Followers

Selasa, 2 Julai 2013

Ujian dariNya.... syukur semuanya telah selamat.

Bulan Jun dah pun berlalu.  Hanya tiga entri pendek yang dapat ibuintan post.  Itupun menggunakan tab sahaja.  Malas sangat rasanya nak berblog sekarang ni.  Letih dan malas nak menulis. Bulan Jun juga bulan yang teramat sibuk rasanya.  Sepanjang minggu ada sahaja aktiviti.  Banyak yang nak ditulis sebenarnya, banyak juga kisah suka duka yang dilalui sepanjang bulan lepas.  Perkara duka dah berlalu tak perlu diungkit lagi.  Cuma sikit terkilan dengan sikap seseorang yang tidak jujur.  Biarlah semuanya berlalu dan ibuintan juga dengan ikhlas hati memaafkan semua tindakannya. Tidak perlu berlagak sombong dan ibuintan juga tidak mahu sepertinya, walaupun dia tidak mengaku salahnya dan tidak pun meminta maaf namun tiada salahnya ibuintan memaafkannya dalam diam.  Moga Allah mengampunkan kekhilafannnya dan memberinya petunjuk dan hidayah... hidup ini tidak selamanya indah dan kita juga tidak selamanya berada di atas.

Semalam Isnin, ibuintan dah bercadang hendak menulis entri yang baru.  Ibuintan bercuti rehat semalam.  Terpaksa mengambil cuti sehari setelah merasakan kepenatan yang amat sangat.  Sejak pertengahan bulan Jun ibuintan rasakan teramat penat sekali.  Aktiviti yang padat sehingga hujung minggu, padat dengan aktiviti sekolah, padat juga dengan aktiviti berkenduri setiap hujung minggu disamping terkejar ke rumah mak mertua yang semakin tidak sihat sejak akhir-akhir ini. Letih sangat rasanya.  Tambahan pula kerja rumah sudah tiada pembantu yang menolong.  Kalau selama ini Intan yang banyak membantu tapi kini Intan telah menyambung pelajarannya semula.


                     Intan kini sedang belajar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Sepanjang hujung minggu lepas juga Jumaat hingga Ahad berulang alik ke Seremban.  Kakak ipar ibuintan mengadakan majlis kenduri kahwin anak sulungnya di Taman Tasik Jaya Seremban.  Sejak petang Jumaat lagi ibuintan sekeluarga telah ke rumahnya. Majlis akad nikah berlangsung selepas Asar tapi ibuintan terlepas menyaksikan momen indah ini sebab terpaksa pula ke stesyen bas Terminal 1 Seremban untuk menjemput Intan yang balik dari Gopeng.  Hanya dapat menatap gambar-gambar yang diambil oleh Azim.


             

  Selamat Pengantin Baru kepada Along Ain dan Khalid Reza... mak uda mendoakan moga kalian berbahagia selamanya... jagalah rumahtangga yang baru dibina dengan sebaiknya.

Namun, kegembiraan meraikan majlis perkahwinan kedua mempelai ini menjadi agak terganggu buat ibuintan dan suami apabila Azim dengan tiba-tiba mengalami sakit perut yang agak teruk.  Menangis dan mengerang kesakitan di saat pengantin akan bersanding pada hari Sabtu.  Azim terpaksa di kejarkan ke sebuah hospital swasta yang berhampiran.  Hasil pemeriksaan doktor, doktor memaklumkan Azim mungkin mengalami kekejangan otot perut, Azim segera diberi suntikan ubat.  Ubat penahan sakit tentunya.  Menjelang malam sakit perutnya berulang-ulang kembali tapi tidaklah terlalu kuat.

Malam Isnin pula selepas Maghrib sekali lagi Azim mengerang kesakitan yang teramat. Mandi peluh dia menahan kesakitan.  Sekali lagi Azim dikejarkan ke hospital.  Kali ini di hospital Kuala Pilah pula.  Azim terus dibawa ke wad kecemasan.  Pemeriksaan segera dilakukan, ujian kencing, darah dan x-ray dilakukan segera.  Namun setelah dua jam di sana,  hasilnya tiada apa yang dapat dikesan... menurut doktor tiada masalah.  Doktor hanya menjangkakan Azim mungkin mula mendapat gastrik.  Hanya dibekalkan ubat penahan sakit serta ubat gastrik.  Sakitnya berkurangan setelah diberi ubat penahan sakit.  Isninnya Azim diberi cuti sakit sehari.  Sepanjang seharian di rumah, Azim rasa sihat dan tidak sakit perut lagi.

