Followers

Isnin, 7 Oktober 2013

...berilah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpa ini..



"Ya Allah, berilah ganjaran kepadaku di atas musibah yang menimpa ini, dan gantikan kepadaku sesuatu yang lebih baik daripada ini"
 
Kecuaian sendiri, ibuintan kehilangan duit baru-baru ini. Jumlah melebihi 1K. Bagai pecah kepala memikirkan bagaimana dan siapa yang mengambil duit itu. Ibuintan sendiri tidak tahu bila duit itu diambil, sedar-sedar sudah tiada dalam bekasnya. Sedih teramat rasanya. Namun tidak berani menuduh atau bertanya kepada sesiapa. Bimbang bila bertanya nanti disangkanya menuduh pula.  Kecuaian ibuintan juga ialah  meninggalkan beg begitu saja samada dalam kelas atau bilik guru terutamanya ketika ke tandas sebab ibuintan beranggapan semua orang jujur dan tidak berniat jahat. 
 Penat sungguh memikirkannya.  Namun tidak terlintas pula untuk berjumpa sesiapa yang kononnya pandai meneka atau menilik tentang kehilangan duit itu. Memang bagai pecah kepala memikirkan untuk menggantikan kembali duit yang hilang itu.  Duit itu bukan milik ibuintan,  duit itu ialah duit kelas dan sebahagiannya pula ialah duit yuran kelab. ibuintan ialah bendahari kelab kebajikan staff . Kekadang ada masa duit tunai diperlukan untuk tujuan tertentu dengan segera maka ibuintan sentiasa membawa sejumlah kecil duit tunai setiap hari.  Dan kebetulan pula ketika kehilangan itu jumlahnya pula agak banyak sebab ada beberapa orang ahli  telah membuat bayaran yuran bulanan.
 
Runsing dan tegang amat rasanya. Beberapa malam tidur pun tak lena jadinya. Serba tak kena rasanya. Sehinggalah suatu malam, ibuintan bercadang untuk membuat solat hajat supaya orang yang mengambilnya lembut hati untuk memulangkan kembali duit tersebut.  Namun kuasa Allah, saat ibuintan bersedia untuk membuat solat hajat, terlintas sesuatu difikiran. Tiba-tiba ibuintan terfikirkan mungkin musibah ini ialah cara Allah untuk membersihkan yang keruh, yang kotor dan yang salah serta terkurang yang mungkin pernah dilakukan selama ini.  Mungkin zakat dan sedekah yang dikeluarkan belum mencukupi,  mungkin juga ada hasil dapatan yang tidak layak dan tidak bersih untuk ibuintan dan mungkin juga ada yang terniat sebelum ini tetapi tidak dilaksanakan.  Mungkin juga ada yang terlalu berkira selama ini untuk melakukan sesuatu. Malah mungkin juga  orang yang mengambil duit itu benar-benar memerlukannya.  Mungkin kerana terlalu terdesak dan tidak punya cara lain, walau caranya salah. Malah paling utama ibuintan rasakan ini juga salah satu cara Allah 'menggantikan sesuatu yang lebih baik'.
 
Maka dengan hati yang tulus ikhlas, seikhlas-ikhlasnya dan dalam linangan airmata juga ibuintan memohon kepada Allah bahawa ibuintan amat redha dengan kehilangan duit itu,  ibuintan menghalalkan semuanya dan meminta dan berdoa juga  moga Allah membantu insan yang terbabit agar lapangkan kehidupannya serta memberinya petunjuk dan hidayah juga...duit itu insyaallah boleh diganti
Ya Allah besarnya kuasaMu... selesai semuanya tiada apa lagi kerisauan atau beban yang dirasakan lagi. Kosong dan lapang semuanya. Tidur pun kini lena semula.  Tiada sekelumit kekesalan pun yang dirasakan kini.  Syukur, alhamdulillah. 
 
Berlapang dadalah dengan musibah yang menimpa, moga besar ganjarannya yang menanti.

"Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – Ya Allah peliharalah diri ini."
amin
copypaste status UAI difbnya.  
  

7 ulasan:

Kakcik berkata...[Reply]

Benar, mungkin ada hikmah yang Allah hendak tunjukkan. Redho akan membuatkan kita rasa lebih tenang...

Tanpa Nama berkata...[Reply]

Muga ibuintan bersabar atas musibah ini. Saya pula kehilangan ribuan ringgit. Hati jadi amat berduka. Tapi bila direnung kembalii inilah ujian Allah. Untuk menyatakan amaranNya kepada kita. Untuk kitabelajar mensyukuri nikmat yg lain yg terkadang kita lupa. Rupanya kehilangan sedikit sahaja nikmat itu kita mudah berkeluh kesah.

Ayu azmir berkata...[Reply]

peliharalah diri kami semua.... ape pun situasi harap tabah.....

azieazah berkata...[Reply]

sedih, marah dan berduka tu fitrah kita manusia biasa. Jika kita ikhlas dan redha, insyaAllah tenang dan ada hikmahnya nanti bila-bila.

Bawak bersabar ya.

azieazah berkata...[Reply]

sedih, marah dan berduka tu fitrah kita manusia biasa. Jika kita ikhlas dan redha, insyaAllah tenang dan ada hikmahnya nanti bila-bila.

Bawak bersabar ya.

Acik Erna berkata...[Reply]

assalam ibuintan..Alhamdulillah bila dah redho..
pernah juga kehilangan..macam tu juga acik rasa..mesti ada kekurangan dimana2 sampai diambil apa yang kita punya sebagai gantinya

Ibu Lala berkata...[Reply]

Betul tu kak. Redho je la. Mungkin ada hikmahnya. Selagi dok pk x keruan jdnya.