Followers

Sabtu, 28 April 2012

Kenduri lagi.


Hari ni ibuintan sekeluarga akan ke majlis kenduri di rumah adik ipar. Kenduri doa selamat sempena anaknya Haziq berkatan semalam.  Bye.. peergi dulu.






Rabu, 25 April 2012

Pengusaha kantin bidan terjun.

Bila pengusaha kantin buat hal, maka seluruh sekolah jadi kecoh.  Semalam dan hari ini guru-guru dan staff sekolah terpaksa bergilir-gilir memasak.  Bilik guru secara tiba-tiba bertukar menjadi dapur.  Kami terpaksa bergotong-royong secara tiba-tiba....  memasak supaya murid dapat makan di waktu rehat.  Seawal pagi sebaik diberitahu pengusaha kantin dan pekerjanya tidak membuka kantin, maka satu mesyuarat tergempar terpaksa dijalankan.  Menu segera yang cepat dan mudah dirancang.  Keputusan segera dibuat, menu untuk makanan murid ialah mee hoon goreng, air sirap serta keropok lekor.  Untuk pagi tadi pula menunya mee goreng, air sirap serta keropok lekor juga.  Hanya itu yang dapat disediakan asalkan semua anak-anak murid dapat makan  diwaktu rehat.


Pihak sekolah memang menghadapi masalah dengan pengusaha kantin sejak awal tahun lagi.  Banyak aduan ketidakpuasan hati yang dilontarkan bukan saja oleh guru-guru malah oleh anak-anak murid sendiri.  Makanan yang tidak sepadan harga dengan kuantiti, makanan yang sering tidak mencukupi serta servis yang amat mengecewakan.  Sangat lembab. Dah banyak kali teguran dan nasihat diberi tetapi tidak diendahkan.  Pengusaha kantin ini berniaga umpama 'main masak-masak' saja.  Syok sendiri saja.  Bila ditegur, marah... bila anak-anak murid ada yang membawa bekal dari rumah atau membeli makanan di luar sekolah, pun marah juga.  Tindakan untuk memperbaiki keadaan tetap tak ada.


Jalan penyelesaian sementara, mulai esok makanan terpaksa diorder daripada pengusaha kantin sekolah yang berhampiran.  Yang penting pembelajaran anak-anak tidak terganggu.




Maka cikgu2 tak kira yang  bertali leher atau pemangku guru besar sekalipun terpaksa turut serta ke 'dapur segera'. Nasib baik anak-anak murid berpuas hati dan lebih memuji hasil tangan guru-guru berbanding hasil masakan pengusaha kantin yang sebenarnya.  Maka selama dua hari ini,  cikgu di sekolah ibuintan selain dengan tugas rasmi mereka juga bertindak sebagai tukang masak dan pengusaha kantin secara bidan terjun.



Demi anak-anak murid setiap guru berusaha melakukan yang terbaik buat mereka....





Ahad, 22 April 2012

Program Kembara PDRM 2012.

Aduih menggong dan benggong betul jadinya!.  Dah beberapa hari tak buka blog dek kesibukan dan tiada kesempatan waktu serta kepenatan bila balik rumah, maka hari ni bila ada masa dan semangat nak buat catatan baru, aleh-aleh blogspot dah setting baru rupanya.  Mang aii serba tak kena pulak jadinya. Puas tercari-cari camna nak mula.  Aduih poning palo den! Knapo la blogspot ni asik tukar-tukar pesen yo.


Dah puas terklik-klik barulah boleh taip.  Nasib baik, kalau tak malas dah nak berblog lagi. Tambahan semangat pun turun naik je sekarang ni. Malam tadi cadang nak buat juga catatan baru tentang program semalam tapi dah keletihan sangat, hanya sempat masukkan gambar ke fb sekolah saja.


Setelah berminggu-minggu pihak polis daerah KPilah bertungkus lumus membuat persiapan akhirnya majlis besarnya semalam di sekolah ibuintan berjalan dengan lancar.  Hampir setiap hari sebenarnya pegawai polis ini bermesyuarat dengan pihak pentadbir sekolah, ketua kampung, JKKK dan tok batin.



Ye lah, majlis besar melibatkan boss tertinggi mestilah perlu persiapan rapi, nampak sangat pegawai yang menguruskan majlis ini sentiasa risau dan tegang.  Tambahan menjelang 'hari kejadian' tentatif program asyik bertukar-tukar, malah pagi semalam pun mereka bermesyuarat lagi, kali ini meting bawah khemah saja. Mendengar dan memberi taklimat akhir kepada setiap ketua unit.

