juga memberitahu bahawa dia telah keluar dari kawasan operasi di Lahad Datu dan kini berada di kem semula. Berita gembira yang dia selamat dalam operasi itu menyebabkan Kak Siah mengatakan akan membuat kenduri doa selamat bila dia balik bercuti nanti. Balasnya sebelum memutuskan talian meminta Kak Siah mengemas rumah dengan alasan dia akan balik bila-bila masa saja dan Kak Siah boleh membuat kenduri. Dia juga beberapa kali mengatakan keinginan untuk makan lauk sardin goreng berpetai masakan Kak Siah.
Dan tak sangka selepas dua hari dia berkata begitu, dia memang balik sebagai jenazah dan kenduri doa selamat bertukar menjadi kenduri tahlil.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa arwah dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Disebabkan kejadian di Lahad Datu juga masih baru maka sejak tersebar berita kematiannya, banyak orang yang datang menziarah dan menunggu kepulangan jecnazahnya. Jenazahnya sampai pada pukul sepuluh malam dan urusan pengebumiannya selesai menjelang pukul dua belas malam... moga keluarga Kak Siah tabah dan reda dengan ujian imi.