Alhamdulillah... syukur dapat mencoret semula di blog ini. Lama juga menyepi. Awal tahun yang sangat sibuk lalu membataskan saya untuk berblog. Namun bukan tidak berkesempatan langsung membuka dan merayau ke blog rakan-rakan. Mungkin ada yang perasan dan mungkin juga tidak... sebenarnya hampir setiap malam juga saya mengunjungi blog dan membaca entri rakan-rakan. Namun saya selalunya masuk melalui gugel dan hanya menjadi pembaca senyap saja , tidak seperti selalunya meninggalkan komen.
Saya tidak meninggalkan jejak sebab tidak mahu rasa bersalah sekiranya rakan mengunjungi blog saya semula namun tiada entri baru di sini. Banyak yang mahu dikongsikan namun masa amat terbatas. Pernah juga terfikir untuk menutup terus blog ini tapi timbul pula rasa sayang. Rasanya blog ini banyak juga jasanya pada diri ini terutama ianya menjadi medan melepas tekanan, ada masanya terasa lega sangat bila dapat meluahkannya di sini walau cuma dalam cara berkias atau tidak secara langsung.
Minggu lepas, seorang rakan sekampung, kami tidaklah rapat sangat... menegur saya dan bertanya kenapa dah lama tak menulis di blog ini. Terperanjat juga, tak sangka rupanya ada juga orang kampung saya yang sentiasa mengikuti blog ini. Rasa tak percaya juga tapi bila banyak juga entri yang disebutnya barulah saya yakin rakan ini selalu mengikuti blog ini. Saya tanya kenapa tidak pernah meninggalkan komen atau jejak, jawabnya; dia malu lagipun dia tak ada blog.
Saya menyuarakan juga cadangan untuk menutup blog ini namun rakan itu membantah. Menurut katanya lagi dia sampai blog ini melalui anaknya yang juga bekas anak murid saya, anaknya juga selalu mengunjungi blog ini. Saya katakan bahawa blog saya ini sekadar tempat saya menulis sesuka hati, bahasa pun kekadang ada yang tak mengikut law bahasa, ada juga yang ke laut bunyinya... kalau dibaca oleh pakar bahasa pasti direjeknya...'tulis ye kak, balun yo' katanya dalam bahasa kampung pekat........ hahahaha togolak bosa den!
Namun sejujurnya pada awal saya berblog,saya sangat berharap agar tiada orang yang mengenali saya yang membaca blog ini. Saya tidak pernah memberitahu sesiapa yang saya kenal tentang kewujudan blog ini. Saya mahu bebas menulis dan mencoret di sini... bebas ikut suka hati, menulis dan bercerita tentang apa saja. Namun tanpa sedar, sudah ramai juga rupanya teman sekerja yang sedar kewujudan blog ini. Setakat ini mereka memberi komen positif dan membina... terima kasih.
Namun mujur setiap coretan saya kalau ada yang mengikut emosi pun masih dalam emosi yang terkawal, saya seboleh mungkin akan cuba tidak melibatkan nama orang lain dan seboleh mungkin juga akan mengawal bahasa agar tidak terkeluar perkataan yang tidak sedap dibaca. Walaupun ini blog saya dan saya bebas berbuat sekehendak hati namun sebagaimana diri saya sebenarnya, saya sentiasa berharap agar bahasa saya sentiasa dalam beradab walaupun ketika hati tengah panas dan bergelora.
Maka mulai semalam, saya pun bermulalah membuka kembali blog ini, semalam sekadar memberi salam tapi masih tak berkesempatan menulis panjang. Terima kasih yang tak terhingga kepada Kak Zakie, YB, Pak ngah Hamzah komensen, Sya Kasih ibu, Kak Erna, Ustaz Razak, Zul Permatang Badak, Kak long dan Kak Ani Kunang2 yang perasan dengan kemunculan semula blog ibuintan. Terima kasih semua. Kepada rakan sekampung juga terima kasih sebab memberi semangat kepada saya untuk menulis semula.