Pihak sekolah selaku tuan rumah untuk majlis ini juga tak kurang sibuknya.  Kami dipertanggungjawabkan untuk sambutan iaitu kompang, bunga manggar dan satu persembahan tarian selain mengelolakan aktiviti untuk semua murid.  Sibuk jugalah sepanjang minggu lalu. Hari Khamis lepas telah diadakan raptai penuh.

Ibuintan, beberapa rakan guru lain dan murid-murid bergabung dengan ahli PERKEP, anggota polis serta beberapa wakil JKKK menyertai kumpulan koir.  Kami menyanyi lagu NegaraKu, lagu 1Malaysia serta lagu polis.

Jom lihat warna-warni acara semalam.


                                 Pertandingan mewarna untuk semua murid Pra hingga tahun 6.

                          Antara kereta yang mengikuti Kembara 4WD ke perkampungan orang asli Langkap.

                                            Antara acara sukaneka rakyat.



                             Acara yang paling ditunggu2 oleh orangramai - pertunjukan helikopter.

                             Kan... mendarat saja terus kena serbu, sibuk bergambar dengan pilot dan heli.  Murid-murid dan guru-gurunya dah serbu dulu, awal2 dah begambar dengan pilot dan helinya, sebelum hari kejadian semalam, heli ini telah dua kali mendarat dipadang sekolah ini jadi semalam guru-guru hanya melihat saja ibubapa dan orang kampung yang menyerbu pula. Dapek begambar pun jadilah...


Ketua Polis Negara tiba lebih kurang dalam pukul 12.30 tengah hari.  Selain menyampaikan ucapan KPN juga menyampaikan beberapa bantuan dan sumbangan.  Antara penerima terbesar ialah pesara polis era sebelum dan awal kemerdekaan.  Gambar di bawah sekali ialah gambar KPN bersama rakan-rakan polis yang pernah sama berkhidmat di Balai Polis Kuala Pilah di awal kerjaya beliau sebagai anggota polis.



                   KPN menandatangani buku pelawat sekolah selepas sidang akhbar berlangsung.

Sebagai kakitangan KPM, kesudian Dato Pengarah Jab. Pelajaran NS bergambar dengan sebahagian warga sekolah amat dihargai.  Satu kenangan manis buat ibuintan dapat bertegur sapa dan bergambar dengan bekas guru yang pernah mengajar ibuintan 30 tahun yang lalu, yang kini telah menjadi  boss tertinggi di jabatan. Tersasul juga antara panggilan cikgu dan Dato semalam.

                         Cikgu/Dato Abd Halim b. Abd Razak, masih sihat dan sentiasa mengukir senyuman.

Rabu, 18 April 2012

Ilmu baru, teknik bercerita.


Tiga hari berkursus, mulai semalam hingga esok, sesuatu yang amat menyeronokkan dengan mengikuti kursus ini. Tidak bosan kerana semua peserta sentiasa turut serta semasa aktiviti berlangsung dalam suasana santai serta diiringi gelak tawa peserta dan pengelola kursus. Kursus teknik bercerita menggunakan bahan.  Amat menghiburkan. Memang sesuai untuk kanak-kanak.


Menggunakan sehelai daun kelapa sambil bercerita tentang dua ekor katak dan di akhir cerita daun kelapa menjadi seekor  belalang.


Menggunakan seutas tali sepanjang 1.5m sambil bercerita tentang ular dan rama-rama.  Rasa sukar pada mulanya sebab pergerakan tali dan tangan mesti seiring dengan jalan cerita. Berbelit-belit dan bersimpul jugalah tali pada mulanya.


Bercerita kisah Lebai Malang menggunakan sehelai kertas A4 yang akhirnya kertas itu membentuk sebuah kotak, manakala kisah Pak Andeh  dan Mak Andeh yang juga menggunakan sehelai kertas  berakhir dengan kertas menjadi model sebuah kapal.

Bercerita  sambil tangan melipat sehelai sapu tangan mengikut jalan cerita


Hasil dua cerita saputangan akhirnya bertukar menjadi model katak dan tikus.


Bercerita menggunakan sayur-sayuran yang berlainan jenis untuk mewakili watak dalam cerita.  Teknik ini yang paling mudah sebab tidak melibatkan aktiviti kraftangan seperti aktiviti yang empat di atas.  Maklumlah tangan masing-masing dah keras, tu yang menjadikan aktiviti 'kerastangan' terpaksa diulang ajar beberapa kali.