Malangnya malamnya pula selepas Maghrib sekali lagi Azim mengerang kesakitan.  Kesakitan yang teramat-amat.  Sampaikan berguling dan menonggeng di atas lantai.  Kesian sangat ibuintan melihatnya, sapu minyak angin dan makan ubat pun tidak berkesan.  Setelah berbincang dengan suami, ke spesialis katanya kejangan otot perut, dah di xray pula tiada apa-apa yang dapat dikesan, akhirnya ibuintan nekad membawanya ke rumah seorang makcik untuk berubat, sayangnya makcik itu pula tiada di rumah.  Akhirnya seorang jiran menyuruh membawa Azim berjumpa seorang pakcik di Melang. Kebetulan pakcik itu saudara  ibuintan juga Jarak dari rumah ibuintan ke rumah pakcik itu dalam 8 km, memecut laju abahintan, Azim tetap mengerang dan menangis di tempat duduk belakang.

Hanya Allah saja yang tahu keadaan kami malam semalam.  Nasib baik pakcik itu ada dirumah ketika itu.  Sewaktu ibuintan dan suami sampai di rumah pakcik itu, ada tiga orang lelaki dewasa sedang belajar mengaji dengan  pakcik itu.  Sebaik sampai saja, setelah diberitahu keadaan Azim, pakcik itu segera meletakkan tapak tangannya di atas perut Azim, antara pusat dengan dada.. spontan kata pakcik tu...'sebab cacing gelang'  terperanjat sangat kami semua mendengarnya.  Cacing gelang saja.  Namun syukur, setelah beberapa kali pakcik itu berusaha, keadaan Azim semakin lega.  Walaupun sehingga cubaan keempat sakitnya masih berulang-ulang sehinggalah pakcik itu menekan sebiji limau nipis dipusat Azim.  Azim terus muntah sebanyak dua kali serta di akhirnya terpaksa berkejar ke tandas, barulah keadaannya benar-benar lega.  Syukur sangat Allah memperkenankan doa dan usaha pakcik itu.



Entahlah apa punca dan penyebab kemunculan cacing gelang itu.  Yang ibuintan dengar sejak dahulu ialah setiap kita ni memang ada cacing gelang di dalam perut ini.. ni yang ibuintan dengar dari mulut orang-orang tua dahulu.  Difilem x-ray tu tak nampak pulak cacing gelang tu.  Dan ada juga yang ibuintan dengar daripada mulut arwah2 uwan dahulu yang "sakit perut akibat dari cacing gelang ini melibatkan usaha dan tindakan menyalahi hukum Allah oleh segelintir manusia yang membelakangkan hukum Allah... wallahuaklam.  Namun jika benar apakah salah dan dosa Azim maka dia dijadikan mangsa.


Melihat keadaan Azim, kesakitan yang dialaminya memang benar-benar amat menyakitkannya. Sehinggakan abang2 yang belajar mengaji di rumah pakcik itu juga merasa sangat kesian melihat keadaannya. Mereka juga mengatakan belum pernah melihat keadaan sebegitu.  Syukur, hari ini keadaan Azim ceria kembali dan menurutnya tiada lagi rasa kesakitan di bahagian perutnya itu.  Di sekolah juga dia dapat menjalani latihan sukan tanpa rasa sakit... syukur Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa di atas segala-galanya.







4 ulasan:

ibundo berkata...[Reply]

Alhamdulillah. Kembali sihat azim. Kalau zaman kpah kocik dulu memang porut banyak cacing. Heran pulak yo camano dapek boneh cacing tu. Agak e makan sayur2 kek warung yang tak dicuci borsih.

NzA berkata...[Reply]

sama la kak, jun penuh dgn aktiviti..awal julai pn dh mula pelbagai program...penat sgt2,....
kalau angah ke matrik confirm kita brsua kan kak cz angah pn dpt twran ke situ ttp at last dia memilih asasi kt UiTM......

ummiross berkata...[Reply]

Ummi baca pun terasa kesian kat Azim, tentu sakit sangat tu kan, sakit ala2 pelik pun ada kan ibuintan, syukur ikhtiar dan doa pakcik tu diperkenankan Allah SWT, Alhamdulillah.

Ibu Lala berkata...[Reply]

Mmg penat pun kalau asyik keje non stop. Kalau penat penat tu mula nak mengamok je.