Semua teknik bercerita yang menyeronokkan ini dikelolakan oleh empat orang pensyarah dari IPG Raja Melewar Seremban.  Kursus ini anjuran IPG Raja Melewar dan PPD Kuala Pilah.

Kursus ini akan berakhir tengah hari esok namun ibuintan tidak dapat menyertainya sehingga tamat kerana esok ibuintan dan rakan-rakan sekerja akan mengikuti raptai Program Kembara PDRM sempena Hari Polis yang akan berlangsung di sekolah ibuintan pada hari Sabtu nanti.




Sabtu, 14 April 2012

Rambutan pacat.

Pernah tak tengok dan makan buah ni? Pagi Rabu lepas sempena cuti pertabalan Agung, ibuintan join sekumpulan kakak dan makcik yang setiap pagi berjalan keliling kampung.  Dari kampung kami, kami berpusing pula ke kampung sebelah, adalah dalam jarak 5 ke 6 km rasanya.  Semasa melalui jalan yang merentas sawah padi, seorang makcik terpandang buah ini yang sedang berbuah lebat di tepi jalan yang kami lalui.  Seumur hidup inilah pertama kali ibuintan melihat dan mendengar nama buah ini.  Makcik ini memanggilnya 'buah rambutan pacat'.  Tak tau lah kenapa namanya pacat, setahu ibuintan pacat ni macam lintah yang menghisap darah tu.  Bentuk buahnya  tak juga macam buah rambutan.


Apalagi ibuintan dan beberapa orang kakak yang tidak pernah merasa buah ini lantas memetik beberapa biji buah yang telah masak.  Buah yang telah masak ranum berwarna coklat kehitaman.  Rasanya agak manis namun masih terasa sedikit pahit dan kelat.  Cantik bentuk buah ni bergugus seakan buah anggur.


                        Inilah pokoknya. Rendah dan rendang dan sedang berbuah lebat.

Ibuintan bawa balik setangkai buah ni untuk ditunjukkan pada anak-anak dan untuk anak-anak merasanya.  Tak seorang pun yang kata 'sedap' sebab rasanya kelat dan pahit.




Rabu, 11 April 2012

En. Raub b. Nordin - selamat bersara.


Semalam 10hb April. hari terakhir En Raub b. Nordin sebagai seorang kakitangan kerajaan.  Semalam hari terakhirnya sebagai seorang guru, khasnya sebagai guru besar di sekolah ibuintan.  Majlis persaraan beliau semalam berjalan dengan lancar.  Seronok kami sebagai orang bawahan beliau menguruskan majlisnya, kami berharap majlis semalam menjadi kenangan indah dan abadi untuk beliau.

Persiapan untuk majlis persaraan ini bermula pada hari Isnin lagi.




kad ucapan dari setiap kelas.





persiapan dewan


menghias kereta


 Jagung rebus sumbangan seorang penduduk setempat yang sangat rapat dengan pihak sekolah. Pak Lang Endek ... terima kasih banyak-banyak.

Pak Lang endek (berbaju putih) seorang OKU yg sangat mesra dan dekat dengan warga sekolah dan semua murid.


Sedang menyampaikan ucapan ...  dalam gelak tawa, usikan dan kata nasihat untuk semua terselit juga kesayuan dan kehibaan dalam nadanya.

Memotong kek bersama isteri yang menjadi tetamu khas. Isterinya merupakan rakan baik ibuintan sejak disekolah, kami berkawan sejak dari darjah satu hingga tingkatan lima manakala En Raub pula selain ketua ibuintan beliau juga merupakan bekas guru abahintan semasa di tingkatan dua dan tiga dahulu.




Selesai ucapan semua yang hadir termasuk murid menikmati jamuan makan.  Semua enjoy.


Diikuti penyampaian hadiah dan cenderahati.


Majlis dalam dewan di akhiri dengan menandatangani buku kedatangan rasmi sebagai penjawat awan buat kali terakhir.



Dari dewan gb diarak dengan bunga manggar dan paluan kompang hingga ke kereta yang menunggu khas di pintu pagar sekolah.



Selamat bersara cikgu! Moga kesihatan cikgu bertambah baik setelah tidak lagi memikirkan tentang tugas dan tanggungjawab sebagai seorang penjawat awam.


Mood bersalah ; mohon maaf  dah la sesekali buka blog tapi sekali buka panjang berjela pulak ..